Sabtu, 3 Ramadhan 1447H | Puasa Ramadhan Menghapuskan Dosa Yang Lalu
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
Daripada Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan penuh keikhlasan (mengharap rahmat Allah), maka akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu". (HR Bukhari No: 37) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Berpuasa atas dasar iman ialah melaksanakan ibadat puasa dengan meyakini akan kewajipan melaksanakan ibadat puasa atas dasar ketaatan kepada perintah Allah dengan penuh keikhlasan.
2. Ihtisab adalah mengharap ganjaran pahala dari Allah dengan melakukan ibadat puasa penuh ikhlas, menyempurnakan ibadat puasa dengan memelihara perkara yang boleh merosakkan puasa, tidak merasa berat melaksanakannya dan tidak hanya sekadar mengikuti kebiasaan orang sekeliling.
3. Puasa yang dilakukan atas dasar keimanan dan menginginkan reda Allah semata-mata dengan dilaksanakan penuh keikhlasan, akan menjadi penghapus dosa-dosa yang lalu (dosa kecil). Rasulullah SAW bersabda:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقُولُ الصَّلَوَاتُ الْخَمْسُ وَالْجُمُعَةُ إِلَى الْجُمُعَةِ وَرَمَضَانُ إِلَى رَمَضَانَ مُكَفِّرَاتٌ مَا بَيْنَهُنَّ مَا اجْتُنِبَتْ الْكَبَائِرُ
Daripada Abi Hurairah RA, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: “Solat lima waktu yang didirikan, satu Jumaat ke Jumaat yang berikutnya dan satu Ramadan kepada Ramadan yang berikutnya maka akan menghapuskan dosa-dosa antara keduanya selama mana dijauhi dosa-dosa besar". (HR. Ahmad No: 8830) Status Sahih
4. Hadis ini menekankan bahawa ibadah puasa tidak hanya melibatkan tindakan fizikal (iaitu menahan diri daripada makan dan minum), tetapi yang lebih penting adalah niat yang ikhlas dan tawakal kepada Allah. Puasa harus dilakukan dengan keyakinan iman, bukan sekadar sebagai kebiasaan atau terpaksa. Niat yang ikhlas kepada Allah akan membawa keberkatan dan ganjaran yang lebih besar.
5. Semoga ibadat Puasa yang dilaksanakan dengan penuh keimanan dan keikhlasan akan menjadi penghapus dosa-dosa yang lalu dan menjadikan kita hamba yang bertaqwa di sisi Allah.
No comments:
Post a Comment