Isnin, 21 Syaaban 1447H | Bahaya Memuji Orang Berlebihan
عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ أَبِي بَكْرَةَ عَنْ أَبِيهِ أَنَّ رَجُلًا ذُكِرَ عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَثْنَى عَلَيْهِ رَجُلٌ خَيْرًا فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَيْحَكَ قَطَعْتَ عُنُقَ صَاحِبِكَ يَقُولُهُ مِرَارًا إِنْ كَانَ أَحَدُكُمْ مَادِحًا لَا مَحَالَةَ فَلْيَقُلْ أَحْسِبُ كَذَا وَكَذَا إِنْ كَانَ يُرَى أَنَّهُ كَذَلِكَ وَحَسِيبُهُ اللَّهُ وَلَا يُزَكِّي عَلَى اللَّهِ أَحَدًا
Daripada Abdurrahman bin Abu Bakrah dari Ayahnya bahawa seorang lelaki telah disebut di hadapan Nabi SAW, lalu seorang lelaki lain memuji kebaikan laki-laki tersebut, lalu Nabi SAW bersabda: "Celakalah kamu, kamu telah memenggal leher saudaramu." Baginda mengulangi beberapa kali. Kemudian Baginda bersabda: Jika seseorang daripada kamu ingin memuji temannya, hendaklah ia mengucapkan: 'Aku menyangka dia begini dan begitu, walaupun jika diperhatikan ia memang seperti itu. Cukuplah Allah yang menentukan kebaikannya dan janganlah mendahului Allah dalam memuji seseorang." (HR Bukhari No: 5601) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Memuji kebaikan yang ada pada seseorang tidaklah dilarang secara mutlak. Namun Rasulullah menegur dengan keras orang yang memuji orang lain dengan:
a. Pujian yang berlebihan
b. Pujian yang mengandung sifat yang tidak ada pada diri orang yang dipuji.
c. Pujian yang menimbulkan fitnah (timbul ujub, menyombongkan diri) pada orang yang dipuji terutama apabila dipuji dihadapannya.
2. Rasulullah memberi teguran keras kepada orang yang memuji orang lain yang disetarakan dengan memenggal leher kawan tersebut kerana bimbang terjerumus seperti ummat terdahulu, khususnya kaum Yahudi dan Nasrani yang memuji sehingga menyamakan dengan sifat Allah (syirik yang merupakan dosa besar).
3. Amal yang kita lakukan adalah ikhlas untuk mencari redha Allah bukan pujian manusia. Dzun Nuun menyebutkan tiga tanda ikhlas:
a. Tetap merasa sama antara pujian dan celaan orang lain.
b. Melupakan amalan kebajikan yang dulu pernah diperbuat.
c. Mengharap balasan dari amalan di akhirat (dan bukan di dunia).
(Lihat At Tibyan fi Adabi Hamalatil Qur’an, An Nawawi, hal. 50-51, Maktabah Ibnu ‘Abbas, cetakan pertama, tahun 1426 H)
4. Menurut Imam al-Nawawi, pujian di hadapan orang yang dipuji hukumnya makruh malah boleh menjadi haram jika membawa kepada:
o Kesombongan,
o Rasa selamat daripada dosa,
o Hilang muhasabah diri.
5. Menurut Imam al-Ghazali, pujian yang dibenarkan ialah:
• Untuk maslahat syarie (motivasi, pengiktirafan, keadilan),
• Tanpa berlebih-lebihan,
• Tidak membawa kepada fitnah jiwa.
6. Jika kita dipuji orang, berdoalah seperti doa Abu Bakar RA apabila menerima pujian:
اللَّهُمَّ أَنْتَ أَعْلَمُ مِنِّى بِنَفْسِى وَأَنَا أَعْلَمُ بِنَفْسِى مِنْهُمْ اللَّهُمَّ اجْعَلْنِى خَيْرًا مِمَّا يَظُنُّوْنَ وَاغْفِرْ لِى مَا لاَ يَعْلَمُوْنَ وَلاَ تُؤَاخِذْنِى بِمَا يَقُوْلُوْنَ
Ya Allah, Engkau lebih mengetahui keadaan diriku daripada diriku sendiri dan aku lebih mengetahui keadaan diriku daripada mereka yang memujiku. Ya Allah, jadikanlah diriku lebih baik dari yang mereka sangkakan, ampunilah aku terhadap apa yang mereka tidak ketahui dariku, dan janganlah menyiksaku dengan perkataan mereka.
(Diriwayatkan oleh Al Baihaqi dalam Syu’abul Iman, 4/228, no.4876. Lihat Jaami’ul Ahadits, Jalaluddin As Suyuthi, 25/145, Asy Syamilah)
No comments:
Post a Comment