Khamis, 1 Ramadhan 1447H | Ibadah Puasa dan Anugerah
عَنْ أَبِي صَالِحٍ الزَّيَّاتِ أَنَّهُ سَمِعَ أَبَا هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ يَقُولُا قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ لَهُ إِلَّا الصِّيَامَ فَإِنَّهُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ وَالصِّيَامُ جُنَّةٌ فَإِذَا كَانَ يَوْمُ صَوْمِ أَحَدِكُمْ فَلَا يَرْفُثْ يَوْمَئِذٍ وَلَا يَسْخَبْ فَإِنْ سَابَّهُ أَحَدٌ أَوْ قَاتَلَهُ فَلْيَقُلْ إِنِّي امْرُؤٌ صَائِمٌ وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لَخُلُوفُ فَمِ الصَّائِمِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللَّهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ رِيحِ الْمِسْكِ وَلِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ يَفْرَحُهُمَا إِذَا أَفْطَرَ فَرِحَ بِفِطْرِهِ وَإِذَا لَقِيَ رَبَّهُ فَرِحَ بِصَوْمِهِ
Daripada Abu Soleh Az Zayyat bahawa ia mendengar Abu Hurairah RA berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Allah 'azza wajalla telah berfirman; 'Setiap amalan anak Adam adalah untuknya kecuali puasa. Sesungguhnya puasa itu adalah bagi-Ku, dan Akulah yang akan membalasnya. Puasa itu adalah perisai. Maka apabila seseorang kamu berpuasa, maka janganlah kamu rosakkan puasamu dengan rafats, dan jangan pula menghina orang. Apabila kamu dihina orang atau pun mengajak bergaduh, maka katakanlah, 'Sesungguhnya saya sedang berpuasa.' Demi Allah, yang jiwa Muhammad berada di tangan-Nya. Sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari kiamat kelak daripada wanginya kesturi. Dan bagi orang yang berpuasa ada dua kegembiraan. Ia merasa gembira ketika berbuka puasa, dan kegembiraan ketika bertemu dengan Rabbnya juga kerana puasanya." (HR Muslim No: 1944) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Setiap amalan yang dilakukan oleh anak Adam adalah untuknya kecuali puasa. Puasa itu adalah untuk Allah dan hanya Allah yang akan memberi ganjaran pahalanya.
2. Puasa itu adalah perisai atau pendinding seseorang dari melakukan perbuatan buruk, dosa, dan godaan nafsu. Puasa bukan hanya menahan diri daripada makan dan minum, tetapi juga menahan diri daripada segala perbuatan yang boleh merosakkan pahala puasa.
3. Bagi orang yang berpuasa, mereka perlu menjaga puasanya dari dirosakkan dengan sebab rafats (perhubungan suami isteri di siang hari) termasuk perbuatan dan perkataan yang kasar, kotor, lucah dan buruk serta hina, sama ada yang diucapkan, ditulis serta ditularkan.
4. Orang yang berpuasa, jika dihina, dimarah ataupun diajak bergaduh, maka hendaklah ia bersabar dan katakanlah: Sesungguhnya saya sedang berpuasa. Ia menunjukkan kawalan diri dan kesabaran.
5. Puasa yang sebenar bukan hanya mampu mencegah makan dan dan minum serta perkara yang membatalkan puasa di siang hari malah berjaya menjaga lidah juga anggota lain daripada maksiat serta memelihara hati daripada sifat buruk dan cintakan dunia.
6. Bagi orang yang berpuasa, mulutnya mungkin akan berbau yang kurang enak, namun bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari kiamat kelak daripada wanginya kasturi.
7. Untuk orang yang berpuasa, mereka akan dikurniakan dengan dua kegembiraan:
a. Gembira ketika berbuka puasa
b. Gembira ketika berjumpa dengan Allah kerana ibadat puasanya yang dilaksanakan dengan Ikhlas akan menjadi syafaat untuknya pada hari kiamat.
Semoga Ramadan tahun ini lebih baik untuk kita dengan kualiti dan kuantiti amal yang bertambah bagi mengapai Taqwa. Ramadan Aku Kembali Mendamba Redha Ilahi. Andaikan Ramadan Tahun Ini Terakhir Buat Kita.
No comments:
Post a Comment