Isnin, 14 Syaaban 1447H | Malam Nisfu Syaaban
عَنْ مُعَاذِ بن جَبَلٍ عَن ِالنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: يَطَّلِعُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ عَلَى خَلْقِهِ لَيْلَةَ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَيَغْفِرُ لِجَمِيعِ خَلْقِهِ إِلا لِمُشْرِكٍ أَوْ مُشَاحِنٍ
Daripada Muaz bin Jabal RA dari Nabi SAW baginda bersabda: Allah Azawajalla memerhati makhlukNya pada malam pertengahan bulan Syaaban (Nisfu Syaaban), lalu Dia mengampuni semua makhluk-Nya kecuali orang yang melakukan syirik dan orang yang bermusuhan (HR Tobrani No: 16639) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Bulan Syaaban memiliki kelebihan tersendiri dimana merupakan bulan yang Rasulullah SAW paling banyak berpuasa sunat di dalamnya.
2. Malam Nisfu Syaaban (pertengahan bulan Syaaban) juga terdapat kelebihan dan keutamaan bagi mereka yang beribadat dengan diberikan keampunan kecuali kepada mereka yang melakukan syirik dan bermusuhan sesama Muslim.
3. Orang yang melakukan syirik selagi tidak bertaubat akan terhalang daripada mendapat pengampunan Allah. Orang yang bermusuh atau berdendam adalah mereka yang menyimpan kebencian dan permusuhan sesama Muslim dimana hatinya rosak oleh sifat hasad dan dendam.
4. Digalakkan kita memperbanyakkan ibadat dan memohon keampunan kerana Nabi SAW bersabda:
عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ فَقَدْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَيْلَةً فَخَرَجْتُ فَإِذَا هُوَ بِالْبَقِيعِ فَقَالَ أَكُنْتِ تَخَافِينَ أَنْ يَحِيفَ اللَّهُ عَلَيْكِ وَرَسُولُهُ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنِّي ظَنَنْتُ أَنَّكَ أَتَيْتَ بَعْضَ نِسَائِكَ فَقَالَ إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يَنْزِلُ لَيْلَةَ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا فَيَغْفِرُ لِأَكْثَرَ مِنْ عَدَدِ شَعْرِ غَنَمِ كَلْبٍ
Daripada 'Aisyah RA dia berkata, Pada suatu malam saya kehilangan Rasulullah SAW, lalu saya keluar, ternyata saya dapati baginda sedang berada di Baqi', baginda bersabda: " Apakah kamu takut akan dizalimi oleh Allah dan Rasul-Nya?" saya berkata, wahai Rasulullah, saya mengira tuan mendatangi sebahagian isteri-isterimu, baginda bersabda: "Sesungguhnya Allah ta'ala turun ke langit dunia pada malam pertengahan bulan Syaaban, lalu mengampuni manusia lebih banyak dari sejumlah bulu kambing." (HR Tirmizi No:670) Status: Hadis Daif
5. Ibnu Rajab mengatakan, berkaitan dengan malam nisfu Syaaban, para tabi’in penduduk Syam, seperti Khalid bin Ma’dan, Mak-hul, Luqman bin Amir, dan beberapa tabi’in lainnya memuliakannya dan bersungguh-sungguh dalam beribadah di malam itu” (Lathaiful Ma’arif, hlm. 247).
6. Ulama bersetuju tidak ada jenis ibadat yang dikhususkan pada malam tersebut seperti tidak ada solat Nisfu Syaaban 100 rakaat, tiada doa-doa khusus atau bacaan-bacaan khusus. Namun boleh sahaja untuk kita melaksanakan solat sunat malam juga mempelbagaikan doa dan zikir.
Hadis ini mengajarkan kita mengenai keistimewaan malam pertengahan Sya'ban sebagai malam pengampunan. Allah SWT memberi kesempatan untuk hamba-Nya yang bertaubat untuk mendapatkan ampunan-Nya, kecuali bagi mereka yang melakukan syirik atau memutuskan hubungan dengan sesama. Oleh itu, kita harus senantiasa menjaga keimanan, memperbaiki hubungan dengan sesama, dan memanfaatkan waktu-waktu istimewa untuk memohon ampunan Allah. Malam Nisfu Sya'ban adalah peluang yang berharga untuk mendekatkan diri kepada Allah dan mendapatkan rahmat serta pengampunan-Nya.
No comments:
Post a Comment