Sunday, February 15, 2026

Amal Kebaikan

Ahad, 27 Syaaban 1447H   |  Amal Kebaikan

عَنْ أَبِي مَالِكٍ الْحَارِثِ بْنِ عَاصِمٍ الْأَشْعَرِيِّ  قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ  الطُّهُورُ شَطْرُ الإِيْمَانِ وَالْحَمْدُ للهِ تَمْلأُ الْمِيزَانَ وَسُبْحَانَ اللهِ وَالْحَمْدُ للهِ تَمْلآنِ – أَوْتَمْلأُ – مَا بَيْنَ السَّمَاءِ وَالأَرْضِ وَالصَّلاَةُ نُورٌ وَالصَّدَقَةُ بُرْهَانٌ وَالصَّبْرُ ضِيَاءٌ وَالْقُرْآنُ حُجَّةٌ لَكَ أَوْ عَلَيْكَ كُلُّ النَّاسِ يَغْدُو فَبَائِعُ نَفْسَهُ فَمُعْتِقُهَا أَوْ مُوبِقُهَا

Daripada Abu Malik al-Haris ibn `Asim al-Asya’arie RA beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda: Kebersihan itu sebahagian daripada iman. Ucapan zikir al-Hamdulillah memenuhi neraca timbangan (amal). Ucapan zikir SubhaanaLlah dan al-Hamdulillah kedua-duanya memenuhi ruangan antara langit dan bumi. Solat itu adalah cahaya. Sedekah itu adalah saksi (bukti). Sabar itu adalah sinaran (memberi cahaya). Al-Quran itu adalah hujah bagimu atau hujah ke atasmu. Setiap manusia keluar pada waktu pagi (berusaha), ada yang menjual dirinya (sama ada kepada Allah dengan melakukan ketaatan atau kepada syaitan dan hawa nafsu dengan melakukan maksiat dan kemurkaan Allah), ada yang memerdekakan dirinya (daripada kehinaan di dunia dan azab akhirat) dan ada pula yang mencelakakan dirinya (dengan melakukan maksiat). (HR Muslim No: 223) Status Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  lslam amat menitikberatkan soal kebersihan, sehingga menganggapnya sebahagian daripada lman. Jagalah kebersihan, sama ada kebersihan zahir pada tubuh badan juga kebersihan batin iaitu hati daripada syirik, hasad juga riyak.

2.  Bersuci merupakan syarat sahnya ibadah, oleh itu setiap Muslim perlu sentiasa mengambil perhatian.

3.  Zikir yang ikhlas mempunyai nilai yang besar di sisi Allah.

4.  Menjaga ibadat solat akan mendatangkan cahaya petunjuk dan mampu memperbaiki diri seorang muslim terhadap manusia lain, menjadikan ia  berakhlak dan berperilaku terpuji, memiliki sifat kewarakan dan ketakwaan di sisi Allah.

5.  Semua amalan soleh merupakan kebaikan dan keindahan bagi seorang mukmin dan mempunyai nilai yang tinggi. Ada amalan yang menjadi hujah baginya, ada yang menjadi cahaya baginya, ada yang menjadi pemberat timbangannya dan sebagainya. Antaranya;

a.  Zikir al-Hamdulillah yang Ikhlas akan memenuhi neraca timbangan amal di akhirat.

b.  Zikir SubhaanaLlah dan al-Hamdulillah kedua-duanya akan memenuhi ruangan antara langit dan bumi.

c.  Solat adalah cahaya, kerana ia menerangi hati, membimbing kehidupan dan menjadi cahaya di dunia dan akhirat.

d.  Sedekah adalah saksi  dimana berinfaq pada jalan kebaikan dan bersegera melakukannya merupakan pertanda dan bukti benar keimanannya.

e.  Sabar adalah sinaran kerana sabar memerlukan pengorbanan dan kesungguhan serta perjuangan melawan nafsu.

f.  Al-Quran adalah hujah bagi mukmin (Membaca Al Quran dengan pemahaman dan mentadabbur (merenungkan) maknanya, mengamalkan kandungannya kerana hal tersebut dapat memberi syafaat bagi seorang hamba pada hari kiamat).

6.  Setiap manusia dalam kegiatan hariannya mendedahkan dirinya sama ada kepada kebaikan atau kecelakaan. Ada yang menjual dirinya kepada Allah, lalu beroleh kebaikan dan kejayaan dan ada yang menjual dirinya kepada syaitan lalu beroleh kecelakaan.

7.  Pastikan segala aktiviti harian kita membawa kebaikan dan pahala bukan keburukan dan dosa.


No comments: