Sabtu, 15 Syawal 1447H | Jauhi Perbuatan Keji Agar Kasih Sayang Tidak Dicabut
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ سَمِعْتُ أَبَا الْقَاسِمِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَا تُنْزَعُ الرَّحْمَةُ إِلَّا مِنْ شَقِيٍّ
Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata, Aku mendengar Abu al-Qasim (Rasulullah SAW) bersabda: "Tidaklah dicabut sifat rahmah (kasih sayang) kecuali daripada orang yang celaka (berbuat keji)." (Sunan Tirmizi No: 1923) Dar Kutub Ilmiyyah. Status: Hadis Hasan
Pengajaran:
1. Allah menganugerahkan rahmatnya yang maha luas meliputi kasih sayang kepada sesiapa yang dikehendaki, peluang keampunan serta kurniaan-Nya.
2. Sifat kasih sayang (Rahmah) adalah manifestasi iman. Orang yang beriman akan mudah berbelas kasihan terhadap manusia dan makhluk lain.
3. Allah akan mencabut rahmatnya (kasih sayang-Nya) daripada seseorang, merujuk kepada hilangnya sifat belas kasihan dalam hati seseorang, sehingga dia menjadi keras, kasar dan tidak peduli terhadap orang lain apabila ia melakukan perbuatan keji dan berterusan dalam kejahatan.
4. Perbuatan keji termasuk segala perbuatan yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada orang lain, akan menghilangkan perasaan kasih sayang kepada orang lain dan akan menjadi penyebab kepada perbuatan yang memutuskan hubungan ukhuwah dan silaturahim.
5. Salman al-Farisi menyatakan: Jika Rahmat Allah (sifat kasih sayang) dicabut bermakna sebahagian dari imannya juga akan dicabut maka jika sudah demikian maka dia tidak akan menemui Allah melainkan dalam keadaan telah menjadi syaitan yang dilaknat dan suka melaknat.
6. Apabila rahmah hilang, lahirlah sifat zalim, kejam, ego dan tidak berperasaan, yang merosakkan individu dan masyarakat. Kehilangan sifat rahmah adalah tanda kecelakaan rohani. Oleh itu, setiap Muslim perlu berusaha menanamkan kasih sayang dalam hati, kerana dengan rahmahlah seseorang memperoleh kebahagiaan hidup dan rahmat Allah SWT.
Hadis ini mengingatkan kita tentang betapa pentingnya rahmat Allah dalam kehidupan. Rahmat-Nya mencakup segala sesuatu, tetapi kita perlu berusaha untuk tidak menjadi keras hati dan menjauhkan diri daripada-Nya. Oleh itu, kita hendaklah sentiasa berusaha untuk menjadi individu yang lebih baik, sentiasa bersifat penyayang, sentiasa bertaubat, dan tidak berputus asa dalam mencari rahmat Allah. Pupuklah sifat terpuji jauhi sifat ego dan keras hati dalam kehidupan ini. Moga Rahmah Allah akan sentiasa melimpahi kita.
No comments:
Post a Comment