Wednesday, April 8, 2026

Muslim Yang Menyelamatkan

Rabu, 19 Syawal 1447H  |  Muslim Yang Menyelamatkan

عَنْ أَبِي مُوسَى رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيُّ الْإِسْلَامِ أَفْضَلُ قَالَ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ

Daripada Abu Musa RA beliau berkata: Para sahabat bertanya: 'Wahai Rasulullah, Islam manakah yang paling utama?" Rasulullah SAW menjawab: "Siapa yang kaum Muslimin selamat dari gangguan lidah dan tangannya". (Sahih Bukhari No: 10) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Ukuran keutamaan Islam seseorang bukan hanya pada ibadah zahir tetapi pada akhlaknya. Islam mengajar umatnya agar sentiasa memiliki akhlak yang mulia, khususnya yang keluar dari lidah (perkataan) juga tangan (perbuatan).

2.  Menjaga lidah daripada menuturkan sesuatu yang buruk terhadap orang Islam lain seperti mengumpat, menghina, mencela, mengadu domba, memfitnah, berkata kasar dan lain-lain adalah dituntut.

3.  Memelihara tangan dari melakukan perbuatan keji dan menyakiti Muslim lain bukan hanya memukul dan mencuri malah termasuk menulis, memforward sesuatu yang berbentuk fitnah, menghina, mengadu domba dan lain-lain adalah dilarang.

4.  Mudahnya orang pada hari ini melakukan dosa besar yang diterjemahkan dalam bentuk tulisan sesuatu yang mengaibkan peribadi seseorang, mengumpat, memfitnah, mengadu domba di media elektronik dan diviralkan seperti TikTok, FB, WhatsApp, telegram, tanpa sedikitpun terdetik dihati bahawa apa yang diperkatakan, yang ditulis akan diminta pertanggungjawab dihadapan Allah. Firman Allah:

إِنَّ ٱلسَّمۡعَ وَٱلۡبَصَرَ وَٱلۡفُؤَادَ كُلُّ أُوْلَٰئِكَ كَانَ عَنۡهُ مَسۡ‍ُٔولٗا

“Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati nurani, semua anggota itu tetap akan diminta pertanggungjawabannya (ditanya di akhirat) tentang apa yang dilakukannya.” (Surah Al-Isra 17 ; Ayat 36)

5.  Imam al-Khaththabi rahimahullâh berkata, hadis ini bermaksud bahawa kaum muslimin yang paling utama adalah orang yang selain menunaikan hak-hak Allah  dengan baik, dia juga dituntut menunaikan hak-hak sesama kaum muslimin dengan baik pula.

6.  Hadis ini menegaskan bahawa Islam yang terbaik ialah Islam yang memberi manfaat dan keselamatan kepada orang lain. Dengan menjaga lidah dan tangan, seseorang bukan sahaja menyempurnakan imannya, tetapi juga menyumbang kepada pembinaan masyarakat yang aman dan sejahtera.

Akhlak yang baik dan tidak menyakiti orang lain adalah antara tanda paling utama bagi seorang Muslim yang baik. Islam bukan hanya tentang hubungan kita dengan Allah, tapi juga bagaimana kita melayan dan menghormati sesama manusia. Berusahalah menjadi insan yang baik dan soleh dengan menjaga lisan dan tangan kita.


No comments: