Wednesday, October 7, 2026

Penyakit Mengangkat Darjat dan Menghapus Dosa

Rabu, 25 Rabiul Akhir 1448H  |  Penyakit Mengangkat Darjat dan Menghapus Dosa
 
عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا يُصِيبُ الْمُؤْمِنَ مِنْ شَوْكَةٍ فَمَا فَوْقَهَا إِلَّا رَفَعَهُ اللَّهُ بِهَا دَرَجَةً أَوْ حَطَّ عَنْهُ بِهَا خَطِيئَةً
 
Daripada 'Aisyah RA, dia berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: Tidaklah seorang Mukmin ditimpa sesuatu kesakitan (musibah), walaupun hanya tertusuk duri atau yang lebih daripada itu, melainkan Allah mengangkat dengannya satu darjat baginya atau menghapuskan daripadanya satu kesalahan. (HR Muslim No: 4665) Status: Hadis Sahih
 
Pengajaran:
 
1.  Islam mengajar umatnya bersabar diatas setiap ujian atau musibah yang dilaluinya.

2.  Tiada kesakitan seorang Mukmin yang sia-sia. Bahkan kesakitan sekecil tercucuk duri mempunyai nilai di sisi Allah.
 
3.  Allah mendatangkan musibah kepada seseorang dalam pelbagai bentuk antaranya kesakitan, untuk mengangkat darjat atau kedudukan seseorang di sisi Allah
 
4.  Allah mendatangkan musibah atau ujian dalam bentuk kesakitan juga bertujuan untuk menghapuskan dosa seseorang.
 
5.  Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa hadis ini merupakan dalil bahawa penyakit, kesakitan dan musibah yang menimpa seseorang mempunyai kelebihan berupa penghapusan dosa dan peningkatan kedudukan.
 
6. Jangan cepat bersangka buruk kepada Allah ketika ditimpa sakit. Apa yang dirasakan sebagai penderitaan mungkin sedang menjadi proses penyucian diri.
 
7.  Orang yang ditimpa musibah seperti penyakit, akan digugurkan segala dosa seperti dedaun berguguran kecuali dosa besar seperti dosa syirik
 
مَا مِنْ مُسْلِمٍ يُصِيبُهُ أَذًى شَوْكَةٌ فَمَا فَوْقَهَا إِلَّا كَفَّرَ اللَّهُ بِهَا سَيِّئَاتِهِ كَمَا تَحُطُّ الشَّجَرَةُ وَرَقَهَا
 
Tidaklah seorang muslim yang tertimpa suatu musibah (penyakit) atau yang lain, melainkan Allah akan menghapuskan kesalahan-kesalahannya sebagaimana pohon menggugurkan dedaunannya." (HR Bukhari No: 5216) Status Hadis Sahih
 
8.  Sabar bukan bererti tidak boleh mengadu sakit. Seseorang boleh memberitahu doktor atau keluarganya tentang kesakitan untuk mendapatkan bantuan. Yang perlu dijaga ialah jangan sampai mengeluh dengan cara mempersoalkan keadilan dan ketentuan Allah.
 

No comments: