Tuesday, November 3, 2026

Zikir Yang Sangat Besar Nilainya

Selasa, 23 Jamadil Awal 1448H  | Zikir Yang Sangat Besar Nilainya
 
عَنْ جُوَيْرِيَةَ بِنْتِ الْحَارِثِ أُمِّ الْمُؤْمِنِينَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا، أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَرَجَ مِنْ عِنْدِهَا بُكْرَةً حِينَ صَلَّى الصُّبْحَ، وَهِيَ فِي مَسْجِدِهَا، ثُمَّ رَجَعَ بَعْدَ أَنْ أَضْحَى، وَهِيَ جَالِسَةٌ، فَقَالَ: مَا زِلْتِ عَلَى الْحَالِ الَّتِي فَارَقْتُكِ عَلَيْهَا؟ قَالَتْ: نَعَمْ. قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: لَقَدْ قُلْتُ بَعْدَكِ أَرْبَعَ كَلِمَاتٍ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ، لَوْ وُزِنَتْ بِمَا قُلْتِ مُنْذُ الْيَوْمِ لَوَزَنَتْهُنَّ: سُبْحَانَ اللَّهِ وَبِحَمْدِهِ، عَدَدَ خَلْقِهِ، وَرِضَا نَفْسِهِ، وَزِنَةَ عَرْشِهِ، وَمِدَادَ كَلِمَاتِهِ
 
Daripada Juwairiyah binti al-Harith, Ummul Mukminin RA, bahawa Nabi SAW keluar dari rumahnya pada awal pagi ketika dia (Juwairiyah) sedang menunaikan solat Subuh di tempat solat dalam rumahnya. Kemudian Baginda kembali setelah masuk waktu Dhuha, dan mendapati Juwairiyah masih duduk di tempat solatnya. Baginda bertanya: “Adakah engkau masih dalam keadaan yang sama seperti ketika aku meninggalkanmu tadi?” Juwairiyah menjawab: “Ya.” Lalu Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya selepas meninggalkanmu tadi, aku telah mengucapkan empat kalimah sebanyak tiga kali. Sekiranya kalimah-kalimah itu ditimbang dengan segala zikir yang telah engkau ucapkan sejak pagi tadi, maka kalimah-kalimah yang aku sebut itu akan mengatasi kalimah-kalimah yang engkau sebut., iaitu: (‘Maha Suci Allah dan segala puji bagi-Nya, sebanyak jumlah makhluk ciptaan-Nya, sebanyak yang diredai oleh-Nya, seberat ‘Arasy-Nya dan sebanyak tinta bagi kalimah-kalimah-Nya).’” (HR Muslim, no: 2726) Status Hadis Sahih
 
Pengajaran
 
1.  Zikir mempunyai timbangan di sisi Allah. Ada lafaz yang ringkas tetapi sangat berat nilai dan ganjarannya.
 
2.  Utamakan zikir yang ma’thur daripada Rasulullah SAW. Lafaz yang diajar Baginda mempunyai kelebihan dan makna yang tersendiri.
 
3.  Kualiti ibadah bukan hanya diukur dengan tempoh. Zikir yang singkat tetapi luas makna dan penuh penghayatan boleh mempunyai kelebihan yang sangat besar.
 
4.  Antara zikir yang diajar oleh Nabi SAW untuk di baca walaupun hanya sebanyak tiga kali namun ganjarannya dapat menandingi sebahagian daripada zikir yang dibaca daripada waktu subuh sehingga waktu Dhuha:
 
سُبْحَانَ اللَّهِ وَبِحَمْدِهِ، عَدَدَ خَلْقِهِ، وَرِضَا نَفْسِهِ، وَزِنَةَ عَرْشِهِ، وَمِدَادَ كَلِمَاتِهِ
 
(Maha Suci Allah dan segala puji bagi-Nya, sebanyak jumlah makhluk ciptaan-Nya, sebanyak yang diredai oleh-Nya, seberat ‘Arasy-Nya dan sebanyak tinta bagi kalimah-kalimah-Nya).
 
5.  Memahami makna zikir membantu penghayatan. Kita bukan sekadar menyebut perkataan, tetapi menyedari kebesaran Allah yang tidak mampu dihitung manusia.
 
6.  Nabi SAW mengajarkan Juwairiyah RA suatu bentuk zikir pada waktu pagi yang lebih padat, luas maknanya, walaupun ringan amalannya tetapi besar timbangannya.
 
7.  Allah membuka ruang ibadah kepada semua orang. Orang yang sibuk dengan pekerjaan dan tanggungjawab harian juga boleh memperoleh ganjaran besar melalui zikir yang ringkas.
 

No comments: