Thursday, May 16, 2013

Hanya Seekor Semut

Khamis, 6 Rejab 1434H: Dari Abu Hurairah r.a., dari Rasulullah saw. sabdanya:
 
"Seekor semut menggigit seorang Nabi di antara para nabi-nabi, lalu Nabi tersebut menyuruh bakar sarang semut itu, lalu dibakarlah.
 
Kemudian Allah swt. mewahyukan kepadanya, "Hanya seekor semut yang menggigitmu, lalu engkau musnahkan suatu umat yang selalu membaca tasbih."
 
Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2096.

Wednesday, May 15, 2013

Bersugi Setiap Kali Solat

Rabu, 5 Rejab 1434H: Diberitakan oleh Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah saw. bersabda: "Jikalau tidak memberati bagi umat ku, atau bagi manusia umumnya, nescaya ku suruh mereka mengosok gigi setiap kali akan solat
 
Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0478.

Tuesday, May 14, 2013

Menziarahi Kubur

Selasa, 4 Rejab 1434H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Pada suatu ketika, Rasulullah saw. ziarah ke kubur ibunya, lalu beliau menangis, maka menangis pulalah orang sekelilingnya.
 
Kemudian beliau bersabda: "Aku mohon izin kepada Tuhan ku untuk memintakan ampun bagi ibu ku, tetapi tidak diperkenankan-Nya.
 
Kemudian ku mohon izin untuk menziarahi kuburnya, maka diperkenankan-Nya bagi ku.
 
Kerana itu pergilah kalian ke kubur, kerana hal itu akan mengingatkan kalian kepada maut."
 
Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 0924.

Monday, May 13, 2013

Nabi SAW & Umatnya Menjadi Saksi Dihari KIamat.

Isnin,3 Rejab 1434H: Dari Abu Said Al Khudri ra., Rasulullah bersabda: Nabi Nuh dipanggil pada hari kiamat.
 
Beliau menjawab: "Ya, Tuhan!"
 
Tuhan berfirman: "Sudahkah engkau sampaikan ajaran agama?"
 
Beliau menjawab: "Ya, sudah".
 
Lalu ditanyakan kepada umatnya: "Adakah Nuh menyampaikan kepada kamu?"
 
Mereka menjawab: "Tiada datang kepada kami orang yang menyampaikan peringatan".
 
Ditanyakan kepada Nuh: "Siapakah yang jadi saksi engkau?"
 
Nuh menjawab: "'Nabi Muhammad dan umatnya".
 
Lalu mereka (umat Muhammad) menjadi saksi, bahawa sesungguhnya Nuh telah menyampaikan, dan Rasulullah jadi saksi terhadap kamu (umat).
 
Hal itu disebutkan dalam firman Tuhan: "Dan begitulah Kami jadikan kamu umat pertengahan (adil) supaya kamu menjadi saksi terhadap manusia dan Rasulullah menjadi saksi terhadap kamu". (Surat Al Baqarah, 143)
 
Hadis Sahih Bukhari Jilid 3. Hadis Nombor 1579.

Friday, May 10, 2013

Doa Rasulullah Untuk Pemerintah

Jumaat, 29 Jamadil Akhir 1434H: Dari 'Aisyah r.a., katanya: "Aku mendengar Rasulullah saw. mendoa di rumahku, katanya:
 
"Wahai, Allah! Siapa yang menjawat suatu jawatan dalam pemerintahan umat ku, lalu dia mempersulit urusan mereka, maka persulit pulalah dia, dan siapa yang menjawat suatu jawatan dalam pemerintahan umat ku, lalu dia berusaha menolong mereka, maka tolong pulalah dia."
 
Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 1795.

Wednesday, May 8, 2013

Hujan

Rabu, 27 Jamadil Akhir 1434H: Dari Ibnu 'Abbas r.a., katanya: "Pada suatu ketika di masa Nabi saw. pernah turun hujan. Maka bersabda Nabi saw., "Sebahagian manusia ada yang bangun pagi dalam keadaan syukur, iaitu orang-orang yang mengatakan, "Hujan ini rahmat Allah."
 
Dan ada pula yang kafir, iaitu mereka yang berkata, "Hujan ini kerana bintang ini dan itu."
 
Kata Ibnu 'Abbas, "Lalu diturunkan Allah ayat berikut: "Aku bersumpah dengan tempat turunnya bintang-bintang... sampai kepada ayat: "Sedangkan kebohongan kamu jadikan rezeki bagi kamu."(Al Waqi'ah: 75-82)

Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0059

Thursday, May 2, 2013

Islam Pasti Menang

Khamis,21 Jamadil Akhir 1434H : Dari Mu'awiyah r.a., dia mengatakan dalam pidatonya di atas mimbar bahawa dia mendengar Rasulullah saw. bersabda: "Sentiasa ada segolongan umat ku yang selalu berjuang menegakkan agama Allah Ta'ala. Mereka tidak akan celaka oleh orang-orang yang menghina atau menentang mereka sampai hari kiamat. Bahkan mereka tetap menang atas semua manusia."
Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 1873.

Tuesday, April 30, 2013

Pemerintah Yang Dilarang Masuk Syurga

Selasa, 19 Jamadil Akhir. Dari Ma'qil r.a. katanya: Saya akan menceritakan kepada engkau hadis yang saya dengar dari Rasulullah saw. dan saya telah mendengar beliau bersabda: "Seseorang yang telah ditugaskan Tuhan memerintahi rakyat, kalau dia tidak memimpin rakyat itu dengan jujur, nescaya dia tiada akan memperoleh bau syurga."

Dari Maaqil r.a. katanya: Saya akan menceritakan kepada engkau hadis yang saya dengar dari Rasulullah saw. dan beliau bersabda: "Seorang pembesar yang memerintahi rakyat kaum Muslimin, apabila pembesar itu mati, sedang dia tidak jujur terhadap rakyat, nescaya dia dilarang oleh Allah, masuk syurga."

Hadis Sahih Bukhari Jilid 4. Hadis Nombor 1899

Monday, April 29, 2013

Jangan Taati Jika Diperintah Melakukan Maksiat

Isnin, 18 Jamadil Akhir 1434H: Dari Ibnu 'Umar r.a., dari Nabi saw. sabdanya: "Setiap muslim wajib patuh dan setia terhadap pemerintah, disukai atau tidak disukainya, kecuali bila dia diperintah melakukan maksiat. Jika dia diperintah melakukan maksiat dia tidak perlu patuh dan setia."

Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 1806.

Friday, April 26, 2013

Wajib Taat Menegakkan Kebajikan

Jumaat, 15 Jamadil Akhir 1434H: Dari Ali bin Abi Thalib r.a., katanya: "Pada suatu ketika, Rasulullah saw. mengirim sepasukan tentera (ke medan perang) dan mengangkat seorang lelaki menjadi komandan mereka. (Sampai di suatu tempat), sang komandan menyalakan api (unggun) dan memerintahkan anak buahnya melompat ke dalam api unggun tersebut. Sebahagian anak buahnya telah siap hendak melompat ke dalam api tersebut, tetapi yang lain berkata, "Kita harus lari dari api itu." Peristiwa itu mereka laporkan kepada Rasulullah saw.
 
Maka beliau bersabda, "Seandainya kamu melompat ke dalam api itu, kamu akan sentiasa berada di dalamnya hingga hari kiamat nanti."
 
Kemudian beliau berkata pula kepada yang lain dengan lemah lembut, "Tidak wajib taat terhadap perintah untuk mendurhakai Allah. Taat itu hanya wajib dalam rangka menegakkan kebajikan."

Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 1807.

Thursday, April 25, 2013

Khalifah

Khamis, 14 Jamadil Akhir 1434H: Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi s.a.w., beliau bersabda: "Bani Israel itu dipimpin (diperintah) oleh Nabi-nabi. Setiap seorang Nabi mati, digantikan Nabi yang lain. Tetapi tidak ada Nabi sesudahku, dan akan ada Khalifah-khalifah. Mereka itu sampai banyak."
 
Sahabat-sahabatnya bertanya: "Maka apakah perintah tuan kepada kami?
 
Beliau bersabda: "Tepatilah baiah (perjanjian) yang pertama, kemudian yang berikutnya. Berikanlah hak mereka, sesungguhnya Tuhan akan menanyai mereka tentang pimpinan (pemerintahan) yang mereka jalankan".

Hadis Sahih Bukhari Jilid 3. Hadis Nombor 1506.

Wednesday, April 24, 2013

Tunjuklah Pengganti Khalifah

Rabu, 13 Jamadil Akhir 1434H; Dari Ibnu 'Umar r.a., katanya: "Aku hadir ketika bapaku ('Umar bin Khaththab) kena musibah ditikam orang. Para sahabat beliau yang hadir ketika itu memujinya.
 
Kata mereka, "Semoga Allah membalasi Anda dengan balasan yang baik."
 
Jawab 'Umar, "Aku penuh harap dan juga merasa cemas."
 
Kata mereka, "Tunjuklah pengganti Anda (untuk menjadi khalifah)!"
 
Jawab 'Umar, "Apakah aku arus memikul urusan pemerintahan waktu hidup dan matiku? Aku ingin tugasku sudah selesai, tidak kurang dan tidak lebih. Jika aku menunjuk penggantiku, memang orang yang lebih baik daripada ku yakni Abu Bakar Shiddiq - pernah menunjuk penggantinya. Tetapi jika aku membiarkan kamu memilih sendiri siapa yang akan menjadi khalifah, maka orang yang paling baik daripada ku, yakni Rasulullah saw. pernah membiarkan kamu memilih sendiri penggantinya menjadi khalifah."
 
Kata Abdullah. "Dengan ucapannya itu tahulah aku bahawa beliau tidak akan menunjuk penggantinya untuk menjadi khalifah."

Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 1790.

Tuesday, April 23, 2013

Patuh Kepada Rasulullah,Patuh Kepada Allah

Selasa, 12 Jamadilakhir 1434H: Dari Abu Hurairah r.a., Ia mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:
 
"Kita umat yang terakhir (di dunia) paling di muka (di akhirat). Siapa yang mematuhi perintah saya, bererti ia telah patuh kepada Tuhan.
 
Sebaliknya, siapa yang mendurhakai saya, sesungguhnya ia mendurhakai Tuhan.
 
Siapa yang mematuhi Amir (pembesar negeri), sesungguhnya ia telah mematuhi saya dan siapa yang mendurhakai Amir, sesungguhnya ia telah mendurhakai saya.
 
Dan sesungguhnya Imam itu dinding (pembela) terhadap rakyat yang dibelakangnya.
 
Jika rakyat itu diperangi musuh, Imam mempertahankannya.
 
Jikalau ia memerintahkan taqwa kepada Allah dan ia bersikap adil, maka kerana hal yang demikian itu, ia memperoleh pahala.
 
Sebaliknya kalau ia berkata (berbuat) bukan demikian, maka ia berdosa (dihukum).".

Hadis Sahih Bukhari Jilid 3. Hadis Nombor 1339.

Monday, April 22, 2013

Agama Itu Nasihat

Isnin, 11 Jamadil Akahir 1434H: Dari Tamim Ad Dariy, katanya Nabi saw. bersabda:
 
"Agama itu ialah nasihat."
 
Tanya kami: "Nasihat bagi siapa, ya Rasulullah?"
 
Jawab beliau, "Bagi Allah, bagi KitabNya, bagi RasulNya, bagi para pemimpin kaum muslimin, dan bagi orang ramai."
 
Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0043.

Friday, April 19, 2013

Apabila Ada Yang Memecah Belah

Jumaat, 8 Jamadil Akhir 1434H: Dari 'Arfajah r.a., katanya dia mendengar Rasulullah bersabda:
 
"Bila datang kepada mu seorang yang hendak mematahkan tongkatmu atau memecah belah persatuan kamu, padahal kamu bersatu di bawah satu pimpinan (yang baik), maka bunuhlah dia!"

Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 1818.

Thursday, April 18, 2013

Setia Mengharapkan Keuntungan Dunia

Khamis,7 Jamadil Akhir 1434H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda:
 
"Ada tiga golongan, di mana Allah tidak akan bercakap dengan mereka di hari kiamat, tidak menengok kepada mereka dan tidak membersihkan mereka daripada dosa, bahkan mereka mendapat seksa yang pedih:
 
(1) Orang yang mempunyai kelebihan air di tengah padang pasir, tetapi dia tidak mahu memberi orang yang kehausan dalam perjalanan;
 
(2) Orang yang menawarkan barang dagangannya dengan sumpah palsu sesudah 'Asar, dengan mengatakan modalnya sebegini atau sebegitu. Pembelinya percaya saja, padahal yang sebenarnya tidak begitu.
 
(3) Orang yang bersumpah setia kepada pemimpin untuk mengharapkan keuntungan dunia. Apabila dia beroleh keuntungan dipenuhinya janjinya, tetapi apabila tidak, tidak dipenuhinya.
 
Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0085.

Wednesday, April 17, 2013

Pemimpin Yang Terbaik & Yang Terburuk

Rabu, 6 Jamadil Akhir 1434H: Dari 'Auf bin Malik r.a., dari Rasulullah saw., katanya:
 
"Imam (pemimpin atau pembesar) yang terbaik ialah mereka yang mencintai mu dan kamu mencintai mereka; mereka mendoakan kamu dan kamu mendoakan mereka.
 
Imam yang paling buruk (jahat) ialah yang kamu benci dan mereka membenci mu; kamu mengutuk mereka dan mereka mengutuk mu."
 
Bertanya seseorang, "Ya, Rasulullah! Bolehkah kami menyingkirkannya dengan pedang?"
 
Jawab Rasulullah saw., "Tidak, selama mereka masih solat bersama-sama kamu. Apabila kamu lihat suatu tindakan (kebijaksanaan) yang tidak baik dari pembesar mu, proteslah tindakannya, dan jangan lepas tangan untuk tidak taat (terhadap tindakannya yang baik)."

Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 1821.

Tuesday, April 16, 2013

Pemimpin Yang Diharamkan Syurga

Selasa, 5 Jamadilakhir 1434H: Dari Al Hasan r.a., katanya:
 "Pada suatu hari, 'Ubaidullah bin Ziyad datang berkunjung ke rumah Ma'qil bin Yasar, ketika Ma'qil sedang sakit yang menyebabkan kematiannya.
 
Kata Ma'qil kepada 'Ubaidullah, "Akan ku sampaikan kepada Anda sebuah hadis yang ku dengar sendiri dari Rasullullah saw. Kalaulah aku yakin bahawa aku akan lama hidup, hadis itu belum akan ku sampaikan pada Anda.
 
Aku mendengar Rasulullah saw. bersabda: "Seorang hamba yang dipercayakan Allah memimpin rakyatnya, tetapi dia menipu rakyat, maka jika dia mati, Allah mengharamkan syurga baginya."

Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0114.

Friday, April 12, 2013

Pemimpin Bagaikan Perisai

Jumaat, 1 Jamadilakhir 1434H : Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi saw., sabdanya:
 
"Sesungguhnya Imam (pemimpin, pembesar, atau penguasa) itu adalah bagaikan perisai, di mana orang berperang memakai perisai dan menjaga diri dengannya.
 
Jika Imam memerintahkan supaya taqwa kepada Allah 'Azza wa Jalla dan berlaku adil, dia mendapat pahala kerananya, dan jika dia memerintahkan selain itu, maka dia mendapat seksa."

Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 1809.

Thursday, April 11, 2013

Apabila Masa Berubah

Khamis, 30 Jamadilawal 1434H: Dari 'Abdullah bin Mas'ud r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda:
 
"Tidak seorang pun di antara Nabi-nabi yang telah diutus Allah sebelumku, pasti di dalam umatnya terdapat golongan Hawariyun dan para sahabat yang terbina dengan pimpinannya serta patuh pada perintahnya.
 
Setelah berlalu beberapa masa, mereka digantikan oleh angkatan baru yang pandai berkata tetapi tidak berbuat, bahkan mengerjakan apa yang tidak diperintahkan kepada mereka.
 
Maka siapa yang berjuang menentang mereka dengan tangannya, itulah orang mukmin.
 
Dan siapa yang berjuang menentang mereka dengan lidahnya, dia juga mukmin, dan siapa yang menentang mereka dengan hatinya, dia itu orang mukmin.
 
Sesudah itu, tidak ada lagi iman walaupun agak seberat biji bayam."

Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0041.

Wednesday, April 10, 2013

Patuhilah Pemimpin

Rabu, 29 Jamadialawal 1434H : Diceritakan oleh Abu Tiyyah r.a., bahawa dia sesungguhnya mendengar dari Anas bin Malik, bahawa Nabi saw. bersabda kepada Abu Dzar, sabdanya:
 
"Dengarkan dan patuhilah (perintah pemimpin-pemimpin) walaupun dia seorang Habsyi yang kepalanya seperti kismis."

Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0394.

Tuesday, April 9, 2013

Islam Pasti Menang

Selasa, 28 Jamadilawal 1434H: Jabir bin Abdullah r.a. mendengar Nabi saw. bersabda :
Akan sentiasa ada hingga hari kiamat, segolongan umat ku yang berjuang menegakkan kebenaran dan mereka pasti menang."
 
Kata Nabi saw. selanjutnya, "Sementara itu Nabi Isa a.s. akan turun ke tengah-tengah umat. Lalu pemimpin-pemimpin mereka berkata kepadanya: Sudilah Anda solat dan menjadi pemimpin kami."
 
Jawab Nabi Isa a.s., "Tidak! Masing-masing kamu boleh menjadi pemimpin bagi yang lain, selaku suatu kehormatan yang dilimpahkan Allah kepada umat ini."

Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0128.

Monday, April 8, 2013

Setiap Kamu Adalah Pemimpin

Isnin, 27 Jamadilawal 1434H: Dari Ibnu 'Umar r.a., dari Nabi saw. sabdanya:
 
"Ketahuilah! Setiap kamu adalah penggembala (pemimpin), dan setiap kamu akan ditanya tentang gembalaanmu (kepemimpinan mu).
 
Seorang Amir (raja, penguasa, pembesar atau pemimpin) yang berkuasa terhadap rakyat, akan ditanya tentang kepemimpinannya.
 
Seorang lelaki adalah pemimpin atas keluarganya. Dia akan ditanya tentang kepemimpinannya.
 
Seorang wanita adalah pemimpin di rumah tangga suami dan anak-anaknya. Dia akan di tanya tentang kepemimpinannya.
 
Seorang hamba sahaya adalah pemimpin atas harta kekayaan majikannya yang dipercayakan kepadanya. Dia juga akan ditanya tentang kepemimpinannya.
 
Ketahuilah setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap kamu akan tanya tentang kepemimpinannya."

Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 1796.

Friday, April 5, 2013

Pemimpin Bertanggungjawab Atas Kepimimpinannya

Jumaat, 24 Jamadilawal 1434H: Abdullah bin Umar r.a. mengabarkan, bahawa Rasulullah saw. bersabda: "Setiap kamu adalah pemimpin. Dan setiap pemimpin bertanggung jawab atas kepemimpinannya.
 
Imam itu pemimpin dalam keluarganya, bertanggung jawab tentang kepemimpinannya.
 
Laki-laki itu pemimpin, bertanggung jawab tentang kepemimpinannya.
 
Wanita itu pemimpin dalam rumah tangganya, dan bertanggung jawab tentang kepemimpinannya.
 
Khadam itu pemimpin bagi harta majikannya, bertanggungjawab terhadap kepemimpinannya.
 
Kata Abdullah, agaknya Nabi saw. juga bersabda: "Laki-laki itu pemimpin bagi harta-benda ayahnya dan bertanggungjawab terhadap kepemimpinannya.
 
Kamu seluruhnya adalah pemimpin, bertanggungjawab atas kepemimpinannya."

Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0482.

Thursday, April 4, 2013

Mandi Jinabah (Junub)

Khamis, 23 Jamadilawal 1434H: Dari 'Abdullah bin Abu Qais r.a. katanya: "Aku bertanya kepada 'Aisyah r.a. tentang solat witir Rasulullah saw., lalu dia menjawab dengan menyebutkan hadis mengenai witir."
 
Kemudian aku bertanya pula, "Apakah yang dilakukan Nabi saw. dalam keadaan jinabah (junub); apakah beliau mandi sebelum tidur ataukah tidur lebih dahulu sebelum mandi?"
 
Jawab 'Aisyah r.a., "Kedua-duanya pernah dilakukan Nabi saw. Kadang-kadang beliau mandi lebih dahulu, sesudah itu baru beliau tidur. Kadang-kadang beliau wuduk lebih dahulu, lalu tidur."
 
Kataku, "Segala puji bagi Allah yang telah menjadikan segala urusan menjadi lapang."

Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0256.

Wednesday, April 3, 2013

Bencana Besar

Rabu, 22 Jamadilawal 1434H: Dari Hudzaifah r.a., katanya: "Pada suatu hari kami berada bersama-sama 'Umar bin Khaththab, lalu dia bertanya: "Siapakah di antara Anda semua yang pernah mendengar Rasulullah saw. membicarakan perihal fitnah (bencana"?")
 
Jawab hadirin, "Kami pernah mendengar."
 
Kata 'Umar, "Barangkali yang Anda maksudkan, bencana yang terjadi dalam keluarga atau tetangga seseorang."
 
Jawab mereka, "Ya, benar!"
 
Kata 'Umar, "Bencana yang demikian dapat dihapus dengan solat, puasa dan sedekah. Tetapi siapa di antara Anda sekalian yang pernah mendengar Nabi saw. berbicara mengenai bencana besar yang terjadi seperti gelombang laut?"
 
Kata Hudzaifah, "Orang banyak diam saja. Kerana itu aku berkata: "Aku pernah dengar!"
 
Kata 'Umar, "Bagus, silakan bicara!"
 
Kata Hudzaifah, "Aku mendengar Rasulullah saw. bersabda: "Fitnah membentang dalam lubuk hati manusia sedikit demi sedikit bagaikan tenunan sehelai tikar. Hati yang menerimanya akan mendapat berbintik hitam, sedangkan hati yang menolak fitnah itu akan tetap putih cemerlang selama langit dan bumi masih ada. Hati yang telah kena bercak hitam, lama-lama akan menjadi sangat hitam bagaikan belanga tertelungkup. Dia tidak lagi mengenal baik dan buruk, tetapi hanya mengikuti kehendak hawa nafsunya semata-mata."
 
Kata Hudzaifah melanjutkan, "Antara Anda dengan berkecamuknya bencana besar itu terdapat sebuah pintu yang terkunci rapat, namun dikhuatirkan pintu itu akan dipecahkan orang."
 
Tanya Umar, "Akan dipecahkan orang? Bagaimanakah kiranya kalau pintu itu dibuka saja, barangkali dapat ditutup kembali dengan baik."
 
Kata Hudzaifah, "Pintu itu ialah seorang pemimpin utama yang kemudian tewas dibunuh orang. Dan hadis ini bukanlah sekadar cerita dongeng belaka. "
 
Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0117.

Tuesday, April 2, 2013

Orang Islam Yang Paling Baik

Selasa, 21 Jamadilawal 1434H: Dari 'Abdullah bin 'Amr bin 'Ash r.a., katanya seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah saw., "Orang Islam yang bagaimanakah yang paling baik?"
 
Jawab Rasulullah saw., "Ialah orang-orang yang menjaga orang-orang Islam lainnya dari bencana lidah dan perbuatannya:'

Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0033.

Monday, April 1, 2013

Mohonlah Syurga Firdaus

Isnin,20 Jamadilawal 1434H: Dari Abu Hurairah r.a.. katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan RasulNya, mengerjakan solat, dan puasa dalam bulan Ramadan, adalah kewajiban Tuhan memasukkannya ke dalam syurga, baikpun ia berjihad dalam agama Allah atau tetap tinggal di negeri kelahirannya".
 
Orang banyak bertanya: "Apakah tidak baik tuan gembirakan manusia dengan yang demikian itu'!"
 
Beliau menjawab: "Sesungguhnya dalam syurga ada seratus darjat (tingkatan). Tuhan menyediakannya untuk orang-orang yang berjihad dalam agamaNya, jarak antara satu darjat dengan yang di atasnya bagai antara langit dan bumi. Jikalau kamu bermohon pada Tuhan, mohonkanlah beroleh Firdaus..Sesungguhnya Firdaus itulah yang paling baik dan paling tinggi darjatnya yang pernah diperlihatkan kepada saya. Di atasnya 'Arsy Tuhan, dan di situ mengalir sungai-sungai syurga".

Hadis Sahih Bukhari Jilid 3. Hadis Nombor 1270.

Friday, March 29, 2013

Perlukah Menjawab Salam Ketika Sedang Solat?

Jumaat, 17 Jamadilawal 1434H: Dari Abdullah r.a.. katanya:
"Kami memberi salam kepada Rasulullah saw. ketika beliau sedang solat, lalu beliau menjawab salam kami itu.
Tetapi tatkala kami kembali dari Raja Najasyi, kami memberi salam pula kepada beliau ketika beliau sedang solat. Beliau tidak menjawab salam kami itu.
Lalu kami tanyakan kepada beliau, "Dahulu kami memberi salam kepada anda ketika anda sedang solat, anda menjawab salam kami. Tetapi sekarang kenapa tidak?"
Jawab beliau, "Sesungguhnya dalam solat harus ada suatu kesibukan yang sungguh-sungguh (khusyu')."
Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0493.

Thursday, March 28, 2013

Setiap Amal Ada Kelebihannya

Khamis, 16 Jamadilawal 1434H : Dari Abu Malik Al Asy'ari r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Kebersihan itu sebahagian dari iman.
Membaca 'Alhamdulillah' pahalanya sepenuh timbangan.
Membaca 'Subhanallah wal hamdulillah', pahalanya sepenuh ruang antara langit dan bumi.
Solat itu cahaya,
Sedekah itu adalah bukti sabar,
Quran itu adalah sinar akan menjadi hujah (alasan) bagi mu atau alasan yang ditujukan kepada mu.
Setiap orang pagi-pagi menjual dirinya, ada yang menyelamatkannya dan ada pula yang membinasakannya."
 
Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0174.

Wednesday, March 27, 2013

Jihad dan Niat Yang Soleh

Rabu, 15 Jamadilawal 1434H: Dari 'Aisyah r.a., katanya Rasulullah saw. ditanya orang mengenai hijrah. Maka bersabda Rasulullah saw., "Tidak ada lagi hijrah sesudah penaklukan Mekah. Yang ada ialah Jihad dan Niat yang soleh. Apabila kamu diperintahkan berjihad (berjuang atau berperang) maka patuhilah!"

Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 1824.

Tuesday, March 26, 2013

Bersaudara Sebagai Hamba-Hamba Allah

Selasa, 14 Jamadilawal 1434H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda:
 
"Hindarilah prasangka, kerana prasangka itu berita yang paling bohong.
 
Jangan saling mencari-cari keburukan orang.
 
Jangan saling mengorek rahsia orang dan saling menyaingi.
 
Jangan saling mendengki.
 
Jangan saling marah dan jangan saling tak acuh.
 
Tetapi jadilah kamu semua bersaudara sebagai hamba-hamba Allah."

Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2191.

Thursday, March 21, 2013

Jihad Fi Sabilillah

Khamis, 9 Jamadilawal 1434H : Dari Abu Sa'id Al Khudri r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Hai, Abu Sa'id! Siapa yang rela Allah menjadi Tuhannya, Muhammad menjadi Nabinya, dan Islam menjadi agamanya, dia wajib masuk syurga."
 
Abu Sa'id kagum mendengar sabda Nabi saw. tersebut, lalu dia meminta supaya Nabi mengulang sabdanya itu. Maka diulang oleh beliau.
 
Kemudian bersabda pula beliau, "Ada lagi yang lain. Iaitu seorang hamba dinaikkan darjatnya seratus darjat di syurga. Jarak antara dua darjat seperti jarak antara langit dan bumi."
 
Tanya, "Apa itu, ya Rasulullah?"
 
Jawab beliau. "Jihad fi sabilillah! Jihad fi sabilillah! (berjuang atau berperang menegakkan agama Allah!)"

Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 1840.

Wednesday, March 20, 2013

Ragu Dalam Rakaat Solat

Rabu, 8 jamadilawal 1434H: Dari Abu Sa'id Al Khudri r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda : "Apabila kamu ragu dalam solat apakah baru tiga ataukah sudah empat rakaat, maka buanglah keraguan dan ambillah yang pasti (iaitu yang sedikit, dalam hal ini tiga).

Kemudian sujudlah dua kali sebelum memberi salam.

Jika ternyata dia solat lima rakaat, maka solatnya telah genap.

Dan ternyata solatnya memang empat rakaat, maka kedua sujudnya itu adalah sebagai penghinaan bagi syaitan."

Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0525.

Tuesday, March 19, 2013

Dosa Menghina Sesama Muslim

Selasa, 7 Jamadilawal 1434H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Seorang muslim adalah saudara bagi sesama muslim. Kerana itu janganlah menganiayanya, jangan membiarkannya teraniaya, dan jangan menghinanya.
 
"Taqwa tempatnya di sini! Sambil beliau menunjuk ke dadanya tiga kali.
 
"Alangkah besar dosanya menghina saudaranya sesama muslim. Setiap muslim haram menumpahkan darah saudaranya sesama muslim. Haram merampas hartanya, dan haram mencemarkan kehormatan atau nama baiknya."

Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2193.

Friday, March 15, 2013

Kelebihan Hari Jumaat

Jumaat, 3 Jamadiulawal 1434H: Salman Al Farisi r.a. mengkhabarkan, bahawa Nabi saw. bersabda: "Siapa yang mandi pada hari Jumaat,
 
kemudian dia membersihkan tubuhnya sedapat-dapatnya,
 
setelah itu dia memakai harum-haruman,
 
kemudian pergi ke Jumaat,
 
tidak memisahkan dua orang (yang duduk berdekatan),
 
kemudian solat sebanyak mungkin, dan
 
diam apabila imam telah berkhutbah,
 
nescaya diampuni Allah dosanya semenjak itu sampai Jumaat yang akan datang."

Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0476.

Wednesday, March 13, 2013

Doa Sahabat Nabi, Marwan

Rabu, 1 Jamadilawal 1434H: Dari Hisyam Ibnu 'Urwah r.a., dari bapanya katanya: "Bahwasanya Arwa binti Uwais mendakwa Sa'id bin Zaid, bahawa Sa'id mengambil sebahagian tanahnya. Lalu diadukannya kepada Marwan bin Hakam (penguasa ketika itu).
Maka kata Sa'id, "Mungkinkah aku mengambil tanahnya sesudah ku dengar Rasulullah saw. bersabda?"
Tanya Marwan, "Apa yang telah engkau dengar dari Rasulullah saw"?"
Jawab Sa'id, "Aku mendengar beliau bersabda: "Siapa mengambil tanah orang lain dengan cara paksa (zalim), walaupun hanya sejengkal, kelak di hari kiamat dikalungkan kepadanya tujuh lapis bumi."
Kata Marwan, "Aku tidak minta keterangan darimu selain ini."
Lalu Sa'id mendoa, "Allahumma in kanat kadzibatan, fa 'ammi basharaha wa qtulha fi ardhiha."
Kata Sa'id, "Memang, tidak berapa lama kemudian, wanita itu buta. Setelah itu, ketika ia sedang berjalan di pekarangannya, dia terjatuh ke dalam sebuah lubang lalu dia mati di situ."

Hadis Sahih Muslim Jilid 3. Hadis Nombor 1583.

Tuesday, March 12, 2013

Ibumu

Selasa, 29 Rabiulakhir 1434H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya : "Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah saw., "Ya, Rasulullah, siapakah dari keluargaku yang paling berhak dengan kebaktianku yang terindah?"
 
Jawab beliau, "Ibumu! Kemudian ibumu, kemudian ibumu, kemudian bapamu, kemudian yang terdekat kepada mu, yang terdekat."

Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2178.

Monday, March 11, 2013

Al Kautsar

Isnin, 28 Rabiulakhir 1434H: Dari Anas r.a., katanya: "Pada suatu hari, ketika kami bersama-sama dengan Rasulullah saw., tiba-tiba beliau tertidur sebentar. Kemudian beliau mengangkat kepalanya sambil tersenyum. Kerana itu kami bertanya, "Mengapa anda tersenyum, ya, Rasulullah?"
 
Jawab beliau, "Sebentar ini turun kepada ku sebuah surah." Lalu dibacakan oleh beliau: "Bismillahirrahmanirrahim. Inna a'thainakal Kautsar. Fashalli librabbika wanhar. Inna syaniaka huwal abtar." (Al Kautsar: 1-3). (Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Sesungguhnya Kami telah memberikan kepada mu nikmat yang banyak. Maka tegakkanlah solat kerana Tuhan mu, dan berkorbanlah. Sesungguhnya musuh-musuh mu akan habis binasa).
 
Kemudian beliau bertanya, "Tahukah anda sekalian apakah Kautsar itu?"
 
Jawab kami, "Allah dan Rasul-Nya yang lebih tahu."
 
Sabda beliau, "Kautsar itu ialah sebuah sungai yang dijanjikan Allah 'Azza wa Jalla bagi ku. Sungai itu melimpahkan banyak kebaikan. Dia merupakan telaga, di mana umat ku akan datang ke situ kelak di hari kiamat. Bejananya sebanyak bintang di langit."
 
Tiba-tiba dikeluarkan seseorang di antara mereka. Lalu kataku, "Wahai, Tuhan ku! Orang itu adalah umatku."
 
Jawab Allah Ta'ala, "Engkau tidak tahu apa yang telah diperbuatnya sepeninggal mu."

Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0356.

Friday, March 8, 2013

Doa Rasulullah SAW

Jumaat, 25 Rabiulakhir 1434H: Dari Abu Hurairah ra. katanya: "Bahawasanya Nabi saw. sering mendoa minta perlindungan kepada Allah Taala dari suratan takdir yang buruk, dari mendapat celaka, dari kegembiraan musuh (kerana penderitaan beliau), dan dari tekanan cubaan."

Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2330

Thursday, March 7, 2013

Rahmat & Seksa

Khamis, 24 Rabiulakhir 1434H: Dari Abu Musa ra,. dari Nabi saw, sabdanya. "Sesungguhnya apabila Allah Azza wa Jalla hendak memberikan rahmat kepada suatu umat di antara hamba-hamba-Nya. Dia mematikan nabinya lebih dahulu maka jadilah nabi itu sebagai perintis dan pendahulu mempersiapkan keperluan umat itu,
 
Dan apabila Allah hendak membinasakan suatu umat diseksa-Nya umat itu, sedangkan nabinya masih hidup. Lalu umat itu binasa disaksikan nabinya dengan mata kepalanya, ketika mereka mendustakan dan mengingkari perintahnya."
 
Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2130.

Wednesday, March 6, 2013

Bukan Umatku

Rabu, 23 Rabiulakhir 1434H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Siapa yang tidak mematuhi Imam dan memencil dari jemaah, lalu dia mati, maka matinya seperti mati jahiliyah.
 
Siapa yang mati terbunuh di bawah bendera kefanatikan, bermusuhan, dan berperang kerana fanatik kesukuan(kebangsaan), dia bukanlah umat ku.
 
Dan siapa keluar dari umat ku lalu menyerang umat ku, membunuh orang-orang baik dan orang-orang jahat tanpa mempedulikan apakah dia orang mukmin atau tidak, dan tanpa mengindahkan janji yang telah dibuatnya, orang itu juga bukan umatku."

Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 1815.

Tuesday, March 5, 2013

Dua Doa Rasulullah Untuk Umat

Selasa, 22 Rabiulakhir 1434H: Dari Tsauban r.a. katanya Rasulullah saw. bersabda, "Sesungguhnya Allah Ta'ala telah memperlihatkan kepada ku (peta) bumi secara keseluruhan, sehingga aku dapat melihat bumi sebelah Timur dan Barat.
 
Dan sesungguhnya kekuasaan ummat ku akan sampai ke seluruh tempat yang telah diperlihatkan Allah Ta'ala kepada ku.
 
Kepada ku diberikan dua macam perbendaharaan, iaitu merah dan putih.
 
Aku memohon kepada Tuhan untuk membantu ummat ku, agar mereka tidak dibinasakan dengan musim susah yang panjang, dan agar mereka tidak dijajah oleh kekuasaan asing selain oleh mereka sendiri, sehingga kekuasaan mereka menjadi hancur luluh.
 
Tuhan ku berfirman, "Ya, Muhammad! Apabila Aku telah memutuskan suatu putusan, maka putusanKu tidak dapat diubah lagi. Aku memperkenankan doa mu untuk umat mu, bahawa mereka tidak akan binasa dengan musim susah yang panjang.
 
Dan bahawa Aku tidak akan menjajahkan kepada mereka suatu kekuatan musuh selain diri mereka sehingga kekuatan mereka hancur luluh, sekalipun musuh-musuh mereka bersatu mengelilingi, kecuali bila sebahagian mereka membinasakan yang sebahagian dan mereka saling tawan-menawan."

Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2463.

Thursday, February 28, 2013

Nikmat Syurga Yang Teristimewa

Khamis, 17 Rabiulakhir 1434H: Dari Abu Sa'id Al Khudri r.a. katanya Nabi saw. bersabda: "Allah Ta'ala berfirman kepada penduduk syurga.
 
"Hai penduduk syurga!"
 
Maka menjawab penduduk syurga. "Kami siap memenuhi panggilan dan perintah-Mu, wahai Tuhan kami. Segala kebaikan berada di tangan Engkau."
 
Lalu bertanya Allah Ta'ala, "Adakah kamu merasa puas?"
 
Jawab mereka, "Bagaimana kami tidak akan puas, bukankah Engkau telah memberi kami segala kenikmatan yang belum pernah Engkau berikan kepada makhluk lain?"
 
Tanya, "Mahukah kalian Aku beri nikmat yang lebih istimewa dari itu?"
 
Jawab mereka, "Wahai Tuhan, nikmat apa pulakah yang lebih istimewa dari itu?"
 
Jawab Allah Ta'ala, "Akan Ku curahkan kepada mu keredhaan-Ku, di mana Aku tidak akan pernah marah kepada mu sesudah itu untuk selama-lamanya."
 
Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2421.

Wednesday, February 27, 2013

Bersedekahlah, Hai Kaum Wanita!

Rabu, 16 Rabiulakhir 1434H: Dari Zainab r.a., isteri 'Abdullah, katanya Rasulullah saw. bersabda : "Bersedekahlah, hai kaum wanita! Bersedekahlah, sekalipun dengan perhiasanmu!"
 
'Kata Zainab, "Mendengar sabda Rasulullah saw. tersebut, lalu aku pulang menemui 'Abdullah - suamiku seraya aku berkata kepadanya: "Anda seorang lelaki yang cepat kaki ringan tangan. Rasulullah saw. memerintahkan kepada kami kaum wanita, supaya kami bersedekah. Cubalah datangi beliau, tanyakan kepada beliau, apakah sudah cukup memadai sedekahku kepada keluarga? Jika tidak memadai, akan ku alihkan kepada orang lain."
 
Jawab 'Abdullah, "Sebaiknya engkau sajalah yang mendatangi beliau."
 
"Maka pergilah aku." kata Zainab. "Di sana, di pintu rumah Rasulullah saw., ku dapati seorang wanita Ansar yang bermaksud sama dengan ku. Sebagaimana biasa, orang-orang yang ingin bertemu dengan Rasulullah saw, selalu diliputi rasa gentar. Kebetulan Bilal keluar mendapatkan kami.
 
Kata kami kepada Bilal, "Tolonglah kami menyampaikan kepada Rasulullah saw., bahawa dua orang wanita sedang berdiri di pintu hendak bertanya : Apakah cukup memadai jikalau kami keduanya bersedekah kepada suami kami masing-masing dan kepada anak-anak yatim yang berada dalam pemeliharaan kami? Dan sekali-kali janganlah beliau diberitahu siapa kami."
 
Maka masuklah Bilal menanyakan kepada Rasulullah saw. pertanyaan mereka itu. Tetapi Rasulullah saw. balik bertanya, "Siapa kedua wanita itu?"
 
Jawab Bilal, "Seorang wanita Ansar bersama-sama dengan Zainab." "Zainab yang mana?" tanya Rasulullah lagi.
 
Jawab Bilal, "Isteri 'Abdullah,"
 
Sabda Rasulullah saw., "Masing-masing mereka mendapat dua pahala. Iaitu pahala kerana karib kerabat dan pahala kerana sedekah."
 
Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 0953.

Tuesday, February 26, 2013

Syirik & Seksa Kubur

Selasa, 15 Rabiulakhir 1434H: Dari Zaid bin Tsabit r.a. katanya: "Ketika Nabi saw. berada di sebidang kebun Bani Najjar mengenderai keldai, kami ada bersama-sama beliau. Tiba-tiba keldai itu membelok sehingga beliau hampir jatuh. Kiranya di sana terdapat empat atau enam kubur.
 
Tanya beliau, "Siapakah di antara kalian yang tahu, kubur-kubur ini milik siapa?"
 
Seorang lelaki berkata: "Aku!"
 
Tanya Nabi saw., "Bila mereka meninggal?"
 
Jawab, "Mereka mati dalam syirik."
 
Sabda Rasulullah saw., "Mereka sedang diseksa dalam kubur. Seandainya aku tidak khuatir yang kamu semua akan takut menguburkan mayat, akan ku mohon kepada Allah Ta'ala supaya Dia memperdengarkan kepada mu sekalian bagaimana dahsyatnya seksa kubur seperti yang terdengar olehku."
 
Kemudian beliau hadapkan mukanya kepada kami seraya bersabda, "Berlindunglah kamu dengan Allah dari seksa neraka!"
 
Kata para sahabat, "Kami berlindung dengan Allah dari seksa neraka."
 
Sabda beliau, "Berlindunglah kamu semua dengan Allah dari seksa kubur!"
 
Kata para sahabat, "Kami berlindung dengan Allah dari seksa kubur."
 
Sabda beliau, "Berlindunglah kamu semua dengan Allah dari fitnah, baik yang nyata mahupun yang tersembunyi."
 
Kata para sahabat, "Kami berlindung dengan Allah dari fitnah, baik yang nyata mahupun yang tersembunyi."
 
Sabda beliau, "Berlindunglah kamu semua dari fitnah (bencana) Dajjal!"
 
Kata para sahabat, "Kami berlindung dengan Allah dari fitnah Dajjal."
 
Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2444.

Monday, February 25, 2013

Pintu Taubat Sentiasa Terbuka

Isnin, 14 Rabiulakhir 1434H: Dari Abu Sa'id Al Khudri r.a., bahawasanya Nabi saw. bersabda: "Zaman dahulu ada seorang pembunuh yang telah membunuh korbannya sembilan puluh sembilan orang. Lalu dia bertanya kepada penduduk negeri, "Siapa ulama yang paling alim di negeri ini?"
 
Maka ditunjukkan orang seorang rahib (pendeta Yahudi). Lalu didatangi rahib itu seraya mengatakan bahawa dia telah membunuh sembilan puluh sembilan orang. Kemudian dia bertanya apakah pintu taubat masih terbuka baginya atau tidak? Jawab Rahib: "Tidak!" Maka dibunuhnya rahib itu, dan genaplah korban pembunuhannya seratus orang.
 
Kemudian dia bertanya pula kepada penduduk; "Siapa ulama di negeri ini?" Maka ditunjukkan orang kepadanya seorang ulama yang alim. Dia menceritakan kepada orang alim itu bahawa dia telah membunuh korbannya seratus orang. Kemudian bertanya apakah pintu taubat masih terbuka baginya atau tidak? Jawab ulama, "Ya, sudah tentu. Pintu taubat selamanya tidak pernah tertutup. Siapa yang sanggup menutup pintu taubat bagi Anda. Pergilah Anda ke negeri Anu, kerana di sana penduduknya menyembah Allah. Sembahlah Allah bersama-sama dengan mereka dan jangan kembali lagi ke negeri Anda, kerana negeri Anda telah rosak."
 
Maka pergilah orang itu ke negeri yang ditunjuk sang ulama. Setengah perjalanan tiba-tiba orang itu meninggal.
 
Maka bertengkarlah malaikat rahmat dengan malaikat 'adzab. Kata malaikat rahmat, "Orang ini telah taubat dan dia sedang menghadap dengan hati yang taubat itu kepada Allah Ta'ala."
 
Kata malaikat 'adzab, "Dia belum pernah melakukan kebaikan sedikit jua pun." Tiba-tiba datang seorang malaikat dengan rupa manusia, lalu dia berdiri di tengah-tengah mereka seraya berkata, "Ukurlah jarak kedua negeri itu, ke mana yang lebih dekat bawalah dia ke situ." Setelah diukur ternyata yang lebih dekat ialah negeri yang di tujunya. Maka dibawalah dia oleh malaikat rahmat."
 
Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2372.

Friday, February 22, 2013

Mati Jahiliyah

Jumaat, 11 Rabiulakhir 1434H: Dari Ibnu 'Abbas r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Siapa melihat Amir (pembesar negeri) melakukan suatu tindakan yang tidak disukainya hendaklah dia bersabar, kerana siapa memisahkan diri dari jemaah walaupun hanya sejengkal, lalu dia mati, maka matinya sama dengan mati jahiliyah."

Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 1816.

Thursday, February 21, 2013

Satu Masa Kelak..

Khamis, 10 Rabiulakhir 1434H : Dari Abu Musa r.a., dari Nabi saw., sabdanya: "Kelak akan datang suatu masa, di mana seorang lelaki berkeliling membawa emas untuk disedekahkannya, tetapi dia tidak mendapatkan orang yang bersedia menerima sedekahnya itu.
Akan terjadi pula kelak, seorang lelaki di ekori oleh empat puluh orang wanita yang kesemuanya menginginkan lelaki itu untuk menjadi suaminya. Hal itu akan terjadi, kerana jumlah lelaki jauh lebih sedikit daripada perempuan. "

Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 0965.

Wednesday, February 20, 2013

Bagaikan Hujan Jatuh Ke Bumi

Rabu, 9 Rabiulakhir 1434H: Dari Abu Musa ra., dari Nabi saw. sabdanya: "Perumpamaan agama yang aku diutus Allah 'Azza wa lalla dengannya iaitu berupa petunjuk dan ilmu. ialah bagaikan hujan yang jatuh ke bumi.
 
Di antaranya ada yang jatuh ke tanah subur yang dapat menyerap air maka tumbuhlah padang rumput yang subur.
 
Di antaranya pula ada yang jatuh ke tanah keras sehingga air tergenang kerananya. Lalu air itu dimanfaatkan orang banyak untuk minum, menyiram kebun dan berternak.
 
Dan ada pula yang jatuh ke tanah tandus, tidak menggenangkan air dan tidak pula menumbuhkan tumbuh-tumbuhan.
 
Seperti itulah perumpamaan orang yang mempelajari agama Allah dan mengambil manfaat daripadanya, belajar dan mengajarkan, dan perumpamaan orang yang tidak mahu tahu dan tidak menerima petunjuk Allah yang aku diutus dengannya."
 
Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2127.

Tuesday, February 19, 2013

Kafir Kepada Suami

Selasa, 8 Rabiulakhir 1434H: Ibnu Abbas r.a. memberitakan, bahawa orang banyak berkata kepada Rasulullah saw.: "Kami melihat anda seolah-olah anda mengambil sesuatu di tempat anda, sesudah itu kami lihat pula anda undur."
 
Jawab Nabi saw., "Aku melihat syurga, lalu aku ingin memetik buah-buahannya. Kalaulah buah-buahan itu dapat ku petik, sesungguhnya dapat untuk makanmu seumur dunia. Dan diperlihatkan pula kepada ku neraka. Belum pernah aku menyaksikan pemandangan yang sangat mengerikan seperti hari ini. Ku lihat kebanyakan isinya kaum wanita."
 
Tanya mereka, "Kenapa begitu ya, Rasulullah?"
 
Jawab beliau., "Kerana kekafiran mereka!"
 
Tanya mereka, "Apakah mereka kafir kepada Allah?"
 
Jawab Nabi saw., "Mereka kafir terhadap teman hidup (suami) mereka dan terhadap kebaikan yang dia terima daripadanya. Sekalipun engkau telah berbuat baik kepada mereka sepanjang masa, kemudian dia melihat sesuatu kesalahan daripadamu, lantas ia berkata: "Saya tidak pernah sedikit pun melihat kebaikan daripadamu."

Hadis Sahih Bukhari Jilid 2. Hadis Nombor 0552

Monday, February 18, 2013

Islam Lebih DiCintai

Isnin, 7 Rabiulakhir 1434H: Dari Anas r.a., katanya: "Ada seorang lelaki meminta kambing kepada Nabi saw. sepenuh lembah antara dua bukit, lalu diberi oleh beliau.
 
Kemudian orang itu datang kepada kaumnya seraya berkata. "Hai, kaumku! Islamlah kalian semuanya! Demi Allah, sesungguhnya Muhammad telah memberi ku suatu pemberian yang banyak sekali tanpa dia takut miskin."
 
Maka berkata Anas, "Jika ada seseorang masuk Islam kerana menginginkan harta dunia, dia itu bukan Islam, sehingga Islam itu sendiri lebih dicintainya daripada harta benda dunia dan segala yang ada di atasnya."

Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2142.

Friday, February 15, 2013

Pekerjaan Itu Dinilai Menurut Akhirnya

Jumaat,4 Rabiul Akhir 1434H:  Dari Sahal r.a., bahawa ada seorang laki-laki yang paling cukup keberaniannya mempertahankan kaum Muslimin dalam suatu peperangan bersama dengan Nabi saw. Lalu beliau memperhatikan laki-laki itu dan berkata: "Siapa yang ingin hendak memperhatikan seorang isi neraka, hendaklah diperhatikannya orang: Ini!"
 
Lalu ada seorang di antara orang banyak mengikuti laki-laki itu, sedang dia ketika itu masih termasuk seorang yang amat berani melawan kaum musyrik. Akhirnya dia luka dan ingin hendak cepat mati. Maka diletakkannya ujung pedangnya antara dua susunya sehingga pedang itu keluar (tembus) di antara kedua bidang bahunya.
 
Orang yang mengikuti laki-laki yang bunuh diri itu segera datang menemui Rasulullah saw. dan mengucapkan: "Saya mengakui bahawa anda sebenarnya Utusan Allah."
 
Nabi bertanya: "Mengapa begitu?"
 
Jawabnya: "Anda mengatakan kepada si Anu, bahawa siapa yang ingin hendak memperhatikan seorang isi neraka, maka hendaklah memperhatikan orang itu, padahal dia termasuk orang ya ng paling berani membela kaum Muslimin. Kerana itu, saya merasa, bahawa dia tidak akan mati dalam keadaan serupa itu. Setelah menderita luka, dia ingin cepat mati, lalu dibunuhnya dirinya."
 
Ketika itu Nabi bersabda: "Sesungguhnya ada seorang yang mengerjakan pekerjaan isi neraka, pada hal dia termasuk isi syurga. Dan ada pula yang mengerjakan pekerjaan isi syurga, padahal dia termasuk isi neraka. Sesungguhnya pekerjaan itu dinilai menurut akhirnya."

Hadis Sahih Bukhari Jilid 4. Hadis Nombor 1782.

Thursday, February 14, 2013

Bayi Pertama Lahir Dalam Islam

Khamis,3 Rabiul Akhir 1434H - Dari Asma' (binti Abu Bakar Shiddiq) r.a. katanya: "Ketika dia mengandung anaknya 'Abdullah bia Zubair, dia masih berada di Mekah. Kemudian dia hijrah ke Madinah, padahal dia sudah hamil tua. Sesampainya di Quba' dia melahirkan. Lalu dia membawa anaknya kepada Rasulullah dan meletakkannya di pangkuan beliau. Rasulullah meminta kurma sebuah lalu dikunyahnya. Sesudah itu, disuapkannya ke mulut bayi tersebut. Itulah makanan yang pertama-tama masuk ke mulut bayi itu, kurma yang telah bercampur dengan air ludah beliau. Kemudian Nabi saw. mendoakan berkat baginya. Itulah bayi yang pertama-tama lahir dalam Islam."

Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2013.

Thursday, January 31, 2013

Wuduk Menghapuskan Dosa

Khamis,19 Rabiulawal 1434H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya, Rasulullah saw., bersabda: "Apabila seseorang muslim atau mukmin berwuduk, maka ketika dia mencuci muka hilanglah segala dosa matanya hanyut bersama air hingga titis yang penghabisan.
 
Apabila dia mencuci tangan, maka hilang pulalah segala dosa yang diperbuat tangannya, hanyut bersama air hingga titis yang terakhir.
 
Apabila dia mencuci kaki, hapus pulalah dosa-dosa yang dilakukan kakinya, hanyut bersama air hingga titis yang terakhir.
 
Sehingga akhirnya dia bersih dari segala dosa."
 
Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0190.

Wednesday, January 30, 2013

Ganjaran Berterusan

Rabu, 18 Rabiulawal 1434H: Dari Abu Musa r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Jikalau seseorang sakit atau berpergian, dituliskan untuknya serupa dengan apa yang dikerjakannya di waktu ia menetap dan sihat".
 
Hadis Sahih Bukhari Jilid 3. Hadis Nombor 135

Tuesday, January 29, 2013

Satu Bahagian Rahmat Allah

Selasa, 17 Rabiulawal 1434H :Dari Abu Hurairah r.a. katanya dia mendengar Rasulullah saw. bersabda: "Allah Ta'ala menjadikan sifat rahmat seratus bahagian (peratus). Maka dipeganglah di sisi-Nya sembilan puluh sembilan bahagian dan diturunkanNya satu bahagian ke bumi. Maka dengan yang satu bahagian inilah seluruh makhluk berkasih-sayang sesamanya, sehingga seekor haiwan mengangkat kakinya kerana takut anaknya akan terpijak olehnya."
 
Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2366.

Friday, January 25, 2013

Kenikmatan Untuk Yang Soleh

Jumaat, 13 Rabiulawal 1434H :Dari Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah saw. bersabda bahawa Allah Ta'ala telah berfirman: "Ku sediakan bagi hamba-hamba-Ku yang soleh segala kenikmatan yang belum pernah dilihat mata, belum pernah didengar telinga, bahkan belum pernah tergambar dalam hati sanubari manusia.
 
Sesuai dengan firman Allah Ta'ala di dalam Kitab-Nya yang mulia, "Tidak seorang pun yang mengetahui apa yang disembunyikan untuk mereka (iaitu segala macam kenikmatan) yang menyedapkan pandangan mata sebagai balasan terhadap apa yang telah mereka kerjakan. " (As Sajdah, 32: 17)
 
Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2419

Wednesday, January 23, 2013

Zalim dan Bakhil

Rabu, 11 Rabiulawal 1434H: Dari Jabir bin 'Abdullah r.a. katanya Rasulullah saw. bersabda : 'Takutlah kamu akan berbuat zalim. Kerana perbuatan zalim itu menyebabkan kegelapan kelak di hari kiamat.

Dan takutlah kamu akan berlaku bakhil. Kerana berlaku bakhil itu telah membinasakan orang-orang yang sebelum kamu kerana telah menyebabkan mereka saling menumpahkan darah dan menyebabkan mereka melanggar larangan (segala yang diharamkan) Allah:'

Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2209.

Tuesday, January 22, 2013

Adab Bertamu

Selasa, 10 Rabiulawal 1434H: Dari Anas r.a., katanya: "Ketika Nabi saw. kahwin dengan Zainab, Ummu Sulaim memberikan sebuah kuih dalam mangkuk batu kepada beliau. Maka bersabda Rasulullah saw. kepada Anas, "Undang ke sini atas namaku siapa saja umat Islam yang berjumpa denganmu!"
 
Maka ku undanglah siapa saja yang berjumpa dengan ku, sehingga tidak ada yang ketinggalan. Mereka datang ke rumah Nabi, keluar masuk bergantian. Nabi saw. meletakkan tangannya di atas makanan, lalu beliau doakan makanan itu seperti yang diajarkan Allah swt. kepada beliau. Para tamu makan semuanya sampai kenyang, dan setelah itu mereka pergi.
 
Kecuali beberapa orang di antara mereka masih tetap bercakap-cakap dan memanjang-manjangkan percakapan mereka. Nabi saw. malu akan menegur mereka, lalu beliau keluar dan meninggalkan mereka dalam rumah.
 
Kerana itu Allah 'Azza wa Jalla menurunkan ayat: "Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke rumah Nabi, kecuali bila kamu telah disilakan untuk makan, tanpa menunggu-nunggu makanan terhidang." (Al Ahzab : 53).
 
Hadis Sahih Muslim Jilid 3. Hadis Nombor 1358.

Monday, January 21, 2013

Sedekah Paling Besar Pahalanya

Isnin, 9 Rabiulawal 1434H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya seorang laki-laki datang kepada Nabi saw. bertanya: "Ya, Rasulullah! Sedekah yang bagaimanakah yang paling besar pahalanya?"
 
 Jawab Nabi, "Yaitu sedekah yang engkau berikan waktu sihat, kikir takut miskin, dan mengangan-angankan kaya. Waktu itu janganlah engkau janjikan, sehingga waktu nyawa hampir keluar dari badan, engkau berkata: Untuk si Polan sekian, dan untuk si Polan sekian. Sedangkan harta itu sebetulnya untuk si Polan."

Hadis Sahih Bukhari Jilid 2. Hadis Nombor 0729.

Wednesday, January 16, 2013

Mati Syahid

Rabu,4 Rabiulawal 1434H: Dari Sahal bin Abu Umamah bin Sahal bin Hunaif, dari bapanya, dari kakaknya, katanya Nabi saw. bersabda: "Siapa yang memohon kepada Allah dengan sungguh-sungguh hendak mati syahid, maka Allah menaikkannya ke tingkatan para syuhada sekalipun kenyataannya dia mati biasa di tempat tidur."

Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 1863.

Tuesday, January 15, 2013

Baik & Buruk Islamnya

Selasa, 3 Rabiulawal 1434H: Dari 'Abdullah r.a., katanya: "Orang banyak bertanya kepada Rasulullah saw.: "Ya, Rasulullah! Apakah kami akan diseksa kerana perbuatan kami pada masa jahiliyah?"
 
Jawab Nabi saw.: "Siapa yang baik Islamnya, dia tidak akan diseksa kerana amalnya masa jahiliyah. Akan tetapi siapa yang buruk Islamnya, maka dia akan diseksa kerana amalnya pada masa jahiliyah dan masa Islam."
 
Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0097.

Monday, January 14, 2013

Hapuskan Dosa-Dosaku?

Isnin, 2 Rabiulawal 1434H; Dari Abu Qatadah r.a. katanya: "Pada suatu ketika Rasulullah saw. berdiri di hadapan para sahabat, lalu bersabda: "Sesungguhnya Jihad fi sabilillah serta iman kepada Allah, adalah amal yang paling utama."

Maka berdiri seorang lelaki seraya bertanya, "Ya, Rasulullah! Bagaimana jika aku mati dalam jihad fi sabilillah, hapuskah dosa-dosaku?"

Jawab Rasulullah saw., "Hapus, jika engkau mati, sedangkan engkau seorang yang sabar dan ikhlas kerana Allah, engkau mati kerana maju bertempur tidak kerana lari dari pertempuran,"

Kemudian beliau bertanya, "Apa tanyamu tadi?

Maka diulangnya pertanyaannya, "Bagaimana jika aku mati dalam jihad fi sabilillah, hapuskah dosa-dosaku?"

Jawab Rasulullah, "Ya, hapus, jika engkau seorang pejuang yang sabar, ikhlas kerana Allah semata-mata, mati kerana maju bertempur, tidak kerana lari dari pertempuran. Kecuali yang tidak hapus ialah hutang. Begitulah kata Jibril kepada ku."
 
Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 1841.

Monday, January 7, 2013

Niat Kerana Dunia Neraka Tempatnya

Isnin, 24 Safar 1434H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Natil (bin Odis Al Hazami), seorang penduduk Syam, bertanya kepadanya, "Wahai, Tuan Guru! Ajarkanlah kepada kami hadis yang Anda dengar dari Rasulullah saw."
Jawab Abu Humirah, "Baik! Aku mendengar Rasulullah saw. bersabda: "Orang yang pertama-tama diadili kelak di hari kiamat, ialah orang mati syahid. Orang itu dihadapkan ke pengadilan, lalu diingatkan kepadanya nikmat-nikmat yang telah diperolehnya, maka dia mengakuinya.
Tanya, "Apakah yang engkau perbuat dengan nikmat itu?"
 Jawab, "Aku berperang untuk agama Allah sehingga aku mati syahid."
Firman Allah, "Engkau dusta! Sesungguhnya engkau berperang supaya dikatakan gagah berani. Dan gelar itu telah engkau peroleh."
Kemudian dia disuruh seret dengan muka telungkup lalu dilemparkan ke neraka.

Kemudian dihadapkan pula orang 'alim yang belajar dan mengajarkan ilmunya serta membaca Al Quran. Dihadapkannya kepadanya nikmat yang telah diperolehnya, semua diakuinya.
Tanya, "Apa yang engkau perbuat dengan nikmat itu?"
Jawab, "Aku belajar, mengajar, dan membaca Quran kerana Engkau."
Firman Allah, "Engkau dusta! Sesungguhnya engkau belajar dan mengajar supaya disebut orang Alim, dan engkau membaca Al Quran supaya dikatakan sebagai Qari (ahli baca). Semua itu telah dipanggilkan orang kepada mu."
Kemudian dia disuruh seret dengan muka menghadap ke tanah lalu di lemparkan ke neraka.

Sesudah itu dihadap pula orang yang diberi kekayaan oleh Allah dengan berbagai macam harta. Semua kekayaannya dihadapkan kepadanya lalu diingatkan segala nikmat yang telah diperolehnya, ia pun mengakui.
Tanya, "Apa yang telah engkau perbuat dengan harta sebanyak itu?"
Jawab, "Setiap bidang yang Engkau sukai tidak ada yang ku tinggalkan, melainkan aku sumbang semuanya kerana Engkau."
Firman Allah, "Engkau dusta! Sesungguhnya engkau melakukan semuanya itu supaya engkau disebut orang yang pemurah, dan gelar itu telah engkau peroleh."
Kemudian dia disuruh seret dengan muka menghadap ke tanah lalu dilemparkan ke neraka
 
Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 1859.

Friday, January 4, 2013

Kain Kapan

Jumaat, 21 Safar 1434H: Dari 'Aisyah r.a., katanya: "Saya masuk ke rumah Abu Bakar r.a. (ketika beliau sedang sakit), lalu dia bertanya:
 "Berapa helai kamu kapani Nabi saw"?"
Jawab ku, "Tiga helai kain putih halus dari benang. Tidak termasuk baju dan serban."
Tanya Abu Bakar, "Bila beliau meninggal?"
Jawab ku, "Hari Isnin."
Tanyanya, "Hari apa sekarang?"
Jawab ku, "Isnin."
Kata Abu Bakar, "Saya berharap, (mudah-mudahan) mulai sekarang sampai malam nanti (saya meninggal dunia)."
Beliau melihat kepada kain yang telah dilumari dengan zaafaran yang digunakan untuk merawatnya.
Kata beliau, "Sucikanlah kain saya ini dan tambah dua helai lagi untuk kapan saya."
Kataku, "Kain ini telah usang."
Jawabnya, "Hanya orang hidup yang lebih berhak dengan yang baru daripada orang mati. Kain itu hanya untuk nanah mayat."
Pada malam Selasa beliau pulang ke rahmatullah dan dikebumikan sebelum pagi."

Hadis Sahih Bukhari Jilid 2. Hadis Nombor 0713.

Thursday, January 3, 2013

Orang Beriman

Khamis, 20 Safar 1434H: Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah saw. bersabda: "Tidak akan berzina orang yang berzina, di waktu melakukan perzinaan itu, ketika dia orang beriman.
 
Tidak akan meminum minuman yang memabukkan, di waktu minum itu, ketika dia orang beriman.
 
Tidak akan mencuri seorang pencuri, di waktu melakukan pencurian, ketika dia orang beriman.
 
Tidak akan melakukan perampasan, yang menyebabkan orang banyak mengarahkan pemandangan kepadanya, ketika dia orang beriman."

Hadis Sahih Bukhari Jilid 4. Hadis Nombor 1802.