Monday, May 27, 2013

Berikan Hak Jalanan

Isnin,17 Rejab 1434H: Dari Abu Said Al Khudri r.a., dari Nabi saw. sabdanya:
 
"Hindarilah olehmu duduk-duduk di pinggir jalan!"
 
Jawab para sahabat, "Kami terpaksa duduk-duduk di situ memperbincangkan hal-hal yang perlu."
 
Sabda RasuluUah saw., "Jika memang perlu kalian duduk-duduk di situ, berikan hak jalanan."
 
Tanya mereka, "Apa haknya, ya Rasulullah?"
 
Jawab beliau, "Pejamkan mata, jangan mengganggu, jawab salam (orang lalu), menganjurkan kebaikan, dan mencegah yang mungkar."
 
Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2000.

Thursday, May 23, 2013

Jangan Dekati Masjid!

Khamis,13 Rejab 1434H: Dari Jabir r.a., katanya: "Rasulullah saw. melarang kami memakan bawang dan kucai (sayur-sayuran yang menyebabkan mulut atau badan jadi bau). Tetapi kerana terpaksa kami makan juga.
 
Maka bersabda beliau saw., "Siapa yang memakan sayur-sayuran (yang menyebabkan badan atau mulut jadi bau) ini, maka janganlah mendekati masjid kami, kerana malaikat merasa terseksa juga dengan apa yang menyeksa manusia"
 
Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0517.

Wednesday, May 22, 2013

Tanda Umat Rasulullah SAW

Rabu,12 Rejab 1434H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda:
"Kelak di hari kemudian, telagaku lebih luas dari jarak antara Ailah dan Aden. Airnya lebih jernih daripada salju, lebih manis daripada madu dicampur susu. Bejana-bejananya lebih banyak daripada bintang-bintang di langit. Aku melarang orang mendekat ke telagaku itu, sebagaimana orang menghalau unta orang lain apabila datang ke telaganya."
 
Tanya mereka, "Ya, Rasulullah! Apakah anda mengenali kami ketika itu?"
 
Jawab Rasulullah saw., "Ya! Ketika itu anda mempunyai tanda yang tidak dipunyai umat-umat lain. Anda akan datang kepada ku bercahaya-cahaya gilang-gemilang kerana bekas wuduk"
 
Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0194.

Tuesday, May 21, 2013

Sebelum Kiamat

Selasa, 11 Rejab 1434H: Dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi saw. beliau bersabda:
 
"Belum akan terjadi kiamat sebelum umat ku mengikuti jejak umat beberapa abad sebelumnya, sejengkal demi sejengkal dan sehasta demi sehasta."
 
Ada orang bertanya: "Ya Rasulullah! Mengikuti orang Persia dan Romawi?"
 
Jawab beliau: "Siapa lagi orangnya selain ini?"

Hadis Sahih Bukhari Jilid 4. Hadis Nombor 1967.

Monday, May 20, 2013

Ketahuilah!

Isnin, 10 Rejab 1434H: Dari 'Iyadh bin Himar Al Mujasyi'iy r.a. katanya: "Pada suatu hari Rasulullah saw. bersabda dalam khutbah sebagai berikut: "Ketahuilah! Sesungguhnya Tuhan ku memerintahkan kepada ku supaya mengajarkan kepada kamu sekalian apa-apa yang belum kamu ketahui. Iaitu pengajaran yang diajarkan Allah kepada ku hari ini.
 
Firman Allah: Setiap harta yang Aku (Allah) berikan kepada seseorang hamba adalah halal. Dan sesungguhnya Aku telah menciptakan hamba-hamba-Ku semuanya berada dalam agama yang lurus. Tetapi mereka kemudian didatangi oleh syaitan-syaitan lalu syaitan membelokkan mereka dari agama mereka dan mengharamkan apa-apa yang telah Ku halalkan bagi mereka, dan menyuruh mereka supaya mempersekutukan-Ku dengan sesuatu yang tidak diberi kekuasaan apa-apa. Sesungguhnya Allah mengawasi penduduk bumi dengan kemarahan, baik bangsa Arab maupun bangsa Ajam, kecuali sisa-sisa Ahli Kitab.
 
Firman Allah Ta'ala, "Sesungguhnya Aku mengutus engkau untuk mengujimu dan menguji orang lain dengan engkau. Aku turunkan kepada mu Kitab yang tidak hilang kena air, yang dapat engkau baca di waktu tidur dan bangun. Dan sesungguhnya Allah memerintahkan kepada ku supaya membangkitkan kemarahan orang-orang Quraisy."
 
Jawab ku, "Ya, Tuhan ku! Nanti mereka pecah kepala ku dan mereka tinggalkan seperti (pecahan) roti."
 
Firman Allah, "Usir mereka seperti mereka mengusirmu. Perangi mereka, nanti Kami bantu kamu memerangi mereka. Keluarkan segala dana, nanti Kami beri dana engkau. Kirim pasukan tentera, nanti Kami kirim pula tentera membantumu lima kali lipat. Perangilah olehmu bersama-sama orang yang taat kepada mu, mereka yang durhaka kepada mu.
 
Firman Allah Ta'ala, "Penduduk syurga ada tiga macam: (1) Penguasa yang adil, pemurah, dan bertindak sesuai dengan hukum. (2) Orang yang berhati pengasih dan berhati lembut terhadap karib kerabat dan kaum muslimin. (3) Orang daif yang tidak terkendalikan otaknya, mereka di samping kamu hanyalah ikut-ikutan, mereka tidak mahu berkeluarga dan tidak menghendaki kekayaan.
 
Penduduk neraka ada lima macam: (1) Orang daif yang tidak mempergunakan otaknya, mereka hanya menjadi pengikut, tidak berusaha mencari nafkah untuk diri dan keluarganya. (2) Pengkhianat yang tidak tahu malu, sampai hal-hal kecil dikhianatinya juga. (3) Orang yang pagi petang berusaha hendak menipumu, tentang keluargamu, dan harta mu, (4) Orang bakhil atau pendusta. (5) Orang yang bermulut kotor (orang yang berperangai buruk dan suka menggunjing).
 
Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2442.

Thursday, May 16, 2013

Hanya Seekor Semut

Khamis, 6 Rejab 1434H: Dari Abu Hurairah r.a., dari Rasulullah saw. sabdanya:
 
"Seekor semut menggigit seorang Nabi di antara para nabi-nabi, lalu Nabi tersebut menyuruh bakar sarang semut itu, lalu dibakarlah.
 
Kemudian Allah swt. mewahyukan kepadanya, "Hanya seekor semut yang menggigitmu, lalu engkau musnahkan suatu umat yang selalu membaca tasbih."
 
Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2096.

Wednesday, May 15, 2013

Bersugi Setiap Kali Solat

Rabu, 5 Rejab 1434H: Diberitakan oleh Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah saw. bersabda: "Jikalau tidak memberati bagi umat ku, atau bagi manusia umumnya, nescaya ku suruh mereka mengosok gigi setiap kali akan solat
 
Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0478.

Tuesday, May 14, 2013

Menziarahi Kubur

Selasa, 4 Rejab 1434H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Pada suatu ketika, Rasulullah saw. ziarah ke kubur ibunya, lalu beliau menangis, maka menangis pulalah orang sekelilingnya.
 
Kemudian beliau bersabda: "Aku mohon izin kepada Tuhan ku untuk memintakan ampun bagi ibu ku, tetapi tidak diperkenankan-Nya.
 
Kemudian ku mohon izin untuk menziarahi kuburnya, maka diperkenankan-Nya bagi ku.
 
Kerana itu pergilah kalian ke kubur, kerana hal itu akan mengingatkan kalian kepada maut."
 
Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 0924.

Monday, May 13, 2013

Nabi SAW & Umatnya Menjadi Saksi Dihari KIamat.

Isnin,3 Rejab 1434H: Dari Abu Said Al Khudri ra., Rasulullah bersabda: Nabi Nuh dipanggil pada hari kiamat.
 
Beliau menjawab: "Ya, Tuhan!"
 
Tuhan berfirman: "Sudahkah engkau sampaikan ajaran agama?"
 
Beliau menjawab: "Ya, sudah".
 
Lalu ditanyakan kepada umatnya: "Adakah Nuh menyampaikan kepada kamu?"
 
Mereka menjawab: "Tiada datang kepada kami orang yang menyampaikan peringatan".
 
Ditanyakan kepada Nuh: "Siapakah yang jadi saksi engkau?"
 
Nuh menjawab: "'Nabi Muhammad dan umatnya".
 
Lalu mereka (umat Muhammad) menjadi saksi, bahawa sesungguhnya Nuh telah menyampaikan, dan Rasulullah jadi saksi terhadap kamu (umat).
 
Hal itu disebutkan dalam firman Tuhan: "Dan begitulah Kami jadikan kamu umat pertengahan (adil) supaya kamu menjadi saksi terhadap manusia dan Rasulullah menjadi saksi terhadap kamu". (Surat Al Baqarah, 143)
 
Hadis Sahih Bukhari Jilid 3. Hadis Nombor 1579.

Friday, May 10, 2013

Doa Rasulullah Untuk Pemerintah

Jumaat, 29 Jamadil Akhir 1434H: Dari 'Aisyah r.a., katanya: "Aku mendengar Rasulullah saw. mendoa di rumahku, katanya:
 
"Wahai, Allah! Siapa yang menjawat suatu jawatan dalam pemerintahan umat ku, lalu dia mempersulit urusan mereka, maka persulit pulalah dia, dan siapa yang menjawat suatu jawatan dalam pemerintahan umat ku, lalu dia berusaha menolong mereka, maka tolong pulalah dia."
 
Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 1795.

Wednesday, May 8, 2013

Hujan

Rabu, 27 Jamadil Akhir 1434H: Dari Ibnu 'Abbas r.a., katanya: "Pada suatu ketika di masa Nabi saw. pernah turun hujan. Maka bersabda Nabi saw., "Sebahagian manusia ada yang bangun pagi dalam keadaan syukur, iaitu orang-orang yang mengatakan, "Hujan ini rahmat Allah."
 
Dan ada pula yang kafir, iaitu mereka yang berkata, "Hujan ini kerana bintang ini dan itu."
 
Kata Ibnu 'Abbas, "Lalu diturunkan Allah ayat berikut: "Aku bersumpah dengan tempat turunnya bintang-bintang... sampai kepada ayat: "Sedangkan kebohongan kamu jadikan rezeki bagi kamu."(Al Waqi'ah: 75-82)

Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0059

Thursday, May 2, 2013

Islam Pasti Menang

Khamis,21 Jamadil Akhir 1434H : Dari Mu'awiyah r.a., dia mengatakan dalam pidatonya di atas mimbar bahawa dia mendengar Rasulullah saw. bersabda: "Sentiasa ada segolongan umat ku yang selalu berjuang menegakkan agama Allah Ta'ala. Mereka tidak akan celaka oleh orang-orang yang menghina atau menentang mereka sampai hari kiamat. Bahkan mereka tetap menang atas semua manusia."
Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 1873.

Tuesday, April 30, 2013

Pemerintah Yang Dilarang Masuk Syurga

Selasa, 19 Jamadil Akhir. Dari Ma'qil r.a. katanya: Saya akan menceritakan kepada engkau hadis yang saya dengar dari Rasulullah saw. dan saya telah mendengar beliau bersabda: "Seseorang yang telah ditugaskan Tuhan memerintahi rakyat, kalau dia tidak memimpin rakyat itu dengan jujur, nescaya dia tiada akan memperoleh bau syurga."

Dari Maaqil r.a. katanya: Saya akan menceritakan kepada engkau hadis yang saya dengar dari Rasulullah saw. dan beliau bersabda: "Seorang pembesar yang memerintahi rakyat kaum Muslimin, apabila pembesar itu mati, sedang dia tidak jujur terhadap rakyat, nescaya dia dilarang oleh Allah, masuk syurga."

Hadis Sahih Bukhari Jilid 4. Hadis Nombor 1899

Monday, April 29, 2013

Jangan Taati Jika Diperintah Melakukan Maksiat

Isnin, 18 Jamadil Akhir 1434H: Dari Ibnu 'Umar r.a., dari Nabi saw. sabdanya: "Setiap muslim wajib patuh dan setia terhadap pemerintah, disukai atau tidak disukainya, kecuali bila dia diperintah melakukan maksiat. Jika dia diperintah melakukan maksiat dia tidak perlu patuh dan setia."

Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 1806.

Friday, April 26, 2013

Wajib Taat Menegakkan Kebajikan

Jumaat, 15 Jamadil Akhir 1434H: Dari Ali bin Abi Thalib r.a., katanya: "Pada suatu ketika, Rasulullah saw. mengirim sepasukan tentera (ke medan perang) dan mengangkat seorang lelaki menjadi komandan mereka. (Sampai di suatu tempat), sang komandan menyalakan api (unggun) dan memerintahkan anak buahnya melompat ke dalam api unggun tersebut. Sebahagian anak buahnya telah siap hendak melompat ke dalam api tersebut, tetapi yang lain berkata, "Kita harus lari dari api itu." Peristiwa itu mereka laporkan kepada Rasulullah saw.
 
Maka beliau bersabda, "Seandainya kamu melompat ke dalam api itu, kamu akan sentiasa berada di dalamnya hingga hari kiamat nanti."
 
Kemudian beliau berkata pula kepada yang lain dengan lemah lembut, "Tidak wajib taat terhadap perintah untuk mendurhakai Allah. Taat itu hanya wajib dalam rangka menegakkan kebajikan."

Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 1807.

Thursday, April 25, 2013

Khalifah

Khamis, 14 Jamadil Akhir 1434H: Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi s.a.w., beliau bersabda: "Bani Israel itu dipimpin (diperintah) oleh Nabi-nabi. Setiap seorang Nabi mati, digantikan Nabi yang lain. Tetapi tidak ada Nabi sesudahku, dan akan ada Khalifah-khalifah. Mereka itu sampai banyak."
 
Sahabat-sahabatnya bertanya: "Maka apakah perintah tuan kepada kami?
 
Beliau bersabda: "Tepatilah baiah (perjanjian) yang pertama, kemudian yang berikutnya. Berikanlah hak mereka, sesungguhnya Tuhan akan menanyai mereka tentang pimpinan (pemerintahan) yang mereka jalankan".

Hadis Sahih Bukhari Jilid 3. Hadis Nombor 1506.

Wednesday, April 24, 2013

Tunjuklah Pengganti Khalifah

Rabu, 13 Jamadil Akhir 1434H; Dari Ibnu 'Umar r.a., katanya: "Aku hadir ketika bapaku ('Umar bin Khaththab) kena musibah ditikam orang. Para sahabat beliau yang hadir ketika itu memujinya.
 
Kata mereka, "Semoga Allah membalasi Anda dengan balasan yang baik."
 
Jawab 'Umar, "Aku penuh harap dan juga merasa cemas."
 
Kata mereka, "Tunjuklah pengganti Anda (untuk menjadi khalifah)!"
 
Jawab 'Umar, "Apakah aku arus memikul urusan pemerintahan waktu hidup dan matiku? Aku ingin tugasku sudah selesai, tidak kurang dan tidak lebih. Jika aku menunjuk penggantiku, memang orang yang lebih baik daripada ku yakni Abu Bakar Shiddiq - pernah menunjuk penggantinya. Tetapi jika aku membiarkan kamu memilih sendiri siapa yang akan menjadi khalifah, maka orang yang paling baik daripada ku, yakni Rasulullah saw. pernah membiarkan kamu memilih sendiri penggantinya menjadi khalifah."
 
Kata Abdullah. "Dengan ucapannya itu tahulah aku bahawa beliau tidak akan menunjuk penggantinya untuk menjadi khalifah."

Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 1790.

Tuesday, April 23, 2013

Patuh Kepada Rasulullah,Patuh Kepada Allah

Selasa, 12 Jamadilakhir 1434H: Dari Abu Hurairah r.a., Ia mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:
 
"Kita umat yang terakhir (di dunia) paling di muka (di akhirat). Siapa yang mematuhi perintah saya, bererti ia telah patuh kepada Tuhan.
 
Sebaliknya, siapa yang mendurhakai saya, sesungguhnya ia mendurhakai Tuhan.
 
Siapa yang mematuhi Amir (pembesar negeri), sesungguhnya ia telah mematuhi saya dan siapa yang mendurhakai Amir, sesungguhnya ia telah mendurhakai saya.
 
Dan sesungguhnya Imam itu dinding (pembela) terhadap rakyat yang dibelakangnya.
 
Jika rakyat itu diperangi musuh, Imam mempertahankannya.
 
Jikalau ia memerintahkan taqwa kepada Allah dan ia bersikap adil, maka kerana hal yang demikian itu, ia memperoleh pahala.
 
Sebaliknya kalau ia berkata (berbuat) bukan demikian, maka ia berdosa (dihukum).".

Hadis Sahih Bukhari Jilid 3. Hadis Nombor 1339.

Monday, April 22, 2013

Agama Itu Nasihat

Isnin, 11 Jamadil Akahir 1434H: Dari Tamim Ad Dariy, katanya Nabi saw. bersabda:
 
"Agama itu ialah nasihat."
 
Tanya kami: "Nasihat bagi siapa, ya Rasulullah?"
 
Jawab beliau, "Bagi Allah, bagi KitabNya, bagi RasulNya, bagi para pemimpin kaum muslimin, dan bagi orang ramai."
 
Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0043.

Friday, April 19, 2013

Apabila Ada Yang Memecah Belah

Jumaat, 8 Jamadil Akhir 1434H: Dari 'Arfajah r.a., katanya dia mendengar Rasulullah bersabda:
 
"Bila datang kepada mu seorang yang hendak mematahkan tongkatmu atau memecah belah persatuan kamu, padahal kamu bersatu di bawah satu pimpinan (yang baik), maka bunuhlah dia!"

Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 1818.