Saturday, May 31, 2025

Taqarub Kepada Allah

Sabtu, 3 Zulhijjah 1446H  | Taqarub Kepada Allah

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ اللَّهُ تَعَالَى أَنَا عِنْدَ ظَنِّ عَبْدِي بِي وَأَنَا مَعَهُ إِذَا ذَكَرَنِي فَإِنْ ذَكَرَنِي فِي نَفْسِهِ ذَكَرْتُهُ فِي نَفْسِي وَإِنْ ذَكَرَنِي فِي مَلَإٍ ذَكَرْتُهُ فِي مَلَإٍ خَيْرٍ مِنْهُمْ وَإِنْ تَقَرَّبَ إِلَيَّ بِشِبْرٍ تَقَرَّبْتُ إِلَيْهِ ذِرَاعًا وَإِنْ تَقَرَّبَ إِلَيَّ ذِرَاعًا تَقَرَّبْتُ إِلَيْهِ بَاعًا وَإِنْ أَتَانِي يَمْشِي أَتَيْتُهُ هَرْوَلَةً

Daripada Abu Hurairah RA berkata, "Nabi SAW bersabda bahawa Allah telah berfirman: "Aku bersikap mengikut sangkaan hamba-Ku terhadap Ku. Aku bersama-sama mereka apabila mereka mengingati Ku. Apabila mereka mengingati Ku dalam dirinya, maka Aku mengingatinya dalam diri-Ku. Apabila mereka mengingati-Ku dalam perkumpulan mereka, maka Aku mengingatinya dalam perkumpulan yang lebih baik daripada mereka. Demi sekiranya mereka mendekatkan diri kepada-Ku sejengkal, maka Aku mendekatkan diri kepadanya sehasta, dan jika ia mendekatkan diri kepada-Ku sehasta, Aku mendekatkan diri kepadanya sedepa.  Sekiranya mereka mendatangi-Ku dalam keadaan berjalan, maka Aku akan mendatanginya dalam keadaan berlari (segera)." (HR Bukhari No: 6856) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Allah bersikap seperti sikap hamba terhadapNya. Jika seseorang mengingati Allah dalam dirinya, berzikir dalam hatinya, dan menganggap Allah sentiasa mengingatinya sama ada ketika dia bersendiri atau bersama orang lain, nescaya Allah akan sentiasa mengingati hambaNya.

2.  Seseorang yang memuji Allah dengan bersyukur, sentiasa berdoa, bertaubat dan menjaga keimanan di khalayak ramai, pasti Allah akan mengingati dan memujinya di khalayak yang lebih baik dan utama.

3.  Seseorang yang mendekatkan diri kepada Allah melalui ibadat dan amal solehnya dengan jarak sejengkal atau sehasta, Allah akan mendekatinya lebih dekat daripada itu. Jika seorang hamba itu mendekati Allah dengan berjalan, nescaya Allah akan mendatanginya lebih cepat daripada itu.

4.  Setiap amalan seseorang yang baik bertujuan mendekatkan diri kepada Allah, maka Allah akan menggandakan balasan baik kepadanya. Tambah lagi jika dilakukan pada 10 pertama Zulhijjah ini.

فَٱذۡكُرُونِيٓ أَذۡكُرۡكُمۡ وَٱشۡكُرُواْ لِي وَلَا تَكۡفُرُونِ ١٥٢

“Kerana itu, ingatlah kamu kepada-Ku nescaya Aku ingat (pula) kepadamu, dan bersyukurlah kepada-Ku, dan janganlah kamu mengingkari (nikmat) –Ku” (Al-Baqarah : 152)

Pastikan kita sentiasa taqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah dengan membanyakkan zikrullah dan ibadat kepadaNya khususnya pada 10 pertama Zulhijjah ini.

Friday, May 30, 2025

Dua Titisan dan Kesan Yang Dicintai Allah SWT

Jumaat, 2 Zulhijjah 1446H  |  Dua Titisan dan Kesan Yang Dicintai Allah SWT

عَنْ أَبِي أُمَامَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَيْسَ شَيْءٌ أَحَبَّ إِلَى اللَّهِ مِنْ قَطْرَتَيْنِ وَأَثَرَيْنِ قَطْرَةٌ مِنْ دُمُوعٍ فِي خَشْيَةِ اللَّهِ وَقَطْرَةُ دَمٍ تُهَرَاقُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَأَمَّا الْأَثَرَانِ فَأَثَرٌ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَأَثَرٌ فِي فَرِيضَةٍ مِنْ فَرَائِضِ اللَّهِ.

Daripada Abu Umamah RA, daripada Nabi SAW, baginda bersabda: "Tiada sesuatu perkara yang paling disukai oleh Allah melainkan dua titisan dan dua kesan. Titisan air mata yang menangis kerana takutkan kepada Allah SWT dan titisan darah yang tumpah pada jalan Allah. Adapun dua kesan yang Allah sukai adalah kesan pada jalan Allah dan kesan fardhu daripada kefardhuan Allah SWT." (HR Tirmizi No: 1669) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Allah SWT amat menyukai akan amalan hamba-Nya yang dilakukan secara ikhlas semata-mata kerana-Nya dan semakin banyak susah payah yang dihadapi, maka semakin bertambahlah ganjaran pahala.

2.  Antara amalan yang disukai oleh Allah SWT adalah dua titisan dan dua kesan. Antara dua titisan itu yang pertama adalah titisan air mata yang takut kepada Allah SWT terhadap dosa-dosa yang telah dilakukan. Rasulullah SAW menyebutkan tujuh golongan yang akan mendapat naungan di hari kiamat salah satu daripadanya adalah:

وَرَجُلٌ ذَكَرَ اللَّهَ خَالِيًا فَفَاضَتْ عَيْنَاهُ

“dan lelaki yang mengalir air matanya ketika bersendirian kerana takut kepada Allah”

Titisan kedua yang disukai Allah adalah titisan darah yang ditumpahkan kerana berjuang di jalan Allah SWT.

3.  Dua kesan yang disukai Allah, pertama adalah kesan luka semasa berjuang untuk jalan Allah SWT dan kedua adalah kesan kerana melakukan ketaatan kepada Allah SWT. Semoga kita tergolong dalam golongan tersebut.


Thursday, May 29, 2025

Mensyukuri Nikmat

Khamis, 1 Zulhijjah 1446H  |   Mensyukuri Nikmat

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رضي الله عنه قَالَ قَالَ رَسُولُ اَللَّهِ صلى الله عليه وسلم انْظُرُوا إِلَى مَنْ هُوَ أَسْفَلَ مِنْكُمْ وَلَا تَنْظُرُوا إِلَى مَنْ هُوَ فَوْقَكُمْ فَهُوَ أَجْدَرُ أَنْ لَا تَزْدَرُوا نِعْمَةَ اَللَّهِ عَلَيْكُمْ

Daripada Abu Hurairah RA ia berkata, Rasulullah SAW  bersabda: “Lihatlah orang yang berada di bawahmu dan jangan melihat orang yang berada di atasmu, kerana yang demikian itu lebih patut, agar kamu tidak memandang remeh nikmat yang telah Allah berikan kepada kamu.” (HR Muslim No: 2963) Status: Hadis Sahih.

Pengajaran:

1.  Setiap kita wajib bersyukur di atas segala nikmat yang Allah kurniakan.

2.  Satu cara untuk kita sentiasa mensyukuri setiap nikmat yang Allah kurniakan adalah dengan sentiasa melihat orang yang lebih rendah daripada kita dalam perkara yang berkaitan dengan nikmat dunia seperti tubuh badan yang menarik dan sihat, pemilikan harta, pangkat dan kedudukan.

3.  Bersyukurlah diatas segala nikmat yang dikurniakan kepada kita. Semoga dengan memiliki sifat bersyukur akan menjauhkan kita dari penyakit tamak,  hasad, dengki dan panjang angan-angan.

4.  Manusia jika melihat kepada orang yang lebih tinggi levelnya dari sisi dunia, maka jiwanya akan menuntut yang serupa dan mulai mengerdilkan kenikmatan yang Allah berikan kepadanya, kemudian bertekad untuk menambah hartanya agar dia dapat mengejar kekayaan orang tersebut atau minima menyamainya. Namun jika dia melihat kepada orang yang lebih rendah darajatnya dalam hal dunia dan harta, akan terpampang di hadapannya kenikmatan Allah yang besar kepadanya, maka dia akan bersyukur atas kenikmatan itu, bersikap rendah hati, serta akan melakukan amalan-amalan kebaikan.

5.  Dalam hal kehidupan dunia, berusahalah sebaik mungkin untuknya namun jangan sering  memandang orang yang berada di atas kita. Bersyukurlah dengan apa yang telah kita miliki kini. Tidak perlu irihati dengan apa yang dimiliki oleh orang lain. Lihatlah orang yang berada di bawah kita. Masih ramai orang yang tidak seberuntung kita. Kerana hal ini akan menjauhkan kita dari bersyukur. Allah SWT telah berfirman

لَئِنْ شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ  وَلَئِنْ كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ

“Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih”. (Surah Ibrahim ayat : 7)


Wednesday, May 28, 2025

Amalan Yang Mengatasi Jihad

Rabu, 30 Zulkaedah 1446H  |  Amalan Yang Mengatasi Jihad

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَا مِنْ أَيَّامٍ العَمَلُ الصَّالِحُ فِيهِنَّ أَحَبُّ إِلَى اللَّهِ مِنْ هَذِهِ الأَيَّامِ العَشْرِ فَقَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ وَلَا الجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: "وَلَا الجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ إِلَّا رَجُلٌ خَرَجَ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ فَلَمْ يَرْجِعْ مِنْ ذَلِكَ بِشَيْءٍ"

Daripada Ibn Abbas dia berkata, Rasulullah SAW bersabda: Tiada hari-hari yang amalan soleh  paling disukai oleh Allah untuk dilakukan melainkan hari-hari ini-baginda memaksudkan: 10 hari terawal Zulhijjah-."Para sahabat bertanya, "Wahai Rasulullah, Walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya?" Baginda bersabda,"Walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya, melainkan seorang  lelaki yang keluar berjihad bersama hartanya, kemudian dia langsung tidak kembali (menemui syahid). (Abu Daud di dalam Bab Puasa: 2438) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Allah menyukai orang yang melakukan amal soleh pada 10 hari pertama dari bulan Zulhijjah.

2.  Orang yang melakukan amal soleh dalam tempoh ini dapat memberikan pahala yang lebih besar dari Jihad kecuali orang yang pergi berjihad itu gugur syahid.

3.  Al-Hafiz Ibnu Hajar menjelaskan: Yang jelasnya, antara sebab keistimewaan 10 hari awal Zulhijjah ini berbanding hari lain ialah kerana terhimpun di dalamnya beberapa ibadat yang besar iaitu solat, puasa, sedekah, korban dan haji. Himpunan amalan-amalan ini tidak berlaku dalam hari-hari yang lain (Fath al-Bari).

4.  Justeru peluang kita yang menemui 10 hari pertama Zulhijjah ini perlu direbut untuk mempertingkatkan pelbagai amalan harian kita.

5.  Amal soleh pada hari-hari awal 10 Zulhijjah tidak terbatas. Ia meliputi solat, puasa, sedekah, bacaan al-Quran, zikir, berdoa, bertaubat, tahmid, takbir, tahlil, amar makruf nahi mungkar, tolong-menolong untuk kebaikan, menyebarkan ilmu, menyantuni anak yatim, membantu orang yang kesusahan, memberikan makan kepada fakir miskin dan seumpamanya.


Tuesday, May 27, 2025

Amalan 10 Hari Pertama Zulhijjah

Selasa, 29 Zulkaedah 1446H  |  Amalan 10 Hari Pertama Zulhijjah

عَنْ ابْنِ عُمَرَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَا مِنْ أَيَّامٍ أَعْظَمُ عِنْدَ اللَّهِ وَلَا أَحَبُّ إِلَيْهِ الْعَمَلُ فِيهِنَّ مِنْ هَذِهِ الْأَيَّامِ الْعَشْرِ فَأَكْثِرُوا فِيهِنَّ مِنْ التَّهْلِيلِ وَالتَّكْبِيرِ وَالتَّحْمِيدِ

Daripada Ibnu Umar RA, dari Nabi SAW baginda bersabda: Tidak ada hari yang lebih besar di sisi Allah SWT dan beramal padanya lebih dikasihi oleh Allah dari hari-hari yang sepuluh ini. Maka perbanyakkanlah padanya bertahlil, bertakbir dan bertahmid. (Musnad Ahmad No: 5879) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Perbanyakkan amal soleh setiap waktu di samping hari tertentu antaranya "Hari-hari yang sepuluh" iaitu 10 hari pertama bulan Zulhijjah (1 hb  Zulhijjah hingga 10hb Zulhijjah).  Firman Allah dalam surah al-Fajr 1-3 juga menyatakan;

وَالْفَجْرِ وَلَيَالٍ عَشْرٍ وَالشَّفْعِ وَالْوَتْر

“Demi fajar, dan malam yang sepuluh, dan yang genap dan yang ganjil”.

Imam At-Tobari menafsirkan “Wa layaalin ‘asr” (malam yang sepuluh) sebagai malam-malam sepuluh hari awal Zulhijjah berdasarkan kesepakatan hujah dari ahli tafsir. (rujuk Jami’ Al Bayan fi Ta’wil Al Quran:7/514)

Allah telah bersumpah dengannya (malam yang sepuluh). Bersumpahnya Allah dengan sesuatu menjadi dalil tentang besarnya manfaat (sepuluh hari tersebut).

2.  Ibnu Abbas, Ibnu Al Zubair, Mujahid, dan beberapa ulama salaf dan khalaf berkata bahawa ia adalah sepuluh hari pertama Zulhijjah. Ibnu Kathir membenarkan pendapat ini. (rujuk tafsir Ibnu Kathir: 8/413)

3.  Allah suka kepada hambaNya yang memperbanyak amalan soleh pada sepuluh hari awal bulan Zulhijjah (1hb hingga 10hb Zulhijjah).

4.  Bulan Zulhijjah ini di dalamnya ada kelebihan tertentu untuk diraih bermula dari 1hb Zulhijjah hingga 10 Zulhijjah dengan pelbagai amal soleh termasuk puasa sunat setiap hari (1 - 9), puasa sunat Isnin dan Khamis, puasa sunat hari Arafah, perbanyakkan zikir – tahlil, takbir dan tahmid, tilawah al-Quran, doa, bersedekah, menunaikan ibadah haji juga melakukan ibadah korban, berdakwah serta pelbagai amal soleh yang lain.

5.  Rebutlah peluang melakukan pelbagai amalan sunat menjelang Awal Zulhijjah. Kita mulakan dengan amalan puasa sunat Isnin atau Khamis atau paling tidak 9hb (puasa sunat hari Arafah) di samping perbanyakkan zikir dengan kalimah tahlil, tahmid dan takbir


Monday, May 26, 2025

Peserta Korban Dilarang Memotong Kuku dan Rambut

Isnin, 28 Zulkaedah 1446H  |  Peserta Korban Dilarang Memotong Kuku dan Rambut

عَنْ أُمِّ سَلَمَةَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا رَأَيْتُمْ هِلاَلَ ذِي الْحِجَّةِ وَأَرَادَ أَحَدُكُمْ أَنْ يُضَحِّيَ فَلْيُمْسِكْ عَنْ شَعْرِهِ وَأَظْفَارِهِ

Daripada Ummu Salamah RA, sesungguhnya Nabi SAW bersabda: Jika telah masuk sepuluh hari pertama bulan Zulhijjah dan salah seorang antara kamu semua ingin menyembelih korban, janganlah memotong rambut dan kukunya (sehingga selesai korban)."  (Sahih Muslim No: 3655) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Bagi mereka yang ingin melaksanakan ibadah korban, dilarang (makruh)  menggunting rambut, mencukur, mencabut sebarang bulu di badan dan memotong kukunya bermula dari tarikh 1hb Zulhijjah sehingga dia melaksanakan ibadah korban tersebut.

2.  Menurut Imam al-Nawawi larangan di dalam hadis ini bermaksud makruh memotongnya. Larangan menghilangkan kuku dengan memotong, mencabut atau dengan cara lain (secara sengaja). Termasuk juga larangan menghilangkan rambut sama ada mencukur, memendek, mencabut, membakar, menggunakan sesuatu untuk menghilangkan rambut dan apa jua cara sama ada pada bulu ketiak, misai, bulu ari-ari, rambut atau bulu-bulu lain di bahagian anggota badan yang lain." (Syarah Muslim  Imam al-Nawawi, jil. 13, ms. 138-139)

3.  Bagi mereka yang sengaja mahupun tidak sengaja memotong kuku ataupun rambut sebelum melaksanakan ibadah korban, memadai dia memohon keampunan kepada Allah. Dia tidak dikenakan fidyah (tebusan atau denda).

Ibn Qudamah r.h berkata: "Jika perkara itu berlaku, dia hendaklah segera beristighfar (memohon ampun) kepada Allah. Menurut ijmak tidak ada fidyah sama sekali, baik dilakukan dengan sengaja atau tidak sengaja." (Kitab al-Mughni karya Ibn Qudamah, jil. ms. 96)

4.  Majoriti ulama dari mazhab Maliki, Syafie dan sebahagian mazhab Hanbali menyatakan makruh hukumnya memotong kuku atau rambut yang ada pada badan bermula 1hb Zulhijjah hingga ibadah korban dilaksanakan.

5.  Antara hikmah yang disebut oleh Imam Nawawi Rahimahullah dalam Syarah-nya ialah larangan memotong kuku dan menggunting rambut bagi orang yang ingin melaksanakan korban ialah supaya anggota yang terdapat pada badannya itu semuanya akan dibebaskan daripada api neraka.

Jom amalkan sunnah dengan tidak memotong kuku dan rambut bermula 1hb Zulhijjah (dijangka pada 29hb Mei) bagi peserta korban  sehingga ibadat korban dilaksanakan.


Sunday, May 25, 2025

Amalan Paling Afdhal

Ahad, 27 Zulkaedah 1446H  |  Amalan Paling Afdhal

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ، قَالَ سَأَلْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَىُّ الْعَمَلِ أَفْضَلُ قَالَ ‏"‏ الصَّلاَةُ لِوَقْتِهَا ‏"‏ ‏.‏ قَالَ قُلْتُ ثُمَّ أَىٌّ قَالَ ‏"‏ بِرُّ الْوَالِدَيْنِ ‏"‏ ‏.‏ قَالَ قُلْتُ ثُمَّ أَىٌّ قَالَ ‏"‏ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ‏"‏

Daripada Abdullah bin Mas‘ud RA, beliau berkata: “Aku bertanya kepada Rasulullah SAW berkenaan amalan apakah yang paling afdhal, lalu Baginda menjawab: “Solat pada waktunya.” Kemudian aku bertanya lagi, apakah amalan yang seterusnya? Jawab Baginda: “Berbakti kepada kedua ibubapa.” Kemudian aku bertanya, apakah lagi seterusnya? Jawab Baginda: “Berjihad di jalan Allah.” (HR Bukhari No: 85) Status Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Solat pada waktunya adalah asas dalam kehidupan seorang Muslim. Ia perlu diutamakan dalam apa jua keadaan. Solat merupakan tiang agama, dan pelaksanaannya secara tepat mencerminkan ketaatan terus kepada Allah.

2.  Berbuat baik kepada ibu bapa adalah kunci kepada keberkatan hidup dan keredhaan Allah. Ia menggambarkan betapa besarnya kedudukan ibu bapa dalam Islam, dan bahawa hubungan kekeluargaan tidak boleh diabaikan walaupun seseorang itu tekun dalam ibadah.

3.  Jihad adalah amalan mulia, namun ia mesti dilaksanakan dengan syarat dan pertimbangan yang betul.

4.  Islam mengajar umatnya untuk menyusun keutamaan dalam beramal — bukan semua amalan diberi keutamaan yang sama dalam semua situasi.

5.  Menuntut ilmu dengan bertanya adalah salah satu cara mendapat panduan yang tepat dalam agama.


Saturday, May 24, 2025

Lafaz Talbiah Adalah Pengistiharan Ketundukan

Sabtu, 26 Zulkaedah 1446H  |   Lafaz Talbiah Adalah Pengistiharan Ketundukan

عَنْ سَهْلِ بْنِ سَعْدٍ السَّاعِدِيِّ، عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ ‏ "‏ مَا مِنْ مُلَبٍّ يُلَبِّي إِلاَّ لَبَّى مَا عَنْ يَمِينِهِ وَشِمَالِهِ مِنْ حَجَرٍ أَوْ شَجَرٍ أَوْ مَدَرٍ حَتَّى تَنْقَطِعَ الأَرْضُ مِنْ هَا هُنَا وَهَا هُنَا

Daripada Sahl bin Sa’di as-Saa’idi daripada Rasulullah SAW baginda bersabda:  "Tidak ada seorang yang bertalbiah (dengan ikhlas) melainkan segala sesuatu di sebelah kanannya dan kirinya  dari batu, pokok atau tanah liat,  akan turut bertalbiah bersamanya, hingga bumi ini terputus dari arah sana dan sini (yakni sejauh pendengaran atau ke seluruh penjuru)." (Sunan Ibn Majah No: 2921) Status Hadis Hasan

1.  Ucapan talbiah "لَبَّيْكَ اللَّهُمَّ لَبَّيْكَ" bermaksud: “Aku sahut panggilan-Mu ya Allah, aku sahut seruan-Mu.” Adalah lafaz untuk mereka yang sedang mengerjakan ibadah umrah dan haji. Lafaz talbiah ini adalah pengistiharan ketundukan seorang hamba.

2.  Lafaz talbiah menandakan kesediaan mutlak seorang hamba menyambut panggilan Allah, dan alam yang terdiri daripada batu, pokok serta tanah turut menyambut seruan menyokong serta mengiringi pengabdian tersebut.

3.  Mengikut ulama, makhluk alam seperti batu, pokok juga tanah menyambut seruan adalah ungkapan kiasan yang menggambarkan keberkatan dan besarnya kesan zikir tersebut, sehingga seluruh alam seperti bersama bertalbiah.

4.  Sebahagian ulama menyebut bahawa hadis ini juga menunjukkan kemuliaan orang yang bertalbiah dengan hati yang bersih, kerana alam turut mendoakan dan menyertai mereka, seolah-olah ia adalah tanda talbiah itu diterima di sisi Allah.

5.  Bagi mereka yang menunaikan ibadat haji atau umrah, lafazkan talbiah dengan sepenuh hati serta penuh kekhusyukan. Ketahuilah bahawa anda sedang berinteraksi dengan seluruh ciptaan Allah.

6.  Besarnya ganjaran Talbiah dimana setiap kali Jemaah umrah dan haji menyebut talbiah dengan ikhlas, dia sebenarnya disertai oleh seluruh alam, membesarkan Allah bersama-sama. Ia memberi motivasi kepada jemaah haji dan umrah untuk memperbanyakkan talbiah dengan penuh keikhlasan dan penghayatan.


Friday, May 23, 2025

Amal Yang Disukai Allah Pada Eidul Adha

Jumaat, 25 Zulkaedah 1446H  |   Amal Yang Disukai Allah Pada Eidul Adha

عَنْ عَائِشَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَا عَمِلَ آدَمِيٌّ مِنْ عَمَلٍ يَوْمَ النَّحْرِ أَحَبَّ إِلَى اللَّهِ مِنْ إِهْرَاقِ الدَّمِ إِنَّهَا لَتَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِقُرُونِهَا وَأَشْعَارِهَا وَأَظْلَافِهَا وَأَنَّ الدَّمَ لَيَقَعُ مِنْ اللَّهِ بِمَكَانٍ قَبْلَ أَنْ يَقَعَ مِنْ الْأَرْضِ فَطِيبُوا بِهَا نَفْسًا

Daripada Aishah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak Adam yang lebih disukai Allah pada Hari Edul Adha selain menyembelih korban. Sesungguhnya binatang itu akan datang pada hari kiamat dengan tanduk, kuku, dan bulunya. Dan sesungguhnya darah korban lebih dahulu menitik di satu tempat di sisi Allah sebelum ia menitik ke bumi. Oleh itu elokkan dirimu dengan Ikhlas melakukannya” (Sunan Tirmizi No:1413) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Hari Raya Korban (Eidul Adha) semakin hampir. Amal yang paling Allah sukai pada Hari Raya Eidul Adha daripada setiap Muslim ialah melaksanakan ibadah korban berbanding amalan sunat yang lain.

2.  Mereka yang melaksanakan ibadah korban ini di hari akhirat nanti akan datang binatang yang dikorbankan berserta tanduk, kuku dan bulunya sebagai saksi ibadat yang telah mereka laksanakan semasa di dunia dengan Ikhlas.

3.  Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa ia juga menunjukkan kesempurnaan pahala yang diperoleh — bukan setakat ibadah biasa, tetapi ibadah yang datang dengan bukti nyata pada hari kiamat. Dimana setiap bahagian haiwan korban akan menjadi pahala dan saksi kepada pelakunya di akhirat.

4.  Ibadah Korban yang ikhlas dilaksanakan oleh Muslim, akan diterima Allah dan diredaiNya sebelum darahnya menitik ke bumi. Ibn Rajab al-Hanbali menyatakan bahawa ini menunjukkan Allah sangat suka kepada ibadah ini kerana ia menggabungkan keikhlasan, pengorbanan harta, dan menghidupkan sunnah Nabi Ibrahim a.s.

5.  Justeru itu, laksanakanlah ibadah korban dengan memastikan binatang yang terbaik berdasarkan kemampuan kewangan, cara penyembelihan dan pengagihan daging yang sempurna.

6.  Sunnah berkorban perlu terus dihidupkan, terutamanya dalam masyarakat yang semakin melupakan erti pengorbanan sebenar.


Thursday, May 22, 2025

Ibadat Tawaf

Khamis, 24 Zulkaedah 1446H  |  Ibadat Tawaf

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رضي الله عنه، أَنَّ النَّبِيَّ ﷺ قَالَ: الطَّوَافُ حَوْلَ البَيْتِ مِثْلُ الصَّلَاةِ، إِلَّا أَنَّكُمْ تَتَكَلَّمُونَ فِيهِ، فَمَنْ تَكَلَّمَ فِيهِ فَلَا يَتَكَلَّمَنَّ إِلَّا بِخَيْرٍ.

Daripada Ibnu Abbas RA bahawa Nabi SAW bersabda: "Tawaf di sekeliling Kaabah itu seperti solat, kecuali kamu dibenarkan bercakap-cakap dalamnya. Maka sesiapa yang bercakap dalamnya, janganlah dia bercakap kecuali dengan perkataan yang baik." (Sunan Tirmizi No: 960) Status Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Imam Nawawi menegaskan bahawa tawaf adalah ibadah yang sangat mulia dan mempunyai kedudukan yang tinggi seperti solat, bukan sekadar berjalan mengelilingi Kaabah. Justeru, ia menuntut adab seperti berwuduk, kekhusyukan dan penghindaran dari perkara sia-sia. Oleh itu, jika seseorang bercakap semasa tawaf, ia hendaklah dengan perkataan yang baik dan bermanfaat, seperti doa, zikir, atau memberi nasihat.

2.  Ibnu Qudamah dalam al-Mughni menyatakan bahawa tawaf adalah ibadah jasmani dan rohani. Maka, walaupun seseorang bercakap semasa tawaf  tidak membatalkan ibadat tawaf, tetapi percakapan sia-sia mengurangkan pahala. Justeru, dianjurkan untuk memperbanyak zikir, doa dan istighfar semasa tawaf.

3.  Seorang yang sedang bertawaf perlu menjauhi perkara sia-sia dengan menghindari gosip, jenaka berlebihan, atau perkara duniawi. 

4.  Seorang yang sedang melakukan tawaf hendaklah dalam keadaan berwuduk, suci dan bersih, menjaga kekhusyukan hati, mengisi lidah dengan zikir dan doa, serta menjauhkan diri dari kata-kata yang tidak berfaedah.


Wednesday, May 21, 2025

Jadilah Hayyin, Layyin, Sahl dan Qarib

Rabu, 23 Zulkaedah 1446H   |   Jadilah Hayyin, Layyin, Sahl dan Qarib

  عن ابن مسعود، أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال: حُرِّمَ عَلَى النَّارِ كُلُّ هَيِّنٍ لَيِّنٍ سَهْلٍ قَرِيبٍ مِنَ النَّاسِ

Daripada Ibn Masud, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: Diharamkan keatas api neraka, setiap orang yang bersikap rendah hati (tenang), lemah lembut, mudah berurusan, serta dekat dengan manusia (mudah didekati) (HR Tirmizi No 2488).  Status: Hadis Hasan Sahih

Pengajaran:

1.  Ciri-ciri orang yang dijauhkan daripada neraka:
•  (hayyin): Orang yang bersikap tenang, tidak cepat marah, tidak kasar.
•  (layyin): Lembut tutur katanya, lembut pergaulannya, mudah ditegur.
•  (sahl): Mudah berurusan, tidak menyusahkan orang lain, tidak cerewet.
•  (qarīb mina al-nās): Mudah didekati, mesra dengan masyarakat, tidak sombong atau menjauhkan diri.

2.  Ganjaran besar bagi akhlak mulia:
•  Orang yang memiliki sifat-sifat ini mendapat keistimewaan yang sangat besar – dijauhkan dari azab neraka.
•  Hal ini menunjukkan betapa pentingnya akhlak dalam Islam. Bukan hanya ibadah, bahkan hubungan sesama manusia juga menentukan tempat seseorang di akhirat.

3.  Kepentingan menjadi insan yang disenangi:
•  Islam sangat menitikberatkan nilai sosial dan akhlak yang baik dalam pergaulan.
•  Menjadi orang yang menyenangkan, mudah didekati, dan ringan tulang adalah cerminan keimanan yang benar.

4. Berusahalah memiliki sifat lemah lembut, tidak kasar, tidak menyusahkan orang lain serta mudah didekati. Sifat-sifat ini bukan sahaja membawa manfaat di dunia (disenangi manusia), tetapi juga di akhirat (dijauhkan dari neraka).


Tuesday, May 20, 2025

Mencium Hajarul Aswad

Selasa, 22 Zulkaedah 1446H   |  Mencium Hajarul Aswad

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ، عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم قَالَ: الْحَجَرُ الْأَسْوَدُ يَاقُوتَةٌ بَيْضَاءُ مِنْ يَاقُوتِ الْجَنَّةِ، وَإِنَّمَا سَوَّدَتْهُ خَطَايَا الْمُشْرِكِينَ، يُبْعَثُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِثْل أُحُدٍ يَشْهَدُ لِمَنِ اسْتَلَمَهُ وَقَبَّلَهُ مِنْ أَهْلِ الدُّنْيَا

Daripada Ibn ‘Abbas RA, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda: “Hajar Aswad adalah permata putih daripada permata syurga. Ia menjadi hitam disebabkan dosa-dosa orang musyrik. Ia akan dibangkitkan pada hari kiamat dalam keadaan sebesar Bukit Uhud dan akan menjadi saksi bagi sesiapa yang menyentuh dan menciumnya di dunia.” (HR Ibnu Huzaimah No 2734) Status Hadis Hasan Sahih

Pengajaran:

1.  Hajar Aswad berasal dari syurga, dan asal warnanya adalah putih bersih, seperti mana yang disebut dalam hadis ini. Menurut Imam al-Qurtubi, perubahan warna kepada hitam itu bukan disebabkan sifat fizikalnya, tetapi kerana kesan dosa-dosa manusia, khususnya golongan musyrikin yang menyentuhnya dengan penuh dosa dan kekufuran.

2.  Menyentuh dan mencium Hajar Aswad adalah salah satu bentuk ibadah yang menunjukkan penghormatan kepada syiar Islam yang ditetapkan oleh Allah dan diamalkan oleh Rasulullah SAW.

3.  Hadis ini mengajar bahawa dosa boleh memberi kesan, bukan hanya secara rohani, tetapi juga pada fizikal  seperti Hajar Aswad yang asalnya putih tetapi menjadi hitam kerana dosa.

4.  Umat Islam diajar agar mengikut sunnah seperti mencium Hajar Aswad bukan kerana batu itu sendiri, tetapi kerana meneladani Rasulullah SAW.


Monday, May 19, 2025

Keistimewaan Air Zam-Zam

Isnin,  21 Zulkaedah 1446H  | Keistimewaan Air Zam-Zam

وَعَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ  صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَاءُ زَمْزَمَ لِمَا شُرِبَ لَهُ، إنْ شَرِبْتَهُ تَسْتَشْفِي بِهِ شَفَاكَ اللَّهُ، وَإِنْ شَرِبْتَهُ يُشْبِعُكَ أَشْبَعَكَ اللَّهُ بِهِ، ‌وَإِنْ ‌شَرِبَتْهُ ‌لِقَطْعِ ‌ظَمَئِكَ ‌قَطَعَهُ ‌اللَّهُ وَهِيَ هَزْمَةُ جِبْرِيلَ وَسُقْيَا إسْمَاعِيلَ. [وفي رواية] وإن شربته مستعيذًا أعاذك الله فكان ابن عباس ذا شرب ماء زمزم قال: اللّٰهُمَّ إِنِّيْ أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا وَرِزْقًا وَاسِعًا وَشِفٓاءً مِنْ كُلِّ دَاءٍ

Daripada Ibnu ‘Abbas Radhiyallahu ‘anh, Rasulullah SAW bersabda : "Air Zamzam itu adalah menurut niat orang yang meminumnya. Jika engkau meminumnya untuk kesembuhan, Allah akan menyembuhkanmu; jika engkau meminumnya untuk mengenyangkan, Allah akan mengenyangkanmu; jika engkau meminumnya untuk menghilangkan dahaga, Allah akan menghilangkan dahagamu. Ia adalah hasil hentakan malaikat Jibril dan minuman yang diberikan Allah kepada Nabi Ismail."
Dalam satu riwayat lain, apabila Ibn Abbas meminum air Zamzam, beliau berdoa: “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang luas, dan kesembuhan dari segala penyakit.” (HR Al-Hakim 1/473) Status Hasan.

Pengajaran:

1.  Setiap amalan, termasuk ketika minum air Zamzam, harus dimulakan dengan niat yang baik.

2.  Ibn al-Qayyim menjelaskan bahawa air Zamzam memiliki keberkatan luar biasa yang tidak dimiliki oleh air lain. Ia adalah air terbaik di muka bumi dari segi kandungan, keberkatan, dan fadhilatnya.

3.  Air Zamzam mempunyai kelebihan bergantung kepada niat dan keyakinan orang meminumnya seperti mengenyangkan, menghilangkan dahaga juga menyembuhkan penyakit.

4.  Ketika minum Air Zamzam disunatkan berdoa dengan permintaan yang baik seperti ilmu yang bermanfaat, rezeki yang luas dan kesembuhan dari penyakit kerana ia waktu yang diberkati.


Sunday, May 18, 2025

Guru Mempermudahkan Pengajaran

Ahad, 20 Zulkaedah 1446H  |  Guru Mempermudahkan Pengajaran

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلِّمُوا وَيَسِّرُوا وَلَا تُعَسِّرُوا وَإِذَا غَضِبْتَ فَاسْكُتْ وَإِذَا غَضِبْتَ فَاسْكُتْ وَإِذَا غَضِبْتَ فَاسْكُتْ

Daripada Ibnu Abbas, ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "hendaklah kalian mengajar (ilmu), mempermudah dan jangan menyukarkan. Bila engkau marah maka diamlah. Bila engkau marah maka diamlah. Bila engkau marah maka diamlah." (HR Ahmad No: 2556) Status Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Berusahalah setiap kita menjadi guru, pendakwah, pendidik bagi menyampaikan ilmu untuk membimbing orang lain menjadi insan solleh.

2.  Sebagai guru, kita perlu berhikmah dengan mempermudahkan pengajaran sehingga orang yang diajar dapat memahami dan beramal dengannya. Gunakan pendekatan yang mudah difahami, tidak membebankan dan sesuai dengan pelajar. Jangan menyukarkan.

3.  Imam al-Nawawi menyatakan bahawa arahan "ajarkanlah dan mudahkanlah" adalah prinsip asas dalam dakwah dan pendidikan. Islam menyeru kepada penyampaian yang lembut, mudah difahami dan tidak membebankan.

4.  Sebagai guru, kita berhadapan dengan pelbagai karenah dan perangai anak murid atau orang yang kita sampaikan dan nasihati. Kesabaran adalah perlu ketika berhadapan dengan pelbagai ujian dan perangai murid.

5.  Rasulullah SAW mengulang tiga kali agar kita "DIAM" jika kita marah. Ulangan frasa ini sebanyak tiga kali menunjukkan betapa pentingnya kawalan diri ketika marah. Sebarang tindak balas akibat dari marah akan memudaratkan kita dan orang lain.

6.  Marah adalah satu sifat semula jadi manusia, namun Islam mengajar kita untuk mengawal emosi itu dengan bijak, antaranya dengan berdiam diri. Diam ketika marah membantu menenangkan diri dan mencegah reaksi berlebihan.

7.  Imam al-Ghazali pula menekankan bahawa pengendalian marah adalah kunci kepada akhlak mulia, dan diam ketika marah adalah cara untuk mencegah lidah daripada mengucap kata-kata yang dilarang seperti celaan atau fitnah.

Ayuh menjadi guru yang penuh hikmah dengan penyampaian ilmu yang  mudah difahami orang lain serta tidak memberatkan. Guru yang sentiasa bersabar dan tenang menghadapi karenah anak muridnya.


Saturday, May 17, 2025

Mukmin Umpama Lebah

Sabtu, 19 Zulkaedah 1446H  |  Mukmin Umpama Lebah

عَن عَبْدُ اللَّهِ بْنُ عَمْرِو بْنِ الْعَاصِ أَنَّهُ سَمِعَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ  إِنَّ مَثَلَ الْمُؤْمِنِ لَكَمَثَلِ النَّحْلَةِ أَكَلَتْ طَيِّبًا وَوَضَعَتْ طَيِّبًا وَوَقَعَتْ فَلَمْ تُكْسَرْ وَلَمْ تَفْسُدْ

Daripada Abdullah bin Amru bin al-As, Sesungguhnya aku mendengar Rasulullah bersabda: "Sesungguhnya perumpamaan seorang mukmin adalah seperti lebah, ia makan yang baik-baik, mengeluarkan yang baik-baik, bila ia hinggap tidak membuat dahan patah dan rusak." (HR Ahmad No: 6577) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Seorang Mukmin perlu sentiasa melakukan amal kebaikan walau kepada siapapun dan dimana sahaja.

2.  Seorang Mukmin sepatutnya berperanan sebagai agen perubahan di mana sahaja dia berada.

3.  Jadilah kita seperti lebah yang berperanan secara semulajadi membantu proses pendebungaan bunga-bunga dan dalam masa yang sama menghasilkan madu. (Kita sentiasa memberi manfaat kepada orang lain).

4.  Jadilah seperti lebah yang hanya makan dari bunga-bungaan yang bersih dan tidak tercemar, seorang mukmin juga seharusnya memilih untuk memakan rezeki yang halal, baik dalam aspek makanan, minuman, pekerjaan, dan sumber pendapatan.

5. Jadilah kita seperti lebah, mendapat sesuatu dari sumber yang baik, menggunakan dan menyumbang kepada manusia lain juga yang baik dan bermanfaat. Dimana-mana kita berada, kita bukan beban tetapi asset kepada orang lain.

6.  Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebut bahawa lebah itu produktif, bermanfaat dan tidak merosakkan, dan inilah ciri utama seorang mukmin yang sejati — tidak menyakiti orang lain, menghindari kerosakan dalam masyarakat dan persekitaran serta sentiasa memberi manfaat.

7. JOM kita berusaha meninggalkan warisan yang unggul (legacy) di mana pun kita berada, berlumba untuk meninggalkan kebaikan seperti lebah yang meninggalkan legacy madu.

8.  Perlu diingat, kualiti madu yang dihasilkan oleh lebah bergantung pada sumber yang menghasilkan madu. Kita haruslah memastikan ‘sumber-sumber'nya; guru yang mendidik, ilmu yang diperolehi, pentarbiahan yang membentuk diri kita, rakan-rakan seperjuangan yang bersama kita, kumpulan yang kita bergabung dengannya dan lain-lain.


Friday, May 16, 2025

Guru Didoakan Makhluk Di Langit, Bumi dan Lautan

Jumaat, 18 Zulkaedah 1446H   | Guru Didoakan Makhluk Di Langit, Bumi dan Lautan

عَنْ أَبِي أُمَامَةَ الْبَاهِلِيِّ قَالَ ذُكِرَ لِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَجُلَانِ أَحَدُهُمَا عَابِدٌ وَالْآخَرُ عَالِمٌ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَضْلُ الْعَالِمِ عَلَى الْعَابِدِ كَفَضْلِي عَلَى أَدْنَاكُمْ ثُمَّ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ وَأَهْلَ السَّمَوَاتِ وَالْأَرَضِينَ حَتَّى النَّمْلَةَ فِي جُحْرِهَا وَحَتَّى الْحُوتَ لَيُصَلُّونَ عَلَى مُعَلِّمِ النَّاسِ الْخَيْرَ

Daripada Abu Umamah Al Bahili ia berkata; " Disebutkan kepada Rasulullah SAW tentang dua orang lelaki: salah seorangnya adalah ahli ibadah (abid) dan yang seorang lagi adalah orang berilmu (alim), kemudian Rasulullah SAW bersabda: "Keutamaan seorang alim dari seorang abid seperti keutamaanku dari orang yang paling rendah di antara kalian, " kemudian baginda melanjutkan sabdanya: "Sesungguhnya Allah, MalaikatNya serta penduduk langit dan bumi bahkan semut yang ada di dalam sarangnya sampai ikan dilautan, semuanya akan berselawat (mendoakan) untuk orang yang mengajarkan kebaikan kepada manusia." (HR Tirmizi No: 2609) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Kedudukan orang berilmu yang beramal adalah lebih utama daripada seorang ahli ibadah. Ahli ibadah adalah mereka yang beribadah secara individu, seperti solat, puasa, dan zikir. Mereka beribadah hanya untuk amalan peribadi tanpa memberi manfaat besar kepada orang lain. Sedangkan Ahli ilmu adalah mereka yang tidak hanya mengamalkan ilmu mereka sendiri, tetapi juga menyebarkan ilmu dan mengajar kepada orang lain kebaikan.

2.  Ibn Rajab al-Hanbali dalam Fadhl 'Ilm al-Salaf menyatakan bahawa hadis ini menunjukkan keutamaan ilmu dan pengajaran ilmu kerana orang yang berilmu bukan sahaja beramal untuk dirinya, malah menyampaikan manfaat kepada orang lain.

3.  Guru yang memiliki ilmu dan mengajar serta membimbing orang lain untuk menjadi insan soleh dan bertaqwa akan didoakan kebaikkan oleh semua makhluk di langit, bumi dan di dalam air.

4.  Fudlail bin Iyadl berkata; "Seorang alim yang mengamalkan ilmunya dan mengajarkan ilmunya akan dipanggil dengan kebesaran oleh para Malaikat yang ada di langit."

5.  Nabi SAW membandingkan keutamaan seorang alim dengan ahli ibadat adalah seperti keutamaannya berbanding orang yang paling rendah di kalangan sahabatnya. Hal ini menunjukkan betapa tinggi kedudukan orang yang berilmu dalam Islam.

6.  Hadis ini sangat penting sebagai dorongan untuk kita mencari ilmu dan berusaha mengajarkan kebaikan kepada orang lain, kerana ia adalah satu amalan yang bukan hanya memberi manfaat di dunia tetapi juga akan memberi ganjaran yang sangat besar di sisi Allah.


Thursday, May 15, 2025

Guru Pemacu Reformasi Pendidikan

Khamis, 17 Zulkaedah 1446H  |  Guru Pemacu Reformasi Pendidikan

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ دَعَا إِلَى هُدًى كَانَ لَهُ مِنْ الْأَجْرِ مِثْلُ أُجُورِ مَنْ تَبِعَهُ لَا يَنْقُصُ ذَلِكَ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْئًا وَمَنْ دَعَا إِلَى ضَلَالَةٍ كَانَ عَلَيْهِ مِنْ الْإِثْمِ مِثْلُ آثَامِ مَنْ تَبِعَهُ لَا يَنْقُصُ ذَلِكَ مِنْ آثَامِهِمْ شَيْئًا

Daripada Abu Hurairah RA bahawasanya Rasulullah SAW telah bersabda: "Barang siapa mengajak kepada kebaikan, maka ia akan mendapat pahala sebanyak pahala yang diperoleh orang-orang yang mengikutinya tanpa mengurangi pahala mereka sedikitpun. Sebaliknya, barang siapa mengajak kepada kesesatan, maka ia akan mendapat dosa sebanyak yang diperoleh orang-orang yang mengikutinya tanpa mengurangi dosa mereka sedikitpun." (HR Muslim No: 4831) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Sesiapa sahaja yang berperanan mengajak, menasihat serta membimbing kepada kebaikan, mereka adalah seorang guru.

2.  Imam al-Nawawi dalam syarah Sahih Muslim menyatakan bahawa hadis ini menunjukkan betapa besar pahala orang yang menyampaikan kebenaran, kerana setiap orang yang mendapat manfaat daripada ajarannya akan turut memberikan pahala berterusan kepadanya.

3.  Guru yang ingin mendapat ganjaran pahala berterusan akan   sentiasa melengkapkan dirinya dengan ilmu yang benar sejajar dengan prinsip pembelajaran sepanjang hayat.

4.  Seorang guru akan sentiasa berusaha gigih dan bersungguh-sungguh menyampaikan ilmu kepada orang lain tanpa mengira penat lelah bagi melahirkan generasi baharu yang berilmu dan memberi impak kepada kehidupan masyarakat dan negara.

5.  Guru yang menyampaikan, mendidik dan mengajar sesuatu ilmu yang benar, dia akan mendapat ganjaran pahala sama seperti pahala orang yang beramal dengan apa yang telah diajarkannya itu.

6.  Semakin ramai bilangan pelajar yang dibimbing dan diajar melakukan perkara yang baik dan bermanfaat, semakin banyak pahala yang diperolehi secara berterusan.

7.  Orang yang mengajar, membimbing dan menunjukkan yang buruk dan jahat, dia akan memperolehi ganjaran dosa sebanyak orang yang mengikuti dan beramal dengannya.

8.  Dalam konteks hari ini, menyebarkan maklumat tidak benar, fitnah atau pengaruh buruk di media sosial, blog atau video juga boleh menyebabkan dosa berpanjangan, seperti yang digambarkan dalam hadis ini.

9.  Sebagai seorang Muslim, kita harus berhati-hati dengan perkataan, apa yang ditulis dan forward, serta tindakan kita kerana kita boleh menjadi sebab kepada seseorang untuk mengikuti kebaikan atau kesalahan.

10.  Hadis ini mengingatkan bahawa tindakan manusia, baik atau buruk, boleh memberi kesan berterusan walaupun selepas kematiannya, sama seperti konsep dalam hadis tentang amalan yang tidak terputus.

Marilah kita merebut peluang membuat simpanan deposit amal yang berterusan untuk akhirat kita dengan menyampaikan ilmu melalui pelbagai medium termasuk menggunakan media sosial seperti Tiktok, FB, WhatsApp, Twitter dan sebagainya. Jadilah kita sebagai guru yang menjadi pemacu reformasi Pendidikan dengan mengajar kebaikan dan perkara bermanfaat pada orang lain.


Wednesday, May 14, 2025

Guru dan Pahala Yang Berterusan

Rabu, 16 Zulkaedah 1446H  |  Guru dan Pahala Yang Berterusan

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا مَاتَ الْإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثَةٍ إِلَّا مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Apabila salah seorang manusia meninggal dunia, maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara; sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat baginya atau anak soleh yang selalu mendoakannya." (HR Muslim No: 3084) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Setiap Muslim bergantung dengan amal yang mereka lakukan semasa hidup. Kematian bukan penamat pahala. Ada amalan yang berterusan memberi ganjaran walaupun setelah seseorang itu meninggal dunia.

2.  Ada amalan yang dilakukan oleh seorang Muslim semasa hidup akan berterusan mengalir pahalanya walaupun dia telah meninggal antaranya:

a.  Sedekah yang pernah kita buat semasa hidup sama ada berbentuk wakaf, derma, pemberian, hadiah dan sebagainya. Selagi ia dimanafaatkan oleh makhluk sama ada manusia, binatang mahupun tumbuhan, ganjaran pahalanya akan tetap berterusan untuk si mati.

b.  Ilmu bermanfaat sama ada ilmu agama mahupun ilmu dunia yang digunakan untuk kemaslahatan hidup termasuk buku, artikel, juga dalam bentuk elektronik seperti laman sesawang, FB, telegram, whatsapp.    Selagi ilmu tersebut diamalkan atau faedahnya dimanfaatkan, maka ganjaran pahala akan diperolehi oleh mereka yang menyampaikan atau yang memulakan.

c.  Anak solleh yang sentiasa berbuat kebaikan dan mendoakan rahmat serta keampunan kepada kedua ibu bapa.

3.  Kita digalakkan untuk melabur dalam amalan yang berterusan (sama ada sedekah jariah, ilmu bermanfaat juga mendidik anak yang soleh) semasa hidup.

4.  Rancanglah kehidupan ini berorientasikan akhirat. Hadis ini mendidik kita agar merancang kehidupan dengan pandangan jauh, bukan hanya untuk dunia, tetapi untuk bekalan selepas mati.

5.  Jazakumullahhu khairan katsira kepada guru sama ada yang mengajar di Nurseri, Tadika, Sekolah Rendah, Sekolah Menengah, Madrasah, Masjid dan Surau, Institusi Pengajian Tinggi seperti Kolej, IPG, dan  Universiti. Juga kepada setiap individu yang menyampaikan ilmu yang bermanfaat.

Semoga usaha para penyampai ilmu yang bermanfaat termasuk dengan tulisan, juga menggunakan media sosial akan menjadi penerus amal yang mendatangkan ganjaran pahala berterusan walaupun setelah meninggal dunia.


Tuesday, May 13, 2025

Keutamaan Sifat Tenang Ketika Beribadah

Selasa, 15 Zulkaedah 1446H  |   Keutamaan Sifat Tenang Ketika Beribadah

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَنَّهُ دَفَعَ مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ عَرَفَةَ فَسَمِعَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَرَاءَهُ زَجْرًا شَدِيدًا وَضَرْبًا وَصَوْتًا لِلْإِبِلِ فَأَشَارَ بِسَوْطِهِ إِلَيْهِمْ وَقَالَ أَيُّهَا النَّاسُ عَلَيْكُمْ بِالسَّكِينَةِ فَإِنَّ الْبِرَّ لَيْسَ بِالْإِيضَاعِ

Daripada Ibnu 'Abbas RA, bahawasanya beliau telah bertolak bersama-sama Nabi SAW pada hari 'Arafah. Kemudian Nabi SAW mendengar dari arah belakang Baginda SAW suara yang keras dan bentakan serta pukulan terhadap unta. Maka Baginda SAW memberi isyarat kepada mereka dengan cemeti agar bertenang. Baginda SAW bersabda: "Wahai manusia, hendaklah kamu bertenang, kerana sesungguhnya kebaikan bukan (diperoleh) dengan tergesa-gesa." (HR Bukhari No: 1671) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Islam adalah agama yang membawa rahmat, bukan sahaja kepada sesama manusia bahkan kepada semua makhluk termasuk binatang.

2.  Bersifat rahmah dengan berlemah lembut dengan binatang tunggangan adalah suatu yang dituntut.

3.  Peristiwa dalam hadis ini berlaku ketika para jemaah haji sedang meninggalkan Arafah menuju Muzdalifah, selepas wukuf yang menjadi salah satu rukun dalam ibadah haji. Sebahagian mereka menggesa unta-unta mereka secara kasar dan tergesa-gesa, mungkin kerana ingin segera sampai atau kerana kesesakan.

4.  Ibadah perlu dilakukan dengan ketenangan dan tertib, bukan dalam keadaan tergesa-gesa. Imam Nawawi menjelaskan bahawa hadis ini adalah dalil bahawa ketenangan dan adab ketika ibadah sangat dituntut, terutama semasa menunaikan ibadah haji yang suci.

5.  Antara rahmat yang diberikan Allah SWT kepada hamba-Nya adalah dapat melakukan ibadah dengan taufik dan hidayah-Nya. Setiap ibadah yang dilakukan seperti solat, haji dan sebagainya hendaklah dilakukan dengan penuh ketenangan. Hanya ibadah yang dilaksanakan dengan penuh ketenangan akan melahirkan kebesaran dan ketaqwaan kepada Allah SWT dalam hatinya.

6.  Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam Fath al-Bari menyatakan bahawa teguran Nabi itu bertujuan meluruskan kefahaman para sahabat, bahawa kebaikan (al-birr) bukanlah diukur melalui kepantasan, tetapi melalui adab dan ketenangan dalam amal ibadah.

7.  Menolak sikap tergesa-gesa (ta‘ajul) – Islam menekankan ketenangan dalam segala hal, terutama dalam ibadah. Tergesa-gesa boleh membawa kepada kesilapan dan hilangnya roh ibadah.

8. Setiap Muslim hendaklah sentiasa bersifat tenang kerana sifat tergesa-gesa akan menyebabkan seseorang itu melakukan kesilapan dan ketidaksempurnaan dalam melakukan amal ibadah yang akhirnya menyebabkan amalan tersebut ditolak oleh Allah SWT.

9. Buat para Jemaah Haji yang diberi peluang mengerjakan ibadah haji dan menjadi tetamu duyufurrahman pada tahun ini, semoga sentiasa tenang beribadat di sana serta didoakan kebaikan dan mendapat haji yang mabrur.

زَوَّدَكَ اللَّهُ التَّقْوَى وَغَفَرَ ذَنْبَكَ وَيَسَّرَ لَكَ الْخَيْرَ حَيْثُمَا كُنْتَ

“Semoga Allah SWT membekalkanmu dengan ketaqwaan, mengampunkan dosamu dan Allah memudahkan kebaikan untukmu di mana sahaja kamu berada.”

اللَّهُمَّ اجْعَلْ حَجًّا مَبْرُوْرًا وَسَعْيًا مَشْكُوْرًا وَذَنْبًا مَغْفُوْرًا

“Semoga Allah menganugerahkan haji yang mabrur, usaha yang disyukuri dan dosa yang diampuni.”


Monday, May 12, 2025

Mencium Hajarul Aswad

Isnin, 14 Zulkaedah 1446H  |   Mencium Hajarul Aswad

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ سَرْجِسَ قَالَ :رَأَيْتُ الْأَصْلَعَ يَعْنِي عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ يُقَبِّلُ الْحَجَرَ وَيَقُولُ: وَاللَّهِ إِنِّي لَأُقَبِّلُكَ وَإِنِّي أَعْلَمُ أَنَّكَ حَجَرٌ وَأَنَّكَ لَا تَضُرُّ وَلَا تَنْفَعُ وَلَوْلَا أَنِّي رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَبَّلَكَ مَا قَبَّلْتُكَ

Daripada ‘Abdullah bin Sarjis RA berkata; Aku pernah melihat al-Ashla' iaitu ‘Umar bin Al-Khattab RA mencium Hajar Aswad sambil berkata: "Demi Allah, sesungguhnya aku pasti akan menciummu, meskipun aku tahu kamu hanyalah sebiji batu yang tidak dapat memberi mudharat dan tidak pula dapat memberi manfaat. Sekiranya aku tidak melihat Rasulullah SAW menciummu, nescaya aku tidak akan menciummu." (HR Bukhari, No: 1597) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Allah SWT yang mencipta seluruh makhluk dan Allah berkuasa atas segala sesuatu. Setiap ciptaan-Nya tidak dapat mendatangkan sesuatu kebaikan mahupun keburukan kecuali dengan keizinan dan kehendak-Nya.

2.  Setiap Muslim hendaklah mentaati segala perintah Allah SWT selari dengan petunjuk Sunnah Nabi SAW.

3.  Perlu difahami bahawa perintah Allah SWT ada yang dihukumkan sebagai wajib, sunat, makruh, haram dan harus berdasarkan kaedah-kaedah hukum yang telah disepakati oleh ulama. Contohnya apabila kita berada di Masjilil Haram antara amalan sunat adalah perbuatan mencium hajar aswad. Para sahabat Nabi SAW mengikuti amalan tersebut sebagai ittiba’ (ikutan sunnah) tanpa banyak persoalan kerana mereka melihat amalan tersebut dilakukan oleh Nabi SAW.

4.  Dalam mazhab Syafie hukum mencium hajar aswad adalah sunat. Namun perlu diingat, ketika melakukan perbuatan mencium hajarul aswad itu, pastikan tidak menzalimi dengan menarik atau menyakiti orang lain. Dibimbangi perkara sunat itu menjadi haram. Moga menjadi peringatan buat mereka yang sekarang ini menjadi tetamu duyufurahman di Makah.

5.  Allah SWT sahaja yang Maha Mengetahui hikmah dan kepentingan disebalik sesuatu pensyariatan. Justeru, sebagai seorang hamba-Nya yang Muslim, maka wajiblah setiap perintah-Nya dilaksanakan manakala setiap larangan-Nya hendaklah dijauhi mengikut kemampuan tanpa perlu dipersoalkan kenapa ianya disyariatkan.

6.  Imam al-Nawawi menyebut bahawa hadis ini mengandungi dalil bahawa mengikuti Nabi SAW dalam perbuatan ibadah adalah dituntut, walaupun kita tidak mengetahui hikmahnya secara langsung.