Monday, July 27, 2026

Solat Jenazah Oleh Seratus Orang

Isnin, 12 Safar 1448H   |   Solat Jenazah Oleh Seratus Orang
 
عَنْ عَائِشَةَ، عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم قَالَ ‏: مَا مِنْ مَيِّتٍ يُصَلِّي عَلَيْهِ أُمَّةٌ مِنَ الْمُسْلِمِينَ يَبْلُغُونَ مِائَةً كُلُّهُمْ يَشْفَعُونَ لَهُ إِلاَّ شُفِّعُوا فِيهِ
 
Daripada Aisyah binti Abu Bakar RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Tidaklah seorang Muslim yang meninggal dunia, kemudian disolatkan oleh seratus orang daripada kalangan orang Islam, yang semuanya memohon syafaat (berdoa) untuknya, melainkan syafaat mereka diterima bagi pihaknya." (HR Muslim No: 947) Status Hadis Sahih
 
Pengajaran:
 
1.    Solat jenazah merupakan ibadah yang mengandungi doa,  permohonan keampunan dan rahmat kepada Allah SWT bagi pihak si mati.
 
2.    Menurut Ibn Hajar al-Asqalani, bilangan seratus menunjukkan ramainya orang yang mendoakan si mati. Semakin ramai orang beriman yang ikhlas mendoakan keampunan buat si mati, semakin besar harapan agar doa tersebut diterima oleh Allah SWT.
 
3.    Solat jenazah memperlihatkan kekuatan ukhuwah Islamiah dan hubungan kasih sayang yang berterusan sesama Muslim dalam menunaikan hak dan tanggungjawab sehingga selepas kematian seseorang.
 
4.    Seorang Muslim hendaklah menjaga dan membina hubungan baik dengan masyarakat ketika hidup agar memperoleh doa rahmat dan keampunan daripada Muslim yang lain apabila meninggal dunia.
 
5.    Hadis ini menegaskan bahawa solat jenazah bukan sekadar satu kewajipan fardu kifayah, bahkan merupakan medan syafaat dan doa bagi si mati. Rasulullah SAW menjelaskan bahawa apabila sekumpulan orang Islam yang beriman dan ikhlas menunaikan solat jenazah serta memohon keampunan untuknya, Allah SWT menerima syafaat mereka dengan rahmat-Nya.
 

Sunday, July 26, 2026

Kelebihan Mengiringi Jenazah

Ahad, 11 Safar 1448H  |   Kelebihan Mengiringi Jenazah
 
عن أبي هريرة رضي الله عنه قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏:‏ مَنْ شَهِدَ الْجَنَازَةَ حَتَّى يُصَلَّى عَلَيْهَا فَلَهُ قِيرَاطٌ وَمَنْ شَهِدَهَا حَتَّى تُدْفَنَ فَلَهُ قِيرَاطَانِ ‏ ‏.‏ قِيلَ وَمَا الْقِيرَاطَانِ قَالَ ‏"‏ مِثْلُ الْجَبَلَيْنِ الْعَظِيمَيْنِ ‏"
‏ ‏انْتَهَى حَدِيثُ أَبِي الطَّاهِرِ وَزَادَ الآخَرَانِ قَالَ ابْنُ شِهَابٍ قَالَ سَالِمُ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ وَكَانَ ابْنُ عُمَرَ يُصَلِّي عَلَيْهَا ثُمَّ يَنْصَرِفُ فَلَمَّا بَلَغَهُ حَدِيثُ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ لَقَدْ ضَيَّعْنَا قَرَارِيطَ كَثِيرَةً ‏
 
Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:"Sesiapa yang menghadiri jenazah sehingga disolatkan, maka baginya satu qirat. Dan sesiapa yang menghadirinya sehingga selesai dikebumikan, maka baginya dua qirat." Lalu para sahabat bertanya: "Apakah yang dimaksudkan dengan dua qirat itu?" Baginda menjawab: "Seumpama dua buah gunung yang sangat besar."
Kemudian Ibn Shihab al-Zuhri meriwayatkan bahawa Salim bin Abdullah bin Umar berkata: Abdullah bin Umar RA pada mulanya hanya menghadiri solat jenazah kemudian terus pulang. Apabila beliau mendengar hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA ini, beliau berkata: "Sesungguhnya kita telah kehilangan banyak ganjaran yang besar." (HR Muslim no: 945) Status Hadis Sahih
 
Pengajaran:
 
1.    Menghadiri solat jenazah dan mengiringinya hingga selesai pengebumian merupakan amalan yang sangat besar ganjarannya di sisi Allah SWT.
 
2.    Ganjaran satu qirat yang dijanjikan kepada orang yang solatkan jenazah seumpama sebuah gunung yang besar, menggambarkan keluasan rahmat dan pahala yang dikurniakan Allah SWT.
 
3.    Ganjaran dua qirat pula diberikan kepada orang yang solat untuk jenazah dan mengiringi sehingga selesai pengebumian menggambarkan keluasan rahmat Allah kepada mereka yang menunjukkan penghormatan, kesabaran dan kesetiaan kepada hak saudaranya sesama Muslim.
 
4.    Menghadiri pengebumian dengan mendirikan solat jenazah dan mengiringi ke kubur merupakan sebahagian daripada penunaian hak seorang Muslim ke atas Muslim yang lain. Ia mencerminkan kasih sayang,  ukhuwah serta sokongan moral kepada keluarga si mati.
 
5.    Mengingati kematian melalui penyertaan dalam urusan pengurusan jenazah dapat melembutkan hati dan mendorong seseorang meningkatkan amal soleh.
 
6.    Sikap Abdullah bin Umar RA menunjukkan bahawa seorang mukmin hendaklah sentiasa berusaha menambah amal apabila mengetahui kelebihan sesuatu amalan.
 
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah

Saturday, July 25, 2026

Jaminan Masuk Syurga

Sabtu  10 Safar 1448H   |   Jaminan Masuk Syurga

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ أَصْبَحَ مِنْكُمْ الْيَوْمَ صَائِمًا قَالَ أَبُو بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَا قَالَ فَمَنْ تَبِعَ مِنْكُمْ الْيَوْمَ جَنَازَةً قَالَ أَبُو بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَا قَالَ فَمَنْ أَطْعَمَ مِنْكُمْ الْيَوْمَ مِسْكِينًا قَالَ أَبُو بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَا قَالَ فَمَنْ عَادَ مِنْكُمْ الْيَوْمَ مَرِيضًا قَالَ أَبُو بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَا فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا اجْتَمَعْنَ فِي امْرِئٍ إِلَّا دَخَلَ الْجَنَّةَ

Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata: Rasulullah SAW pernah bertanya: "Siapakah di antara kamu yang pagi ini sedang berpuasa?" Abu Bakar RA menjawab, "Aku." Baginda bertanya lagi: "Siapa di antara kalian yang hari ini telah mengiringi jenazah?" Abu Bakar menjawab: "Aku." Baginda bertanya lagi: "Siapa di antara kalian yang hari ini telah memberi makan kepada orang miskin?" Abu Bakar menjawab: "Aku." Baginda bertanya lagi: "Siapa di antara kalian yang hari ini telah menziarahi orang sakit?" Abu Bakar menjawab, "Aku." Lalu Rasulullah SAW bersabda: "Tidaklah semua amalan ini berhimpun pada diri seseorang melainkan dia akan masuk syurga." (HR Muslim No: 1707) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.    Syurga disediakan untuk mereka yang beriman dan melakukan amal yang soleh.
 
2.    Abu Bakar adalah contoh sahabat Rasulullah SAW dalam mengamalkan ajaran Islam. Beliau bukan sahaja tekun dalam ibadah khusus seperti puasa, malah aktif dalam ibadah sosial seperti membantu golongan memerlukan, menziarahi orang sakit dan mengiringi jenazah.
 
3.    Melaksanakan ibadat puasa adalah sebahagian daripada ibadat peribadi setiap Muslim sebagai bukti ketaatan dan keikhlasan seseorang kepada Allah.
 
4.    Menghantar jenazah, memberi makan kepada orang miskin dan menziarahi orang sakit merupakan kewajipan Muslim kepada masyarakat. Ia adalah sebahagian daripada penunaian tanggungjawab terhadap hak orang lain apabila kita hidup bermasyarakat, dan ia mencerminkan sifat rahmah dan ukhuwah Islamiah.
 
5.    Mukmin yang cemerlang dan dijanjikan syurga ialah mereka yang mengimbangi ibadah kepada Allah SWT dengan khidmat kepada Masyarakat seperti menziarahi orang sakit, menolong orang yang susah serta sentiasa mencari peluang untuk berbuat kebaikan dan menjadikan setiap hari sebagai medan berlumba-lumba menuju keredaan dan rahmat Allah SWT.
 
6.    Marilah kita menyantuni orang yang lemah seperti golongan fakir dan miskin, orang yang sakit juga anak yatim. Hidupkan budaya menziarahi atau bertanya khabar kerabat, sahabat, teman, jiran, rakan kita yang kurang sihat. Moga ia menjadi amal yang dijanjikan syurga.
 

Friday, July 24, 2026

Pengakhiran Kalimah Yang Baik

Jumaat, 9 Rejab 1448H   |  Pengakhiran Kalimah Yang Baik
 
عَنْ مُعَاذِ بْنِ جَبَلٍ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَنْ كَانَ آخِرُ كَلَامِهِ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ دَخَلَ الْجَنَّةَ
 
Daripada Mu'az bin Jabal RA, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:"Sesiapa yang akhir ucapannya (sebelum meninggal dunia) ialah: ‘Lā ilāha illā Allāh’ (Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah), maka dia akan masuk syurga." (HR Abu Daud No: 3116) Status Hadis Sahih

Pengajaran:

1.    Kalimah "La ilaha illa Allah" (Tiada Tuhan melainkan Allah) adalah kunci utama syurga, ia merupakan asas akidah dan bukti keimanan seseorang.
 
2.    Al-Qurtubi menyebutkan, maksud “akhir kalam” bukan semata-mata secara lisan fizikal, tetapi kalimah terakhir yang keluar dari kesedaran hati dan lidah serta diucapkan dengan iman yang benar, bukan secara kebetulan atau tanpa sedar.
 
3.    Menurut Imam Ibn Rajab, hanya orang yang hidupnya dibina atas tauhid dan amal soleh akan diberi taufik oleh Allah untuk menyebut kalimah ini di akhir hayat.
 
4.    Pengakhiran dengan kalimah ini adalah tanda husnul khatimah (pengakhiran yang baik) dan petanda besar keampunan Allah.
 
5.    Sunnah mentalqinkan (membisikkan) kepada orang yang nazak dengan kalimah tauhid, perlu dilakukan dengan penuh hikmah, kelembutan dan kasih sayang.
 
6.    Orang yang biasa dengan zikrullah ketika hidup lebih mudah mengucapkannya ketika menghadapi sakaratul maut.
 
7.    Hadis ini memberikan harapan besar kepada orang beriman: jika akhir kalimah kita ialah "La ilaha illa Allah", maka syurga adalah balasannya. Namun, juga menjadi peringatan bahawa pengakhiran itu tidak datang tanpa usaha. Bahkan memerlukan kehidupan yang dibina atas iman, amal, taubat dan pengharapan kepada rahmat Allah.
 

Thursday, July 23, 2026

Doa Mustajab

Khamis, 8 Safar 1448H  |   Doa Mustajab
 
عَنْ بريدة بن الحصيب الأسلمي  :أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سَمِعَ رَجُلًا يَقُولُ: اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ أَنِّي أَشْهَدُ أَنَّكَ أَنْتَ اللَّهُ، لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ، الْأَحَدُ الصَّمَدُ الَّذِي لَمْ يَلِدْ، وَلَمْ يُولَدْ، وَلَمْ يَكُنْ لَهُ كُفُوًا أَحَدٌ، فَقَالَ: لَقَدْ سَأَلْتَ اللَّهَ بِالِاسْمِ الَّذِي إِذَا سُئِلَ بِهِ أَعْطَى، وَإِذَا دُعِيَ بِهِ أَجَابَ
 
Daripada Buraidah bin al-Hasib al Aslami RA: Bahawa Rasulullah SAW mendengar seorang lelaki berdoa: “Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu, bahawa diriku bersaksi sesungguhnya Engkau adalah Allah yang tidak ada tuhan yang berhak disembah melainkan Engkau Yang Maha Esa, tempat bergantung segala makhluk, yang tidak beranak dan tidak pula diperanakkan, dan tidak ada seorang pun yang setara dengan-Mu,” kemudian Rasulullah SAW bersabda: “Sungguh engkau telah memohon kepada Allah dengan nama-Nya, yang apabila Dia diminta dengannya, Dia pasti akan memberi, dan jika Dia diseru dengannya, Dia akan memperkenankan doa”. (HR Abu Daud No:1493) Status Hasan Sahih
 
Pengajaran:
 
1.    Berdoa dengan menyebut nama-nama dan sifat-sifat Allah merupakan antara adab doa yang paling utama.
 
2.    Hadis ini mengandungi doa yang mengandungi pengakuan terhadap sifat-sifat Allah yang paling agung menjadi antara asas doa  diperkenan:
 
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ أَنِّي أَشْهَدُ أَنَّكَ أَنْتَ اللَّهُ، لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ، الْأَحَدُ الصَّمَدُ الَّذِي لَمْ يَلِدْ،
 وَلَمْ يُولَدْ، وَلَمْ يَكُنْ لَهُ كُفُوًا أَحَدٌ
 
3.    Surah al-Ikhlas bukan sekadar surah untuk dibaca, tetapi juga menjadi antara doa yang mengandungi pengakuan tauhid yang sempurna. Tauhid didahulukan sebelum seseorang mengemukakan permohonan kepada Allah antara asbab doa diperkenankan.
 
4.    Keberkesanan doa bergantung kepada keikhlasan, keyakinan, adab serta kesucian hati, di samping rahmat Allah SWT.
 
5.    Mengenali nama-nama dan sifat-sifat Allah akan meningkatkan rasa cinta, takut, harap dan tawakal kepada-Nya.
 
6.    Hadis ini menunjukkan bahawa doa yang dimulakan dengan pujian kepada Allah, pengakuan terhadap keesaan dan kesempurnaan sifat-sifat Allah SWT sebelum menyatakan hajat dan permohonannya merupakan faktor yang mendekatkan seseorang kepada rahmat dan perkenan Allah SWT.  
 

Wednesday, July 22, 2026

Membaca Tiga Qul Sebelum Tidur

Rabu, 7 Safar 1448H  |   Membaca Tiga Qul Sebelum Tidur

عَنْ عَائِشَةَ رضي الله عنها: أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا أَوَى إِلَى فِرَاشِهِ كُلَّ لَيْلَةٍ: جَمَعَ كَفَّيْهِ، ثُمَّ نَفَثَ فِيهِمَا، فَقَرَأَ فِيهِمَا: قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ، وَ قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ الْفَلَقِ، وَ قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاسِ، ثُمَّ يَمْسَحُ بِهِمَا مَا اسْتَطَاعَ مِنْ جَسَدِهِ، يَبْدَأُ بِهِمَا عَلَى رَأْسِهِ وَوَجْهِهِ وَمَا أَقْبَلَ مِنْ جَسَدِهِ، يَفْعَلُ ذَلِكَ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ

Daripada Aisyah binti Abu Bakar RA, beliau berkata: Setiap kali Rasulullah SAW hendak tidur pada waktu malam, Baginda merapatkan kedua-dua tapak tangannya, Baginda membaca Surah al-Ikhlas, Surah al-Falaq dan Surah al-Nas, kemudian meniup perlahan ke dalam kedua-dua tapak tangannya. Setelah itu Baginda menyapu dengan kedua-dua tangannya itu bahagian tubuh yang mampu dicapai, dimulakan dengan kepala, kemudian muka dan bahagian tubuh yang dapat dicapai oleh tangannya. Baginda melakukan amalan tersebut sebanyak tiga kali. (HR Bukhari No: 5017) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.    Rasulullah SAW setiap malam sebelum tidur akan menghimpunkan kedua telapak tangannya, lalu membaca tiga surah iaitu Surah Al-Ikhlas (Qul huwal-lahu ahad), Surah Al-Falaq (Qul a'udhu bi rabbil-falaq), dan Surah An-Nas (Qul a'udhu bi rabbil-nas) kemudian meniup ketelapak tangan diikuti dengan menyapu ke seluruh anggota bermula dari kepala, muka dan anggota yang boleh dicapai dengan diulang sebanyak tiga kali.
 
2.    Imam al-Nawawi dalam al-Adzkar menjelaskan bahawa tiga surah ini adalah surah-surah perlindungan Surah Al-Ikhlas menegaskan tentang keesaan Allah, sementara Surah Al-Falaq dan Surah An-Nas memohon perlindungan dari pelbagai kejahatan, baik yang kelihatan mahupun tidak, seperti gangguan syaitan, sihir, dan segala keburukan sepanjang malam tersebut.
 
3.    Menurut Ibn Kathir kandungan al-Muawwizat:

a)    Surah al-Ikhlas mengukuhkan tauhid dan mengenalkan sifat-sifat Allah.
 
b)   Surah al-Falaq memohon perlindungan daripada kejahatan luar seperti sihir, hasad dengki dan keburukan makhluk.
 
c)    Surah al-Nas memohon perlindungan daripada bisikan syaitan dan godaan yang merosakkan hati.
 
4.    Rasulullah SAW menunjukkan kepada kita amalan kebiasaan baik untuk dilakukan sebelum tidur agar menjadi pelindung daripada gangguan dan keburukan ketika tidur. Perlindungan sebenar datang daripada Allah SWT, manakala bacaan al-Quran dan doa menjadi sebab yang disyariatkan untuk memperoleh perlindungan tersebut.
 
5.    Membaca Surah Al-Ikhlas, Surah Al-Falaq, dan Surah An-Nas sebelum tidur dengan meniup ke tapak tangan dan menyapu ke seluruh anggota badan adalah sunnah yang mudah dilakukan dan memberi manfaat besar untuk menjaga keselamatan kita. Dengan mengikuti sunnah ini, kita dapat memperoleh keamanan, ketenangan, dan perlindungan dalam hidup kita, serta mengukuhkan iman kita terhadap Allah yang Maha Melindungi.
 

Tuesday, July 21, 2026

Mu'awwizat Bacaan Pelindung

Selasa, 6 Safar 1448H   |   Al-Mu'awwizat Bacaan Pelindung
 
عَنْ عُقْبَةَ بْنِ عَامِرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: بَيْنَمَا أَنَا أَقُودُ بِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَاحِلَتَهُ فِي غَزْوَةٍ إِذْ قَالَ: يَا عُقْبَةُ، قُلْ فَاسْتَمَعْتُ. ثُمَّ قَالَ: يَا عُقْبَةُ، قُلْ فَاسْتَمَعْتُ. ثُمَّ قَالَهَا الثَّالِثَةَ. فَقُلْتُ: مَا أَقُولُ؟ فَقَالَ: قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ فَقَرَأَهَا حَتَّى خَتَمَهَا. ثُمَّ قَرَأَ: قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ الْفَلَقِ حَتَّى خَتَمَهَا. ثُمَّ قَرَأَ: قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاسِ حَتَّى خَتَمَهَا. ثُمَّ قَالَ: مَا تَعَوَّذَ بِمِثْلِهِنَّ أَحَدٌ
 
Daripada Uqbah bin Amir RA, beliau berkata: Ketika aku sedang memimpin tunggangan Rasulullah SAW dalam satu peperangan, Baginda bersabda: "Wahai Uqbah, bacalah." Aku hanya diam mendengar. Kemudian Baginda bersabda lagi: "Wahai Uqbah, bacalah." Aku tetap diam. Kemudian Baginda mengulanginya buat kali ketiga. Lalu aku bertanya: "Apakah yang hendak aku baca?" Baginda bersabda: "Bacalah: Qul huwallahu ahad." Lalu Baginda membaca (Surah al-Ikhlas) hingga selesai. Kemudian Baginda membaca: "Qul a'uzu birabbil-falaq." Lalu aku membacanya bersama (Surah al-Falaq) Baginda sehingga selesai. Kemudian Baginda membaca: "Qul a'uzu birabbin-nas." Lalu aku membacanya bersama Baginda (Surah an-Nas) sehingga selesai. Kemudian Baginda bersabda: "Tiada sesiapa yang memohon perlindungan dengan sesuatu yang lebih baik daripada ketiga-tiga surah ini." (HR Nasaie No:5430) Status Hadis Sahih
 
Pengajaran:
 
1.    Surah al-Ikhlas, al-Falaq dan al-Nas merupakan bacaan perlindungan yang paling sempurna kerana ketiga-tiga surah ini menghimpunkan tentang tauhid yang murni, pergantungan sepenuhnya kepada Allah dan permohonan perlindungan daripada segala bentuk kejahatan zahir dan batin.
 
2.    Rasulullah SAW menggalakkan kita membaca ketiga-tiga surah ini secara istiqamah sebagai sebahagian daripada zikir harian khususnya di waktu pagi, petang dan sebelum tidur dengan meniup pada kedua-dua tapak tangan dan menyapu keseluruh badan.
 
3.    Perlindungan yang sebenar datang daripada Allah SWT, manakala bacaan al-Mu'awwizat (Surah al-Ikhlas, al-Falaq dan al-Nas) menjadi sebab yang disyariatkan untuk mendapat perlindungan tersebut.
 
4.    Menurut al-Mubarakfuri, tiada doa atau bacaan perlindungan yang lebih lengkap daripada tiga surah ini kerana ia merangkumi perlindungan semua bentuk keburukan yang boleh menimpa manusia.
 
5.    Tauhid yang mantap merupakan asas kepada keselamatan rohani dan perlindungan daripada pelbagai fitnah.
 
6.    Hadis ini menunjukkan kaedah pendidikan Rasulullah SAW yang menggunakan pengulangan dan dialog bagi menarik perhatian serta meningkatkan kefahaman para sahabat.
 
7.    Seorang Muslim hendaklah sentiasa memohon perlindungan daripada kejahatan zahir dan batin, termasuk gangguan syaitan, hasad dengki dan bisikan yang menyesatkan.
 

Monday, July 20, 2026

Surah Al-Ikhlas Penyebab Masuk Syurga

Isnin, 5 Safar 1448H  |    Surah Al-Ikhlas Penyebab Masuk Syurga
 
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، قَالَ: أَقْبَلْتُ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَسَمِعَ رَجُلًا يَقْرَأُ: قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ اللَّهُ الصَّمَدُ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: وَجَبَتْ. قُلْتُ: مَا وَجَبَتْ؟ قَالَ: الجَنَّةُ
 
Daripada Abu Hurairah RA beliau berkata: "Aku berjalan bersama Rasulullah SAW lalu aku dengar seorang lelaki membaca  قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ اللَّهُ الصَّمَدُ Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Telah wajib.” Aku bertanya: “Apa yang telah wajib wahai Rasulullah?”. Baginda menjawab: “Syurga (baginya).” (HR Tirmidzi No: 2897). Status Hadis Hasan
 
Pengajaran:
 
1.    Surah al-Ikhlas mempunyai kedudukan yang tinggi kerana kandungannya menghimpunkan asas tauhid yang menegaskan bahawa: Allah Maha Esa, Allah tempat bergantung segala makhluk, Allah tidak beranak dan tidak diperanakkan dan tiada sesuatu yang setanding dengan-Nya.
 
2.    Membaca Surah al-Ikhlas dengan penuh keimanan dan keikhlasan menjadi sebab seseorang memperoleh keredaan Allah dan berhak mendapat syurga dengan rahmat-Nya.
 
3.    Tauhid ialah asas kepada seluruh amal ibadah dan syarat utama keselamatan di akhirat. Asas utama seseorang memasuki syurga ialah tauhid. Semakin sempurna tauhid seseorang maka semakin ikhlas ibadahnya, semakin baik amalannya, dan semakin kuat pergantungannya kepada Allah. Surah al-Ikhlas menjadi antara surah yang paling besar kelebihannya kerana seluruh kandungannya berkisar tentang tauhid.
 
4.    Bacaan al-Quran hendaklah disertai dengan kefahaman, penghayatan dan pengamalan.
 
5.    Keikhlasan dalam ibadah merupakan antara nilai utama yang diajarkan oleh Surah al-Ikhlas. Seseorang yang memahami Surah al-Ikhlas akan terdidik supaya hanya bergantung kepada Allah; tidak mengharapkan pujian manusia; menjauhi riak; dan memurnikan niat dalam setiap ibadah. Keikhlasan inilah yang menjadi sebab utama seseorang memperoleh keredaan Allah.
 
6.    Hadis ini menggalakkan umat Islam memperbanyakkan bacaan Surah al-Ikhlas sebagai amalan harian tanpa mengabaikan kewajipan-kewajipan agama yang lain.
 
7.    Seorang Muslim bukan sahaja digalakkan memperbanyakkan bacaan Surah al-Ikhlas, malah hendaklah memahami maknanya, memurnikan akidahnya dan menghayati nilai keikhlasan dalam setiap aspek kehidupan agar benar-benar layak memperoleh rahmat dan syurga Allah SWT.
 

Sunday, July 19, 2026

Doa Membersihkan Hati Dari Kepercayaan Karut

Ahad, 4 Safar 1448H    |    Doa Membersihkan Hati Dari  Kepercayaan Karut

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ رَدَّتْهُ الطِّيَرَةُ مِنْ حَاجَةٍ فَقَدْ أَشْرَكَ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا كَفَّارَةُ ذَلِكَ قَالَ أَنْ يَقُولَ أَحَدُهُمْ اللَّهُمَّ لَا خَيْرَ إِلَّا خَيْرُكَ وَلَا طَيْرَ إِلَّا طَيْرُكَ وَلَا إِلَهَ غَيْرُكَ

Daripada Abdullah bin Amr bin al-As RA, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang dihalang oleh kepercayaan kepada petanda sial daripada meneruskan sesuatu urusannya, maka sesungguhnya dia telah melakukan syirik." Para sahabat bertanya: "Wahai Rasulullah, apakah kaffarah (penebus) bagi perkara itu?" Baginda bersabda: "Hendaklah seseorang itu mengucapkan: 'Ya Allah, tiada kebaikan melainkan kebaikan daripada-Mu, tiada petanda (kesialan) melainkan yang telah Engkau takdirkan, dan tiada Tuhan yang berhak disembah selain Engkau.'" (HR Ahmad, No: 6748) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.    Islam melarang kepercayaan kepada petanda sial kerana ia bercanggah dengan prinsip tauhid, contohnya bulan Safar sebagai bulan sial, bunyi burung tertentu sebagai petanda membawa malapetaka.
 
2.    Mengubah keputusan hidup semata-mata kerana kepercayaan tahyul boleh termasuk dalam perbuatan syirik kerana bergantung kepada selain Allah, contohnya mempercayai bulan Safar atau burung tertentu membawa keburukan sehingga menghalangnya melakukan sesuatu seperti bermusafir atau mengadakan majlis pernikahan.
 
3.    Menurut Imam al-Qurtubi, semua bentuk kepercayaan seperti: nombor membawa sial; hari tertentu membawa malang; burung tertentu membawa musibah; bunyi tertentu menjadi petunjuk nasib; warna tertentu membawa bala, adalah bercanggah dengan prinsip tauhid kerana manfaat dan mudarat hanya berada dalam kekuasaan Allah SWT.
 
4.    Setiap Muslim mesti meyakini bahawa manfaat dan mudarat hanya berada di bawah kekuasaan Allah SWT serta wajib  membina sikap tawakal dengan mengambil sebab yang dibenarkan syarak, bukan bergantung kepada petanda atau kepercayaan karut.
 
5.    Rasulullah SAW mengajarkan doa yang mengembalikan keyakinan dan pergantungan sepenuhnya kepada Allah apabila timbul perasaan tersebut.  Rasulullah SAW mengajar doa ini:

اللَّهُمَّ لَا خَيْرَ إِلَّا خَيْرُكَ وَلَا طَيْرَ إِلَّا طَيْرُكَ وَلَا إِلَهَ غَيْرُكَ

Maksudnya: (Ya Allah, tiada kebaikan melainkan kebaikan-Mu dan tiada kesialan kecuali yang telah Engkau takdirkan dan tiada tuhan yang disembah selain Engkau)
 
6.    Islam menggalakkan sikap optimis dan bersangka baik kepada Allah, bukan hidup dalam ketakutan terhadap perkara yang tidak mempunyai sandaran syarak.
 

Saturday, July 18, 2026

Tiada Kepercayaan Buruk Terhadap Bulan Safar

Sabtu, 3 Safar 1448H   |   Tiada Kepercayaan Buruk Terhadap Bulan Safar
 
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رضي الله عنه، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم: لَا عَدْوَى، وَلَا طِيَرَةَ، وَلَا هَامَةَ، وَلَا صَفَرَ، وَفِرَّ مِنَ الْمَجْذُومِ كَمَا تَفِرُّ مِنَ الْأَسَدِ.
 
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: "Tidak ada penyakit berjangkit yang menular dengan sendirinya (tanpa ketentuan Allah), tidak ada kepercayaan sial kerana burung, tidak ada kepercayaan tentang burung hantu (yang membawa petanda buruk), dan tidak ada kepercayaan terhadap bulan Safar sebagai pembawa malang. Namun, jauhilah orang yang menghidap penyakit kusta sebagaimana kamu lari daripada seekor singa." (HR Bukhari No: 5707) Status Hadis Sahih
 
Pengajaran
 
1.    Islam menolak semua bentuk kepercayaan khurafat, tahyul dan sangkaan bahawa sesuatu selain Allah mempunyai kuasa mutlak menentukan manfaat atau mudarat.
 
2.    Seorang Muslim hendaklah menjauhkan diri daripada kepercayaan buruk tentang sesuatu contohnya bulan Safar membawa kecelakaan, haiwan tertentu seperti bunyi burung hantu atau pelesit masuk dalam rumah sebagai tanda membawa sial.
 
3.    Masyarakat Arab Jahiliah menganggap bulan Safar membawa nasib buruk dan tidak sesuai untuk bermusafir, berniaga atau berkahwin. Islam menolak kepercayaan tersebut kerana semua bulan adalah ciptaan Allah dan tidak mempunyai kuasa membawa manfaat atau mudarat dengan sendirinya.
 
4.    Kita telah berada di bulan Safar, bulan kedua di dalam kalendar Hijrah selepas bulan Muharram. Tiada perkara buruk yang dinisbahkan dengan bulan Safar ini. Jauhi amalan khurafat seperti mandi safar untuk menolak bala di bulan ini.
 
5.    Penyakit berjangkit berlaku dengan izin Allah SWT, namun manusia tetap diwajibkan mengambil langkah pencegahan yang munasabah. Hal ini selaras dengan kaedah fiqh: Menghindari kemudaratan hendaklah diutamakan.
 
6.    Tawakal kepada Allah hendaklah disertai dengan ikhtiar yang dibenarkan oleh syarak.
 
7.    Menjaga kesihatan diri dan masyarakat merupakan tuntutan agama serta sebahagian daripada pemeliharaan nyawa (hifz al-nafs). Sementara menjaga dan memelihara akidah daripada kepercayaan khurafat juga tuntutan agama untuk memelihara akidah (hifz al-din).
 
8.    Hadis ini merupakan peringatan Rasulullah SAW agar kita menolak kepercayaan masyarakat Jahiliah yang mengaitkan penyakit, burung, bulan safar atau tanda-tanda tertentu dengan kuasa membawa manfaat atau mudarat secara bebas, kerana semua perkara berlaku di bawah ketentuan Allah SWT. Pada masa yang sama, Baginda mengarahkan umat Islam supaya mengelakkan punca-punca penyakit dan mengambil langkah pencegahan yang sewajarnya, termasuk menjauhi risiko jangkitan.
 

Friday, July 17, 2026

Surah Al-Ikhlas Sepertiga Al-Quran

Jumaat, 2 Safar 1448H  |    Surah Al-Ikhlas Sepertiga Al-Quran
 
عَنْ أَبِي الدَّرْدَاءِ ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، قَالَ : أَيَعْجِزُ أَحَدُكُمْ أَنْ يَقْرَأَ فِي لَيْلَةٍ ثُلُثَ الْقُرْآنِ ؟ قَالُوا : وَكَيْفَ يَقْرَأْ ثُلُثَ الْقُرْآنِ ؟ قَالَ : قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ تَعْدِلُ ثُلُثَ الْقُرْآنِ
 
Daripada Abu Darda RA bahawa Nabi SAW bersabda: Adakah salah seorang daripada kamu tidak mampu untuk membaca sepertiga al-Quran pada waktu malam? Para sahabat bertanya: Bagaimanakah seseorang mampu membaca sepertiga al-Quran? Baginda bersabda: Qul Huwa Allahu Ahad (surah al-Ikhlas) menyamai sepertiga al-Quran.” (HR Muslim No: 811) Status Hadis Sahih
 
Pengajaran:
 
1.    Surah al-Ikhlas mempunyai kedudukan yang tinggi dalam al-Quran kerana kandungannya menghimpunkan asas tauhid.
 
2.    Ganjaran membaca Surah al-Ikhlas menyamai ganjaran membaca sepertiga al-Quran dari sudut pahala dan kandungan, bukan sebagai pengganti keseluruhan al-Quran.
 
3.    Tauhid merupakan teras utama ajaran Islam dan menjadi asas kepada semua ibadah serta akhlak. Surah al-Ikhlas menghimpunkan tema tauhid dan akidah yang nilainya menyamai satu pertiga daripada keseluruhan kandungan al-Quran di mana satu pertiga lagi berkaitan hukum hakam dan satu pertiga berbaki tentang janji dan ancaman.
 
4.    Hadis ini menunjukkan keagungan surah al-Ikhlas, menggalakkan umat Islam membanyakkan membaca al-Quran di samping menjadikan bacaan Surah al-Ikhlas sebagai amalan harian.
 
5.    Seorang Muslim hendaklah memahami makna Surah al-Ikhlas, dan menghayati mesej tauhid yang terkandung di dalamnya bukan sekadar menghafaz serta membacanya. Semoga keimanan, keikhlasan dan pergantungan kepada Allah SWT sentiasa terpahat dalam kehidupan.
 
6.    Pendidikan akidah yang mantap akan melahirkan keikhlasan dalam ibadah dan keteguhan dalam menghadapi cabaran kehidupan.
 

Thursday, July 16, 2026

Surah Al-Mulk Syafaat Pengampun Dosa

Khamis, 1 Safar 1448H  |   Surah Al-Mulk Syafaat Pengampun Dosa
 
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ:إِنَّ سُورَةً فِي الْقُرْآنِ ثَلَاثُونَ آيَةً شَفَعَتْ لِصَاحِبِهَا حَتَّى غُفِرَ لَهُ: تَبَارَكَ الَّذِي بِيَدِهِ الْمُلْكُ
 
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: "Sesungguhnya terdapat satu surah dalam al-Quran yang mengandungi tiga puluh ayat. Surah itu memberi syafaat kepada pembacanya sehingga dia diampunkan dosanya, iaitu Surah 'Tabaraka allazhi biyadihil-mulk' (Surah al-Mulk)." (HR Ibn Majah No: 3786) Status Hadis Hasan
 
Pengajaran
 
1.    Surah al-Mulk mempunyai kedudukan yang istimewa dalam al-Quran sehingga diberi kelebihan memberi syafaat kepada pembacanya dengan izin Allah.
 
2.    Syafaat yang sebenar adalah milik Allah SWT, manakala Surah al-Mulk menjadi sebab seseorang memperoleh rahmat dan keampunan-Nya.
 
3.    Membaca Surah al-Mulk hendaklah disertai dengan kefahaman, tadabbur dan pengamalan, bukan sekadar bacaan lisan.
 
4.    Menurut al-Mubarakfuri, " لِصَاحِبِهَا - pemilik surah" ialah orang yang sentiasa membacanya; menghafaznya; memahami maknanya; menghayati pengajarannya; serta beramal dengan kandungannya.
 
5.    Kandungan Surah al-Mulk membentuk akidah yang mantap melalui penegasan tentang kekuasaan Allah, kehidupan akhirat dan tanggungjawab manusia.
 
6.    Keampunan Allah merupakan matlamat utama setiap Muslim, dan al-Quran ialah antara jalan terbaik untuk mencapainya. Membaca surah al-Mulk dengan penuh keikhlasan, keimanan dan istiqamah mengamalkannya akan menjadi asbab pengampunan keatasnya.
 
7.    Membiasakan membaca Surah al-Mulk setiap malam merupakan sunnah yang dapat memperkukuh hubungan seorang Muslim dengan al-Quran.
 

Wednesday, July 15, 2026

Kelebihan Surah Al-Mulk

Rabu, 29 Muharam 1448H   |   Kelebihan Surah Al-Mulk

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ :ضَرَبَ بَعْضُ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلّى اللهُ عَلَيْهِ وسَلَّم خِبَاءَهُ عَلَى قَبْرٍ وَهُوَ لَا يَحْسِبُ أَنَّهُ قَبْرٌ، فَإِذَا فِيهِ إِنْسَانٌ يَقْرَأُ سُورَةَ تَبَارَكَ الَّذِي بِيَدِهِ الْمُلْكُ حَتَّى خَتَمَهَا، فَأَتَى النَّبِيَّ صَلّى اللهُ عَلَيْهِ وسَلَّم، فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنِّي ضَرَبْتُ خِبَائِي عَلَى قَبْرٍ وَأَنَا لَا أَحْسِبُ أَنَّهُ قَبْرٌ، فَإِذَا فِيهِ إِنْسَانٌ يَقْرَأُ سُورَةَ تَبَارَكَ الْمُلْكِ حَتَّى خَتَمَهَا. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلّى اللهُ عَلَيْهِ وسَلَّم :هِيَ الْمَانِعَةُ، هِيَ الْمُنْجِيَةُ، تُنْجِيهِ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ

Daripada Ibnu ‘Abbas RA, beliau berkata: “Seorang sahabat Nabi SAW telah mendirikan khemahnya di atas sebuah kubur tanpa dia mengetahui bahawa ia adalah sebuah kubur. Tiba-tiba dia mendengar seseorang di dalam kubur itu sedang membaca Surah Tabarak allazi biyadihi al-Mulk (Surah Al-Mulk) sehingga selesai. Lalu sahabat tersebut datang kepada Rasulullah SAW dan berkata: ‘Wahai Rasulullah, aku telah mendirikan khemahku di atas sebuah kubur dan aku tidak tahu bahawa ia adalah kubur. Tiba-tiba aku mendengar seseorang di dalamnya membaca Surah Al-Mulk sehingga selesai.’ Maka Rasulullah SAW bersabda: ‘Surah itu ialah penghang (daripada azab), surah itu ialah penyelamat, ia menyelamatkan pembacanya daripada azab kubur.’” (HR Tirmizi No: 2890) Status Hadis Hasan

Pengajaran:

1.    Membaca Surah al-Mulk secara konsisten setiap malam sebelum tidur adalah sunnah yang membawa manfaat besar semasa di alam barzakh kelak.
 
2.    Kelebihan Surah al-Mulk sebagai "penghalang" dan "penyelamat" menunjukkan besarnya rahmat Allah kepada orang yang sentiasa berinteraksi dengan al-Quran.
 
3.    Surah al-Mulk mengandungi tema yang membina keimanan, antaranya: kekuasaan mutlak Allah terhadap seluruh alam; penciptaan hidup dan mati sebagai ujian; kesempurnaan ciptaan Allah; ancaman terhadap orang yang kufur; galakan bertafakur serta keyakinan terhadap hari kebangkitan. Seseorang yang sentiasa membaca dan menghayati surah ini akan mempunyai hati yang sentiasa mengingati akhirat, sekali gus menjauhkan dirinya daripada maksiat.
 
4.    Surah al-Mulk yang menjadi rutin di baca setiap malam akan menjadi pemberi syafaat kepada pembaca, menghalangnya daripada azab kubur dan menjadi penyelamat daripada api neraka bergantung kepada keikhlasan, keimanan dan rahmat Allah SWT.
 
5.    Membiasakan diri membaca Surah al-Mulk setiap malam bukan sekadar mengharapkan ganjaran, tetapi juga sebagai latihan rohani yang mengukuhkan tauhid, menyuburkan rasa takut dan harap kepada Allah, serta mempersiapkan diri menghadapi alam kubur dan kehidupan akhirat.
 
6.    Hormati kawasan perkuburan dan elakkan daripada melakukan sesuatu yang tidak sewajarnya seperti berjalan sesuka hati di atas kubur, menjadikan atas kubur sebagai tempat tinggal dan sebagainya.
 
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah

Tuesday, July 14, 2026

Surah Al-Kahfi Cahaya Antara Dua Jumaat

Selasa, 28 Muharam 1448H  | Surah Al-Kahfi Cahaya Antara Dua Jumaat
 
عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: مَنْ قَرَأَ سُورَةَ الْكَهْفِ فِي يَوْمِ الْجُمُعَةِ، أَضَاءَ لَهُ مِنَ النُّورِ مَا بَيْنَ الْجُمُعَتَيْنِ
 
Daripada Abu Sa'id al-Khudri RA, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: "Sesiapa yang membaca Surah al-Kahfi pada hari Jumaat, akan dipancarkan baginya cahaya yang menerangi antara dua Jumaat." (HR Al-Hakim No: 3392) Status Hadis Sahih
 
Pengajaran
 
1.    Membaca Surah al-Kahfi pada hari Jumaat merupakan amalan sunnah yang sangat dianjurkan.
 
2.    Allah menjanjikan cahaya petunjuk dan keberkatan kepada orang yang mengamalkannya secara istiqamah.
 
3.    Cahaya yang dimaksudkan merangkumi hidayah, ketenangan jiwa, keberkatan hidup, kekuatan menghadapi fitnah, petunjuk dalam kehidupan dan cahaya yang akan memimpin pada Hari Kiamat.
 
4.    Menurut Ibn Hajar, “Cahaya antara dua Jumaat” bermaksud Allah mengurniakan cahaya dan keberkatan kepada pembaca Surah al-Kahfi sepanjang tempoh dari hari Jumaat tersebut sehingga hari Jumaat berikutnya.
 
5.    Surah al-Kahfi mendidik umat Islam supaya teguh menghadapi pelbagai bentuk fitnah kehidupan antaranya fitnah agama (kisah Ashabul Kahfi), fitnah harta (kisah pemilik dua kebun), fitnah ilmu (kisah Nabi Musa dan Khidir) dan fitnah kuasa (kisah Zulkarnain).  
 
6.    Bacaan al-Quran seperti bacaan Surah al-Kahfi hendaklah disertai dengan tadabbur dan penghayatan agar benar-benar membentuk akhlak dan keimanan.
 
7.    Hari Jumaat ialah peluang terbaik untuk memperbaharui hubungan dengan Allah melalui al-Quran, doa, zikir dan ibadah.
 
8.    Amalan membaca, mentadabbur dan menghayati Surah al-Kahfi setiap hari Jumaat merupakan salah satu bentuk tarbiah mingguan yang memperkukuh hubungan seorang Muslim dengan al-Quran dan mempersiapkannya menghadapi cabaran dunia serta akhirat.
 

Monday, July 13, 2026

Terpelihara Dari Fitnah Dajjal Dengan Surah Al-Kahfi

Isnin, 27 Muharam 1448H  | Terpelihara Dari Fitnah Dajjal Dengan Surah Al-Kahfi
 
عَنْ أَبِي الدَّرْدَاءِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: مَنْ حَفِظَ عَشْرَ آيَاتٍ مِنْ أَوَّلِ سُورَةِ الْكَهْفِ، عُصِمَ مِنَ الدَّجَّالِ وفي رواية: مِنْ آخِرِ سُورَةِ الْكَهْفِ
 
Daripada Abu al-Darda' RA, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: "Sesiapa yang menghafaz sepuluh ayat pertama daripada Surah al-Kahfi, dia akan dipelihara daripada fitnah Dajjal." Dalam satu riwayat yang lain, Baginda bersabda: "...sepuluh ayat terakhir daripada Surah al-Kahfi." (HR Muslim No: 809) Status Hadis Sahih
 
Pengajaran
 
1.    Fitnah Dajjal merupakan fitnah terbesar yang akan dihadapi manusia menjelang Hari Kiamat.
 
2.    Rasulullah SAW mengajar umat Islam supaya mempersiapkan diri dengan al-Quran sebelum berhadapan dengan fitnah tersebut.
 
3.    Menghafaz sepuluh ayat pertama juga sepuluh ayat terakhir Surah al-Kahfi merupakan sunnah yang sangat dianjurkan.
 
4.    Menurut Imam al-Nawawi, sesiapa yang membaca dan menghafal sepuluh ayat awal juga sepuluh ayat akhir daripada surah al-Kahfi “dipelihara daripada Dajjal” bermaksud, Allah akan memberikan perlindungan kepada orang tersebut daripada fitnah Dajjal sama ada tidak bertemu dengannya; atau diberi keteguhan iman jika bertemu; atau diselamatkan daripada mempercayai dakwaan palsunya.
 
5.    Permulaan Surah al-Kahfi mengandungi asas-asas yang mengukuhkan akidah, antaranya: keagungan al-Quran sebagai petunjuk;  penegasan tauhid; kisah pemuda Ashabul Kahfi yang mempertahankan iman; juga keyakinan terhadap kekuasaan Allah. Nilai-nilai ini membentuk kekuatan rohani dan keteguhan iman yang diperlukan untuk menghadapi fitnah yang menggugat keimanan dalam menghadapi pelbagai ujian kehidupan.
 
6.    Sepuluh ayat terakhir surah al-Kahfi memberi penekanan kepada tema Hari Kiamat; balasan syurga dan neraka; kesudahan orang beriman dan orang kafir; keikhlasan dalam beramal; amaran terhadap syirik dan riak. Ayat ini mengingatkan kita supaya tidak terpedaya dengan kemegahan dunia dan sentiasa memelihara keikhlasan, iaitu benteng utama menghadapi fitnah Dajjal.
 
7.    Membaca, menghafaz, mentadabbur, menghayati dan mengamalkan al-Quran merupakan benteng terbaik menghadapi fitnah dunia dan akhir zaman.
 
8.    Surah al-Kahfi sesuai dijadikan bahan tarbiah untuk membentuk generasi yang teguh akidah, bijaksana menghadapi cabaran dan tidak mudah terpedaya dengan godaan dunia.
 

Sunday, July 12, 2026

Kelebihan Dua Ayat Terakhir Surah Al-Baqarah

Ahad, 26 Muharam 1448H  |   Kelebihan Dua Ayat Terakhir Surah Al-Baqarah
 
عَنْ أَبِي مَسْعُودٍ عُقْبَةَ بْنِ عَمْرٍو، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، قَالَ: مَنْ قَرَأَ الْآيَتَيْنِ مِنْ آخِرِ سُورَةِ الْبَقَرَةِ فِي لَيْلَةٍ، كَفَتَاهُ
 
Daripada Abu Mas'ud Uqbah bin Amr RA, daripada Nabi Muhammad SAW, Baginda bersabda: "Sesiapa yang membaca dua ayat terakhir daripada Surah al-Baqarah pada waktu malam, maka kedua-dua ayat itu akan mencukupinya." (HR Bukhari No: 5009) Status Hadis Sahih
 
Pengajaran:
 
1.    Dua ayat terakhir Surah al-Baqarah mempunyai kedudukan yang sangat istimewa dalam Islam.
Dua ayat terakhir Surah al-Baqarah ayat 285 dan 286:
 
آمَنَ الرَّسُولُ بِمَا أُنزِلَ إِلَيْهِ مِن رَّبِّهِ وَالْمُؤْمِنُونَ ۚ كُلٌّ آمَنَ بِاللَّـهِ وَمَلَائِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ لَا نُفَرِّقُ بَيْنَ أَحَدٍ مِّن رُّسُلِهِ ۚ وَقَالُوا سَمِعْنَا وَأَطَعْنَا ۖ غُفْرَانَكَ رَبَّنَا وَإِلَيْكَ الْمَصِيرُ ﴿٢٨٥﴾ لَا يُكَلِّفُ اللَّـهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا ۚ لَهَا مَا كَسَبَتْ وَعَلَيْهَا مَا اكْتَسَبَتْ ۗ رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِن نَّسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلْنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِ ۖ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا ۚ أَنتَ مَوْلَانَا فَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ ﴿٢٨٦﴾
 
2.    Menurut Ibn Hajar, dua ayat ini mencukupi kerana di dalamnya mengandungi perlindungan, keberkatan, ketenangan jiwa, penjagaan daripada keburukan serta ganjaran pahala.
 
3.    Menurut Ibn Kathir, dua ayat terakhir Surah al-Baqarah mempunyai keistimewaan kerana mengandungi pengakuan iman Rasul dan orang mukmin; rukun-rukun keimanan; prinsip mendengar dan taat kepada Allah; doa memohon keampunan; doa memohon diringankan beban; juga doa memohon kemenangan ke atas orang kafir.
 
4.    Rasulullah SAW menganjurkan umat Islam membacanya setiap malam sebelum tidur. Membaca dua ayat ini sebelum tidur memberi kesan kepada hati kerana kandungannya menanamkan tauhid; tawakal; pengharapan kepada Allah; penyesalan terhadap dosa; dan keyakinan kepada rahmat Allah.
 
5.    Seorang Muslim hendaklah menutup harinya dengan zikir, doa dan bacaan al-Quran, bukan dengan perkara yang melalaikan.
 
6.    Doa yang terkandung dalam kedua-dua ayat ini mengajar adab seorang hamba: beriman, taat, memohon keampunan dan berserah diri kepada Allah.
 
7.    Hadis ini menunjukkan bahawa al-Quran merupakan sumber perlindungan rohani bagi kehidupan seorang Muslim.
 
8.    Membiasakan diri membaca dua ayat ini setiap malam bukan sekadar mengikuti sunnah, bahkan merupakan satu amalan tarbiah yang mengukuhkan iman, menyuburkan tawakal dan memelihara hubungan seorang hamba dengan Allah SWT.
 

Saturday, July 11, 2026

Bacaan Ayat Al-Kursi Sebelum Tidur

Sabtu, 25 Muharam 1448H  |   Bacaan Ayat Al-Kursi Sebelum Tidur

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: وَكَّلَنِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِحِفْظِ زَكَاةِ رَمَضَانَ، فَأَتَانِي آتٍ، فَجَعَلَ يَحْثُو مِنْ الطَّعَامِ، فَأَخَذْتُهُ فَقُلْتُ: لَأَرْفَعَنَّكَ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - فَذَكَرَ الْحَدِيثَ - فَقَالَ: إِذَا أَوَيْتَ إِلَى فِرَاشِكَ فَاقْرَأْ آيَةَ الْكُرْسِيِّ، لَنْ يَزَالَ عَلَيْكَ مِنْ اللَّهِ حَافِظٌ، وَلَا يَقْرَبُكَ شَيْطَانٌ حَتَّى تُصْبِحَ. فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: صَدَقَكَ وَهُوَ كَذُوبٌ، ذَاكَ شَيْطَانٌ

Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata: Rasulullah SAW telah memerintahkan saya untuk menjaga zakat Ramadan. Lalu datang seseorang yang mulai mengambil makanan dengan tangannya, maka aku menangkapnya dan berkata, 'Aku akan membawamu kepada Rasulullah SAW.' Lelaki itu berkata: "Apabila engkau hendak tidur, bacalah Ayat al-Kursi. Nescaya Allah akan sentiasa mengutuskan penjaga untukmu dan syaitan tidak akan menghampirimu sehingga pagi." Kemudian Nabi Muhammad SAW bersabda: "Dia telah berkata benar kepadamu, walaupun dia seorang pendusta. Dia itu ialah syaitan." (HR Bukhari No: 2311) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.    Hadis ini menceritakan peristiwa Abu Hurairah RA yang bertugas menjaga gudang zakat. Beliau berjaya menangkap seseorang yang mengambil makanan zakat tanpa izin. Apabila Abu Hurairah RA hendak melaporkan kejadian tersebut kepada Nabi SAW, lelaki yang ditangkap itu memberitahu bahawa sesiapa yang membaca ayat al-Kursi sebelum tidur, dia akan dilindungi daripada gangguan syaitan sehingga waktu pagi. Abu Hurairah telah mengkhabarkan hal tersebut kepada Nabi.  Nabi SAW kemudian mengesahkan kebenaran kata-kata syaitan yang menyamar itu meskipun ia adalah pendusta.

2.    Imam al-Nawawi dalam al-Majmu' menyatakan bahawa membaca Ayat al-Kursi sebelum tidur adalah sangat disyorkan, kerana ia memberikan perlindungan daripada syaitan dan kejahatan lainnya hingga waktu pagi.
 
3.    Imam al-Qurtubi dalam al-Jami' li Ahkam al-Quran menyebutkan bahawa Ayat al-Kursi mengandung pernyataan tentang keagungan dan kebesaran Allah, serta kekuasaan-Nya yang meliputi segala sesuatu, sehingga dengan membacanya sebelum tidur, seseorang akan terlindung dari segala gangguan syaitan dan bahaya lainnya.
 
4.    Syaitan sering menggunakan cara yang halus untuk menggoda umat Islam, termasuk berpura-pura ingin menolong atau memberikan nasihat yang baik. Hadis ini menunjukkan kepada kita bahawa tidak semua yang kelihatan baik adalah benar. Oleh itu, kita perlu berhati-hati dengan merujuk kepada orang yang ahli dan berpegang kepada sunnah Nabi dalam setiap amalan.
 
5.    Hadis ini mengajarkan kita tentang perlindungan yang diberikan oleh Allah apabila kita membaca Ayat al-Kursi sebelum tidur. Amalan ini yang sangat dianjurkan kerana mempunyai manfaat besar untuk menghindari gangguan syaitan serta mendapatkan keberkatan dan perlindungan Allah.
 
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah

Friday, July 10, 2026

Ayat Al-Qursi Yang Agung

Jumaat, 24 Muharam 1448H  |   Ayat Al-Qursi Yang Agung
 
عَنْ ‌أُبَيِّ بْنِ كَعْبٍ رضي الله عنه قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: يَا أَبَا الْمُنْذِرِ، أَتَدْرِي أَيُّ آيَةٍ مِنْ كِتَابِ اللهِ مَعَكَ أَعْظَمُ؟ قَالَ: قُلْتُ: اللهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ. قَالَ: يَا أَبَا الْمُنْذِرِ، أَتَدْرِي أَيُّ آيَةٍ مِنْ كِتَابِ اللهِ مَعَكَ أَعْظَمُ؟ قَالَ: قُلْتُ: ﴿اللَّهُ لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّومُ﴾ قَالَ: فَضَرَبَ فِي صَدْرِي، وَقَالَ: وَاللهِ لِيَهْنِكَ             لْعِلْمُ، أَبَا الْمُنْذِرِ.
 
Daripada Ubay bin Ka'ab RA, beliau berkata: Rasulullah SAW bertanya kepadaku: "Wahai Abu al-Mundhir, tahukah engkau ayat manakah daripada Kitab Allah yang ada padamu paling agung?" Aku menjawab: "Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui." Baginda mengulangi pertanyaan itu: "Wahai Abu al-Mundhir, tahukah engkau ayat manakah daripada Kitab Allah yang ada padamu paling agung?" Aku menjawab: ﴿اللَّهُ لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّومُ﴾  "Allah, tiada Tuhan melainkan Dia, Yang Maha Hidup lagi Maha Berdiri Sendiri (mentadbir seluruh makhluk)." (Ayat al-Kursi) Lalu Baginda menepuk dadaku seraya bersabda: "Demi Allah, semoga ilmumu membawa keberkatan dan kebahagiaan, wahai Abu al-Mundhir." (HR Muslim No: 810) Status Hadis Sahih
 
Pengajaran:
 
1.    Ayat al-Kursi ialah ayat yang paling agung dalam al-Quran kerana kandungannya menghimpunkan asas tauhid serta sifat-sifat kesempurnaan Allah.
 
2.    Guru yang baik menggalakkan pelajar berfikir melalui kaedah soal jawab sebelum memberikan jawapan.
 
3.    Seorang penuntut ilmu hendaklah beradab, merendah diri dan tidak tergesa-gesa menjawab apabila tidak pasti.
 
4.    Ilmu yang sebenar ialah ilmu yang membawa keberkatan serta mendorong seseorang semakin dekat kepada Allah.
 
5.    Penghargaan terhadap pelajar yang berjaya menjawab dengan tepat merupakan sebahagian daripada sunnah pendidikan Rasulullah SAW. Tepukan lembut pada dada Ubay bin Kaab sebagai tanda penghargaan dan kasih sayang Rasulullah dengan jawapan yang betul darinya serta boleh meningkatkan motivasi dan keyakinannya.
 
6.    Membaca, menghafaz dan menghayati Ayat al-Kursi merupakan amalan yang sangat dianjurkan dalam kehidupan seorang Muslim.  Dianjurkan membaca ayat al-Kursi selepas setiap kali solat fardhu juga sebelum tidur.
 
Nabi SAW bersabda:
 
مَنْ قَرَأَ آيَةَ الْكُرْسِيِّ دُبُرَ كُلِّ صَلَاةٍ مَكْتُوبَةٍ لَمْ يَمْنَعْهُ مِنْ دُخُولِ الْجَنَّةِ، إِلَّا الْمَوْتُ
 
Maksudnya: “Barangsiapa yang membaca ayat al-Kursi setiap selepas kali solat fardhu, tidak akan terhalang baginya untuk memasuki syurga melainkan mati”. (HR Thabarani di dalam Mu’jam al-Kabir No: 7532) Status Sahih oleh Ibn Hibban.
 
7.    Hadis ini memperlihatkan keagungan Ayat al-Kursi sebagai ayat yang paling mulia dalam al-Quran kerana kandungannya menegaskan keesaan Allah, kesempurnaan sifat-Nya dan kekuasaan-Nya yang mutlak.
 

Thursday, July 9, 2026

Ganjaran Membaca Surah Al-Baqarah dan Ali Imran

Khamis, 23 Muharam 1448H  |  Ganjaran Membaca Surah Al-Baqarah dan Ali Imran
 
عَنْ أَبِي أُمَامَةَ قَالَ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسلم يَقُول: اقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لِأَصْحَابِهِ اقْرَءُوا الزَّهْرَاوَيْنِ الْبَقَرَةَ وَسُورَةَ آلِ عِمْرَانَ فَإِنَّهُمَا تَأْتِيَانِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ كَأَنَّهُمَا غَمَامَتَانِ أَوْ كَأَنَّهُمَا غَيَايَتَانِ أَو فِرْقَانِ مِنْ طَيْرٍ صَوَافَّ تُحَاجَّانِ عَنْ أَصْحَابِهِمَا اقْرَءُوا سُورَةَ الْبَقَرَةِ فَإِنَّ أَخْذَهَا بَرَكَةٌ وَتَرْكَهَا حَسْرَةٌ وَلَا تستطيعها البطلة
 
Daripada Abu Umamah al-Bahili RA, beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Bacalah al-Quran, kerana sesungguhnya al-Quran akan datang pada hari kiamat sebagai pemberi syafaat kepada para pembacanya. Bacalah dua surah yang bercahaya, iaitu Surah al-Baqarah dan Surah Ali 'Imran, kerana kedua-duanya akan datang pada hari kiamat seolah-olah dua gugusan awan, atau dua naungan, atau dua kumpulan burung yang mengembangkan sayapnya, lalu kedua-duanya membela para pembacanya. Bacalah Surah al-Baqarah, kerana membacanya merupakan suatu keberkatan, meninggalkannya merupakan suatu penyesalan, dan para tukang sihir tidak mampu menghadapinya." (HR Muslim No: 1910) Status Hadis Sahih
 
Pengajaran:
 
1.    Al-Quran akan menjadi penolong (pemberi syafaat) kepada pembacanya pada hari akhirat nanti (ahli al-Quran – merujuk pembaca, penghafaz, pengamal yang menjadikan al-Quran sebagai panduan).
 
2.    Al-Munawi menjelaskan  bahawa apa yang dimaksudkan oleh Nabi bukanlah Al-Quran itu datang dalam bentuk lelaki, burung, awan dan sebagainya, akan tetapi yang dimaksudkan adalah pahala yang layak diberikan kepada mereka yang membaca dan beramal dengannya. Pahala-pahala itu nantinya akan datang dalam bentuk lelaki yang menjadi hujah di hadapan Allah. Ia juga menjadi seperti awan yang menaungi para pembacanya dari kepanasan di hari akhirat.
 
3.    Sesiapa yang mengamalkan membaca surah Al-Baqarah dan Ali Imran, pada hari kiamat nanti akan mendapat naungan kedua surah ini dengan izin Allah. Menurut Ibn Hajar, kedua dua surah akan datang seperti dua gugusan menggambarkan perlindungan dan pembelaan yang Allah anugerahkan kepada mereka yang sentiasa membaca dan mengamalkan kedua-dua surah tersebut. Awan memberi teduhan daripada kepanasan, manakala burung yang mengembangkan sayap memberi gambaran penjagaan dan perlindungan.
 
4.    Membaca dan menghayati kedua-dua surah ini membawa keberkatan dalam kehidupan di dunia dan akhirat. Keberkatan meliputi ketenangan jiwa, keluasan rezeki, kemantapan iman dan ganjaran pahala yang melimpah.
 
5.    Orang yang tidak membaca al-Quran, ia akan menyesal kerana seseorang akan kehilangan peluang memperoleh keberkatan, perlindungan dan syafaat.
 
6.    Orang yang melazimi membaca surah al-Baqarah, tidak akan dapat dikalahkan oleh tukang-tukang sihir (terhindar dari sihir).
 
7.    Hadis ini mengajar bahawa hubungan yang berterusan dengan al-Quran merupakan sumber keberkatan, perlindungan dan kemuliaan di dunia serta bekalan yang amat berharga untuk memperoleh syafaat di akhirat.
 

Wednesday, July 8, 2026

Zikrullah Jauhi Syaitan

Rabu, 22 Muharam 1448H  | Zikrullah Jauhi Syaitan

عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ أَنَّهُ سَمِعَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِذَا دَخَلَ الرَّجُلُ بَيْتَهُ، فَذَكَرَ اللهَ عِنْدَ دُخُولِهِ وَعِنْدَ طَعَامِهِ، قَالَ الشَّيْطَانُ: لَا مَبِيتَ لَكُمْ، وَلَا عَشَاءَ، وَإِذَا دَخَلَ، فَلَمْ يَذْكُرِ اللهَ عِنْدَ دُخُولِهِ، قَالَ الشَّيْطَانُ: أَدْرَكْتُمُ الْمَبِيتَ، وَإِذَا لَمْ يَذْكُرِ اللهَ عِنْدَ طَعَامِهِ، قَالَ: أَدْرَكْتُمُ الْمَبِيتَ وَالْعَشَاءَ

Daripada Jabir bin Abdullah bahawa dia mendengar Nabi SAW bersabda: Apabila seseorang masuk ke dalam rumahnya lalu menyebut nama Allah ketika masuk rumah dan ketika hendak makan, maka syaitan akan berkata kepada kawan-kawannya: Tiada tempat menginap dan tiada makan malam untuk kamu. Tapi apabila seseorang itu masuk ke dalam rumah, tidak menyebut nama Allah ketika masuk rumah dan tidak menyebut nama Allah ketika makan, syaitan berkata: Kamu telah mendapat tempat menginap dan makan malam. (HR Muslim No: 2018) Status Hadis Sahih

Pengajaran:
 
1.    Disunatkan menyebut nama Allah ketika memasuki rumah.
 
2.    Membaca Bismillah sebelum makan merupakan sunnah yang membawa keberkatan.
 
3.    Rumah yang sentiasa dihiasi dengan zikir dan bacaan al-Quran akan dipenuhi ketenangan dan rahmat Allah SWT.
 
4.    Barangsiapa berzikir menyebut nama Allah ketika masuk rumah, syaitan akan menghindarkan diri dari rumah tersebut. Zikir menjadi benteng daripada kelalaian beribadah, gangguan syaitan terhadap rumah tangga juga dorongan maksiat.
 
5.    Kelalaian daripada berzikir mengingati Allah sama ada ketika memasuki rumah, ketika makan, minum dan sebagainya, akan membuka ruang kepada syaitan untuk mempengaruhi kehidupan manusia.
 
6.    Keberkatan rumah bukan bergantung kepada kemewahan atau saiznya, tetapi kepada sejauh mana penghuninya mengingati Allah SWT. Pastikan apabila kita memulakan sesuatu, hendaklah dimulakan dengan berzikir mengingati Allah.
 
7.    Ummul Mukminin Aisyah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا أَكَلَ أَحَدُكُمْ طَعَامًا فَلْيَقُلْ: بِسْمِ اللهِ، فَإِنْ نَسِيَ فِي أَوَّلِهِ فَلْيَقُلْ: بِسْمِ اللهِ فِي أَوَّلِهِ وَآخِرِهِ

Apabila seseorang daripada kamu hendak mula makan, bacalah: Bismillah (Dengan nama Allah). Jika terlupa membacanya ketika hendak mula makan, maka bacalah: Bismillahi fi awwalihi wa akhirihi (Dengan nama Allah pada awal dan akhirnya) (HR Tirmizi No: 1858) Status Hasan Sahih