Monday, July 13, 2026

Terpelihara Dari Fitnah Dajjal Dengan Surah Al-Kahfi

Isnin, 27 Muharam 1448H  | Terpelihara Dari Fitnah Dajjal Dengan Surah Al-Kahfi
 
عَنْ أَبِي الدَّرْدَاءِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: مَنْ حَفِظَ عَشْرَ آيَاتٍ مِنْ أَوَّلِ سُورَةِ الْكَهْفِ، عُصِمَ مِنَ الدَّجَّالِ وفي رواية: مِنْ آخِرِ سُورَةِ الْكَهْفِ
 
Daripada Abu al-Darda' RA, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: "Sesiapa yang menghafaz sepuluh ayat pertama daripada Surah al-Kahfi, dia akan dipelihara daripada fitnah Dajjal." Dalam satu riwayat yang lain, Baginda bersabda: "...sepuluh ayat terakhir daripada Surah al-Kahfi." (HR Muslim No: 809) Status Hadis Sahih
 
Pengajaran
 
1.    Fitnah Dajjal merupakan fitnah terbesar yang akan dihadapi manusia menjelang Hari Kiamat.
 
2.    Rasulullah SAW mengajar umat Islam supaya mempersiapkan diri dengan al-Quran sebelum berhadapan dengan fitnah tersebut.
 
3.    Menghafaz sepuluh ayat pertama juga sepuluh ayat terakhir Surah al-Kahfi merupakan sunnah yang sangat dianjurkan.
 
4.    Menurut Imam al-Nawawi, sesiapa yang membaca dan menghafal sepuluh ayat awal juga sepuluh ayat akhir daripada surah al-Kahfi “dipelihara daripada Dajjal” bermaksud, Allah akan memberikan perlindungan kepada orang tersebut daripada fitnah Dajjal sama ada tidak bertemu dengannya; atau diberi keteguhan iman jika bertemu; atau diselamatkan daripada mempercayai dakwaan palsunya.
 
5.    Permulaan Surah al-Kahfi mengandungi asas-asas yang mengukuhkan akidah, antaranya: keagungan al-Quran sebagai petunjuk;  penegasan tauhid; kisah pemuda Ashabul Kahfi yang mempertahankan iman; juga keyakinan terhadap kekuasaan Allah. Nilai-nilai ini membentuk kekuatan rohani dan keteguhan iman yang diperlukan untuk menghadapi fitnah yang menggugat keimanan dalam menghadapi pelbagai ujian kehidupan.
 
6.    Sepuluh ayat terakhir surah al-Kahfi memberi penekanan kepada tema Hari Kiamat; balasan syurga dan neraka; kesudahan orang beriman dan orang kafir; keikhlasan dalam beramal; amaran terhadap syirik dan riak. Ayat ini mengingatkan kita supaya tidak terpedaya dengan kemegahan dunia dan sentiasa memelihara keikhlasan, iaitu benteng utama menghadapi fitnah Dajjal.
 
7.    Membaca, menghafaz, mentadabbur, menghayati dan mengamalkan al-Quran merupakan benteng terbaik menghadapi fitnah dunia dan akhir zaman.
 
8.    Surah al-Kahfi sesuai dijadikan bahan tarbiah untuk membentuk generasi yang teguh akidah, bijaksana menghadapi cabaran dan tidak mudah terpedaya dengan godaan dunia.
 

No comments: