Jumaat, 2 Safar 1448H | Surah Al-Ikhlas Sepertiga Al-Quran
عَنْ أَبِي الدَّرْدَاءِ ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، قَالَ : أَيَعْجِزُ أَحَدُكُمْ أَنْ يَقْرَأَ فِي لَيْلَةٍ ثُلُثَ الْقُرْآنِ ؟ قَالُوا : وَكَيْفَ يَقْرَأْ ثُلُثَ الْقُرْآنِ ؟ قَالَ : قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ تَعْدِلُ ثُلُثَ الْقُرْآنِ
Daripada Abu Darda RA bahawa Nabi SAW bersabda: “Adakah salah seorang daripada kamu tidak mampu untuk membaca sepertiga al-Quran pada waktu malam? Para sahabat bertanya: Bagaimanakah seseorang mampu membaca sepertiga al-Quran? Baginda bersabda: Qul Huwa Allahu Ahad (surah al-Ikhlas) menyamai sepertiga al-Quran.” (HR Muslim No: 811) Status Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Surah al-Ikhlas mempunyai kedudukan yang tinggi dalam al-Quran kerana kandungannya menghimpunkan asas tauhid.
2. Ganjaran membaca Surah al-Ikhlas menyamai ganjaran membaca sepertiga al-Quran dari sudut pahala dan kandungan, bukan sebagai pengganti keseluruhan al-Quran.
3. Tauhid merupakan teras utama ajaran Islam dan menjadi asas kepada semua ibadah serta akhlak. Surah al-Ikhlas menghimpunkan tema tauhid dan akidah yang nilainya menyamai satu pertiga daripada keseluruhan kandungan al-Quran di mana satu pertiga lagi berkaitan hukum hakam dan satu pertiga berbaki tentang janji dan ancaman.
4. Hadis ini menunjukkan keagungan surah al-Ikhlas, menggalakkan umat Islam membanyakkan membaca al-Quran di samping menjadikan bacaan Surah al-Ikhlas sebagai amalan harian.
5. Seorang Muslim hendaklah memahami makna Surah al-Ikhlas, dan menghayati mesej tauhid yang terkandung di dalamnya bukan sekadar menghafaz serta membacanya. Semoga keimanan, keikhlasan dan pergantungan kepada Allah SWT sentiasa terpahat dalam kehidupan.
6. Pendidikan akidah yang mantap akan melahirkan keikhlasan dalam ibadah dan keteguhan dalam menghadapi cabaran kehidupan.
No comments:
Post a Comment