Ahad, 4 Safar 1448H | Doa Membersihkan Hati Dari Kepercayaan Karut
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ رَدَّتْهُ الطِّيَرَةُ مِنْ حَاجَةٍ فَقَدْ أَشْرَكَ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا كَفَّارَةُ ذَلِكَ قَالَ أَنْ يَقُولَ أَحَدُهُمْ اللَّهُمَّ لَا خَيْرَ إِلَّا خَيْرُكَ وَلَا طَيْرَ إِلَّا طَيْرُكَ وَلَا إِلَهَ غَيْرُكَ
Daripada Abdullah bin Amr bin al-As RA, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang dihalang oleh kepercayaan kepada petanda sial daripada meneruskan sesuatu urusannya, maka sesungguhnya dia telah melakukan syirik." Para sahabat bertanya: "Wahai Rasulullah, apakah kaffarah (penebus) bagi perkara itu?" Baginda bersabda: "Hendaklah seseorang itu mengucapkan: 'Ya Allah, tiada kebaikan melainkan kebaikan daripada-Mu, tiada petanda (kesialan) melainkan yang telah Engkau takdirkan, dan tiada Tuhan yang berhak disembah selain Engkau.'" (HR Ahmad, No: 6748) Status: Hadis Hasan
Pengajaran:
1. Islam melarang kepercayaan kepada petanda sial kerana ia bercanggah dengan prinsip tauhid, contohnya bulan Safar sebagai bulan sial, bunyi burung tertentu sebagai petanda membawa malapetaka.
2. Mengubah keputusan hidup semata-mata kerana kepercayaan tahyul boleh termasuk dalam perbuatan syirik kerana bergantung kepada selain Allah, contohnya mempercayai bulan Safar atau burung tertentu membawa keburukan sehingga menghalangnya melakukan sesuatu seperti bermusafir atau mengadakan majlis pernikahan.
3. Menurut Imam al-Qurtubi, semua bentuk kepercayaan seperti: nombor membawa sial; hari tertentu membawa malang; burung tertentu membawa musibah; bunyi tertentu menjadi petunjuk nasib; warna tertentu membawa bala, adalah bercanggah dengan prinsip tauhid kerana manfaat dan mudarat hanya berada dalam kekuasaan Allah SWT.
4. Setiap Muslim mesti meyakini bahawa manfaat dan mudarat hanya berada di bawah kekuasaan Allah SWT serta wajib membina sikap tawakal dengan mengambil sebab yang dibenarkan syarak, bukan bergantung kepada petanda atau kepercayaan karut.
5. Rasulullah SAW mengajarkan doa yang mengembalikan keyakinan dan pergantungan sepenuhnya kepada Allah apabila timbul perasaan tersebut. Rasulullah SAW mengajar doa ini:
اللَّهُمَّ لَا خَيْرَ إِلَّا خَيْرُكَ وَلَا طَيْرَ إِلَّا طَيْرُكَ وَلَا إِلَهَ غَيْرُكَ
Maksudnya: (Ya Allah, tiada kebaikan melainkan kebaikan-Mu dan tiada kesialan kecuali yang telah Engkau takdirkan dan tiada tuhan yang disembah selain Engkau)
6. Islam menggalakkan sikap optimis dan bersangka baik kepada Allah, bukan hidup dalam ketakutan terhadap perkara yang tidak mempunyai sandaran syarak.
No comments:
Post a Comment