Tuesday, September 29, 2026

Doa Keluar Rumah Dan Dilindungi Dari Syaitan

Selasa, 17 Rabiul Akhir 1448H |  Doa Keluar Rumah Dan Dilindungi Dari Syaitan
 
عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا خَرَجَ الرَّجُلُ مِنْ بَيْتِهِ فَقَالَ بِسْمِ اللَّهِ تَوَكَّلْتُ عَلَى اللَّهِ، لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ، قَالَ: يُقَالُ حِينَئِذٍ: هُدِيتَ، وَكُفِيتَ، وَوُقِيتَ، فَتَتَنَحَّى لَهُ الشَّيَاطِينُ، فَيَقُولُ لَهُ شَيْطَانٌ آخَرُ: كَيْفَ لَكَ بِرَجُلٍ قَدْ هُدِيَ وَكُفِيَ وَوُقِيَ؟
 
Daripada Anas bin Malik RA, Sesungguhnya Nabi SAW bersabda: “Apabila seseorang keluar dari rumahnya kemudian dia membaca doa: 'BISMILLAHI TAWAKKALTU 'ALAALLAHI LAA HAULA WA LAA QUWWATA ILLA BILLAH (Dengan nama Allah aku bertawakal kepada Allah. Tidak ada daya dan kekuatan melainkan dengan pertolongan Allah), Baginda bersabda: "Maka pada saat itu dikatakan kepadanya: Engkau telah diberi petunjuk, telah diberi kecukupan dan mendapat penjagaan (perlindungan), hingga syaitan-syaitan menjauhi darinya. Lalu syaitan yang lain berkata kepada temannya: Bagaimana engkau dapat mengganggu seseorang yang telah diberi petunjuk, dicukupkan dan dilindungi?." (HR Abu Daud No: 4431) Status: Syeikh Abdul Haqq al-Isybili kata sanadnya sahih
 
Pengajaran:
 
1.    Antara sunnah apabila keluar rumah ialah dimulai dengan zikir dan doa.
 
2.    Setiap aktiviti sebaiknya dimulakan dengan mengingati Allah SWT
 
3.    Kita memerlukan perlindungan Allah daripada bahaya yang diketahui dan tidak diketahui.
 
4.    Zikrullah merupakan antara benteng daripada gangguan syaitan.
 
5.    Rasulullah SAW  mengajar antara doa apabila keluar rumah:
 
بِسْمِ اللَّهِ تَوَكَّلْتُ عَلَى اللَّهِ، لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ
 
‘Dengan nama Allah, aku bertawakal kepada Allah. Tiada daya dan tiada kekuatan melainkan dengan pertolongan Allah.’
 
6.    Barang siapa membaca doa di atas ketika keluar rumah dia akan mendapat petunjuk, dicukupkan keperluannya serta akan mendapat penjagaan (perlindungan), di samping  syaitan akan menjauhi darinya
 
Semoga kita sentiasa membaca doa dan berzikir ini ketika keluar rumah untuk sebarang urusan yang dibenarkan.
 

Monday, September 28, 2026

Doa Keluar Rumah

Isnin, 16 Rabiulakhir 1448H  | Doa Keluar Rumah
 
عَنْ أُمِّ سَلَمَةَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا خَرَجَ مِنْ مَنْزِلِهِ قَالَ اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ أَنْ أَضِلَّ أَوْ أَزِلَّ أَوْ أَظْلِمَ أَوْ أُظْلَمَ أَوْ أَجْهَلَ أَوْ يُجْهَلَ عَلَيَّ
 
Daripada Ummu Salamah RA bahawa apabila Nabi SAW keluar dari rumahnya, baginda berdoa: Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada tersesat atau disesatkan, tergelincir atau digelincirkan, menzalimi atau di zalimi, dan  bertindak bodoh mahupun di bodohkan." (HR Ibnu Majah No: 3874) Status: Hadis Sahih.
 
Pengajaran:
 
1.     Disunatkan membaca doa ketika keluar rumah dan menyerahkan diri kepada perlindungan Allah.
 
2.     Dalam kehidupan hari ini, seseorang boleh terpengaruh dengan maklumat palsu, pemikiran yang salah, hawa nafsu, tekanan kelompok atau pengaruh media.
 
3.     Seorang Mukmin perlu memohon perlindungan daripada kesesatan pemikiran dan tindakan.
 
4.     Kita perlu berhati-hati daripada kesalahan dan keterlanjuran, sama ada berpunca daripada diri sendiri atau pengaruh orang lain.
 
5.     Takutlah menzalimi sebagaimana kita takut dizalimi.
 
6.     Jangan hanya meminta Allah melindungi kita daripada manusia yang buruk; mintalah juga agar Allah tidak membiarkan kita menjadi manusia yang buruk kepada orang lain.
 
7.     Antara doa ketika keluar rumah yang diajar oleh Rasulullah SAW ialah:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ أَنْ أَضِلَّ أَوْ أَزِلَّ أَوْ أَظْلِمَ أَوْ أُظْلَمَ أَوْ أَجْهَلَ أَوْ يُجْهَلَ عَلَيَّ

Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada tersesat atau disesatkan, tergelincir atau digelincirkan, menzalimi atau di zalimi, dan  bertindak bodoh mahupun di bodohkan

Semoga kita dapat mengamalkan doa ini ketika keluar rumah
 

Sunday, September 27, 2026

Doa Yang Mencukupi Urusan Agama dan Duni

Ahad, 15 Rabiul Akhir 1448H  | Doa Yang Mencukupi Urusan Agama dan Dunia
 
حَدَّثَنَا يَزِيدُ بْنُ هَارُونَ أَنْبَأَنَا أَبُو مَالِكٍ سَعْدُ بْنُ طَارِقٍ عَنْ أَبِيهِ أَنَّهُ سَمِعَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَقَدْ أَتَاهُ رَجُلٌ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ كَيْفَ أَقُولُ حِينَ أَسْأَلُ رَبِّي قَالَ قُلْ اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي وَارْحَمْنِي وَعَافِنِي وَارْزُقْنِي وَجَمَعَ أَصَابِعَهُ الْأَرْبَعَ إِلَّا الْإِبْهَامَ فَإِنَّ هَؤُلَاءِ يَجْمَعْنَ لَكَ دِينَكَ وَدُنْيَاكَ
 
Telah menceritakan kepada kami Yazid bin Harun telah memberitakan kepada kami Abu Malik Sa'd bin Thariq dari ayahnya bahawa dia mendengar Nabi SAW telah di kunjungi oleh seseorang laki-laki sambil bertanya; "Wahai Rasulullah, apa yang patut aku ucapkan ketika aku memohon kepada Tuhanku?" Baginda menjawab: "Ucapkanlah; Ya Allah, ampunilah aku, rahmatilah aku, berikan kepadaku kesejahteraan dan kurniakanlah rezeki kepadaku." Kemudian baginda merapatkan keempat jari tangannya kecuali ibu jari lalu bersabda: "Sesungguhnya perkara-perkara tersebut akan mencukup (kebaikan) bagi agama dan duniamu." (HR Ibnu Majah No: 3835)  Status: Hadis Sahih.
 
Pengajaran:
 
1.    Berdoa adalah tuntutan seorang Muslim dan menjadi tanda kebergantungan kita kepada Allah.
 
2.    Kita sentiasa bergantung kepada keampunan dan rahmat Allah, walaupun banyak melakukan amal soleh.
 
3.    Kita mendambakan ‘Afiyah yang merangkumi keselamatan dan kesejahteraan daripada segala keburukan pada agama, tubuh badan, keluarga, harta dan kehidupan. Ia antara nikmat yang sangat besar dan sewajarnya selalu diminta.
 
4.    Kita juga mengharapkan rezeki yang melimpah. Rezeki bukan hanya wang, tetapi segala pemberian Allah yang membawa manfaat antaranya ilmu yang bermanfaat, pasangan yang baik, anak yang soleh, sahabat yang baik, kesihatan, masa yang berkat, pekerjaan yang halal, ketenangan hati dan peluang melakukan amal soleh.
 
5.    Rasulullah SAW menggalakkan doa yang ringkas tetapi menyeluruh, mencukupi untuk urusan agama dan dunia, antara doanya:
 
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي وَارْحَمْنِي وَعَافِنِي وَارْزُقْنِي
 
Ya Allah, ampunilah aku, rahmatilah aku, berikan kepadaku kesejahteraan dan kurniakanlah rezeki kepadaku
 
Hadis ini menunjukkan kelebihan doa yang ringkas ini tetapi menghimpunkan keperluan asas seluruh kehidupan manusia iaitu keampunan dari dosa, rahmat kebaikan, selamat sejahtera juga kurniaan rezeki.
 

Saturday, September 26, 2026

Doa Yang Mencakupi Segala Hajat

Sabtu, 14 Rabiulakhir 1448H  |  Doa Yang Mencakupi Segala Hajat
 
عَنْ عَائِشَةَ أَنَّ أَبَا بَكْرٍ دَخَلَ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَرَادَ أَنْ يُكَلِّمَهُ وَعَائِشَةُ تُصَلِّي فَقَالَ لَهَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَيْكِ بِالْكَوَامِلِ أَوْ كَلِمَةً أُخْرَى فَلَمَّا انْصَرَفَتْ عَائِشَةُ سَأَلَتْهُ عَنْ ذَلِكَ فَقَالَ لَهَا قُولِي اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ مِنْ الْخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ مَا عَلِمْتُ مِنْهُ وَمَا لَمْ أَعْلَمْ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ مَا عَلِمْتُ مِنْهُ وَمَا لَمْ أَعْلَمْ وَأَسْأَلُكَ الْجَنَّةَ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ وَأَسْأَلُكَ مِنْ الْخَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَرَسُولُكَ مُحَمَّدٌ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَسْتَعِيذُكَ مِمَّا اسْتَعَاذَكَ مِنْهُ عَبْدُكَ وَرَسُولُكَ مُحَمَّدٌ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَسْأَلُكَ مَا قَضَيْتَ لِي مِنْ أَمْرٍ أَنْ تَجْعَلَ عَاقِبَتَهُ رَشَدًا
 
Daripada Aisyah RA bahawa Abu Bakar pernah menemui Rasulullah SAW dan ia ingin mengajak baginda berbincang-bincang sedang Aisyah sedang solat. Maka Rasulullah SAW bersabda kepadanya: “Berpeganglah dengan doa-doa yang sempurna dan menyeluruh". Apabila Aisyah selesai solatnya, dia bertanya kepada Rasulullah SAW mengenai perkara tersebut (doa yang sempurna dan menyeluruh) itu kepada baginda. Baginda bersabda: “Bacalah; Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu segala kebaikan di dunia dan akhirat, yang segera mahupun yang kemudian, yang aku ketahui mahupun yang tidak aku ketahui. Aku berlindung dengan-Mu daripada segala keburukan, yang segera mahupun yang kemudian, yang aku ketahui mahupun yang tidak aku ketahui. Aku memohon kepada-Mu syurga dan segala perkataan atau amalan yang mendekatkan kepadanya. Aku berlindung dengan-Mu daripada neraka dan segala perkataan atau amalan yang mendekatkan kepadanya. Aku memohon kepada-Mu segala kebaikan yang pernah dimohon oleh hamba-Mu dan Rasul-Mu Muhammad SAW, dan aku memohon perlindungan-Mu daripada segala perkara yang hamba-Mu dan Rasul-Mu Muhammad SAW pernah memohon perlindungan-Mu daripadanya. Dan aku memohon kepada-Mu agar apa sahaja urusan yang Engkau tetapkan untukku, Engkau jadikan kesudahannya sebagai petunjuk dan kebaikan.” (HR Ahmad No: 23984) Status: Hadis Sahih
 
Pengajaran
 
1.    Setiap kita dituntut memohon dan berdoa kepada Allah dalam setiap masa.
 
2.    Mohonlah semua kebaikan dunia dan akhirat, bukan hanya keperluan dunia atau yang kita ketahui sahaja. Mohon juga syurga bersama jalan menuju ke syurga.
 
3.    Mohonlah perlindungan daripada keburukan yang diketahui dan tidak diketahui. Juga perlindungan daripada neraka bersama jalan yang membawa kepadanya.
 
4.    Rasulullah SAW mengajar kepada Aisyah satu doa yang sempurna dan mencakupi segala hajat iaitu:
 
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ مِنْ الْخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ مَا عَلِمْتُ مِنْهُ وَمَا لَمْ أَعْلَمْ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ مَا عَلِمْتُ مِنْهُ وَمَا لَمْ أَعْلَمْ وَأَسْأَلُكَ الْجَنَّةَ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ وَأَسْأَلُكَ مِنْ الْخَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَرَسُولُكَ مُحَمَّدٌ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَسْتَعِيذُكَ مِمَّا اسْتَعَاذَكَ مِنْهُ عَبْدُكَ وَرَسُولُكَ مُحَمَّدٌ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَسْأَلُكَ مَا قَضَيْتَ لِي مِنْ أَمْرٍ أَنْ تَجْعَلَ عَاقِبَتَهُ رَشَدًا




Friday, September 25, 2026

Doa Agar Hati Tidak Berbolak-balik

Jumaat, 13 Rabiul Akhir 1448H  |  Doa Agar Hati Tidak Berbolak-balik
 
عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عَمْرِو بْنِ الْعَاصِ يَقُولُا أَنَّهُ سَمِعَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّ قُلُوبَ بَنِي آدَمَ كُلَّهَا بَيْنَ إِصْبَعَيْنِ مِنْ أَصَابِعِ الرَّحْمَنِ كَقَلْبٍ وَاحِدٍ يُصَرِّفُهُ حَيْثُ يَشَاءُ ثُمَّ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اللَّهُمَّ مُصَرِّفَ الْقُلُوبِ صَرِّفْ قُلُوبَنَا عَلَى طَاعَتِكَ

Abdullah bin 'Amru bin Al 'Ash RA berkata; bahawa beliau pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya hati semua anak Adam berada di antara dua jari dari sekian jari Allah Yang Maha Pemurah. Allah Subhanahhu wa Ta'ala akan memalingkan hati manusia menurut kehendak-Nya." Kemudian Rasulullah SAW berdoa; 'Ya Allah, Engkau yang memalingkan hati, palingkanlah hati kami kepada ketaatan beribadah kepada-Mu! '(HR Muslim No: 4798) Status: Hadis Sahih
 
Pengajaran:
 
1.     Sesungguhnya al-qalb (hati) itu berasal daripada perkataan ‘taqallub’ yang bermaksud kerap bertukar (berbolak balik). Hati diumpamakan seperti bulu di atas pokok yang berubah-ubah ketika ditiup angin. Ia juga berbolak balik diumpamakan lebih cepat daripada air yang mendidih dalam periuk.
 
2.     Hati manusia berada di bawah kekuasaan Allah. Allah berkuasa penuh memalingkan hati manusia sesuai kehendak-Nya. Imam An-Nawawi menyebutkan: Allah SWT menguasai dan mengatur hati manusia sebagaimana yang Dia kehendaki.
 
3.     Hidayah merupakan anugerah Allah yang perlu disyukuri dan dipelihara. Istiqamah juga merupakan kurniaan Allah, maka kita hendaklah sentiasa memohonnya.
 
4.     Setiap kita perlu memohon pada Allah agar diberi hidayah dan istiqamah berada di atas petunjuk.  Antara doa yang diajar oleh Rasulullah SAW:
 
اللَّهُمَّ مُصَرِّفَ الْقُلُوبِ صَرِّفْ قُلُوبَنَا عَلَى طَاعَتِكَ
 
Ya Allah, Engkau yang memalingkan hati, palingkan hati kami kepada ketaatan beribadah kepada-Mu.
 
5.     Jika seorang hamba bergantung dan bersandar pada dirinya sendiri, tentu ia akan binasa.
 
6.     Kita hendaklah menyerahkan segala usaha kepada Allah dan janganlah berpaling dari-Nya walaupun sebentar.
 
7.     Hendaklah setiap kita memohon kepada Allah agar terus menerus diteguhkan hati  dalam ketaatan dan tidak terjerumus dalam maksiat atau kesesatan.
 

Thursday, September 24, 2026

Doa Tetapkan Hati

Khamis, 12 Rabiulakhir 1448H  |  Doa Tetapkan Hati
 
عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُكْثِرُ أَنْ يَقُولَ اللَّهُمَّ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ فَقَالَ رَجُلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ تَخَافُ عَلَيْنَا وَقَدْ آمَنَّا بِكَ وَصَدَّقْنَاكَ بِمَا جِئْتَ بِهِ فَقَالَ إِنَّ الْقُلُوبَ بَيْنَ إِصْبَعَيْنِ مِنْ أَصَابِعِ الرَّحْمَنِ عَزَّ وَجَلَّ يُقَلِّبُهَا وَأَشَارَ الْأَعْمَشُ بِإِصْبَعَيْهِ
 
Daripada Anas bin Malik RA dia berkata; Rasulullah SAW memperbanyak mengucapkan: "Ya Allah, teguhkan hatiku di atas agama-Mu". Lalu seorang sahabat bertanya: "Wahai Rasulullah, adakah engkau bimbang terhadap kami, sedang kami telah beriman kepadamu dan membenarkanmu terhadap apa yang kamu bawa." Baginda menjawab: "Sesungguhnya hati-hati manusia berada diantara dua jari daripada jari-jari Ar Rahman 'azza wajalla, Dia membolak-balikkannya." Dan Al A'masy mengisyaratkan dengan dua jarinya. (HR Ibnu Majah No: 3824)  Status: Hadis  Sahih
 
Pengajaran:
 
1.    Setiap kita memiliki hati yang bila-bila masa boleh berubah (berbolak balik), maka ia perlu sentiasa dipelihara.
 
2.    Hidayah dan istiqamah adalah kurniaan Allah, bukan semata-mata hasil kekuatan manusia.
 
3.    Jangan merasa terlalu yakin dengan iman sendiri. Orang beriman tetap perlu memohon agar Allah memelihara imannya.
 
4.    Lama berada dalam perjuangan bukan jaminan hati tidak akan berubah. Banyak ilmu bukan jaminan hati sentiasa ikhlas. Banyak amal bukan jaminan kita akan terus istiqamah.
 
5.    Rasulullah SAW mengajar kita memohon pertolongan Allah agar diberikan hati yang tetap dan istiqamah. Antaranya dengan membanyakkan doa:

اللَّهُمَّ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ

"Ya Allah, teguhkan hatiku diatas agama-Mu"
 
6.    Jagalah faktor yang mempengaruhi hati seperti menjaga solat, tilawah al-Quran, membanyakkan zikir, menghadiri majlis ilmu, pergaulan, bahan bacaan, media yang ditonton dan suasana kehidupan.
 
7.    Banyakkanlah doa agar memiliki hati yang tetap dan istiqamah kerana jika hati itu baik, maka seluruh anggota badan yang lain akan ikut menjadi baik.
 

Wednesday, September 23, 2026

Adab Berzikir Dan Berdoa

Rabu, 11 Rabiul Akhir 1448H  |  Adab Berzikir Dan Berdoa
 
عَنْ أَبِي مُوسَى قَالَ كُنَّا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي سَفَرٍ فَجَعَلَ النَّاسُ يَجْهَرُونَ بِالتَّكْبِيرِ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَيُّهَا النَّاسُ ارْبَعُوا عَلَى أَنْفُسِكُمْ إِنَّكُمْ لَيْسَ تَدْعُونَ أَصَمَّ وَلَا غَائِبًا إِنَّكُمْ تَدْعُونَ سَمِيعًا قَرِيبًا وَهُوَ مَعَكُمْ قَالَ وَأَنَا خَلْفَهُ وَأَنَا أَقُولُ لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ فَقَالَ يَا عَبْدَ اللَّهِ بْنَ قَيْسٍ أَلَا أَدُلُّكَ عَلَى كَنْزٍ مِنْ كُنُوزِ الْجَنَّةِ فَقُلْتُ بَلَى يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ قُلْ لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ
 
Daripada Abu Musa al Ash’ari RA, beliau berkata; "Kami pernah menyertai Rasulullah SAW dalam suatu perjalanan. Tiba-tiba, ada beberapa orang sahabat bertakbir dengan suara keras. Mendengar suara takbir yang keras itu, Rasulullah SAW pun berkata: Wahai manusia, perlahankan suara kalian! Sesungguhnya kamu bukan berdoa kepada Tuhan yang pekak dan bukan pula kepada Tuhan yang jauh. Sesungguhnya kamu berdoa kepada Tuhan Yang Maha Mendengar lagi Maha Dekat, dan Dia bersama kamu. Abu Musa berkata; 'Pada ketika itu aku berada di belakang Rasulullah SAW aku sedang  membaca; 'Laa haula wa laa quwwata ilIa billaah' (Tiada daya dan tiada kekuatan melainkan dengan pertolongan Allah). Kemudian Rasulullah SAW bersabda: 'Wahai Abdullah bin Qais, mahukah aku tunjukkan kepadamu satu khazanah daripada khazanah-khazanah syurga?. Aku menjawab; 'Sudah tentu ya Rasulullah.' Rasulullah SAW  bersabda: 'Ucapkanlah, Laa haula wala quwwata illaa billaah' (Tiada daya dan tiada kekuatan melainkan dengan pertolongan Allah)." (HR Muslim No 4873 Dar Ihya Kutub Arabiyyah) Status: Hadis Sahih
 
Pengajaran:
 
1.    Berzikir dan berdoa hendaklah dilakukan dengan beradab.
 
2.    Allah SWT ialah Maha Mendengar lagi Maha Dekat. Antara adab berzikir dan berdoa adalah dengan menggunakan suara yang rendah dan perlahan, tidak perlu dengan mengeraskan atau menguatkan suara kerana Allah Maha Mendengar.
 
3.    Kekuatan zikir dan doa bukan terletak pada kuatnya suara, tetapi pada keikhlasan dan pengharapan hati kepada Allah.
 
4.    Barangsiapa yang membaca Hawqalah
 
لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ

(Tiada daya dan tiada kekuatan melainkan dengan pertolongan Allah)
Akan dikurniakan kepadanya satu daripada perbendaharaan di Syurga.  
 
5.    Hawqalah mendidik kita mengakui bahawa kemampuan melakukan ketaatan dan meninggalkan kemaksiatan berlaku dengan taufik dan pertolongan Allah. Ia merupakan pengakuan bahawa manusia tidak mampu mencapai kebaikan atau menghindari keburukan secara bebas daripada bantuan Allah.
 
6.    Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa kalimah hawqalah menunjukkan besarnya pahala yang disediakan bagi orang yang mengucapkannya dan menghayati maknanya. Sebagaimana khazanah dunia ialah sesuatu yang bernilai dan disimpan, pahala kalimah ini merupakan khazanah yang disediakan Allah untuk seseorang di akhirat.
 
7.    Hadis ini mengajar bahawa hakikat doa bukan pada kuatnya suara, tetapi pada dekatnya hati kepada Allah.
 


Tuesday, September 22, 2026

Doa Yang Utama

Selasa, 10 Rabiulakhir 1448H  |   Doa Yang Utama
 
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا مِنْ دَعْوَةٍ يَدْعُو بِهَا الْعَبْدُ أَفْضَلَ مِنْ اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْمُعَافَاةَ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ
 
Daripada Abu Hurairah RA beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Tidak ada doa yang di ucapkan seorang hamba ketika berdoa lebih utama daripada; Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu keselamatan dan kesejahteraan didunia dan akhirat." (HR Ibn Majah No 3851 Maktabah Ilmiyyah) Status: Hadis  Sahih
 
Pengajaran:
 
1.    Memohon ‘afiyah merupakan antara doa yang paling utama untuk diamalkan oleh seorang Muslim.
 
2.    ‘Afiyah bukan hanya bermaksud kesihatan tubuh, tetapi merangkumi keselamatan agama, jiwa, keluarga, harta, maruah, dunia dan akhirat.
 
3.    Keselamatan iman lebih penting daripada keselamatan fizikal kerana kehilangan iman membawa kerugian yang jauh lebih besar.
 
4.    Islam tidak mengajar kita meminta bala atau mencari ujian. Kita disuruh meminta keselamatan; apabila ujian datang, barulah kita menghadapinya dengan sabar.
 
5.    Seorang Mukmin hendaklah mempunyai pandangan yang seimbang: bukan hanya meminta kesejahteraan dunia tetapi juga keselamatan akhirat.
 
6.    Doa yang pendek tidak semestinya kecil nilainya. Kadangkala beberapa perkataan mengandungi permintaan yang sangat luas.
 
7.    Nikmat ‘afiyah perlu disyukuri sebelum ia hilang. Kesihatan, keamanan, iman dan keluarga yang baik merupakan nikmat yang sering dianggap biasa.
 
8.    Kita digalakkan mengamalkan doa-doa jami‘ (lafaz yang ringkas tetapi mempunyai makna yang luas) yang diajar Rasulullah SAW kerana lafaznya ringkas tetapi merangkumi keperluan dunia dan akhirat.
 
9.    Antara doa yang utama (afdhal) untuk kita amalkan:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْمُعَافَاةَ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ

Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu keselamatan dan kesejahteraan didunia dan akhirat
 

Doa Mohon Keampunan

Isnin, 9 Rabiulakhir 1448H  |  Doa Mohon Keampunan
 
عَنْ أَبِي بَكْرٍ الصِّدِّيقِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّهُ قَالَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلِّمْنِي دُعَاءً أَدْعُو بِهِ فِي صَلَاتِي قَالَ قُلْ اللَّهُمَّ إِنِّي ظَلَمْتُ نَفْسِي ظُلْمًا كَثِيرًا وَلَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ فَاغْفِرْ لِي مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ وَارْحَمْنِي إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ
 
Daripada Abu Bakr As Siddiq RA bahawa dia berkata kepada Nabi SAW: Ajarkanlah kepadaku suatu doa yang dapat aku baca dalam solatku.  Baginda bersabda: Bacalah: Ya Allah, sesungguhnya aku telah menzalimi diriku sendiri dengan kezaliman yang banyak, dan tidak ada yang boleh mengampuni dosa selain Engkau, maka ampunilah aku dengan keampunan daripada sisi-Mu dan rahmatilah aku. Sesungguhnya Engkau Maha pengampun lagi Maha Penyayang." (HR Bukhari No 5967 Dar Ibn Kathir) Status: Hadis  Sahih
 
Pengajaran:
 
1.    Berdoa adalah suatu tuntutan kepada kita sebagai hamba yang lemah
 
2.    Seorang Mukmin hendaklah sentiasa mengakui kelemahan dan kekurangan dirinya di hadapan Allah.
 
3.    Jangan merasa aman daripada dosa hanya kerana merasa mempunyai banyak ilmu, ibadah atau amal kebajikan.
 
4.    Antara tempat untuk berdoa ialah ketika sujud (dengan lafaz doa dalam bahasa arab), selepas bacaan tahayat akhir serta berdoa selepas salam.
 
5.    Kita hendaklah memohon maghfirah dan rahmah secara Bersama, keampunan untuk kesalahan dan rahmat untuk memperoleh kebaikan.
 
6.    Antara doa yang diajar oleh Rasulullah SAW  untuk dibaca ialah doa memohon keampunan di atas kesilapan dan kesalahan sama ada disedari ataupun tidak:
 
اللَّهُمَّ إِنِّي ظَلَمْتُ نَفْسِي ظُلْمًا كَثِيرًا وَلَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ
فَاغْفِرْ لِي مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ وَارْحَمْنِي إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ
 
Ya Allah, sesungguhnya aku telah menzalimi diriku sendiri dengan kezaliman yang banyak, dan tidak ada yang boleh mengampuni dosa selain Engkau, maka ampunilah aku dengan keampunan daripada sisi-Mu dan rahmatilah aku. Sesungguhnya Engkau Maha pengampun lagi Maha Penyayang
 
7.    Hadis ini mendidik kita menjauhi ujub. Semakin tinggi kedudukan seseorang di sisi manusia, semakin dia perlu merendahkan diri di hadapan Allah.
 

Sunday, September 20, 2026

Tidak Berdoa Yang Buruk dan Memutuskan Silaturahim

Ahad, 8 Rabiul Akhir 1448H :   Tidak Berdoa Yang Buruk dan Memutuskan Silaturahim
 
عَنْ جَابِرٍ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَا مِنْ أَحَدٍ يَدْعُو بِدُعَاءٍ إِلَّا آتَاهُ اللَّهُ مَا سَأَلَ أَوْ كَفَّ عَنْهُ مِنْ السُّوءِ مِثْلَهُ مَا لَمْ يَدْعُ بِإِثْمٍ أَوْ قَطِيعَةِ رَحِمٍ
 
Daripada Jabir RA ia berkata; saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Tidaklah seseorang berdoa dengan sebuah doa melainkan Allah memberikan kepadanya apa yang ia minta, atau Allah menghindarkan daripadanya keburukan yang sebanding dengannya selama ia tidak berdoa untuk melakukan perbuatan dosa atau memutuskan hubungan silaturahim." (HR Tirmizi No 3381 Dar Kutub Ilmiyyah) Status: Hadis Dihasankan oleh Ibn Hajar dalam Misykatul Masabih
 
Pengajaran:
 
1. Doa seorang Mukmin tidak sia-sia. Allah mendengar setiap doa yang dipanjatkan kepada-Nya.
 
2. Seorang Mukmin hendaklah sentiasa bersangka baik kepada Allah apabila doanya belum kelihatan diperkenankan.
 
3.  Penerimaan doa tidak semestinya bermaksud mendapat tepat seperti yang diminta. Allah mungkin memberikan permintaan kita atau menghindarkan keburukan yang sebanding dengannya dengan dua syarat:
 
a.  Tidak berdoa untuk sesuatu yang berdosa seperti mendoakan yang buruk kepada sesama Muslim
 
b.  Tidak memutuskan hubungan silaturahim dengan kerabat
 
4. Doa adalah ibadah. Oleh itu, isi doa hendaklah selaras dengan perkara yang diredai Allah.  Tidak wajar seseorang berdoa supaya orang yang tidak bersalah ditimpa musibah semata-mata kerana perasaan dengki atau permusuhan peribadi.
 
5.  Tidak dibenarkan berdoa untuk melakukan dosa, kezaliman atau perkara yang diharamkan Allah termasuk bertujuan merosakkan hubungan kekeluargaan.
 
6.  Hadis ini mendidik kita supaya menggabungkan doa, sabar, tawakal dan reda terhadap hikmah Allah.
 
Marilah kita menjauhi doa keburukan sesama Muslim. Sebaliknya, perbanyakkan doa kebaikan serta eratkan hubungan silaturahim sesama kerabat.
 

Saturday, September 19, 2026

Satu Pertiga Akhir Malam Yang Istimewa

Sabtu, 7 Rabiul Akhir 1448H  |  Satu Pertiga Akhir Malam Yang Istimewa
 
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ يَتَنَزَّلُ رَبُّنَا تَبَارَكَ وَتَعَالَى كُلَّ لَيْلَةٍ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا حِينَ يَبْقَى ثُلُثُ اللَّيْلِ الْآخِرُ يَقُولُ مَنْ يَدْعُونِي فَأَسْتَجِيبَ لَهُ مَنْ يَسْأَلُنِي فَأُعْطِيَهُ مَنْ يَسْتَغْفِرُنِي فَأَغْفِرَ لَهُ
 
Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: Tuhan kita Yang Maha Berkat lagi Maha Tinggi turun ke langit dunia (dengan makna yang layak bagi-Nya) pada setiap malam ketika berbaki sepertiga malam yang terakhir, lalu Dia berfirman: ‘Siapa yang berdoa kepada-Ku, nescaya Aku akan memperkenankan doanya. Siapa yang memohon kepada-Ku, nescaya Aku akan mengurniakannya. Siapakah yang memohon keampunan kepada-Ku, nescaya Aku akan mengampuninya.’ (HR Bukhari No 5962 Dar Ibn Kathir) Status: Hadis  Sahih
 
Pengajaran:
 
1.    Sepertiga malam terakhir merupakan waktu yang paling utama untuk berdoa dan bermunajat kepada Allah.
 
2.    Satu pertiga malam terakhir (bermula sekitar jam 3 pagi) antara waktu mustajab untuk berdoa:
 
a.     Sesiapa berdoa kepada Allah, akan dikabulkan
 
b.    Sesiapa yang meminta kepada Allah akan diperkenankan
 
c.     Sesiapa yang memohon keampunan akan diampunkan
 
3.    Allah membuka pintu rahmat-Nya setiap malam kepada hamba-hamba yang bangun mengingati-Nya.
 
4.    Istighfar pada waktu sahur merupakan amalan para nabi dan orang-orang soleh.
 
5.    Hadis ini menggalakkan amalan qiyamullail, walaupun hanya dengan beberapa rakaat dan doa yang ikhlas.
 
6.    Rebutlah peluang waktu istimewa yang disediakan setiap hari, satu pertiga akhir malam yang menjadi antara waktu keampunan dan mustajab doa.
 
7.    Imam Ibn Rajab al-Hanbali dalam Lata'if al-Ma'arif menjelaskan bahawa waktu malam ialah saat paling sesuai untuk melahirkan keikhlasan dalam doa kerana ia jauh daripada riak dan gangguan manusia.
 
8.    Manfaatkan sepertiga malam terakhir dengan solat tahajud walaupun dua rakat, tilawah, doa juga perbanyakkan istighfar seperti:

أَسْتَغْفِرُ اللَّهَ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي وَارْحَمْنِي

“Aku memohon keampunan daripada Allah dan aku bertaubat kepada-Nya”. “Ya Allah, ampunilah aku dan rahmatilah aku.”
 

Friday, September 18, 2026

Doa Orang Yang Dizalimi

Jumaat, 6 Rabiulakhir 1448H  |   Doa Orang Yang Dizalimi
 
 عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَعَثَ مُعَاذًا إِلَى الْيَمَنِ فَقَالَ اتَّقِ دَعْوَةَ الْمَظْلُومِ فَإِنَّهَا لَيْسَ بَيْنَهَا وَبَيْنَ اللَّهِ حِجَابٌ

Daripada Ibnu Abbas RA bahawa Nabi SAW mengutus Muaz ke Yaman lalu bersabda: "Takutlah (berhati-hatilah) kamu terhadap doa orang yang dizalimi kerana antara doanya dan Allah tidak ada apa-apa penghalang (hijab)" (HR Bukhari No 2316 Dar Ibn Kathir) Status: Hadis Sahih
 
Pengajaran:
 
1.    Kezaliman adalah haram dalam apa jua bentuk, sama ada terhadap harta, maruah, tubuh badan atau hak seseorang.
 
2.    Doa orang yang dizalimi sangat mustajab. Nabi SAW menggambarkannya sebagai doa yang tidak mempunyai penghalang dengan Allah.
 
3.    Jangan meremehkan seseorang kerana dia lemah, miskin atau tidak mempunyai kuasa, kerana Allah mendengar pengaduannya.
 
4.    Pemimpin dan pentadbir perlu berhati-hati ketika menguruskan hak dan harta masyarakat. Konteks hadis ini sendiri berkaitan amanah Mu‘az RA di Yaman.
 
5.    Islam menuntut keadilan kepada semua, termasuk terhadap orang yang kita tidak sukai atau berbeza dengan kita. Jangan sesekali kita menyangka, sedikit kezaliman itu wajar ke atas seseorang kerana dia itu fasiq, pelaku maksiat atau dia itu bukan Muslim.
 
6.    Orang yang pernah menzalimi seseorang hendaklah segera bertaubat, memulangkan hak dan memohon maaf sebelum tiba hari perhitungan.
 
7.    Orang yang dizalimi boleh mengadu dan berdoa kepada Allah, tetapi memaafkan apabila membawa maslahat juga merupakan akhlak yang sangat mulia.
 
8.    Tugas dakwah tidak menjamin seseorang itu tidak melakukan kezaliman ke atas orang lain. Contohnya apabila dia mengaibkan nama baik dan maruah seseorang, membuat serangan peribadi yang tidak berasas, menghukum berdasarkan andaian dan spekulasi, membuat penilaian-penilaian yang bersifat bias, tidak objektif  dan lain-lain.
 
9.    Hadis ini mendidik kita supaya bukan sahaja takut melakukan dosa yang berkaitan dengan Allah, tetapi juga perlu berhati-hati terhadap hak sesama manusia. Jangan takut hanya kepada orang yang mempunyai kuasa.
Takutlah menzalimi orang yang tidak mempunyai kuasa.
 

Thursday, September 17, 2026

Doa Ketika Sakit

Khamis, 5 Rabiulakhir 1448H  | Doa Ketika Sakit
 
عَنْ عُثْمَانَ بْنِ أَبِي الْعَاصِ الثَّقَفِيِّ أَنَّهُ شَكَا إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَجَعًا يَجِدُهُ فِي جَسَدِهِ مُنْذُ أَسْلَمَ فَقَالَ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ضَعْ يَدَكَ عَلَى الَّذِي تَأَلَّمَ مِنْ جَسَدِكَ وَقُلْ بِاسْمِ اللَّهِ ثَلَاثًا وَقُلْ سَبْعَ مَرَّاتٍ أَعُوذُ بِاللَّهِ وَقُدْرَتِهِ مِنْ شَرِّ مَا أَجِدُ وَأُحَاذِرُ
 
Daripada Usman bin Abi Al 'Ash Ats Tsaqafi bahawa dia mengadukan kepada Rasulullah SAW kesakitan yang dirasai pada tubuhnya sejak ia masuk Islam. Maka Rasulullah SAW bersabda kepadanya: "Letakkan tanganmu pada bahagian tubuhmu yang sakit, kemudian ucapkan Bismillah tiga kali, sesudah itu baca tujuh kali: Aku berlindung kepada Allah dan kekuasaan-Nya dari penyakit yang aku deritai dan yang aku khuatiri. (HR Muslim No 4082 Dar Ihya Kutub Arabiyyah) Status: Hadis Sahih
 
Pengajaran:
 
1.    Setiap penyakit yang menimpa seseorang perlu diusahakan pengubatannya
 
2.    Rasulullah SAW  mengajar kita berdoa memohon kesembuhan dari penyakit.
 
3.    Seseorang boleh melakukan ruqyah syar‘iyyah kepada dirinya sendiri tanpa bergantung kepada individu tertentu.
 
4.    Antara sunnah kepada orang yang sakit  ialah meletakkan tangan di bahagian yang sakit sambil membaca:
 
a.     Bismillah 3 kali
b.    Doa pelindung 7 kali
 
أَعُوذُ بِاللَّهِ وَقُدْرَتِهِ مِنْ شَرِّ مَا أَجِدُ وَأُحَاذِرُ
 
“Aku berlindung kepada Allah dan kekuasaan-Nya dari penyakit yang aku deritai dan yang aku khuatiri”.
 
5.    Islam mengajar kita berlindung daripada penyakit yang sedang dialami serta keburukan atau perkembangan penyakit yang dikhuatiri.
 
6.    Ruqyah yang paling selamat ialah ruqyah yang berasaskan al-Quran dan doa-doa sahih daripada Rasulullah SAW, bukan jampi yang tidak diketahui maknanya.
 
7.    Berdoa tidak menafikan usaha mendapatkan rawatan perubatan yang sesuai.
 
8.    Hadis ini mendidik seorang Muslim supaya ketika sakit, bukan sahaja tubuh mendapatkan rawatan, bahkan hati turut dihubungkan dengan Allah SWT.
 
Moga kita dapat mengamalkan doa ini apabila sakit
 

Wednesday, September 16, 2026

Doa Untuk Pesakit Yang Diziarahi

Rabu, 4 Rabiulakhir 1448H  |  Doa Untuk Pesakit Yang Diziarahi
 
عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا أَتَى مَرِيضًا أَوْ أُتِيَ بِهِ قَالَ أَذْهِبْ الْبَاسَ رَبَّ النَّاسِ اشْفِ وَأَنْتَ الشَّافِي لَا شِفَاءَ إِلَّا شِفَاؤُكَ شِفَاءً لَا يُغَادِرُ سَقَمًا

Daripada Aisyah RA bahawa apabila Rasulullah SAW menziarahi orang sakit atau ada orang yang sakit datang kepada baginda, baginda akan berdoa: “Hilangkanlah penyakit wahai Tuhan sekalian manusia, Sembuhkanlah kerana Engkaulah Yang Maha Menyembuhkan, tidak ada yang dapat menyembuhkan melainkan kesembuhan dari-Mu, iaitu kesembuhan yang tidak meninggalkan sedikit pun penyakit" (HR Bukhari No 5351 Dar Ibn Kathir) Status: Hadis Sahih
 
Pengajaran:
 
1.    Menziarahi orang sakit merupakan sunnah Rasulullah SAW dan sebahagian daripada hak persaudaraan sesama Muslim.
 
2.    Apabila kita menziarahi orang sakit atau dibawa kepada kita orang yang sedang sakit, sunat kita membacakan doa sebagai bentuk empati dan pengharapan. Antara doa yang dibacakan kepada pesakit :
 
أَذْهِبْ الْبَاسَ رَبَّ النَّاسِ اشْفِ وَأَنْتَ الشَّافِي لَا شِفَاءَ إِلَّا شِفَاؤُكَ شِفَاءً لَا يُغَادِرُ سَقَمًا
(“Hilangkanlah penyakit wahai Tuhan sekalian manusia, Sembuhkanlah kerana Engkaulah Yang Maha Menyembuhkan, tidak ada yang dapat menyembuhkan melainkan kesembuhan dari-Mu, iaitu kesembuhan yang tidak meninggalkan sedikit pun penyakit")

3.    Allah SWT ialah al-Shafi, Yang Maha Menyembuhkan. Kesembuhan hakiki datang daripada-Nya.
 
4.    Islam mengajar keseimbangan antara doa, rawatan dan tawakal. Berdoa tidak bermaksud meninggalkan ikhtiar perubatan.
 
5.    Hadis ini merupakan antara dalil bagi keharusan ruqyah syar‘iyyah menggunakan doa yang diajar Rasulullah SAW.
 
6.    Mendoakan orang sakit ialah manifestasi rahmah dan ukhuwah Islamiah. Kita tidak sekadar bersimpati, tetapi membawa keperluannya kepada Allah melalui doa.
 
7.    Antara adab ketika menziarahi orang sakit ialah dengan memberikan kata-kata yang menenangkan, mendoakan kesembuhan dan menimbulkan harapan kepada rahmat Allah. Nabi SAW juga mengajar doa:

لَا بَأْسَ طَهُورٌ إِنْ شَاءَ اللَّهُ

“Tidak mengapa, semoga penyakit ini menjadi penyuci (dosa), insya-Allah.” (HR Bukhari no: 5656)
 
Marilah kita menziarahi sahabat handai, kenalan dan saudara mara yang sakit dan mendoakan mereka.
 

Tuesday, September 15, 2026

Doa Mohon Perlindungan Semasa Tahiyat Akhir

Selasa, 3 Rabiul Akhir 1448H   |  Doa Mohon Perlindungan Semasa Tahiyat Akhir
 
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا تَشَهَّدَ أَحَدُكُمْ فَلْيَتَعَوَّذْ بِاللَّهِ مِنْ أَرْبَعٍ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ وَعَذَابِ الْقَبْرِ وَفِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ وَمِنْ شَرِّ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ ثُمَّ يَدْعُو لِنَفْسِهِ بِمَا بَدَا لَهُ
 
Daripada Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: Jika salah seorang di antara kalian selesai bertasyahud (membaca tahayat akhir semasa solat), maka mintalah perlindungan pada Allah dari empat perkara iaitu dari siksaan neraka Jahannam, siksaan azab kubur, fitnah semasa hidup dan fitnah semasa kematian dan dari kejahatan Al-Masih Ad Dajjal, kemudian hendaklah ia berdoa untuk dirinya sendiri dengan doa apa sahaja yang ia inginkan.” (HR Nasai No: 1293) Status: Hadis Sahih
 
Pengajaran:
 
1.    Kita disuruh berdoa agar dijauhi dari azab dan ujian semasa hidup, kejahatan dajjal, di saat kematian, azab kubur serta azab neraka dan semoga selamat di dunia dan juga di akhirat
 
2.    Antara tempat yang disunatkan berdoa ialah semasa selesai bacaan tahiyat akhir dan sebelum memberi salam.
 
3.    Antara lafaz doa semasa selesai bacaan tahiyat akhir:
 
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَدْعُو وَيَقُولُ:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ
 
Daripada Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW berdoa:

Ya Allah aku berlindung kepadaMu dari siksa kubur dan dari siksa api neraka dan dari fitnah kehidupan dan kematian dan dari fitnah Al Masih Dajjal. (HR Bukhari No: 1288 Dar Ibn Kathir) Status: Hadis Sahih
 
4.    Selepas membaca doa yang diajar Nabi SAW, seseorang boleh menambahkan doa kebaikan yang diperlukan sebelum memberi salam antaranya:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

“Wahai Tuhan kami, berikanlah kepada kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat serta peliharalah kami daripada azab neraka.”
 
5.    Islam mendidik kita supaya memikirkan keselamatan secara menyeluruh, keselamatan di dunia, saat kematian, alam barzakh dan akhirat.
 
Ayuh kita amalkan doa ini agar sentiasa terhindar dari fitnah semasa hidup, fitnah dajjal, fitnah ketika mati, siksa kubur serta siksa neraka jahanam.
 
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah

Sunday, September 13, 2026

Doa Jauhi Empat Perkara

Ahad, 1 Rabiul Akhir 1448H  | Doa Jauhi Empat Perkara
 
عَنْ زَيْدِ بْنِ أَرْقَمَ، أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقُولُ: "اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عِلْمٍ لَا يَنْفَعُ، وَمِنْ قَلبٍ لَا يَخْشَعُ، وَمِنْ نَفْسٍ لَا تَشْبَعُ، وَمِنْ دَعْوَةٍ لَا يُسْتَجَابُ لَهَا"
 
Daripada Zayd bin Arqam, bahawa Nabi SAW selalu berdoa: Ya Allah, sesungguhnya saya memohon perlindungan dengan-Mu daripada ilmu yang tidak bermanfaat, daripada hati yang tidak khusyuk, daripada jiwa yang tidak berasa puas, dan daripada doa yang tidak diperkenankan. (HR Muslim: No 2722) Status: Hadis Sahih.
 
Pengajaran:
 
1.    Seorang Muslim perlu memperbanyakkan doa untuk memperoleh kebaikan
 
2.    Antara doa yang diajar oleh Rasulullah SAW  ialah memohon agar dijauhi dari empat perkara:
 
a. Ilmu yang tidak bermanfaat
b. Hati yang tidak khusyuk
c. Jiwa yang tidak pernah puas
d. Doa yang tidak diperkenankan
 
3.    Kita hendaklah mencari ilmu yang bermanfaat, ilmu yang menghasilkan amal dan rasa takut kepada Allah. Semakin tinggi ilmu seseorang, sewajarnya semakin baik akhlak dan ketakwaannya.
 
4.    Khusyuk hati perlu dipelihara. Hati yang khusyuk ialah hati yang tunduk, lembut dan takut kepada Allah. Ia mudah menerima nasihat, tersentuh apabila membaca al-Quran dan menyedari kebesaran Allah. Hati yang tidak khusyuk boleh mendengar ayat Allah dan nasihat berkali-kali tetapi tidak memberi kesan kepada dirinya. Hati yang keras merupakan penyakit rohani yang serius.
 
5.    Jiwa yang tidak pernah puas akhirnya mudah melahirkan tamak, hasad, persaingan tidak sihat dan kecintaan berlebihan terhadap dunia. Sifat tamak perlu dilawan dengan qanaah dan syukur. Kekayaan sebenar bukan banyaknya harta, tetapi rasa cukup dalam jiwa.
 
6.    Kita perlu menjaga sebab-sebab penerimaan doa, termasuk keikhlasan, halal dalam kehidupan dan kesungguhan kembali kepada Allah.
 
7.    Hadis ini mengajar bahawa seorang Mukmin perlu sentiasa melakukan muhasabah terhadap ilmu, hati, nafsu dan doanya.
 
8.    Marilah kita perbanyakkan doa agar sentiasa memiliki ilmu bermanfaat, hati yang khusyuk, jiwa yang puas dan doa yang diperkenankan.
 
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عِلْمٍ لَا يَنْفَعُ، وَمِنْ قَلبٍ لَا يَخْشَعُ، وَمِنْ نَفْسٍ لَا تَشْبَعُ،
 وَمِنْ دَعْوَةٍ لَا يُسْتَجَابُ لَهَا
 

Saturday, September 12, 2026

Enggan Berdoa Dimurkai Allah

Sabtu, 30 Rabiul Awal 1448H  |  Enggan Berdoa Dimurkai Allah
 
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ لَمْ يَدْعُ اللَّهَ سُبْحَانَهُ غَضِبَ عَلَيْهِ
 
Daripada Abu Hurairah RA dia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Barang siapa yang tidak berdoa kepada Allah, maka Allah akan murka kepadanya."  (HR Ibn Majah No: 3827 Maktabah Ilmiyyah) Status: Hadis Sahih
 
Pengajaran:
 
1.    Berdoa kepada Allah adalah ibadah dan manifestasi kehambaan kepada Allah.
 
2.    Allah SWT menyukai hamba yang berdoa dan meminta kepada-Nya.
 
3.    Keengganan meminta dan berdoa kepada Allah menunjukkan sifat kesombongan.
 
4.    Doa menunjukkan pengakuan bahawa manusia faqir dan sentiasa berhajat kepada Allah.
 
5.    Doa memperlihatkan kemuncak ketundukan dan kebergantungan seorang hamba kepada Allah. Orang yang meminta mengakui kelemahan dirinya dan kekuasaan Tuhannya.
 
6.    Seorang mukmin hendaklah berdoa dengan tawaduk, yakin dan bersangka baik kepada Allah.
 
7.    Allah murka kepada mereka yang sengaja tidak berdoa.
 
8.    Jangan hanya berdoa kerana kita mempunyai masalah. Berdoalah kerana kita sentiasa mempunyai Tuhan yang Maha Mendengar, sedangkan kita sentiasa merupakan hamba yang berhajat kepada-Nya.
 

Friday, September 11, 2026

Allah Mengabulkan Doa Hamba

Jumaat, 29 Rabiul Awal 1448H  |  Allah Mengabulkan Doa Hamba
 
عَنْ سَلْمَانَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ رَبَّكُمْ تَبَارَكَ وَتَعَالَى حَيِيٌّ كَرِيمٌ يَسْتَحْيِي مِنْ عَبْدِهِ إِذَا رَفَعَ يَدَيْهِ إِلَيْهِ أَنْ يَرُدَّهُمَا صِفْرًا
 
Daripada Salman al-Farisi RA, ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Tuhan kamu mempunyai sifat Maha Pemalu dan Maha Mulia. Allah malu sekiranya hambanya mengangkat tangan berdoa kepada-Nya lalu Dia membiarkan hambanya pulang dengan kekosongan.” (HR Abu Daud No:1488 Maktabah Asriyyah) Status: Hadis Sahih
 
Pengajaran:
 
1.    Allah SWT bersifat Maha Pemurah dan Maha Mengasihani hamba-Nya.
 
2.    Setiap Muslim dituntut sentiasa berdoa kepada Allah dalam apa jua keadaan.
 
3.    Allah akan sentiasa mengabulkan setiap doa dan permohonan hambaNya
 
4.    Allah tidak akan menghampakan permintaan dan permohonan hambaNya
 
Firman Allah :
 
وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ إِنَّ الَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِي سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ
 
"Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur (enggan) beribadat dan berdoa kepadaku, akan masuk neraka jahannam dalam keadaan hina. (Surah Ghafir : 60)
 
5.    Mengangkat kedua tangan merupakan antara adab dan Sunnah ketika berdoa. Menadah tangan menggambarkan kefakiran, kerendahan dan kebergantungan seorang hamba kepada Allah.
 
6.    Mengangkat tangan hendaklah disertai dengan kehadiran hati, keikhlasan, tawaduk dan keyakinan kepada Allah.
 
7.    Jangan berputus asa atau tergesa-gesa apabila doa belum kelihatan diperkenankan.
 
8.    Ayuh kita sentiasa berdoa kepada Allah, jangan sekali-kali kita menjadi orang yang sombong kerana tidak mahu berdoa.
 

Thursday, September 10, 2026

Yakin Doa Diperkenan

Khamis, 28 Rabiul Awal 1448H  |  Yakin Doa Diperkenan
 
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الْقُلُوبُ أَوْعِيَةٌ وَبَعْضُهَا أَوْعَى مِنْ بَعْضٍ فَإِذَا سَأَلْتُمْ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ أَيُّهَا النَّاسُ فَاسْأَلُوهُ وَأَنْتُمْ مُوقِنُونَ بِالْإِجَابَةِ فَإِنَّ اللَّهَ لَا يَسْتَجِيبُ لِعَبْدٍ دَعَاهُ عَنْ ظَهْرِ قَلْبٍ غَافِلٍ
 
Daripada Abdullah bin 'Amru RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Hati itu adalah ibarat sebuah bejana (bekas), dan sebahagiannya lebih mampu menampung daripada sebahagian yang lain. Maka apabila kamu memohon kepada Allah 'azza wajalla, wahai manusia, maka mohonlah kepada-Nya dengan keyakinan bahawa permohonan itu akan diperkenankan. Sesungguhnya Allah tidak akan mengabulkan doa seorang hamba yang berdoa kepada-Nya dari hati yang lalai." (HR Ahmad No 6617 Dar Ihya Turath Arabiy) Status: Hadis Hasan
 
Pengajaran:
 
1. Hati merupakan pusat penting dalam ibadah dan doa.
 
2. Orang yang berdoa, perlu memiliki keyakinan bahawa doanya akan diperkenankan.
 
3. Doa hendaklah disertai kehadiran hati. Ibn Qayyim mengumpamakan doa seperti senjata. Keberkesanan senjata bukan bergantung kepada senjata semata-mata, tetapi juga kepada kekuatan orang yang menggunakannya serta ketiadaan penghalang.
 
4. Allah tidak mengabulkan doa dari pemilik hati yang tidak yakin serta lalai
 
5. Apabila berdoa, bersungguh-sungguhlah berdoa dan yakin bahawa doa kita akan diperkenankan Allah.
 
6. Al-Mubarakfuri ketika menghuraikan hadis ini mengaitkannya dengan keyakinan terhadap kemurahan Allah serta tidak berdoa dalam keadaan ragu terhadap kekuasaan dan kemurahan-Nya.
 
7. Memahami makna doa membantu membina khusyuk dan penghayatan.
 

Wednesday, September 9, 2026

Orang Yang Dikabulkan Doa

Rabu, 27 Rabiul Awal 1448H  | Orang Yang Dikabulkan Doa
 
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ سَرَّهُ أَنْ يَسْتَجِيبَ اللَّهُ لَهُ عِنْدَ الشَّدَائِدِ وَالْكَرْبِ فَلْيُكْثِرْ الدُّعَاءَ فِي الرَّخَاءِ
 
Daripada Abu Hurairah RA ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang suka agar Allah memperkenankan doanya ketika menghadapi kesusahan dan kesempitan, maka hendaknya dia memperbanyakkan berdoa ketika berada dalam keadaan senang dan lapang." (HR Tirmizi No: 3382 Dar Kutub Ilmiyyah) Status: Hadis Sahih
 
Pengajaran:
 
1.    Doa hendaklah menjadi amalan sepanjang masa, bukan hanya ketika ditimpa musibah.
 
2.    Seorang mukmin hendaklah memperbanyakkan doa ketika sihat, senang, aman dan lapang.
 
3.    Hubungan yang kukuh dengan Allah ketika senang menjadi antara sebab mendapat pertolongan Allah ketika kesusahan.
 
4.    Allah mengabulkan doa seseorang yang berdoa ketika ia berada dalam kesusahan dan kesempitan hasil dari amalannya yang sentiasa berdoa ketika lapang.
 
5.    Al-Mubarakfuri ketika menghuraikan hadis ini dalam Tuhfat al-Ahwadhi menjelaskan bahawa memperbanyakkan doa ketika lapang merupakan antara sebab doa diperkenankan ketika kesusahan. Hal ini kerana ia menunjukkan keikhlasan dan kesinambungan hubungan seseorang dengan Allah.
 
6.    Orang beriman bukanlah orang yang hanya mencari Allah ketika hidup menjadi sukar, tetapi orang yang sentiasa bersama Allah ketika susah mahupun senang.