Friday, June 16, 2023

Keutamaan Sifat Tenang Ketika Beribadah

Jumaat, 27 Zulkaedah 1444H: Keutamaan Sifat Tenang Ketika Beribadah

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَنَّهُ دَفَعَ مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ عَرَفَةَ فَسَمِعَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَرَاءَهُ زَجْرًا شَدِيدًا وَضَرْبًا وَصَوْتًا لِلْإِبِلِ فَأَشَارَ بِسَوْطِهِ إِلَيْهِمْ وَقَالَ أَيُّهَا النَّاسُ عَلَيْكُمْ بِالسَّكِينَةِ فَإِنَّ الْبِرَّ لَيْسَ بِالْإِيضَاعِ

Daripada Ibnu 'Abbas RA, bahawasanya beliau telah bertolak bersama-sama Nabi SAW pada hari 'Arafah. Kemudian Nabi SAW mendengar dari arah belakang Baginda SAW suara yang keras dan bentakan serta pukulan terhadap unta. Maka Baginda SAW memberi isyarat kepada mereka dengan cemeti agar bertenang. Baginda SAW bersabda: "Wahai manusia, hendaklah kamu bertenang, kerana sesungguhnya kebaikan bukan (diperoleh) dengan tergesa-gesa." 

(HR Bukhari No: 1671) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.Islam adalah agama yang membawa rahmat, bukan sahaja kepada sesama manusia bahkan kepada semua makhluk termasuk binatang.

2.Bersifat rahmah dengan berlemah lembut dengan binatang tunggangan adalah suatu yang dituntut.

3.Antara rahmat yang diberikan Allah SWT kepada hamba-Nya adalah dapat melakukan ibadah dengan taufik dan hidayah-Nya. Setiap ibadah yang dilakukan seperti solat, haji dan sebagainya hendaklah dilakukan dengan penuh ketenangan. Hanya ibadah yang dilaksanakan dengan penuh ketenangan akan melahirkan kebesaran dan ketaqwaan kepada Allah SWT dalam hatinya.

Setiap Muslim hendaklah sentiasa bersifat tenang kerana sifat tergesa-gesa akan menyebabkan seseorang itu melakukan kesilapan dan ketidaksempurnaan dalam melakukan amal ibadah yang akhirnya menyebabkan amalan tersebut ditolak oleh Allah SWT.

No comments: