Rabu, 2 Zulhijjah 1444H: Bersegera Dengan Amal Soleh
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ
اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: بَادِرُوا
بِالْأَعْمَالِ سَبْعًا هَلْ تَنْتَظِرُونَ إِلَّا فَقْرًا مُنْسِيًا أَوْ
غِنًى مُطْغِيًا أَوْ مَرَضًا مُفْسِدًا أَوْ هَرَمًا مُفَنِّدًا أَوْ
مَوْتًا مُجْهِزًا أَوْ الدَّجَّالَ فَشَرُّ غَائِبٍ يُنْتَظَرُ أَوْ
السَّاعَةَ فَالسَّاعَةُ أَدْهَى وَأَمَرُّ
Daripada Abu Hurairah
RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Segeralah melakukan amal soleh
(sebelum datang) tujuh perkara. Apakah yang kamu perlu tunggu melainkan
kefakiran yang akan melupakan kamu (daripada beramal), atau kekayaan
yang akan menimbulkan rasa angkuh yang melampui batas, atau penyakit
yang merosak (sehingga sukar untuk beramal soleh), atau masa tua yang
menimbulkan kenyanyukan dan keuzuran, atau kematian yang cepat (secara
tiba-tiba), atau adanya Dajjal sebagai makhluk jahat yang paling
ditunggu-tunggu, atau datang hari kiamat dan hari kiamat itu lebih berat
dan lebih sukar."
(HR Tirmizi, No: 2306) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1.
Sesungguhnya Allah SWT yang menciptakan manusia daripada tiada kepada
ada. Setiap yang hidup pasti akan menemui kematian. Lalu akan dihidupkan
kembali di alam akhirat yang kekal selama-lamanya.
2. Jangan
mensia-siakan waktu yang masih ada sebelum datang penyesalan yang tiada
berguna. Perbanyakan istighfar (memohon keampunan) dan tinggalkan
maksiat serta seringlah mengingati kematian kerana kita tidak tahu bila
saat kematian akan tiba. Sesungguhnya dengan mengingati kematian
seseorang Muslim itu akan sentiasa teruja melakukan ketaatan.
3. Setiap Muslim hendaklah segera beramal dan memperbaiki agar amal lebih baik sebelum datangnya tujuh perkara berikut :
a) Kemiskinan yang melupakan kewajipan seperti tidak kisah soal halal dan haram.
b) Kekayaan yang menimbulkan rasa angkuh dan sombong.
c) Penyakit berat sehingga sukar untuk beramal soleh.
d) Tua yang menyebabkan nyanyuk dan keuzuran.
e) Kematian mengejut.
f) Kemunculan Dajjal sebagai makhluk jahat.
g) Hari Kiamat yang sangat mengerikan.
No comments:
Post a Comment