Sunday, March 29, 2026

Orang Yang Berhak Mendapat Kecintaan Allah

Ahad, 9 Syawal 1447H  |  Orang Yang Berhak Mendapat Kecintaan Allah

أَبُو ظَبْيَةَ قَالَ إِنَّ شُرَحْبِيلَ بْنَ السِّمْطِ دَعَا عَمْرَو بْنَ عَبَسَةَ السُّلَمِيَّ فَقَالَ يَا ابْنَ عَبَسَةَ هَلْ أَنْتَ مُحَدِّثِي حَدِيثًا سَمِعْتَهُ أَنْتَ مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَيْسَ فِيهِ تَزَيُّدٌ وَلَا كَذِبٌ وَلَا تُحَدِّثْنِيهِ عَنْ آخَرَ سَمِعَهُ مِنْهُ غَيْرِكَ قَالَ نَعَمْ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يَقُولُ قَدْ حَقَّتْ مَحَبَّتِي لِلَّذِينَ يَتَحَابُّونَ مِنْ أَجْلِي وَحَقَّتْ مَحَبَّتِي لِلَّذِينَ يَتَصَافُّونَ مِنْ أَجْلِي وَحَقَّتْ مَحَبَّتِي لِلَّذِينَ يَتَزَاوَرُونَ مِنْ أَجْلِي وَحَقَّتْ مَحَبَّتِي لِلَّذِينَ يَتَبَاذَلُونَ مِنْ أَجْلِي وَحَقَّتْ مَحَبَّتِي لِلَّذِينَ يَتَنَاصَرُونَ مِنْ أَجْلِي

Abu Zabiyah meriwayatkan bahawa Shurahbīl bin al-Simṭ telah memanggil ‘Amr bin ‘Abasah al-Sulamī lalu berkata: “Wahai Ibn ‘Abasah, adakah engkau mempunyai satu hadis yang engkau dengar sendiri daripada Rasulullah SAW, yang tiada penambahan, tiada pembohongan, dan bukan daripada orang lain selain dirimu?”
Beliau menjawab: “Ya, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda bahawa Allah ‘Azza wa Jalla berfirman: 'Sungguh telah berhak mendapatkan kecintaan-Ku orang-orang yang saling berkasih sayang kerana-Ku, dan sungguh telah berhak mendapatkan kecintaan-Ku orang-orang yang saling merapatkan barisan  (berhimpun dalam majlis kebaikan seperti majlis ilmu) kerana-Ku, dan sungguh telah berhak mendapatkan kecintaan-Ku orang-orang yang saling mengunjungi kerana-Ku, dan sungguh telah berhak mendapatkan kecintaan-Ku orang-orang yang saling memberi, berkorban (untuk membantu yang lain) kerana-Ku, dan sungguh telah berhak mendapatkan kecintaan-Ku orang-orang yang saling menolong kerana-Ku.'"(HR Ahmad No: 18621) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

Setiap Muslim berhak mendapat kecintaan Allah dengan Rahmat, keampunan dan kemuliaan-Nya di dunia dan akhirat apabila kita:

1.  Saling berkasih sayang sesama Muslim kerana Allah

2.  Saling merapatkan hubungan (ukhuwah), berkumpul kerana Allah dengan mengutamakan mereka, tidak menyakiti dan sentiasa menjaga hubungan harmoni.

3.  Saling menziarahi kerana Allah

4.  Saling memberi dan berkorban (untuk membantu yang lain dengan berkongsi harta, manfaar) kerana Allah

5.  Saling bantu membantu dan tolong menolong dalam kebaikan dan kebenaran kerana Allah

Hadis ini menegaskan bahawa kasih Allah SWT bukan sekadar diperoleh melalui ibadah individu, tetapi juga melalui hubungan sosial yang dibina atas dasar keimanan. Ukhuwah yang ikhlas kerana Allah menjadi jalan utama untuk meraih cinta dan rahmat-Nya, seterusnya membentuk masyarakat Islam yang harmoni dan diberkati.

Jadikanlah diri kita orang yang disayangi Allah kerana penyayangnya kita kepada orang lain semata-mata kerana Allah. Ambillah kesempatan di bulan Syawal ini untuk saling merapatkan hubungan ukhuwah sesama Muslim antaranya melalui ziarah menziarahi.


No comments: