Ahad, 19 Muharam 1448H | Perumpamaan Pembaca Al-Quran
عَنْ أَبِي مُوسَى الْأَشْعَرِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَثَلُ الْمُؤْمِنِ الَّذِي يَقْرَأُ الْقُرْآنَ كَمَثَلِ الْأُتْرُجَّةِ، رِيحُهَا طَيِّبٌ وَطَعْمُهَا طَيِّبٌ، وَمَثَلُ الْمُؤْمِنِ الَّذِي لَا يَقْرَأُ الْقُرْآنَ كَمَثَلِ التَّمْرَةِ، لَا رِيحَ لَهَا وَطَعْمُهَا حُلْوٌ، وَمَثَلُ الْمُنَافِقِ الَّذِي يَقْرَأُ الْقُرْآنَ كَمَثَلِ الرَّيْحَانَةِ، رِيحُهَا طَيِّبٌ وَطَعْمُهَا مُرٌّ، وَمَثَلُ الْمُنَافِقِ الَّذِي لَا يَقْرَأُ الْقُرْآنَ كَمَثَلِ الْحَنْظَلَةِ، لَيْسَ لَهَا رِيحٌ وَطَعْمُهَا مُرٌّ
Daripada Abu Musa al-Ash'ari RA, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Perumpamaan seorang Mukmin yang membaca al-Quran adalah seperti buah utrujjah (sejenis limau besar); baunya harum dan rasanya juga enak. Perumpamaan seorang Mukmin yang tidak membaca al-Quran pula seperti buah tamar; tidak mempunyai bau, tetapi rasanya manis. Perumpamaan seorang munafik yang membaca al-Quran adalah seperti pokok raihan (selasih atau tumbuhan beraroma); baunya harum tetapi rasanya pahit. Manakala perumpamaan seorang munafik yang tidak membaca al-Quran pula adalah seperti buah hanzalah (peria padang); tidak mempunyai bau dan rasanya pula pahit." (HR Muslim No 797) Status Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Mukmin yang membaca, memahami dan mengamalkan al-Quran merupakan insan yang paling sempurna dari sudut iman dan akhlak.
2. Mukmin yang membaca al-Quran diumpamakan seperti buah Utrujjah yang mempunyai bau yang harum dan rasa yang enak. Bau yang harum melambangkan akhlak dan aura kebaikan yang dirasai oleh orang lain. Rasa yang enak pula melambangkan keikhlasan dan hati yang bersih. Ia bukan hanya mendapat manfaat untuk dirinya bahkan memberi manfaat kepada orang yang ada disekelilingnya.
3. Membaca al-Quran memberi manfaat kepada diri sendiri dan juga kepada masyarakat melalui akhlak, ilmu serta nasihat yang baik.
4. Mukmin yang tidak membaca al-Quran seperti kurma. Menurut Imam al-Qurtubi, mukmin tetap memiliki iman yang menjadi sumber kemanisan rohani walaupun dia tidak membiasakan diri membaca al-Quran. Namun, manfaatnya lebih banyak tertumpu kepada dirinya sendiri kerana tidak terpancar keluar sebagaimana mukmin yang sentiasa berinteraksi dengan al-Quran.
5. Bacaan al-Quran hendaklah disertai dengan keikhlasan, tadabbur dan pengamalan, bukan sekadar memperelokkan suara atau mengejar pujian manusia.
6. Kemunafikan boleh menyebabkan amalan yang kelihatan baik pada zahir namun tidak memberi nilai di sisi Allah jika hati tidak beriman.
7. Al-Quran ialah sumber pembinaan akhlak, penyucian jiwa dan pembentukan peribadi Muslim yang unggul. Membaca al-Quran hendaklah disertai dengan kehadiran hati, mentadabur, menghayati serta melaksanakan dalam kehidupan.
8. Seorang Muslim hendaklah berusaha Bersama dengan al-Quran agar dirinya seperti utrujjah - baik pada zahir dan batin, memberi manfaat kepada diri sendiri serta menyebarkan kebaikan kepada orang lain.
9. Hadis ini menegaskan bahawa kejayaan pendidikan al-Quran bukan sekadar melahirkan individu yang mahir membaca, tetapi insan yang beriman, berakhlak mulia dan menghayati nilai-nilai al-Quran dalam seluruh aspek kehidupan.
No comments:
Post a Comment