Sabtu, 28 Rabiul Akhir 1448H | Kelebihan Bertahmid dan Memuji Allah Ketika Pesakit Diziarahi
عَنْ عَطَاءِ بْنِ يَسَارٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا مَرِضَ الْعَبْدُ بَعَثَ اللَّهُ تَعَالَى إِلَيْهِ مَلَكَيْنِ فَقَالَ انْظُرَا مَاذَا يَقُولُ لِعُوَّادِهِ فَإِنْ هُوَ إِذَا جَاءُوهُ حَمِدَ اللَّهَ وَأَثْنَى عَلَيْهِ رَفَعَا ذَلِكَ إِلَى اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ وَهُوَ أَعْلَمُ فَيَقُولُ لِعَبْدِي عَلَيَّ إِنْ تَوَفَّيْتُهُ أَنْ أُدْخِلَهُ الْجَنَّةَ وَإِنْ أَنَا شَفَيْتُهُ أَنْ أُبْدِلَ لَهُ لَحْمًا خَيْرًا مِنْ لَحْمِهِ وَدَمًا خَيْرًا مِنْ دَمِهِ وَأَنْ أُكَفِّرَ عَنْهُ سَيِّئَاتِهِ
Daripada 'Atha bin Yasar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Apabila seorang hamba jatuh sakit, Allah SWT mengutus kepadanya dua Malaikat seraya berfirman; “Perhatikanlah apa yang dikatakannya kepada orang-orang yang menziarahinya. Jika ketika mereka datang menziarahinya dia memuji Allah dan menyanjung-Nya, kedua-dua malaikat itu mengangkat perkara tersebut kepada Allah ‘Azza wa Jalla, sedangkan Dia (Allah) lebih mengetahui. Lalu Allah berfirman: ‘Menjadi ketetapan-Ku terhadap hamba-Ku, jika Aku mematikannya, Aku akan memasukkannya ke dalam syurga; dan jika Aku menyembuhkannya, Aku akan menggantikan baginya daging yang lebih baik daripada dagingnya dan darah yang lebih baik daripada darahnya serta Aku akan menghapuskan dosa-dosanya.’" (HR Malik No: 1475) Status: Hadis Hasan lighairihi.
Pengajaran:
1. Sakit merupakan ujian terhadap tubuh, hati dan lidah. Cara seseorang berbicara ketika sakit boleh mencerminkan hubungannya dengan Allah.
2. Seorang Mukmin dianjurkan memuji Allah dalam semua keadaan. Syukur bukan hanya ketika mendapat nikmat yang menyenangkan, termasuklah ketika sakit.
3. Ketika orang yang sakit diziarahi, ucapkanlah zikir memuji Allah bukan keluhan atau kesakitan. Antaranya kalimah:
الْحَمْدُ لِلَّهِ عَلَى كُلِّ حَالٍ
“Segala puji bagi Allah dalam setiap keadaan.”
4. Mengadu sakit tidak sama dengan mencela ketentuan Allah. Pesakit boleh menjelaskan kesakitannya untuk mendapatkan bantuan dan rawatan.
5. Jagalah lidah ketika sakit. Elakkan kata-kata seperti mempertikaikan keadilan Allah atau berputus asa daripada rahmat-Nya. Sakit akan menjadi penebus dosa.
6. Bagi penziarah, doakan pesakit dan ucapkan kata-kata semangat dan kesabaran untuk pesakit.
7. Pesakit yang sabar dan reda malah mengucapkan tahmid dan pujian kepada Allah terhadap apa yang dilalui (bukan keluhan), jika ia dimatikan, Allah akan menggantikan dengan syurga. Jika disembuhkan, Allah akan menggantikan darah yang lebih baik, daging baru yang tumbuh lebih baik di samping dikurniakan keampunan dosa.
No comments:
Post a Comment