Monday, November 9, 2026

Mukmin Paling Sempurna Iman

Isnin, 29 Jamadil Awal 1448H   |   Mukmin Paling Sempurna Iman

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَكْمَلُ الْمُؤْمِنِينَ إِيمَانًا أَحْسَنُهُمْ خُلُقًا وَخِيَارُهُمْ خِيَارُهُمْ لِنِسَائِهِمْ

Daripada Abu Hurairah RA, dia berkata: Rasulullah SAW bersabda: Orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah orang yang paling baik akhlaknya, dan yang terbaik di antara mereka adalah yang paling baik terhadap isteri-isteri mereka." (HR Ahmad No: 7095) Status: Hadis Hasan Sahih

Pengajaran:

1.    Kesempurnaan iman seseorang diukur melalui akhlak dan budi pekertinya.
 
2.    Orang yang memiliki Iman yang sempurna ialah orang yang berjaya menggabungkan kekuatan iman dengan akhlak mulia iaitu lemah lembut, sabar, berlapang dada, memaafkan, serta menjauhi sifat kasar dan sombong.
 
3.    Kemuliaan akhlak seseorang lelaki paling jelas dilihat pada sikap terhadap isterinya. Ibn Hajar al-‘Asqalani menjelaskan bahawa kebaikan lelaki kepada isteri termasuklah:
 
·  bertutur dengan lembut,
·  menafkahkan dengan ihsan,
·  bersabar dengan kelemahan         isteri,
·  menzahirkan kasih sayang serta penghormatan.
 
4.    Kebaikan sebenar bermula dalam rumah tangga. Seorang yang baik kepada isterinya menunjukkan kekuatan iman, keperibadian, dan kepimpinan rohani dalam keluarga.
 
5.    Seorang suami yang baik bukan hanya mampu memimpin keluarga, tetapi juga mampu mewujudkan suasana kasih sayang, keselamatan dan ketenteraman dalam rumah tangga. Bergaul dengan cara yang baik menurut syarak, termasuk layanan yang sopan, keadilan, pemberian nafkah, penghormatan dan penjagaan hak pasangan.
 
6.    Akhlak baik terhadap wanita adalah tanda kemuliaan dan keimanan. Islam menolak kezaliman, kekasaran, dan penghinaan terhadap wanita dalam apa jua bentuk.
 
7.    Berakhlak baik, berlemah lembut dan penyayang terhadap ahli keluarga termasuk dalam kesempurnaan iman. Hadis Nabi SAW:

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ مِنْ أَكْمَلِ الْمُؤْمِنِينَ إِيمَانًا أَحْسَنُهُمْ خُلُقًا وَأَلْطَفُهُمْ بِأَهْلِهِ

Daripada Aisyah dia berkata, Rasulullah SAW bersabda; "Sesungguhnya termasuk orang yang paling sempurna imannya adalah orang yang paling baik akhlaknya, dan paling lembut terhadap keluarganya." (HR Tirmizi No: 2537)
 
8.    Kasih sayang, empati dan penghargaan merupakan unsur penting dalam membina keluarga yang sejahtera. Keluarga yang dibina atas nilai kasih sayang dan keadilan berpotensi menyumbang kepada pembentukan masyarakat yang lebih harmoni.


No comments: