"Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian; Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran".(Surah Al-Asr,Ayat 1-3)
Thursday, August 31, 2023
Prihatin Saling Menyayangi
Wednesday, August 30, 2023
Bersama Dengan Orang Yang Dicintai
Monday, August 28, 2023
Kasihi Yang Muda Hormati Yang Tua
Isnin, 11 Safar 1445H: Kasihi Yang Muda Hormati Yang Tua
Friday, July 28, 2023
Jadilah Pengasih Untuk Dirahmati Allah
Jumaat, 10 Muharram 1445H: Jadilah Pengasih Untuk Dirahmati Allah
سَعْدُ بْنُ عُبَادَةَ
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّمَا
يَرْحَمُ اللَّهُ مِنْ عِبَادِهِ الرُّحَمَاءَ
Daripada Saad bin
Ubadah RA, Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah hanya merahmati
hamba-hambaNya yang pengasih"
(HR Bukhari No: 1284). Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Sifat penyayang dan pengasih adalah dituntut pada setiap Muslim
2.
Allah hanya merahmati Muslim yang memiliki sifat kasih sayang kepada
sesama manusia dan makhluk lain untuk diberi ganjaran syurga.
3.
Milikilah sifat kasih sayang terhadap orang lain. Antaranya ialah
sifat membantu mereka yang sedang menghadapi musibah, sama ada dengan
wang ringgit, tenaga mahupun pandangan dan nasihat.
4. Kasihilah
orang lain dengan mendoakan kebaikan, memaafkan mereka, menolong orang
yang dalam kesusahan, membantu orang yang sedang kesempitan, memberi
makan orang yang kelaparan serta mengunjungi orang sakit dan yang
ditimpa musibah.
5. Jika kita benci atau tidak suka kepada
kejahatan seseorang, lakukan dengan cara yang dibenarkan syarak bukan
dengan cara memaki hamun dilaman sosial.
Thursday, July 27, 2023
Sayangi Manusia Lain
Khamis, 9 Muharram 1445H: Sayangi Manusia Lain
عَنْ جَرِيرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ قَالَ
رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا يَرْحَمُ اللَّهُ
مَنْ لَا يَرْحَمُ النَّاسَ
Daripada Jarir bin Abdullah RA
berkata, "Rasulullah SAW bersabda: "Allah tidak akan menyayangi sesiapa
yang tidak menyayangi manusia." (HR Bukhari No: 6828) Status: Hadis
Sahih
Pengajaran:
1. Sifat saling mengasihi dan
menyayangi sesama manusia adalah suatu keperluan dalam mewujudkan
kehidupan yang rahmah dan berkasih sayang.
2. Menyayangi sesama
manusia dengan cara menunaikan tanggungjawab yang menjadi hak orang lain
yang berada di sekeliling antaranya seperti sabda Rasulullah SAW:
حَقُّ
الْمُسْلِمِ عَلَى الْمُسْلِمِ سِتٌّ قِيلَ مَا هُنَّ يَا رَسُولَ اللَّهِ
قَالَ إِذَا لَقِيتَهُ فَسَلِّمْ عَلَيْهِ وَإِذَا دَعَاكَ فَأَجِبْهُ
وَإِذَا اسْتَنْصَحَكَ فَانْصَحْ لَهُ وَإِذَا عَطَسَ فَحَمِدَ اللَّهَ
فَسَمِّتْهُ وَإِذَا مَرِضَ فَعُدْهُ وَإِذَا مَاتَ فَاتَّبِعْهُ
Hak
seorang muslim terhadap muslim yang lain itu ada enam: (iaitu) apabila
engkau bertemu dengannya, ucapkanlah salam, apabila dia mengundangmu,
penuhilah undangannya, apabila dia meminta nasihat kepadamu, nasihatilah
dia, apabila dia bersin lalu mengucapkan Alhamdulillah, doakan dia
(dengan mengucapkan Yarhamukallah), apabila dia sakit, jenguklah dia,
dan apabila dia meninggal, iringilah jenazahnya.” (HR Muslim No: 4023)
Status: Hadis Sahih
3. Sesiapa yang tidak menyayangi orang lain, Allah tidak akan menyayanginya
4.
Sayangilah orang lain dengan sikap prihatin terhadap orang yang berada
di sekeliling tanpa mengira Muslim mahupun non Muslim agar kita sentiasa
disayangi.
5. Jauhilah sifat benci, dengki, sakit hati sesama
kita juga kaum, bangsa, kumpulan dan lain-lain. Jadikanlah perbezaan
kumpulan, bangsa untuk kita saling berkenal mesra dan menyebarkan
kebaikan agar kita menjadi qudwah kepada mereka.
Wednesday, July 26, 2023
Rahmat Kepada Semua
Rabu, 8 Muharram 1445H: Rahmat Kepada Semua
عَنْ أَبِي مُوسَى الأَشْعَرِيِّ , أَنَّهُ
سَمِعَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ , يَقُولُ : لن
تُؤْمِنوا حتى تَراحموا قالوا يا رسولَ اللهِ كُلُّنا رحيمٌ قال إنه ليس
برحمةِ أحدِكم صاحِبَه ولكنَّها رحمةُ الناسِ رحمةُ العامَّةِ
Daripada
Abu Musa RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: Kamu tidak dikira beriman
sehingga kamu berkasih sayang (saling rahmah). Para Sahabat berkata:
Wahai Rasulullah, kami semua telah berkasih sayang. Baginda bersabda:
“(Maksud aku) bukan seperti kasih sayang seseorang kamu terhadap
kawannya, tetapi rahmah kasih sayang terhadap seluruh manusia, rahmah
secara umum (kepada seluruh makhluk)”
(Riwayat al-Haythami dalam Majma’
al-Zawaid 8/189, al-Hakim dalam al-Mustadrak 7418 dan dinilai Hasan
Lighairihi dalam Sahih al-Targhib wa al-Tarhib no. 2253)
Pengajaran:
1.
Islam adalah agama rahmah. Rahmah adalah kata terbitan daripada kata
akar ra-hi-ma / yar-ha-mu yang bermaksud lembut hati terhadap seseorang,
memberi kasih sayang, belas ihsan, santun dan simpati (al-Mu’jam
al’Arabiy al-Asasiy, 1989)
2. Memiliki sifat rahmah dengan berkasih sayang sesama Muslim adalah tanda keimanan seseorang.
3.
Sifat rahmah berkasih sayang bukan hanya sesama Muslim malah juga
kepada seluruh manusia termasuk juga yang bukan Islam serta makhluk alam
yang lain seperti binatang dan tumbuhan.
4. Umat Islam haruslah
memahami bagaimana proses ummah dijelmakan dalam peradaban Islam dari
sudut kesatuan masyarakat manusia. Al-Quran mengarahkan untuk kita
melakukan engagement dengan pelbagai kaum dan bangsa. Firman Allah:
يَٰأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَٰكُم مِّن ذَكَرٖ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ شُعُوبٗا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ
“Wahai
manusia, sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari (sepasang
manusia) lelaki dan perempuan, dan Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa
dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenali.” (al-Hujurat: 13)
5.
Memiliki sifat rahmah kepada manusia secara umum termasuk bukan Islam
dalam masyarakat majmuk seperti di Malaysia adalah dituntut. Ia boleh
dilakukan dengan saling mengenali serta berusaha melakukan usaha dakwah
melalui pelbagai pendekatan termasuk menunjukkan contoh terpuji.
Bersifat rahmah dengan menyayangi orang lain agar mereka juga mendapat
hidayah dan taufik menjadi hamba Allah yang diredhai.
6. Sifat
berkasih sayang adalah fitrah yang dianugerahkan oleh Allah kepada semua
makhluk yang bernyawa. Bukan hanya kepada manusia tetapi juga kepada
binatang. Naluri kasih sayang selalu ada pada manusia seperti kasih
sayang kepada orang tua, kanak-kanak, golongan yang lemah serta sesama
manusia.
7. Suburkanlah sifat rahmah dengan saling sayang
menyayangi bukan hanya sesama Muslim malah berlaku rahmah kepada bukan
Islam dalam usaha menyebarkan dakwah. Semoga sifat rahmah yang kita
tunjukkan akan menjadi penyebab mereka cenderung kepada Islam.
8. Sifat kasih sayang yang ada pada diri seseorang akan menghindarkannya daripada menganiaya atau menzalimi orang lain.
9. Allah menyayangi orang yang menyayangi sesama makhluk. Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّمَا يَرْحَمُ اللَّهُ مِنْ عِبَادِهِ الرُّحَمَاءَ
“Sesungguhnya
Allah hanya akan menyayangi hamba yang menyayangi (makhluk-Nya)”. (HR
At-Thobrani dalam al-Mu’jam al-Kabiir Status Hadis Hasan dalam sahih
Al-Jaami’ no 2377)
Tuesday, July 25, 2023
Muslim Yang Utama
Selasa, 7 Muharram 1445H: Muslim Yang Utama
عَنْ أَبِي مُوسَى رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ
قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيُّ الْإِسْلَامِ أَفْضَلُ قَالَ مَنْ
سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ
Daripada Abu Musa
RA berkata: 'Wahai Rasulullah, Islam manakah yang paling utama?"
Rasulullah SAW menjawab: "Siapa yang kaum Muslimin selamat dari lisan
dan tangannya".
(HR Bukhari No: 10) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Islam mengajar umatnya agar sentiasa memiliki akhlak yang mulia.
2.
Menjaga lisan daripada menuturkan sesuatu yang buruk terhadap orang
Islam lain seperti mengumpat, menghina, mencela, mengadu domba dan
lain-lain adalah dituntut.
3. Memelihara tangan dari melakukan
perbuatan keji dan menyakiti Muslim lain bukan hanya memukul malah
termasuk menulis dan menyebarkan sesuatu yang berbentuk umpatan,
fitnah, menghina, mengadu domba dan lain-lain.
4. Individu yang
paling utama di sisi Allah adalah mereka yang sentiasa dirasai
kebaikannya serta tidak menyakiti dan memudaratkan orang lain yang
berada disekelilingnya sama ada melalui lisan mahupun perbuatannya.
5.
Kita perlu ingat, apa yang ditulis, ditutur mahupun perlakuan kita
terhadap orang lain akan diminta pertanggungjawaban dihadapan Allah.
Firman Allah:
إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولَٰئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولًا
“Sesungguhnya
pendengaran dan penglihatan serta hati nurani, semua anggota itu tetap
akan diminta pertanggungjawabannya (ditanya di akhirat) tentang apa yang
dilakukannya.” (Surah Al-Isra 17 ; Ayat 36)
6. Imam
al-Khaththabi berkata, hadis ini bermaksud bahawa kaum muslimin yang
paling utama adalah orang yang selain menunaikan hak-hak Allah dengan
baik, dia juga dituntut menunaikan hak-hak sesama kaum muslimin dengan
baik pula.
Monday, July 24, 2023
Puasa Tasu’a
Isnin, 6 Muharram 1445H: Puasa Tasu’a (puasa 9hb Muharram)
عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عَبَّاسٍ
رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا يَقُولُا حِينَ صَامَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى
اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ عَاشُورَاءَ وَأَمَرَ بِصِيَامِهِ
قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّهُ يَوْمٌ تُعَظِّمُهُ الْيَهُودُ
وَالنَّصَارَى فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
فَإِذَا كَانَ الْعَامُ الْمُقْبِلُ إِنْ شَاءَ اللَّهُ صُمْنَا الْيَوْمَ
التَّاسِعَ قَالَ فَلَمْ يَأْتِ الْعَامُ الْمُقْبِلُ حَتَّى تُوُفِّيَ
رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
Abdullah bin
Abbas RA, beliau menceritakan: Ketika Nabi SAW melaksanakan puasa Asyura
dan memerintahkan para sahabat untuk puasa. Kemudian ada sahabat yang
berkata: Ya Rasulullah, sesungguhnya hari Asyura adalah hari yang
diagungkan orang yahudi dan nasrani. Kemudian Nabi SAW bersabda: “Tahun
depan, Insha Allah kita akan berpuasa pada hari ke sembilan.” Namun,
belum sampai tahun depan, Nabi SAW diwafatkan. (HR. Muslim No: 1916)
Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Antara hari yang
digalakan berpuasa pada bulan Muharam ialah puasa hari Tasu'a (9hb
Muharam) iaitu sehari sebelum hari Asyura (10hb Muharam)
2.
Puasa dua hari iaitu puasa sunat Tasu'a (9hb Muharam) dan puasa sunat
Asyura (10hb Muharam) adalah untuk membezakan amalan berpuasa seorang
Muslim dengan puasa orang Yahudi dan Keristian.
3. Ibnul Qayim dalam Zadul Ma’ad, 2/72 menjelaskan puasa yang berkait hari Asyura ada tiga Kategori:
a)
Kategori paling sempurna, puasa tiga hari. Sehari sebelum Asyura, hari
Asyura, dan sehari selepas Asyura (9hb, 10hb dan 11hb Muharam).
b) Kategori kedua, puasa pada 9hb dan 10hb Muharam berdasarkan banyak hadis.
c) Kategori ketiga, puasa pada10hb Muharam saja.
Friday, July 21, 2023
Syurga Untuk Pengunjung Masjid
Jumaat, 3 Muharram 1445H: Syurga Untuk Pengunjung Masjid
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ
النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ غَدَا إِلَى
الْمَسْجِدِ أَوْ رَاحَ أَعَدَّ اللَّهُ لَهُ فِي الْجَنَّةِ نُزُلًا
كُلَّمَا غَدَا أَوْ رَاحَ
Daripada Abu Hurairah RA dari Nabi SAW,
baginda bersabda: "Barangsiapa datang ke masjid pada pagi atau petang
hari, maka Allah akan menyediakan persinggahan baginya di syurga, setiap
kali dia berangkat ke masjid di pagi atau petang hari." (Sahih Muslim
No:1073) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1.Orang yang sentiasa solat waktu di masjid pagi dan petang akan disediakan baginya tempat tinggal yang baik di syurga.
2.Rasulullah
SAW menjanjikan perlindungan di hari kiamat kepada tujuh golongan, satu
daripada golongan itu adalah …. mereka yang hatinya terikat dengan
masjid walau di mana dia berada:
عَنْ أَبِيْ هُرَيْرَةَ رَضِيَ
اللهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ :
سَبْعَةٌ يُظِلُّهُمُ اللهُ فِيْ ظِلِّهِ يَوْمَ لَا ظِلَّ إِلَّا
ظِلُّهُ….. وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ فِي الْـمَسَاجِدِ
Daripada
Abu Hurairah RA, dari Nabi SAW, baginda bersabda, “Tujuh golongan yang
dinaungi Allâh dalam naungan-Nya pada hari dimana tidak ada naungan
kecuali naungan-Nya (di hari Akhirat): …. seorang yang hatinya sentiasa
terikat ke masjid. (Sahih Bukhari: 660)
3.Bersungguhlah menjaga
solat berjemaah khususnya di masjid bagi kaum lelaki. Ingatlah kisah
Sulaiman Ibn Hamzah al-Maqdisi keturunan Ibn Qudamah seorang ketua hakim
di Syam, beliau pernah berkata: Aku tidak pernah solat fardu secara
sendirian kecuali 2 kali dan sehingga sekarang aku seakan-akan merasa
masih belum mengerjakannya (padahal usianya ketika itu mencecah 90
tahun) (dalam ar-Raqaik oleh Muhammad Ahmad ar-Rasyid)
Tempat
pertama yang Rasulullah SAW bina ketika sampai ke Kuba dalam peristiwa
hijrah baginda adalah Masjid. Marilah sama-sama kita berusaha menjadikan
masjid sebagai rumah kedua kita untuk menunaikan solat berjemaah,
mendalami ilmu agama, dan mengeratkan hubungan ukhuwah sesama ahli
kariah. Kunjungilah masjid khususnya apabila masuk waktu solat fardhu.
Tuesday, July 18, 2023
Hijrah Untuk Kemakmuran
Selasa, 29 Zulhijjah 1444H: Hijrah Untuk Kemakmuran
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو رَضِيَ
اللَّهُ عَنْهُمَا عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
قَالَ الْمُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ
وَالْمُهَاجِرُ مَنْ هَجَرَ مَا نَهَى اللَّهُ عَنْهُ
Daripada
Abdullah bin Amru dari Nabi SAW, bersabda: "Seorang muslim adalah orang
yang kaum Muslimin selamat dari lisan dan tangannya, dan seorang Muhajir
adalah orang yang meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah " (HR
Bukhari No: 9) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Muslim
yang sempurna adalah seorang yang sentiasa sejahtera kepada orang Islam
lain (sentiasa selamat dari gangguan lisan dan tangannya seperti
umpatan, fitnah, adu domba dan lain-lain).
2. Seseorang yang
mempunyai iman yang sempurna akan mendorong pemiliknya untuk
melaksanakan hak-hak iman. Di antara hak-hak iman adalah: Menjaga
amanah, jujur dalam bermuamalah, dan menahan diri dari berbuat zalim
terhadap sesama manusia dalam perkara darah dan harta mereka sehingga
orang lain merasa aman (kerana merasa tidak terganggu) darah dan harta
mereka.
3. Hijrah adalah perpindahan dari satu situasi atau
keadaan kepada satu situasi atau keadaan yang lain. Seorang yang
berhijrah adalah mereka yang berpindah dari perkara yang kurang baik
kepada yang lebih baik. Berpindah dari perbuatan berdosa dan maksiat
kepada yang baik dan mendatangkan pahala.
4. Hijrah dituntut ke atas setiap Muslim. Untuk berubah, setiap kita perlu melakukan hijrah.
5.
Hijrah dan perubahan menuntut pengorbanan. Para sahabat berhijrah dari
Mekah ke Madinah terpaksa meninggalkan segala yang dimiliki di Mekah
dan menempuh perit getir perjalanan untuk ke Madinah sehingga mereka
selamat sampai. Oleh itu untuk berhijrah dan berubah, setiap kita perlu
berkorban.
Monday, July 17, 2023
Bersyukur Atas Nikmat
Isnin, 28 Zulhijjah 1444H: Bersyukur Atas Nikmat
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ
صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: إِذَا نَظَرَ أَحَدُكُمْ إِلَى
مَنْ فُضِّلَ عَلَيْهِ فِي الْمَالِ وَالْخَلْقِ فَلْيَنْظُرْ إِلَى مَنْ
هُوَ أَسْفَلَ مِنْهُ.
Daripada Abu Hurairah RA daripada
Rasulullah SAW bersabda: “Apabila seseorang daripada kamu melihat kepada
seseorang yang diberikan kelebihan pada harta dan bentuk tubuh, maka
hendaklah dia melihat kepada seseorang yang lebih rendah (atau kurang)
daripadanya.” (HR Bukhari No: 6490). Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1.Allah
SWT telah menjadikan manusia dengan sebaik-baik kejadian. Allah SWT
juga memberikan kepada setiap hamba akan kelebihan dan kekurangan dalam
sesuatu perkara sebagai ujian. Menerusi ujian tersebut Allah SWT akan
menilai hakikat keimanan seseorang hamba, adakah dia benar-benar
bersyukur dengan kelebihan atau bersabar di atas kekurangan yang
diberikan.
2.Seorang yang benar-benar beriman akan memiliki hati
yang sentiasa mengekalkan sifat syukur diatas segala nikmat dan rezeki
yang dimiliki. Dia akan sentiasa menjauhi sifat hasad dengki terhadap
nikmat yang diperoleh orang lain serta mengurangkan kerisauan hati
daripada mengejar harta duniawi. Syukur dan sabar dengan ujian dan
godaan duniawi seperti kemiskinan dan musibah boleh diperoleh secara
memandang kepada orang lain yang lebih daif atau yang lebih rendah
daripadanya.
3.Memandang kepada seseorang yang memiliki kelebihan
harta dan tubuh badan akan menyebabkan bertambah keinginan atau
kerunsingan yang membawa kepada kedengkian dan mengikis sifat syukur.
Adapun jika memandang kepada seseorang yang kurang daripadanya, maka ia
akan menjadikan seseorang itu lebih bersyukur, bertambah ketenangan dan
merasa cukup dengan pemberian Allah SWT.
4. Seringlah memandang
orang yang lebih rendah atau kurang daripada kita agar kita sentiasa
bersyukur dengan apa yang kita miliki. Namun dalam perkara yang
berhubung dengan akhlak, ilmu dan ibadah maka lihatlah orang yang lebih
baik sebagai ikutan kita.
Friday, July 14, 2023
Muslim Paling Baik
Jumaat, 25 Zulhijjah 1444H: Muslim Paling Baik
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو رَضِيَ
اللَّهُ عَنْهُمَا أَنَّ رَجُلًا سَأَلَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَيُّ الْإِسْلَامِ خَيْرٌ قَالَ تُطْعِمُ الطَّعَامَ
وَتَقْرَأُ السَّلَامَ عَلَى مَنْ عَرَفْتَ وَمَنْ لَمْ تَعْرِفْ
Daripada
Abdullah bin Amru RA, ada seseorang yang bertanya kepada Nabi SAW;
"Islam manakah yang paling baik?" Nabi SAW menjawab: "Kamu memberi
makan, mengucapkan salam kepada orang yang kamu kenal dan yang tidak
kamu kenal”. (Sahih Bukhari No: 12) Dar Ibn Kathir. Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1.Muslim yang paling baik ialah yang memberi makan kepada orang lain sama ada yang dikenali atau tidak.
2.Mengucapkan salam kepada orang Islam yang lain sama ada kita kenal atau tidak termasuk dalam kategori Muslim yang paling baik.
3.JANGAN hanya memberi salam kepada orang yang kita kenal sahaja!
Thursday, July 13, 2023
Berilah Salam Walaupun Pada Kanak-kanak
Khamis, 24 Zulhijjah 1444H: Berilah Salam Walaupun Pada Kanak-kanak
عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَرَّ عَلَى غِلْمَانٍ فَسَلَّمَ عَلَيْهِم
Daripada
Anas bin Malik RA bahawa Rasulullah SAW pernah bertemu dengan beberapa
orang anak kecil, lalu baginda memberi salam kepada mereka. (Sahih
Muslim No: 4031) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1.Rasulullah SAW mengajar kita berakhlak mulia walau dengan sesiapapun
2.Antara akhlak mulia ialah mengucapkan salam apabila bertemu dengan orang Islam.
3.Rasulullah SAW memberi salam walaupun kepada kanak-kanak kecil
Wednesday, July 12, 2023
Pahala Ucapan Salam
Rabu, 23 Zulhijjah 1444H: Pahala Ucapan Salam
عَنْ عِمْرَانَ بْنِ حُصَيْنٍ قَالَ جَاءَ
رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ
السَّلَامُ عَلَيْكُمْ فَرَدَّ عَلَيْهِ السَّلَامَ ثُمَّ جَلَسَ فَقَالَ
النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَشْرٌ ثُمَّ جَاءَ آخَرُ
فَقَالَ السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ فَرَدَّ عَلَيْهِ
فَجَلَسَ فَقَالَ عِشْرُونَ ثُمَّ جَاءَ آخَرُ فَقَالَ السَّلَامُ
عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ فَرَدَّ عَلَيْهِ فَجَلَسَ
فَقَالَ ثَلَاثُونَ
Daripada Imran bin Hushain ia berkata,
"Seorang laki-laki datang kepada Nabi SAW dan mengucapkan, "Assalamu
Alaikum?" Baginda membalas salam orang tersebut lalu duduk, Nabi SAW
kemudian bersabda: "Sepuluh" (ganjaran pahala). Setelah itu ada
seseorang datang dan mengucapkan salam, "Assalamu Alaikum wa
Rahmatullah." Baginda membalas salam orang tersebut lalu duduk, Baginda
bersabda: "Dua puluh." Setelah itu ada lagi orang datang dan
mengucapakan salam, "Assalamu Alaikum Wa Rahmatullahi Wa barakatuh."
Baginda membalas salam orang tersebut lalu duduk, Baginda bersabda:
"Tiga puluh." (Sunan Abu Daud No: 4521) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1.Ucapan salam adalah adab mulia seorang Muslim apabila bertemu sesama mereka.
2.Memberi salam kepada Muslim yang lain akan mendapat ganjaran pahala
3.Ucapan
Salam adalah doa kesejahteraan terhadap sesama Muslim. Mendoakan sesama
Muslim agar sentiasa beroleh keamanan dan keselamatan amat dituntut.
4.Ucapan
السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ lebih utama dan
wajar diucapkan kerana ganjarannya lebih baik (30 pahala) berbanding
ucapan yang lain.
5.Ucapan salam sewajarnya disebar luaskan sesuai Islam adalah agama kedamaian, keamanan, perpaduan dan persaudaraan.
عَنْ
أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى
اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا تَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ حَتَّى تُؤْمِنُوا
وَلَا تُؤْمِنُوا حَتَّى تَحَابُّوا أَوَلَا أَدُلُّكُمْ عَلَى شَيْءٍ
إِذَا فَعَلْتُمُوهُ تَحَابَبْتُمْ أَفْشُوا السَّلَامَ بَيْنَكُمْ
Daripada
Abu Hurairah RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda, “Kalian tidak akan
masuk syurga hingga kalian beriman. Dan kalian tidak dikatakan beriman
hingga kalian saling mencintai. Mahukah kalian aku beritahu dengan
sesuatu yang apabila kalian lakukan kalian akan saling mencintai?
(iaitu) sebarkanlah (ucapkanlah) salam di antara kalian.” (Sahih Muslim
No 81) Status: Hadis Sahih
Monday, July 10, 2023
Makan Daging Saudara SeIslam
Isnin, 21 Zulhijjah 1444H: Makan Daging Saudara SeIslam
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْن مَسْعُودٍ
رَضِيَ الله عَنْهُ قَالَ: كُنَّا جُلُوسًا عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى
اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَامَ رَجُلٌ فَوَقَعَ فِيهِ رَجُلٌ مِنْ
بَعْدِهِ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:
"تَخَلَّلْ" قَالَ: وَمَا أَتَخَلَّلُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَكَلْتُ
لَحْمًا قَالَ: "إِنَّكَ أَكَلْتَ لَحْمَ أَخِيكَ
Daripada Abdullah
ibn Masud RA beliau berkata : Kami berada di sisi Nabi SAW, kemudian
berdirilah seorang lelaki, dan seorang lelaki lain menceritakan
keaibannya selepas dia pergi, berkata Nabi SAW : “Keluarkanlah ia
(baki-baki makanan) dari celah-celah gigimu!”, kemudian dia berkata :
Apa yang perlu aku keluarkan? Aku tidak makan apa-apa daging! Baginda
berkata : “Sesungguhnya engkau telah memakan daging saudaramu.” (HR
Thabarani No: 13145) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1.Dalam
kehidupan ini, setiap orang tidak terlepas dari kekurangan dan
kesilapan. Namun kita dilarang menceritakan kekurangan dan aib orang
lain.
2.Orang yang menceritakan aib orang lain atau disebut
mengumpat, diumpamakan seperti memakan daging saudara Islam yang lain.
Firman Allah:
يَٰأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱجۡتَنِبُواْ
كَثِيرٗا مِّنَ ٱلظَّنِّ إِنَّ بَعۡضَ ٱلظَّنِّ إِثۡمٞۖ وَ لَا
تَجَسَّسُواْ وَلَا يَغۡتَب بَّعۡضُكُم بَعۡضًاۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمۡ أَن
يَأۡكُلَ لَحۡمَ أَخِيهِ مَيۡتٗا فَكَرِهۡتُمُوهُۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ
إِنَّ ٱللَّهَ تَوَّابٞ رَّحِيمٞ ١٢
Wahai orang-orang yang
beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka
sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu
adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan
dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang
lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang
telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu
jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut)
dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat,
lagi Maha mengasihani. (al-Hujurat: 12)
3.Ibn Kathir dalam
menafsirkan ayat ini menyatakan; mengumpat adalah haram secara ijma’ dan
tidak dikecualikan suatu apa pun dari itu melainkan terdapat maslahah
(kebaikan) pada mengumpat lebih kuat daripada mafsadahnya (kerosakan)
(Ahmad Syakir, ‘Umdat al-Tafsir, 3/359)
4.Walaupun begitu,
bukanlah larangan mutlak menceritakan aib dan kelemahan orang lain.
Al-Nawawi dan Ibn Qudamah menyebut Enam keadaan mengumpat yang
diharuskan oleh syarak:
a. Membuat aduan mengenai kezaliman kepada pihak berkuasa atau hakim agar kezaliman dapat dibanteras dan diadili.
b. Meminta bantuan untuk mengubah kemungkaran dan maksiat
c. Meminta fatwa
d. Memberikan peringatan kepada orang lain terhadap kejahatan seseorang agar setiap orang terhindar daripada kejahatannya.
e. Seseorang yang terang-terang melakukan kemungkaran.
f. Dibolehkan jika dia memang dikenali dan dipanggil dengan gelaran-gelaran tertentu seperti si buta dan dia redha dengannya
Thursday, July 6, 2023
Jadikan Kejujuran Sebagai Tabiat
Khamis, 17 Zulhijjah 1444H: Jadikan Kejujuran Sebagai Tabiat
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ رَضِيَ
اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ
إِنَّ الصِّدْقَ يَهْدِي إِلَى الْبِرِّ وَإِنَّ الْبِرَّ يَهْدِي إِلَى
الْجَنَّةِ وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَصْدُقُ حَتَّى يَكُونَ صِدِّيقًا وَإِنَّ
الْكَذِبَ يَهْدِي إِلَى الْفُجُورِ وَإِنَّ الْفُجُورَ يَهْدِي إِلَى
النَّارِ وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَكْذِبُ حَتَّى يُكْتَبَ عِنْدَ اللَّهِ
كَذَّابًا
Daripada Abdullah (Abdullah bin Mas'ud) RA daripada
Nabi SAW bersabda: "Sesungguhnya kejujuran akan membimbing pada
kebaikan, dan kebaikan itu akan membimbing ke syurga, sesungguhnya jika
seseorang yang sentiasa berlaku jujur hingga dia akan dicatat sebagai
orang yang jujur. Dan sesungguhnya kedustaan itu akan menghantarkan pada
kejahatan, dan sesungguhnya kejahatan itu akan menggiringi ke neraka.
Dan sesungguhnya jika seseorang yang selalu berdusta sehingga akan
dicatat baginya sebagai seorang pendusta." (HR Bukhari No: 6094) Status:
Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Islam adalah agama yang
menuntut kepada setiap Muslim supaya sentiasa jujur dan menjauhi
kedustaan dalam setiap perkara sama ada perkataan, perbuatan mahupun
pekerjaan.
2. Seorang Muslim yang sentiasa jujur dari segi
percakapan, perbuatan, akhlak, dan pekerjaan, ia akhirnya akan menjadi
kebiasaan dalam amalannya. Kebiasaan yang jujur dan baik dalam amalannya
menyebabkan ia dikenali oleh orang ramai sebagai orang yang jujur dan
benar. Kebiasaan yang baik ini akan mendekatkannya kepada syurga.
3.
Seorang yang sentiasa berdusta, berbohong mahupun menyampaikan berita
palsu, perbuatan tersebut akan mendorongnya kepada kejahatan. Jika
berterusan, perbuatan itu akan menjadi tabiat kebiasaan kepadanya.
Perbuatan itu merupakan dosa yang akan menjadi penyebab dia dimasukkan
ke neraka.
4. Setiap Muslim hendaklah sentiasa jujur dan benar
dalam setiap pertuturan, penulisan dan perbuatan. Ucapkanlah perkataan
yang betul, penulisan yang benar dan boleh mendatangkan kebaikan kerana
ia akan menarik rahmat dan keampunan Allah SWT serta akan menyebabkan
dirinya dikenali sebagai seorang yang benar. Ingatlah bahawa seseorang
yang benar, sama sekali tidak pernah berdusta. Hindari berdusta kerana
ia akan menghapuskan kebenaran.
Wednesday, July 5, 2023
Jangan Tinggalkan Qiamullail
Rabu, 16 Zulhijjah 1444H: Jangan Tinggalkan Qiamullail
عَنْ يَزِيدَ بْنِ خُمَيْرٍ قَالَ
سَمِعْتُ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ أَبِي قَيْسٍ يَقُولُ قَالَتْ عَائِشَةُ
رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا لَا تَدَعْ قِيَامَ اللَّيْلِ فَإِنَّ رَسُولَ
اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ لَا يَدَعُهُ وَكَانَ
إِذَا مَرِضَ أَوْ كَسِلَ صَلَّى قَاعِدًا
Daripada Yazid bin
Khumair dia berkata; Saya mendengar Abdullah bin Abu Qais berkata;
Aisyah RA berkata; "Janganlah kamu meninggalkan solat malam
(Qiamullail), kerana Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkannya, bahkan
apabila baginda sedang sakit atau kepayahan, baginda solat dengan
duduk." (HR Abu Daud No: 1307) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Antara sunnah Rasulullah SAW ialah melaksanakan qiamullail.
2. Rasulullah tidak pernah meninggalkan qiamullail walaupun dalam keadaan sakit atau kepayahan (lemah juga malas).
3. Lakukanlah solat sunat di malam hari walaupun dalam keadaan duduk.
Tuesday, July 4, 2023
Solat Malam Amalan Orang Soleh
Selasa, 15 Zulhijjah 1444H: Solat Malam Amalan Orang Soleh
عَنْ أَبِي أُمَامَةَ عَنْ رَسُولِ
اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ عَلَيْكُمْ
بِقِيَامِ اللَّيْلِ فَإِنَّهُ دَأَبُ الصَّالِحِينَ قَبْلَكُمْ وَهُوَ
قُرْبَةٌ إِلَى رَبِّكُمْ وَمَكْفَرَةٌ لِلسَّيِّئَاتِ وَمَنْهَاةٌ
لِلْإِثْمِ
Daripada Abu Umamah dari Rasulullah SAW bahawa
baginda bersabda: "Hendaknya kalian melakukan solat malam kerana solat
malam adalah amalan kebiasaan orang-orang soleh sebelum kalian, dapat
mendekatkan kepada Tuhan kalian, menghapus keburukan, serta mencegah
dosa." (Sunan Tirmidzi No: 3472) Status: Hadis Hasan Sahih
Pengajaran:
1.
Solat malam atau qiamullail adalah amalan orang-orang yang soleh. Allah
SWT memuji para hamba-Nya yang soleh yang sentiasa melakukan solat
malam seperti tahajud dan witir.
كَانُوا قَلِيلًا مِنَ اللَّيْلِ مَا يَهْجَعُونَ وَبِالْأَسْحَارِ هُمْ يَسْتَغْفِرُونَ
“Mereka
sedikit tidur di waktu malam; dan di akhir-akhir malam mereka memohon
keampunan (kepada Allah).” [Adz-Dzaariyaat/51: 17-18]
2. Solat
malam adalah amalan untuk mendekatkan diri kepada Allah, sebagai makanan
roh membina kekuatan dalaman diri setiap Muslim.
3. Solat malam boleh menghapuskan keburukan atau kesalahan serta dosa.
4. Solat malam juga boleh mencegah seseorang dari melakukan dosa dan maksiat.
Monday, July 3, 2023
Miliki Sifat Zuhud
Isnin, 14 Zulhijjah 1444H: Miliki Sifat Zuhud
عَنْ أَبِي الْعَبَّاسِ سَهْلِ بْنِ سَعْدٍ
السَّاعِدِيِّ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ جَاءَ رَجُلٌ الَى النَّبِيِّ
صَلَي اللهُ عَلَيْهِ وَ سَلَمَ فَقَالَ: يَا رَسولَ الله دُلَّنِي عَلَى
عَمَلٍ إِذَا عَمِلْتُهُ اَحَبَنِيَ اللهُ وَ اَحَبَنِيَ النَّاسُ فَقَالَ:
ازْهَدْ فِي الدُّنْيَا يُحِبَّكَ اللهُ وَ ازْهَدْ فِي مَا عِنْدَ
النَّاسِ يُحِبَّكَ النَّاسُ حَدِيثٌ حَسَنٌ رَوَاهُ ابْنُ مَاجَه وَ
غَيْرُهُ بِأَسَانِيدَ حَسَنَةٍ
Daripada Abi al-Abbas Sahl bin
Sa’ad al-Sa’idi r.a berkata, bahawa seseorang datang kepada Nabi SAW
seraya berkata: “Wahai Rasulullah, tunjukkanlah saya suatu pekerjaan
yang jika dikerjakan nescaya saya dicintai Allah dan dicintai umat
manusia.’ Rasulullah SAW bersabda: ‘Zuhudlah engkau akan dunia, nescaya
Allah akan menyintaimu, dan zuhudlah engkau akan apa yang ada pada
manusia, nescaya mereka mencintaimu.” (HR Ibn Majah no. 4102) Status:
Hadis Hasan
Pengajaran:
1. Suatu sifat penting yang wajib ada pada diri setiap mukmin ialah sifat zuhud.
2.
Zuhud terhadap dunia mempunyai banyak pengertian di kalangan ulama
tasauf antaranya ialah membenci, berpaling, meninggalkan dan menjauhkan
diri dari kemewahan dunia serta mengosongkan hati dari mengingati
perkara dunia.
3. Zuhud terhadap apa yang dimiliki manusia,
bererti menjauhkan diri dari merasa irihati terhadap apa yang dimiliki
oleh manusia serta mengosongkan hati dari mengingati harta milik orang.
Bukan bererti membenci sehingga suka agar kesenangan orang lain hilang
kerana itu hasad dengki yang amat dilarang.
4. Zuhud sebenar
bukan bererti meninggalkan dunia atau langsung tidak berharta. Zuhud
sejati ialah tidak menjadikan dunia dan kemewahan hidup sebagai matlamat
hidup, walaupun kekayaannya memenuhi dunia seumpama yang terjadi pada
jutawan zaman Rasulullah SAW seperti Abdul Rahman ibn ‘Auf, kerana
matlamat hidup seorang mukmin ialah Allah dan keredhaanNya, bukan
benda-benda selainNya.
5. Sesiapa yang memiliki sifat zuhud, nescaya Allah akan menyintainya.
Friday, June 30, 2023
Tempoh Makan Daging Korban
Jumaat, 11 Zilhijjah 1444H: Tempoh Makan Daging Korban
عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ عَابِسٍ
عَنْ أَبِيهِ قَالَ قُلْتُ لِعَائِشَةَ أَنَهَى النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ تُؤْكَلَ لُحُومُ الْأَضَاحِيِّ فَوْقَ ثَلَاثٍ
قَالَتْ مَا فَعَلَهُ إِلَّا فِي عَامٍ جَاعَ النَّاسُ فِيهِ فَأَرَادَ
أَنْ يُطْعِمَ الْغَنِيُّ الْفَقِيرَ وَإِنْ كُنَّا لَنَرْفَعُ الْكُرَاعَ
فَنَأْكُلُهُ بَعْدَ خَمْسَ عَشْرَةَ قِيلَ مَا اضْطَرَّكُمْ إِلَيْهِ
فَضَحِكَتْ قَالَتْ مَا شَبِعَ آلُ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ
وَسَلَّمَ مِنْ خُبْزِ بُرٍّ مَأْدُومٍ ثَلَاثَةَ أَيَّامٍ حَتَّى لَحِقَ
بِاللَّه
Daripada 'Abdurrahman bin Abis dari Bapanya ia berkata;
"Aku bertanya kepada Aisyah; 'Apakah Nabi SAW melarang untuk makan
daging sembelihan hari raya Adha lebih dari tiga hari? ' Aisyah
menjawab; "Baginda tidak melakukan itu kecuali pada tahun kesulitan
(manusia kelaparan), sehingga baginda berharap orang kaya memberi makan
kepada yang miskin. Dan sungguh, kami boleh makan daging kambing setelah
lima belas hari." Lalu dikatakan; 'Apa yang mendorong kalian melakukan
itu? ' Aisyah tertawa, lalu ia berkata; 'Keluarga Muhammad SAW tidak
pernah merasa kenyang kerana makan roti atau gandum lebih dari tiga hari
hingga baginda bertemu dengan Allah.' (HR Bukhari No: 5003) Status:
Hadis Sahih
Pengajaran:
1.Daging korban sebahagian untuk disedekahkan dan 1/3 boleh diambil untuk dimasak dan dimakan serta boleh juga disimpan
2.Daging
korban boleh disimpan lebih dari 3 hari tasyriq (tiada batas maksimum).
Ia merupakan pendapat majoriti ulama dari kalangan sahabat, tabi’in
serta empat imam mazhab.
3.Rasulullah SAW tidak berlebihan dalam
bab makan, hingga boleh berjimat memakan daging korban secara berdikit
dalam tempoh yang agak lama.
4.Orang mukmin makannya apabila
lapar dan berhenti sebelum kenyang. Elakkan berlebihan dalam makan dan
minum. Seperti dalam hadis lain:
بِحَسْبِ ابْنِ آدَمَ أُكُلَاتٌ
يُقِمْنَ صُلْبَهُ، فَإِنْ كَانَ لَا مَحَالَةَ فَثُلُثٌ لِطَعَامِهِ
وَثُلُثٌ لِشَرَابِهِ وَثُلُثٌ لِنَفَسِه
“Cukuplah bagi anak
keturunan Adam agar makan sekadar untuk menegakkan tulang sulbinya
(tulang punggung). Melainkan jika ia tidak dapat mengelak, maka isilah
1/3 untuk makanannya, 1/3 untuk minumannya, dan 1/3 untuk nafasnya.” (HR
Tirmidzi No: 2380)