Sunday, August 2, 2026

Rahmah Kepada Semua

Ahad, 18 Safar 1448H  |  Rahmah Kepada Semua
 
عَنْ أَبِي مُوسَى الأَشْعَرِيِّ أَنَّهُ سَمِعَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ:  لَنْ تُؤْمِنُوا حَتَّى تَرَاحَمُوا. قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ كُلُّنَا رَحِيمٌ. قَالَ:  إِنَّهُ لَيْسَ بِرَحْمَةِ أَحَدِكُمْ صَاحِبَهُ وَلَكِنَّهَا رَحْمَةُ النَّاسِ رَحْمَةُ الْعَامَّةِ
 
Daripada Abu Musa Al-Asy’ari RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: Kamu tidak akan mencapai kesempurnaan iman sehingga kamu berkasih sayang (bersifat Rahmah). Para Sahabat berkata: Wahai Rasulullah, bukankah kami semua telah berkasih sayang. Baginda bersabda: “Bukanlah yang dimaksudkan itu kasih sayang seseorang kamu terhadap sahabatnya sahaja, tetapi kasih sayang terhadap seluruh manusia, iaitu kasih sayang yang bersifat umum (kepada seluruh makhluk)” (Riwayat al-Haythami dalam Majma’ al-Zawaid 8/189, al-Hakim dalam al-Mustadrak 7418 dan dinilai Hasan Lighairihi dalam Sahih al-Targhib wa al-Tarhib no. 2253)
 
Pengajaran:
 
1.    Islam adalah agama rahmah. Rahmah bermaksud lembut hati terhadap seseorang, memberi kasih sayang, belas ihsan, santun dan simpati (al-Mu’jam al’Arabiy al-Asasiy, 1989)
 
2.    Memiliki sifat rahmah dengan berkasih sayang sesama Muslim adalah tanda kesempurnaan iman seseorang.
 
3.    Sifat rahmah berkasih sayang bukan hanya sesama Muslim malah juga kepada seluruh manusia termasuk yang bukan Islam serta makhluk alam yang lain seperti binatang dan tumbuhan.
 
4.    Kasih sayang hendaklah dizahirkan melalui tindakan seperti menghulurkan bantuan, memaafkan, memberi nasihat, mendoakan, mengelakkan perbuatan yang menyakiti, menganiaya atau menzalimi orang lain serta menghilangkan kesusahan orang.
 
5.    Proses ummah dijelmakan dalam peradaban Islam dari sudut kesatuan masyarakat manusia. Al-Quran mengarahkan untuk kita melakukan engagement dengan pelbagai kaum dan bangsa. Firman Allah:
يَٰأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَٰكُم مِّن ذَكَرٖ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ شُعُوبٗا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ
 
“Wahai manusia, sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari (sepasang manusia) lelaki dan perempuan, dan Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenali.” (al-Hujurat: 13)
 
6.    Memiliki sifat rahmah kepada manusia termasuk bukan Islam dalam masyarakat majmuk di Malaysia adalah dituntut. Ia dilakukan dengan saling mengenali serta berusaha melakukan usaha dakwah melalui pelbagai pendekatan termasuk menunjukkan contoh terpuji serta bersifat rahmah terhadap orang lain.  
 
7.    Sifat berkasih sayang adalah fitrah yang dianugerahkan oleh Allah kepada semua makhluk yang bernyawa. Bukan hanya kepada manusia tetapi juga kepada binatang. Naluri kasih sayang adalah sifat manusia seperti kasih kepada orang tua, kanak-kanak, golongan yang lemah, yang dikenali juga yang tidak dikenali.
 
8.    Suburkanlah sifat rahmah dengan saling sayang menyayangi bukan hanya sesama Muslim malah berlaku rahmah kepada bukan Islam dalam usaha menyebarkan dakwah. Semoga sifat rahmah yang kita tunjukkan akan menjadi penyebab mereka cenderung kepada Islam.
 
9.    Allah menyayangi orang yang menyayangi sesama makhluk. Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّمَا يَرْحَمُ اللَّهُ مِنْ عِبَادِهِ الرُّحَمَاءَ
 
“Sesungguhnya Allah hanya akan menyayangi hamba yang menyayangi (makhluk-Nya)”. (HR At-Thobrani dalam al-Mu’jam al-Kabiir Status Hadis Hasan dalam sahih Al-Jaami’ no 2377)

Bersifat rahmah kepada orang lain termasuk kawan dan lawan dengan engagement yang berterusan agar kita sentiasa teguh bersama membina negara tercinta.
 

Saturday, August 1, 2026

Jadilah Warganegara Terbaik

Sabtu, 17 Safar 1448H  |   Jadilah  Warganegara  Terbaik
 
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ  أَنّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَقَفَ عَلَى أُنَاسٍ جُلُوسٍ  فَقَالَ   أَلَا أُخْبِرُكُمْ بِخَيْرِكُمْ مِنْ شَرِّكُمْ   قَالَ  فَسَكَتُوا  فَقَالَ ذَلِكَ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ  فَقَالَ رَجُلٌ  بَلَى يَا رَسُولَ اللَّهِ  أَخْبِرْنَا بِخَيْرِنَا مِنْ شَرِّنَا  قَالَ : " خَيْرُكُمْ مَنْ يُرْجَى خَيْرُهُ وَيُؤْمَنُ شَرُّهُ  وَشَرُّكُمْ مَنْ لَا يُرْجَى خَيْرُهُ وَلَا يُؤْمَنُ شَرُّهُ 
 
Daripada Abu Hurarirah RA berkata, “Nabi SAW melewati sekelompok orang yang sedang duduk. Baginda SAW bersabda, “Mahukah aku beritahu kalian, orang yang terbaik dan orang yang terburuk dalam kalangan kalian?” Mereka pun terdiam. Rasulullah SAW mengulangi pertanyaan tersebut sebanyak tiga kali. Kemudian seorang lelaki pun menjawab, “ya, wahai Rasulullah! Beritahu kepada kami siapakah orang yang terbaik dan siapakah yang terburuk dalam kalangan kami.” Rasulullah SAW kemudian bersabda,“Manusia terbaik di antara kalian adalah yang diharapkan kebaikannya dan orang lain merasa aman daripada kejahatannya. Manusia terburuk di antara kalian adalah orang yang tidak diharapkan kebaikannya dan orang lain tidak merasa aman daripada kejahatannya.” (Sunan Tirmidzi no. 2263) Status: Sahih dalam Shahih Al-Jami’ no. 2603. 
 
Pengajaran:
 
1.    Islam mengukur kemuliaan seseorang melalui kebaikan yang dibawanya.
 
2.    Imam al-Munawi menjelaskan: "Seseorang mukmin yang sempurna ialah orang yang manusia sentiasa mengharapkan manfaat kebaikan  daripadanya sama ada melalui ilmu, harta, nasihat, doa ataupun akhlaknya."
 
3.    Manusia yang terbaik adalah yang sentiasa mendatangkan  kebaikan dan membawa manfaat kepada orang lain dan orang lain merasa aman dari gangguan dan kejahatannya.
 
4.    Manusia terburuk adalah yang tidak mendatangkan kebaikan kepada orang lain malah orang lain merasa tidak aman dari gangguan dan kejahatannya.
 
5.    Jadikanlah kehadiran kita ditengah-tengah masyarakat sebagai orang yang bermanfaat dan dirasai kebaikan oleh orang lain. Rasulullah SAW bersabda:
 
خَيْرُ النَّاسِ أَنْفَعُهُمْ لِلنَّاسِ
 
Sebaik-baik manusia adalah orang paling bermanfaat bagi orang lain. (HR Ibn Hibban  No:  2/48)
 
6.    Orang yang paling dicintai Allah adalah orang yang paling bermanfaat pada orang lain. Sabda Rasulullah SAW:
 
أحَبُّ النَّاسِ إلى اللهِ أنفَعُهم للنَّاسِ
 
Orang paling dicintai Allah adalah orang yang paling bermanfaat bagi orang lain. (Riwayat at-Tabarani) Al-Mu’jam Al-Ausot, no.hadis dan juzu’ : 6/139
 
7.    Menurut Imam Nawawi: "Seorang mukmin hendaklah menjadi sebab datangnya manfaat kepada manusia serta menjauhkan mereka daripada sebarang kemudaratan."
 
8.    Hadis ini mengingatkan bahawa nilai seseorang bukan diukur pada gelaran, pangkat atau kekayaan, tetapi pada sejauh mana kehadirannya membawa kebaikan, rahmat dan kesejahteraan kepada orang lain.
 

Friday, July 31, 2026

Berdusta Untuk Menjadikan Orang Tertawa

Jumaat, 16 Safar 1448H  |  Berdusta Untuk Menjadikan Orang Tertawa 
 
عَنْ معاوية بن حيدة القشيري قَالَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ وَيْلٌ لِلَّذِي يُحَدِّثُ فَيَكْذِبُ لِيُضْحِكَ بِهِ الْقَوْمَ وَيْلٌ لَهُ وَيْلٌ لَهُ
 
Daripada Mu‘awiyah bin Haydah al-Qusyairi RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: Celakalah orang yang berbicara kemudian dia berdusta agar suatu kaum tertawa kerananya. Kecelakaan untuknya. Kecelakaan untuknya.” ( No: 4990) Maktabah Asriyyah. Status: Hadis Hasan
 
Pengajaran:
 
1. Elakkan guruan yang di dalamnya ada unsur berdusta, mengumpat, menghina juga meremehkan orang lain hanya kerana ingin menghiburkan orang atau menyebabkan orang tertawa.
 
2. Gurauan bukan kawasan yang bebas daripada hukum halal dan haram. Lidah seorang Muslim tetap terikat dengan amanah kebenaran dalam keadaan serius ataupun santai.
 
3. Celakalah orang yang menyampaikan sesuatu kepada orang lain yang didalamnya mengandungi pembohongan, penghinaan juga meremehkan orang lain sehingga menyebabkan orang  tertawa, sama ada melalui pertuturan, lakonan, lukisan, gambar juga tulisan.
 
4. Dalam syarah Tuhfat al-Ahwadhi, ungkapan “وَيْلٌ - Celaka @ Binasa” diulang bertujuan menegaskan beratnya kesalahan tersebut. Dusta ialah antara punca pelbagai keburukan dan boleh menjadi pintu kepada dosa-dosa yang lain.
 
5. Dusta dalam bentuk hiburan hingga membuat orang ketawa diberi ancaman keras kerana ia merosakkan sifat jujur. Dalam era digital, satu cerita palsu boleh dikongsi ribuan kali dan terus beredar walaupun penciptanya sudah menarik balik kenyataannya.
 
6. Antara bentuk dusta untuk hiburan pada masa kini yang perlu dijauhi seperti menyebarkan berita palsu untuk mendapat perhatian, “prank” berasaskan penipuan, mereka cerita palsu, petikan palsu, suntingan mengelirukan kepada video atau audio, akaun palsu dan penyamaran.
 
7. Orang yang beriman tidak akan berbicara serta melakukan sesuatu melainkan yang benar dan baik. Jadilah kita Mukmin yang benar lagi baik dalam perbuatan dan pertuturan.
 

Thursday, July 30, 2026

Bergurau Yang Dibenarkan

Khamis, 15 Safar 1448H   |    Bergurau Yang Dibenarkan
 
عَنِ الْحَسَنِ قَالَ: أَتَتْ عَجُوزٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَتْ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، ادْعُ اللَّهَ أَنْ يُدْخِلَنِي الْجَنَّةَ فَقَالَ: يَا أُمَّ فُلاَنٍ، إِنَّ الْجَنَّةَ لاَ تَدْخُلُهَا عَجُوزٌ. قَالَ: فَوَلَّتْ تَبْكِي فَقَالَ: أَخْبِرُوهَا أَنَّهَا لاَ تَدْخُلُهَا وَهِيَ عَجُوزٌ إِنَّ اللَّهَ تَعَالَى يَقُولُ : إِنَّا أَنْشَأْنَاهُنَّ إِنْشَاءً فَجَعَلْنَاهُنَّ أَبْكَارًا عُرُبًا أَتْرَابًا (الواقعة آية رقم : 35 – 37)
 
Daripada Al-Hasan RA, dia berkata, “Seorang wanita tua datang menemui Nabi SAW lalu berkata, ‘Wahai Rasulullah! Berdoalah kepada Allah agar Dia memasukkan aku ke dalam syurga!’ Baginda bersabda: ‘Wahai Ibu si Polan! Sesungguhnya Wanita tua tidak akan memasuki syurga. Wanita itu pun berpaling sambil menangis. Baginda pun bersabda: ‘Beritahulah kepadanya bahawa dia tidak akan masuk syurga dalam keadaan tua. Sesungguhnya Allah berfirman: Sesungguhnya kami menciptakan mereka (Bidadari-bidadari) dengan langsung (35). Dan kami jadikan mereka gadis-gadis perawan (36). Penuh cinta lagi sebaya umurnya (37).” (Al-Waqi’ah) (HR Tirmizi No: 238 dalam Syamail Muhammadiyyah) Status: Hadis Hasan.
 
Pengajaran:
 
1.         Rasulullah SAW  bergurau dengan sahabat untuk mengembirakan, namun dalam batas yang tidak berlebihan hingga membawa sifat berbohong.
 
2.         Rasulullah SAW  bergurau dengan perempuan tua, walaupun pada awalnya menyedihkan namun diakhirnya mengembirakan dan menyebabkan perempuan itu tersenyum dan tertawa gembira.
 
3.         Orang yang terlalu serius dalam urusan kehidupannya akan cepat penat dan kecewa.
 
4.         Gurauan boleh merehatkan jiwa dan mengeratkan hubungan, tetapi mesti dijaga batasnya jangan mengandungi dusta, menghina seseorang, menyakiti perasaan, melalaikan serta menjatuhkan maruah dan kewibawaan.
 
5.         Kita boleh bergurau dengan kadar yang tidak berlebihan serta berusaha mengawal lidahnya ketika bergurau agar bertutur dalam perkara yang bermanfaat dan menjauhi dusta.
 
6.         Gurauan yang baik hendaklah memenuhi beberapa prinsip seperti tidak berdusta, tidak menghina, tidak membuka aib, tidak menakutkan, tidak mempermainkan agama, tidak keterlaluan dan menjaga emosi pendengar agar tidak menyakiti.
 
7.         Elakkan bergurau yang tidak benar atau berbohong sekadar untuk bersuka-suka. Bergurau dibolehkan untuk menimbulkan kemesraan dan membina ikatan ukhuwah.
 
8.         Islam tidak menolak kegembiraan dan gurauan. Namun, gurauan mestilah berasaskan kebenaran, tidak mengaibkan, tidak menyakitkan dan tidak dibiarkan menimbulkan salah faham. Apabila seseorang tersentuh atau bersedih, penjelasan dan pemulihan perasaannya perlu disegerakan.
 

Wednesday, July 29, 2026

Muflis Di Akhirat

Rabu, 14 Safar 1448H  |   Muflis Di Akhirat

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أتَدْرُونَ مِن الْمُفْلِسُ قَالُوا الْمُفْلِسُ فِينَا يَا رَسُولَ اللَّهِ مَنْ لَا لَهُ دِرْهَمَ وَلَا دِينَارَ وَلَا مَتَاعَ قَالَ الْمُفْلِسُ مِنْ أُمَّتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ مَنْ يَأْتِي بِصَلَاةٍ وَصِيَامٍ وَزَكَاةٍ وَيَأْتِي قَدْ شَتَمَ عِرْضَ هَذَا وَقَذَفَ هَذَا وَأَكَلَ مَالَ هَذَا وَضَرَبَ هَذَا فَيُقْعَدُ فَيَقْتَصُّ هَذَا مِنْ حَسَنَاتِهِ وَهَذَا مِنْ حَسَنَاتِهِ فَإِنْ فَنِيَتْ حَسَنَاتُهُ قَبْلَ أَنْ يُقْضَى مَا عَلَيْهِ أُخِذَ مِنْ خَطَايَاهُمْ فَطُرِحَ عَلَيْهِ ثُمَّ طُرِحَ فِي النَّارِ

Daripada Abu Hurairah RA dari Nabi SAW, baginda bersabda:  "Tahukah kamu siapakah orang yang muflis?" Para sahabat menjawab: "Orang yang muflis dalam kalangan kami ialah orang yang tidak mempunyai wang, harta atau barang." Lalu Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya orang yang muflis daripada umatku pada Hari Kiamat ialah orang yang datang dengan membawa pahala solat, puasa dan zakat. Namun dia juga datang membawa dosa pernah mencaci seseorang, memfitnah seseorang, memakan harta seseorang, menumpahkan darah seseorang dan memukul seseorang. Lalu orang-orang yang dizaliminya diberikan daripada pahala kebaikannya. Jika pahala kebaikannya habis sebelum semua tuntutan diselesaikan, maka dosa-dosa mereka dipindahkan kepadanya. Kemudian dia dicampakkan ke dalam neraka." (Musnad Ahmad No: 8062) Status: Hasan Sahih

Pengajaran:

1.    Orang yang muflis di akhirat bukan kerana tidak memiliki wang ringgit serta harta semasa di dunia tetapi yang kehilangan pahala pada Hari Kiamat.
 
2.    Orang yang muflis di hari kiamat pada awalnya datang dengan pahala hasil amal ibadat semasa di dunia (pahala solat, puasa, zakat dan amal soleh yang lain) namun pahalanya habis kerana terpaksa membayar hutang pada orang lain.
 
3.    Muflis kerana pahala yang ada terpaksa membuat bayaran hutang dosa yang dilakukan semasa di dunia antaranya dosa mencaci, memfitnah termasuk mencela, menghina, menuduh, menyebarkan berita palsu, mengumpat orang lain sama ada melalui lisan mahupun tulisan sehingga habis segala pahalanya.
 
4.    Rasulullah mendahulukan bahaya dosa lisan iaitu mencaci dan memfitnah yang boleh menjadikan seseorang muflis di akhirat. Di zaman media sosial, dosa tersebut boleh berlaku melalui komen yang menghina, fitnah, penyebaran berita palsu, mengumpat, membuli juga menjatuhkan maruah orang lain.
 
5.    Muflis juga disebabkan pahala yang ada akhirnya habis kerana terpaksa membayar hutang yang belum dijelaskan semasa didunia sebab mengambil harta orang lain, mencederakan dan menumpahkan darah tanpa hak serta menzalimi orang lain.
 
6.    Menurut Imam al-Qurtubi, pada Hari Kiamat tiada lagi pembayaran dengan wang atau harta. Satu-satunya mata wang ialah pahala dan dosa. Orang yang dizalimi akan mengambil pahala orang yang menzaliminya sebagai ganti rugi yang paling adil menurut ketetapan Allah SWT.
 
7.    Muflis kerana pahala yang ada telah habis menjadi bayaran hutang dosa terhadap orang lain semasa di dunia, sedangkan hutang dosa terhadap orang lain masih ada. Akhirnya terpaksa menanggung dosa orang tersebut.
 
8. Setiap Muslim hendaklah memperbanyakkan amal soleh, pada masa yang sama berusaha membersihkan dirinya daripada segala tuntutan manusia melalui taubat, pemulangan hak dan permohonan maaf. Semoga dapat bertemu Allah SWT pada Hari Kiamat tanpa menjadi "muflis" yang kehilangan seluruh bekalan pahalanya.
 

Tuesday, July 28, 2026

Syafaat Melalui Solat Jenazah 40 Orang

Selasa, 13 Safar 1448H   |   Syafaat Melalui Solat Jenazah 40 Orang
 
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَبَّاسٍ رضي الله عنهما: أَنَّهُ مَاتَ ابْنٌ لَهُ بِقُدَيْدٍ أَوْ بِعُسْفَانَ، فَقَالَ: يَا كُرَيْبُ، انْظُرْ مَا اجْتَمَعَ لَهُ مِنَ النَّاسِ. قَالَ: فَخَرَجْتُ، فَإِذَا نَاسٌ قَدِ اجْتَمَعُوا لَهُ، فَأَخْبَرْتُهُ. فَقَالَ: تَقُولُ هُمْ أَرْبَعُونَ؟ قُلْتُ: نَعَمْ. قَالَ: أَخْرِجُوهُ، فَإِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَقُولُ: مَا مِنْ رَجُلٍ مُسْلِمٍ يَمُوتُ، فَيَقُومُ عَلَى جَنَازَتِهِ أَرْبَعُونَ رَجُلًا، لَا يُشْرِكُونَ بِاللَّهِ شَيْئًا، إِلَّا شَفَّعَهُمُ اللَّهُ فِيهِ.
 
Daripada Abdullah bin Abbas RA: Seorang anak beliau meninggal dunia di Qudaid atau Usfan. Lalu beliau berkata kepada Kuraib: "Wahai Kuraib, lihatlah berapa ramai orang yang telah berkumpul untuk solat jenazahnya." Kuraib berkata: Aku keluar dan mendapati orang ramai telah berkumpul. Lalu aku memberitahu beliau. Beliau bertanya: "Adakah mereka berjumlah empat puluh orang?" Aku menjawab: "Ya." Lalu beliau berkata: "Bawalah jenazah itu keluar, kerana sesungguhnya aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: 'Tidaklah seorang Muslim meninggal dunia, lalu empat puluh orang lelaki yang tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu apa pun berdiri menunaikan solat jenazahnya, melainkan Allah menerima syafaat mereka untuknya.'" (HR Muslim No: 1577) Status: Sahih
 
Pengajaran:
 
1.    Solat jenazah dan doa orang beriman memiliki nilai yang besar kepada jenazah yang disembahyangkan kerana ia boleh menjadi syafaat. Menurut Imam al-Nawawi, maksud syafaat dalam hadis ini ialah Allah menerima doa dan permohonan keampunan yang dipanjatkan oleh mereka yang menunaikan solat jenazah.
 
2.    Menurut Ibn Hajar, bilangan empat puluh bukan bertujuan mengehadkan rahmat Allah kepada bilangan tertentu. Sebaliknya, ia menunjukkan bahawa apabila sejumlah orang beriman yang ikhlas berkumpul dan mendoakan si mati, doa tersebut mempunyai kedudukan yang sangat tinggi di sisi Allah.
 
3.    Ibnu Batthal dalam Syarah al-Bukhari menjelaskan, yang menyebabkan si mati mendapatkan syafaat adalah kerana salah seorang dari empat puluh orang yang solat ke atas jenazah itu, ketika mendoakan jenazah tersebut, doanya dimakbulkan Allah. Semakin ramai yang mendoakan kebaikan bagi jenazah tersebut maka semakin besar kemungkinan akan mendapatkan syafaat.
 
4.    Hadis ini menunjukkan bahawa doa dari orang yang Ikhlas, beriman dan tidak syirik, mampu menjadi sebab keampunan kepada jenazah. Maka, bergaullah dengan orang soleh semasa hidup, kerana mereka boleh memberi manfaat kepada kita walaupun selepas kita meninggal.
 
5.    Orang yang tidak mensyirikkan Allah memiliki kedudukan yang tinggi di sisi Allah, sehingga doa mereka untuk orang lain akan diterima Allah.
 
6.    Islam menjadikan pengurusan jenazah dan solat jenazah sebagai tanggungjawab fardhu kifayah. Umat Islam perlu saling membantu dan mendoakan orang Islam lain yang meninggal dunia antaranya solatkan jenazah mereka, bukan hanya ahli keluarga si mati.
 
7.    Hadis ini menegaskan bahawa solat jenazah merupakan ibadah yang sarat dengan rahmat dan syafaat. Rasulullah SAW menjelaskan bahawa apabila empat puluh orang Muslim yang tidak mensyirikkan Allah SWT menunaikan solat jenazah dan mendoakan si mati, Allah menerima doa mereka sebagai syafaat untuknya.
 

Monday, July 27, 2026

Solat Jenazah Oleh Seratus Orang

Isnin, 12 Safar 1448H   |   Solat Jenazah Oleh Seratus Orang
 
عَنْ عَائِشَةَ، عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم قَالَ ‏: مَا مِنْ مَيِّتٍ يُصَلِّي عَلَيْهِ أُمَّةٌ مِنَ الْمُسْلِمِينَ يَبْلُغُونَ مِائَةً كُلُّهُمْ يَشْفَعُونَ لَهُ إِلاَّ شُفِّعُوا فِيهِ
 
Daripada Aisyah binti Abu Bakar RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Tidaklah seorang Muslim yang meninggal dunia, kemudian disolatkan oleh seratus orang daripada kalangan orang Islam, yang semuanya memohon syafaat (berdoa) untuknya, melainkan syafaat mereka diterima bagi pihaknya." (HR Muslim No: 947) Status Hadis Sahih
 
Pengajaran:
 
1.    Solat jenazah merupakan ibadah yang mengandungi doa,  permohonan keampunan dan rahmat kepada Allah SWT bagi pihak si mati.
 
2.    Menurut Ibn Hajar al-Asqalani, bilangan seratus menunjukkan ramainya orang yang mendoakan si mati. Semakin ramai orang beriman yang ikhlas mendoakan keampunan buat si mati, semakin besar harapan agar doa tersebut diterima oleh Allah SWT.
 
3.    Solat jenazah memperlihatkan kekuatan ukhuwah Islamiah dan hubungan kasih sayang yang berterusan sesama Muslim dalam menunaikan hak dan tanggungjawab sehingga selepas kematian seseorang.
 
4.    Seorang Muslim hendaklah menjaga dan membina hubungan baik dengan masyarakat ketika hidup agar memperoleh doa rahmat dan keampunan daripada Muslim yang lain apabila meninggal dunia.
 
5.    Hadis ini menegaskan bahawa solat jenazah bukan sekadar satu kewajipan fardu kifayah, bahkan merupakan medan syafaat dan doa bagi si mati. Rasulullah SAW menjelaskan bahawa apabila sekumpulan orang Islam yang beriman dan ikhlas menunaikan solat jenazah serta memohon keampunan untuknya, Allah SWT menerima syafaat mereka dengan rahmat-Nya.
 

Sunday, July 26, 2026

Kelebihan Mengiringi Jenazah

Ahad, 11 Safar 1448H  |   Kelebihan Mengiringi Jenazah
 
عن أبي هريرة رضي الله عنه قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏:‏ مَنْ شَهِدَ الْجَنَازَةَ حَتَّى يُصَلَّى عَلَيْهَا فَلَهُ قِيرَاطٌ وَمَنْ شَهِدَهَا حَتَّى تُدْفَنَ فَلَهُ قِيرَاطَانِ ‏ ‏.‏ قِيلَ وَمَا الْقِيرَاطَانِ قَالَ ‏"‏ مِثْلُ الْجَبَلَيْنِ الْعَظِيمَيْنِ ‏"
‏ ‏انْتَهَى حَدِيثُ أَبِي الطَّاهِرِ وَزَادَ الآخَرَانِ قَالَ ابْنُ شِهَابٍ قَالَ سَالِمُ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ وَكَانَ ابْنُ عُمَرَ يُصَلِّي عَلَيْهَا ثُمَّ يَنْصَرِفُ فَلَمَّا بَلَغَهُ حَدِيثُ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ لَقَدْ ضَيَّعْنَا قَرَارِيطَ كَثِيرَةً ‏
 
Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:"Sesiapa yang menghadiri jenazah sehingga disolatkan, maka baginya satu qirat. Dan sesiapa yang menghadirinya sehingga selesai dikebumikan, maka baginya dua qirat." Lalu para sahabat bertanya: "Apakah yang dimaksudkan dengan dua qirat itu?" Baginda menjawab: "Seumpama dua buah gunung yang sangat besar."
Kemudian Ibn Shihab al-Zuhri meriwayatkan bahawa Salim bin Abdullah bin Umar berkata: Abdullah bin Umar RA pada mulanya hanya menghadiri solat jenazah kemudian terus pulang. Apabila beliau mendengar hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA ini, beliau berkata: "Sesungguhnya kita telah kehilangan banyak ganjaran yang besar." (HR Muslim no: 945) Status Hadis Sahih
 
Pengajaran:
 
1.    Menghadiri solat jenazah dan mengiringinya hingga selesai pengebumian merupakan amalan yang sangat besar ganjarannya di sisi Allah SWT.
 
2.    Ganjaran satu qirat yang dijanjikan kepada orang yang solatkan jenazah seumpama sebuah gunung yang besar, menggambarkan keluasan rahmat dan pahala yang dikurniakan Allah SWT.
 
3.    Ganjaran dua qirat pula diberikan kepada orang yang solat untuk jenazah dan mengiringi sehingga selesai pengebumian menggambarkan keluasan rahmat Allah kepada mereka yang menunjukkan penghormatan, kesabaran dan kesetiaan kepada hak saudaranya sesama Muslim.
 
4.    Menghadiri pengebumian dengan mendirikan solat jenazah dan mengiringi ke kubur merupakan sebahagian daripada penunaian hak seorang Muslim ke atas Muslim yang lain. Ia mencerminkan kasih sayang,  ukhuwah serta sokongan moral kepada keluarga si mati.
 
5.    Mengingati kematian melalui penyertaan dalam urusan pengurusan jenazah dapat melembutkan hati dan mendorong seseorang meningkatkan amal soleh.
 
6.    Sikap Abdullah bin Umar RA menunjukkan bahawa seorang mukmin hendaklah sentiasa berusaha menambah amal apabila mengetahui kelebihan sesuatu amalan.
 
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah

Saturday, July 25, 2026

Jaminan Masuk Syurga

Sabtu  10 Safar 1448H   |   Jaminan Masuk Syurga

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ أَصْبَحَ مِنْكُمْ الْيَوْمَ صَائِمًا قَالَ أَبُو بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَا قَالَ فَمَنْ تَبِعَ مِنْكُمْ الْيَوْمَ جَنَازَةً قَالَ أَبُو بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَا قَالَ فَمَنْ أَطْعَمَ مِنْكُمْ الْيَوْمَ مِسْكِينًا قَالَ أَبُو بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَا قَالَ فَمَنْ عَادَ مِنْكُمْ الْيَوْمَ مَرِيضًا قَالَ أَبُو بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَا فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا اجْتَمَعْنَ فِي امْرِئٍ إِلَّا دَخَلَ الْجَنَّةَ

Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata: Rasulullah SAW pernah bertanya: "Siapakah di antara kamu yang pagi ini sedang berpuasa?" Abu Bakar RA menjawab, "Aku." Baginda bertanya lagi: "Siapa di antara kalian yang hari ini telah mengiringi jenazah?" Abu Bakar menjawab: "Aku." Baginda bertanya lagi: "Siapa di antara kalian yang hari ini telah memberi makan kepada orang miskin?" Abu Bakar menjawab: "Aku." Baginda bertanya lagi: "Siapa di antara kalian yang hari ini telah menziarahi orang sakit?" Abu Bakar menjawab, "Aku." Lalu Rasulullah SAW bersabda: "Tidaklah semua amalan ini berhimpun pada diri seseorang melainkan dia akan masuk syurga." (HR Muslim No: 1707) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.    Syurga disediakan untuk mereka yang beriman dan melakukan amal yang soleh.
 
2.    Abu Bakar adalah contoh sahabat Rasulullah SAW dalam mengamalkan ajaran Islam. Beliau bukan sahaja tekun dalam ibadah khusus seperti puasa, malah aktif dalam ibadah sosial seperti membantu golongan memerlukan, menziarahi orang sakit dan mengiringi jenazah.
 
3.    Melaksanakan ibadat puasa adalah sebahagian daripada ibadat peribadi setiap Muslim sebagai bukti ketaatan dan keikhlasan seseorang kepada Allah.
 
4.    Menghantar jenazah, memberi makan kepada orang miskin dan menziarahi orang sakit merupakan kewajipan Muslim kepada masyarakat. Ia adalah sebahagian daripada penunaian tanggungjawab terhadap hak orang lain apabila kita hidup bermasyarakat, dan ia mencerminkan sifat rahmah dan ukhuwah Islamiah.
 
5.    Mukmin yang cemerlang dan dijanjikan syurga ialah mereka yang mengimbangi ibadah kepada Allah SWT dengan khidmat kepada Masyarakat seperti menziarahi orang sakit, menolong orang yang susah serta sentiasa mencari peluang untuk berbuat kebaikan dan menjadikan setiap hari sebagai medan berlumba-lumba menuju keredaan dan rahmat Allah SWT.
 
6.    Marilah kita menyantuni orang yang lemah seperti golongan fakir dan miskin, orang yang sakit juga anak yatim. Hidupkan budaya menziarahi atau bertanya khabar kerabat, sahabat, teman, jiran, rakan kita yang kurang sihat. Moga ia menjadi amal yang dijanjikan syurga.
 

Friday, July 24, 2026

Pengakhiran Kalimah Yang Baik

Jumaat, 9 Rejab 1448H   |  Pengakhiran Kalimah Yang Baik
 
عَنْ مُعَاذِ بْنِ جَبَلٍ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَنْ كَانَ آخِرُ كَلَامِهِ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ دَخَلَ الْجَنَّةَ
 
Daripada Mu'az bin Jabal RA, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:"Sesiapa yang akhir ucapannya (sebelum meninggal dunia) ialah: ‘Lā ilāha illā Allāh’ (Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah), maka dia akan masuk syurga." (HR Abu Daud No: 3116) Status Hadis Sahih

Pengajaran:

1.    Kalimah "La ilaha illa Allah" (Tiada Tuhan melainkan Allah) adalah kunci utama syurga, ia merupakan asas akidah dan bukti keimanan seseorang.
 
2.    Al-Qurtubi menyebutkan, maksud “akhir kalam” bukan semata-mata secara lisan fizikal, tetapi kalimah terakhir yang keluar dari kesedaran hati dan lidah serta diucapkan dengan iman yang benar, bukan secara kebetulan atau tanpa sedar.
 
3.    Menurut Imam Ibn Rajab, hanya orang yang hidupnya dibina atas tauhid dan amal soleh akan diberi taufik oleh Allah untuk menyebut kalimah ini di akhir hayat.
 
4.    Pengakhiran dengan kalimah ini adalah tanda husnul khatimah (pengakhiran yang baik) dan petanda besar keampunan Allah.
 
5.    Sunnah mentalqinkan (membisikkan) kepada orang yang nazak dengan kalimah tauhid, perlu dilakukan dengan penuh hikmah, kelembutan dan kasih sayang.
 
6.    Orang yang biasa dengan zikrullah ketika hidup lebih mudah mengucapkannya ketika menghadapi sakaratul maut.
 
7.    Hadis ini memberikan harapan besar kepada orang beriman: jika akhir kalimah kita ialah "La ilaha illa Allah", maka syurga adalah balasannya. Namun, juga menjadi peringatan bahawa pengakhiran itu tidak datang tanpa usaha. Bahkan memerlukan kehidupan yang dibina atas iman, amal, taubat dan pengharapan kepada rahmat Allah.
 

Thursday, July 23, 2026

Doa Mustajab

Khamis, 8 Safar 1448H  |   Doa Mustajab
 
عَنْ بريدة بن الحصيب الأسلمي  :أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سَمِعَ رَجُلًا يَقُولُ: اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ أَنِّي أَشْهَدُ أَنَّكَ أَنْتَ اللَّهُ، لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ، الْأَحَدُ الصَّمَدُ الَّذِي لَمْ يَلِدْ، وَلَمْ يُولَدْ، وَلَمْ يَكُنْ لَهُ كُفُوًا أَحَدٌ، فَقَالَ: لَقَدْ سَأَلْتَ اللَّهَ بِالِاسْمِ الَّذِي إِذَا سُئِلَ بِهِ أَعْطَى، وَإِذَا دُعِيَ بِهِ أَجَابَ
 
Daripada Buraidah bin al-Hasib al Aslami RA: Bahawa Rasulullah SAW mendengar seorang lelaki berdoa: “Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu, bahawa diriku bersaksi sesungguhnya Engkau adalah Allah yang tidak ada tuhan yang berhak disembah melainkan Engkau Yang Maha Esa, tempat bergantung segala makhluk, yang tidak beranak dan tidak pula diperanakkan, dan tidak ada seorang pun yang setara dengan-Mu,” kemudian Rasulullah SAW bersabda: “Sungguh engkau telah memohon kepada Allah dengan nama-Nya, yang apabila Dia diminta dengannya, Dia pasti akan memberi, dan jika Dia diseru dengannya, Dia akan memperkenankan doa”. (HR Abu Daud No:1493) Status Hasan Sahih
 
Pengajaran:
 
1.    Berdoa dengan menyebut nama-nama dan sifat-sifat Allah merupakan antara adab doa yang paling utama.
 
2.    Hadis ini mengandungi doa yang mengandungi pengakuan terhadap sifat-sifat Allah yang paling agung menjadi antara asas doa  diperkenan:
 
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ أَنِّي أَشْهَدُ أَنَّكَ أَنْتَ اللَّهُ، لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ، الْأَحَدُ الصَّمَدُ الَّذِي لَمْ يَلِدْ،
 وَلَمْ يُولَدْ، وَلَمْ يَكُنْ لَهُ كُفُوًا أَحَدٌ
 
3.    Surah al-Ikhlas bukan sekadar surah untuk dibaca, tetapi juga menjadi antara doa yang mengandungi pengakuan tauhid yang sempurna. Tauhid didahulukan sebelum seseorang mengemukakan permohonan kepada Allah antara asbab doa diperkenankan.
 
4.    Keberkesanan doa bergantung kepada keikhlasan, keyakinan, adab serta kesucian hati, di samping rahmat Allah SWT.
 
5.    Mengenali nama-nama dan sifat-sifat Allah akan meningkatkan rasa cinta, takut, harap dan tawakal kepada-Nya.
 
6.    Hadis ini menunjukkan bahawa doa yang dimulakan dengan pujian kepada Allah, pengakuan terhadap keesaan dan kesempurnaan sifat-sifat Allah SWT sebelum menyatakan hajat dan permohonannya merupakan faktor yang mendekatkan seseorang kepada rahmat dan perkenan Allah SWT.  
 

Wednesday, July 22, 2026

Membaca Tiga Qul Sebelum Tidur

Rabu, 7 Safar 1448H  |   Membaca Tiga Qul Sebelum Tidur

عَنْ عَائِشَةَ رضي الله عنها: أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا أَوَى إِلَى فِرَاشِهِ كُلَّ لَيْلَةٍ: جَمَعَ كَفَّيْهِ، ثُمَّ نَفَثَ فِيهِمَا، فَقَرَأَ فِيهِمَا: قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ، وَ قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ الْفَلَقِ، وَ قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاسِ، ثُمَّ يَمْسَحُ بِهِمَا مَا اسْتَطَاعَ مِنْ جَسَدِهِ، يَبْدَأُ بِهِمَا عَلَى رَأْسِهِ وَوَجْهِهِ وَمَا أَقْبَلَ مِنْ جَسَدِهِ، يَفْعَلُ ذَلِكَ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ

Daripada Aisyah binti Abu Bakar RA, beliau berkata: Setiap kali Rasulullah SAW hendak tidur pada waktu malam, Baginda merapatkan kedua-dua tapak tangannya, Baginda membaca Surah al-Ikhlas, Surah al-Falaq dan Surah al-Nas, kemudian meniup perlahan ke dalam kedua-dua tapak tangannya. Setelah itu Baginda menyapu dengan kedua-dua tangannya itu bahagian tubuh yang mampu dicapai, dimulakan dengan kepala, kemudian muka dan bahagian tubuh yang dapat dicapai oleh tangannya. Baginda melakukan amalan tersebut sebanyak tiga kali. (HR Bukhari No: 5017) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.    Rasulullah SAW setiap malam sebelum tidur akan menghimpunkan kedua telapak tangannya, lalu membaca tiga surah iaitu Surah Al-Ikhlas (Qul huwal-lahu ahad), Surah Al-Falaq (Qul a'udhu bi rabbil-falaq), dan Surah An-Nas (Qul a'udhu bi rabbil-nas) kemudian meniup ketelapak tangan diikuti dengan menyapu ke seluruh anggota bermula dari kepala, muka dan anggota yang boleh dicapai dengan diulang sebanyak tiga kali.
 
2.    Imam al-Nawawi dalam al-Adzkar menjelaskan bahawa tiga surah ini adalah surah-surah perlindungan Surah Al-Ikhlas menegaskan tentang keesaan Allah, sementara Surah Al-Falaq dan Surah An-Nas memohon perlindungan dari pelbagai kejahatan, baik yang kelihatan mahupun tidak, seperti gangguan syaitan, sihir, dan segala keburukan sepanjang malam tersebut.
 
3.    Menurut Ibn Kathir kandungan al-Muawwizat:

a)    Surah al-Ikhlas mengukuhkan tauhid dan mengenalkan sifat-sifat Allah.
 
b)   Surah al-Falaq memohon perlindungan daripada kejahatan luar seperti sihir, hasad dengki dan keburukan makhluk.
 
c)    Surah al-Nas memohon perlindungan daripada bisikan syaitan dan godaan yang merosakkan hati.
 
4.    Rasulullah SAW menunjukkan kepada kita amalan kebiasaan baik untuk dilakukan sebelum tidur agar menjadi pelindung daripada gangguan dan keburukan ketika tidur. Perlindungan sebenar datang daripada Allah SWT, manakala bacaan al-Quran dan doa menjadi sebab yang disyariatkan untuk memperoleh perlindungan tersebut.
 
5.    Membaca Surah Al-Ikhlas, Surah Al-Falaq, dan Surah An-Nas sebelum tidur dengan meniup ke tapak tangan dan menyapu ke seluruh anggota badan adalah sunnah yang mudah dilakukan dan memberi manfaat besar untuk menjaga keselamatan kita. Dengan mengikuti sunnah ini, kita dapat memperoleh keamanan, ketenangan, dan perlindungan dalam hidup kita, serta mengukuhkan iman kita terhadap Allah yang Maha Melindungi.
 

Tuesday, July 21, 2026

Mu'awwizat Bacaan Pelindung

Selasa, 6 Safar 1448H   |   Al-Mu'awwizat Bacaan Pelindung
 
عَنْ عُقْبَةَ بْنِ عَامِرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: بَيْنَمَا أَنَا أَقُودُ بِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَاحِلَتَهُ فِي غَزْوَةٍ إِذْ قَالَ: يَا عُقْبَةُ، قُلْ فَاسْتَمَعْتُ. ثُمَّ قَالَ: يَا عُقْبَةُ، قُلْ فَاسْتَمَعْتُ. ثُمَّ قَالَهَا الثَّالِثَةَ. فَقُلْتُ: مَا أَقُولُ؟ فَقَالَ: قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ فَقَرَأَهَا حَتَّى خَتَمَهَا. ثُمَّ قَرَأَ: قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ الْفَلَقِ حَتَّى خَتَمَهَا. ثُمَّ قَرَأَ: قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاسِ حَتَّى خَتَمَهَا. ثُمَّ قَالَ: مَا تَعَوَّذَ بِمِثْلِهِنَّ أَحَدٌ
 
Daripada Uqbah bin Amir RA, beliau berkata: Ketika aku sedang memimpin tunggangan Rasulullah SAW dalam satu peperangan, Baginda bersabda: "Wahai Uqbah, bacalah." Aku hanya diam mendengar. Kemudian Baginda bersabda lagi: "Wahai Uqbah, bacalah." Aku tetap diam. Kemudian Baginda mengulanginya buat kali ketiga. Lalu aku bertanya: "Apakah yang hendak aku baca?" Baginda bersabda: "Bacalah: Qul huwallahu ahad." Lalu Baginda membaca (Surah al-Ikhlas) hingga selesai. Kemudian Baginda membaca: "Qul a'uzu birabbil-falaq." Lalu aku membacanya bersama (Surah al-Falaq) Baginda sehingga selesai. Kemudian Baginda membaca: "Qul a'uzu birabbin-nas." Lalu aku membacanya bersama Baginda (Surah an-Nas) sehingga selesai. Kemudian Baginda bersabda: "Tiada sesiapa yang memohon perlindungan dengan sesuatu yang lebih baik daripada ketiga-tiga surah ini." (HR Nasaie No:5430) Status Hadis Sahih
 
Pengajaran:
 
1.    Surah al-Ikhlas, al-Falaq dan al-Nas merupakan bacaan perlindungan yang paling sempurna kerana ketiga-tiga surah ini menghimpunkan tentang tauhid yang murni, pergantungan sepenuhnya kepada Allah dan permohonan perlindungan daripada segala bentuk kejahatan zahir dan batin.
 
2.    Rasulullah SAW menggalakkan kita membaca ketiga-tiga surah ini secara istiqamah sebagai sebahagian daripada zikir harian khususnya di waktu pagi, petang dan sebelum tidur dengan meniup pada kedua-dua tapak tangan dan menyapu keseluruh badan.
 
3.    Perlindungan yang sebenar datang daripada Allah SWT, manakala bacaan al-Mu'awwizat (Surah al-Ikhlas, al-Falaq dan al-Nas) menjadi sebab yang disyariatkan untuk mendapat perlindungan tersebut.
 
4.    Menurut al-Mubarakfuri, tiada doa atau bacaan perlindungan yang lebih lengkap daripada tiga surah ini kerana ia merangkumi perlindungan semua bentuk keburukan yang boleh menimpa manusia.
 
5.    Tauhid yang mantap merupakan asas kepada keselamatan rohani dan perlindungan daripada pelbagai fitnah.
 
6.    Hadis ini menunjukkan kaedah pendidikan Rasulullah SAW yang menggunakan pengulangan dan dialog bagi menarik perhatian serta meningkatkan kefahaman para sahabat.
 
7.    Seorang Muslim hendaklah sentiasa memohon perlindungan daripada kejahatan zahir dan batin, termasuk gangguan syaitan, hasad dengki dan bisikan yang menyesatkan.
 

Monday, July 20, 2026

Surah Al-Ikhlas Penyebab Masuk Syurga

Isnin, 5 Safar 1448H  |    Surah Al-Ikhlas Penyebab Masuk Syurga
 
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، قَالَ: أَقْبَلْتُ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَسَمِعَ رَجُلًا يَقْرَأُ: قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ اللَّهُ الصَّمَدُ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: وَجَبَتْ. قُلْتُ: مَا وَجَبَتْ؟ قَالَ: الجَنَّةُ
 
Daripada Abu Hurairah RA beliau berkata: "Aku berjalan bersama Rasulullah SAW lalu aku dengar seorang lelaki membaca  قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ اللَّهُ الصَّمَدُ Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Telah wajib.” Aku bertanya: “Apa yang telah wajib wahai Rasulullah?”. Baginda menjawab: “Syurga (baginya).” (HR Tirmidzi No: 2897). Status Hadis Hasan
 
Pengajaran:
 
1.    Surah al-Ikhlas mempunyai kedudukan yang tinggi kerana kandungannya menghimpunkan asas tauhid yang menegaskan bahawa: Allah Maha Esa, Allah tempat bergantung segala makhluk, Allah tidak beranak dan tidak diperanakkan dan tiada sesuatu yang setanding dengan-Nya.
 
2.    Membaca Surah al-Ikhlas dengan penuh keimanan dan keikhlasan menjadi sebab seseorang memperoleh keredaan Allah dan berhak mendapat syurga dengan rahmat-Nya.
 
3.    Tauhid ialah asas kepada seluruh amal ibadah dan syarat utama keselamatan di akhirat. Asas utama seseorang memasuki syurga ialah tauhid. Semakin sempurna tauhid seseorang maka semakin ikhlas ibadahnya, semakin baik amalannya, dan semakin kuat pergantungannya kepada Allah. Surah al-Ikhlas menjadi antara surah yang paling besar kelebihannya kerana seluruh kandungannya berkisar tentang tauhid.
 
4.    Bacaan al-Quran hendaklah disertai dengan kefahaman, penghayatan dan pengamalan.
 
5.    Keikhlasan dalam ibadah merupakan antara nilai utama yang diajarkan oleh Surah al-Ikhlas. Seseorang yang memahami Surah al-Ikhlas akan terdidik supaya hanya bergantung kepada Allah; tidak mengharapkan pujian manusia; menjauhi riak; dan memurnikan niat dalam setiap ibadah. Keikhlasan inilah yang menjadi sebab utama seseorang memperoleh keredaan Allah.
 
6.    Hadis ini menggalakkan umat Islam memperbanyakkan bacaan Surah al-Ikhlas sebagai amalan harian tanpa mengabaikan kewajipan-kewajipan agama yang lain.
 
7.    Seorang Muslim bukan sahaja digalakkan memperbanyakkan bacaan Surah al-Ikhlas, malah hendaklah memahami maknanya, memurnikan akidahnya dan menghayati nilai keikhlasan dalam setiap aspek kehidupan agar benar-benar layak memperoleh rahmat dan syurga Allah SWT.
 

Sunday, July 19, 2026

Doa Membersihkan Hati Dari Kepercayaan Karut

Ahad, 4 Safar 1448H    |    Doa Membersihkan Hati Dari  Kepercayaan Karut

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ رَدَّتْهُ الطِّيَرَةُ مِنْ حَاجَةٍ فَقَدْ أَشْرَكَ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا كَفَّارَةُ ذَلِكَ قَالَ أَنْ يَقُولَ أَحَدُهُمْ اللَّهُمَّ لَا خَيْرَ إِلَّا خَيْرُكَ وَلَا طَيْرَ إِلَّا طَيْرُكَ وَلَا إِلَهَ غَيْرُكَ

Daripada Abdullah bin Amr bin al-As RA, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang dihalang oleh kepercayaan kepada petanda sial daripada meneruskan sesuatu urusannya, maka sesungguhnya dia telah melakukan syirik." Para sahabat bertanya: "Wahai Rasulullah, apakah kaffarah (penebus) bagi perkara itu?" Baginda bersabda: "Hendaklah seseorang itu mengucapkan: 'Ya Allah, tiada kebaikan melainkan kebaikan daripada-Mu, tiada petanda (kesialan) melainkan yang telah Engkau takdirkan, dan tiada Tuhan yang berhak disembah selain Engkau.'" (HR Ahmad, No: 6748) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.    Islam melarang kepercayaan kepada petanda sial kerana ia bercanggah dengan prinsip tauhid, contohnya bulan Safar sebagai bulan sial, bunyi burung tertentu sebagai petanda membawa malapetaka.
 
2.    Mengubah keputusan hidup semata-mata kerana kepercayaan tahyul boleh termasuk dalam perbuatan syirik kerana bergantung kepada selain Allah, contohnya mempercayai bulan Safar atau burung tertentu membawa keburukan sehingga menghalangnya melakukan sesuatu seperti bermusafir atau mengadakan majlis pernikahan.
 
3.    Menurut Imam al-Qurtubi, semua bentuk kepercayaan seperti: nombor membawa sial; hari tertentu membawa malang; burung tertentu membawa musibah; bunyi tertentu menjadi petunjuk nasib; warna tertentu membawa bala, adalah bercanggah dengan prinsip tauhid kerana manfaat dan mudarat hanya berada dalam kekuasaan Allah SWT.
 
4.    Setiap Muslim mesti meyakini bahawa manfaat dan mudarat hanya berada di bawah kekuasaan Allah SWT serta wajib  membina sikap tawakal dengan mengambil sebab yang dibenarkan syarak, bukan bergantung kepada petanda atau kepercayaan karut.
 
5.    Rasulullah SAW mengajarkan doa yang mengembalikan keyakinan dan pergantungan sepenuhnya kepada Allah apabila timbul perasaan tersebut.  Rasulullah SAW mengajar doa ini:

اللَّهُمَّ لَا خَيْرَ إِلَّا خَيْرُكَ وَلَا طَيْرَ إِلَّا طَيْرُكَ وَلَا إِلَهَ غَيْرُكَ

Maksudnya: (Ya Allah, tiada kebaikan melainkan kebaikan-Mu dan tiada kesialan kecuali yang telah Engkau takdirkan dan tiada tuhan yang disembah selain Engkau)
 
6.    Islam menggalakkan sikap optimis dan bersangka baik kepada Allah, bukan hidup dalam ketakutan terhadap perkara yang tidak mempunyai sandaran syarak.
 

Saturday, July 18, 2026

Tiada Kepercayaan Buruk Terhadap Bulan Safar

Sabtu, 3 Safar 1448H   |   Tiada Kepercayaan Buruk Terhadap Bulan Safar
 
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رضي الله عنه، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم: لَا عَدْوَى، وَلَا طِيَرَةَ، وَلَا هَامَةَ، وَلَا صَفَرَ، وَفِرَّ مِنَ الْمَجْذُومِ كَمَا تَفِرُّ مِنَ الْأَسَدِ.
 
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: "Tidak ada penyakit berjangkit yang menular dengan sendirinya (tanpa ketentuan Allah), tidak ada kepercayaan sial kerana burung, tidak ada kepercayaan tentang burung hantu (yang membawa petanda buruk), dan tidak ada kepercayaan terhadap bulan Safar sebagai pembawa malang. Namun, jauhilah orang yang menghidap penyakit kusta sebagaimana kamu lari daripada seekor singa." (HR Bukhari No: 5707) Status Hadis Sahih
 
Pengajaran
 
1.    Islam menolak semua bentuk kepercayaan khurafat, tahyul dan sangkaan bahawa sesuatu selain Allah mempunyai kuasa mutlak menentukan manfaat atau mudarat.
 
2.    Seorang Muslim hendaklah menjauhkan diri daripada kepercayaan buruk tentang sesuatu contohnya bulan Safar membawa kecelakaan, haiwan tertentu seperti bunyi burung hantu atau pelesit masuk dalam rumah sebagai tanda membawa sial.
 
3.    Masyarakat Arab Jahiliah menganggap bulan Safar membawa nasib buruk dan tidak sesuai untuk bermusafir, berniaga atau berkahwin. Islam menolak kepercayaan tersebut kerana semua bulan adalah ciptaan Allah dan tidak mempunyai kuasa membawa manfaat atau mudarat dengan sendirinya.
 
4.    Kita telah berada di bulan Safar, bulan kedua di dalam kalendar Hijrah selepas bulan Muharram. Tiada perkara buruk yang dinisbahkan dengan bulan Safar ini. Jauhi amalan khurafat seperti mandi safar untuk menolak bala di bulan ini.
 
5.    Penyakit berjangkit berlaku dengan izin Allah SWT, namun manusia tetap diwajibkan mengambil langkah pencegahan yang munasabah. Hal ini selaras dengan kaedah fiqh: Menghindari kemudaratan hendaklah diutamakan.
 
6.    Tawakal kepada Allah hendaklah disertai dengan ikhtiar yang dibenarkan oleh syarak.
 
7.    Menjaga kesihatan diri dan masyarakat merupakan tuntutan agama serta sebahagian daripada pemeliharaan nyawa (hifz al-nafs). Sementara menjaga dan memelihara akidah daripada kepercayaan khurafat juga tuntutan agama untuk memelihara akidah (hifz al-din).
 
8.    Hadis ini merupakan peringatan Rasulullah SAW agar kita menolak kepercayaan masyarakat Jahiliah yang mengaitkan penyakit, burung, bulan safar atau tanda-tanda tertentu dengan kuasa membawa manfaat atau mudarat secara bebas, kerana semua perkara berlaku di bawah ketentuan Allah SWT. Pada masa yang sama, Baginda mengarahkan umat Islam supaya mengelakkan punca-punca penyakit dan mengambil langkah pencegahan yang sewajarnya, termasuk menjauhi risiko jangkitan.
 

Friday, July 17, 2026

Surah Al-Ikhlas Sepertiga Al-Quran

Jumaat, 2 Safar 1448H  |    Surah Al-Ikhlas Sepertiga Al-Quran
 
عَنْ أَبِي الدَّرْدَاءِ ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، قَالَ : أَيَعْجِزُ أَحَدُكُمْ أَنْ يَقْرَأَ فِي لَيْلَةٍ ثُلُثَ الْقُرْآنِ ؟ قَالُوا : وَكَيْفَ يَقْرَأْ ثُلُثَ الْقُرْآنِ ؟ قَالَ : قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ تَعْدِلُ ثُلُثَ الْقُرْآنِ
 
Daripada Abu Darda RA bahawa Nabi SAW bersabda: Adakah salah seorang daripada kamu tidak mampu untuk membaca sepertiga al-Quran pada waktu malam? Para sahabat bertanya: Bagaimanakah seseorang mampu membaca sepertiga al-Quran? Baginda bersabda: Qul Huwa Allahu Ahad (surah al-Ikhlas) menyamai sepertiga al-Quran.” (HR Muslim No: 811) Status Hadis Sahih
 
Pengajaran:
 
1.    Surah al-Ikhlas mempunyai kedudukan yang tinggi dalam al-Quran kerana kandungannya menghimpunkan asas tauhid.
 
2.    Ganjaran membaca Surah al-Ikhlas menyamai ganjaran membaca sepertiga al-Quran dari sudut pahala dan kandungan, bukan sebagai pengganti keseluruhan al-Quran.
 
3.    Tauhid merupakan teras utama ajaran Islam dan menjadi asas kepada semua ibadah serta akhlak. Surah al-Ikhlas menghimpunkan tema tauhid dan akidah yang nilainya menyamai satu pertiga daripada keseluruhan kandungan al-Quran di mana satu pertiga lagi berkaitan hukum hakam dan satu pertiga berbaki tentang janji dan ancaman.
 
4.    Hadis ini menunjukkan keagungan surah al-Ikhlas, menggalakkan umat Islam membanyakkan membaca al-Quran di samping menjadikan bacaan Surah al-Ikhlas sebagai amalan harian.
 
5.    Seorang Muslim hendaklah memahami makna Surah al-Ikhlas, dan menghayati mesej tauhid yang terkandung di dalamnya bukan sekadar menghafaz serta membacanya. Semoga keimanan, keikhlasan dan pergantungan kepada Allah SWT sentiasa terpahat dalam kehidupan.
 
6.    Pendidikan akidah yang mantap akan melahirkan keikhlasan dalam ibadah dan keteguhan dalam menghadapi cabaran kehidupan.
 

Thursday, July 16, 2026

Surah Al-Mulk Syafaat Pengampun Dosa

Khamis, 1 Safar 1448H  |   Surah Al-Mulk Syafaat Pengampun Dosa
 
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ:إِنَّ سُورَةً فِي الْقُرْآنِ ثَلَاثُونَ آيَةً شَفَعَتْ لِصَاحِبِهَا حَتَّى غُفِرَ لَهُ: تَبَارَكَ الَّذِي بِيَدِهِ الْمُلْكُ
 
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: "Sesungguhnya terdapat satu surah dalam al-Quran yang mengandungi tiga puluh ayat. Surah itu memberi syafaat kepada pembacanya sehingga dia diampunkan dosanya, iaitu Surah 'Tabaraka allazhi biyadihil-mulk' (Surah al-Mulk)." (HR Ibn Majah No: 3786) Status Hadis Hasan
 
Pengajaran
 
1.    Surah al-Mulk mempunyai kedudukan yang istimewa dalam al-Quran sehingga diberi kelebihan memberi syafaat kepada pembacanya dengan izin Allah.
 
2.    Syafaat yang sebenar adalah milik Allah SWT, manakala Surah al-Mulk menjadi sebab seseorang memperoleh rahmat dan keampunan-Nya.
 
3.    Membaca Surah al-Mulk hendaklah disertai dengan kefahaman, tadabbur dan pengamalan, bukan sekadar bacaan lisan.
 
4.    Menurut al-Mubarakfuri, " لِصَاحِبِهَا - pemilik surah" ialah orang yang sentiasa membacanya; menghafaznya; memahami maknanya; menghayati pengajarannya; serta beramal dengan kandungannya.
 
5.    Kandungan Surah al-Mulk membentuk akidah yang mantap melalui penegasan tentang kekuasaan Allah, kehidupan akhirat dan tanggungjawab manusia.
 
6.    Keampunan Allah merupakan matlamat utama setiap Muslim, dan al-Quran ialah antara jalan terbaik untuk mencapainya. Membaca surah al-Mulk dengan penuh keikhlasan, keimanan dan istiqamah mengamalkannya akan menjadi asbab pengampunan keatasnya.
 
7.    Membiasakan membaca Surah al-Mulk setiap malam merupakan sunnah yang dapat memperkukuh hubungan seorang Muslim dengan al-Quran.
 

Wednesday, July 15, 2026

Kelebihan Surah Al-Mulk

Rabu, 29 Muharam 1448H   |   Kelebihan Surah Al-Mulk

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ :ضَرَبَ بَعْضُ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلّى اللهُ عَلَيْهِ وسَلَّم خِبَاءَهُ عَلَى قَبْرٍ وَهُوَ لَا يَحْسِبُ أَنَّهُ قَبْرٌ، فَإِذَا فِيهِ إِنْسَانٌ يَقْرَأُ سُورَةَ تَبَارَكَ الَّذِي بِيَدِهِ الْمُلْكُ حَتَّى خَتَمَهَا، فَأَتَى النَّبِيَّ صَلّى اللهُ عَلَيْهِ وسَلَّم، فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنِّي ضَرَبْتُ خِبَائِي عَلَى قَبْرٍ وَأَنَا لَا أَحْسِبُ أَنَّهُ قَبْرٌ، فَإِذَا فِيهِ إِنْسَانٌ يَقْرَأُ سُورَةَ تَبَارَكَ الْمُلْكِ حَتَّى خَتَمَهَا. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلّى اللهُ عَلَيْهِ وسَلَّم :هِيَ الْمَانِعَةُ، هِيَ الْمُنْجِيَةُ، تُنْجِيهِ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ

Daripada Ibnu ‘Abbas RA, beliau berkata: “Seorang sahabat Nabi SAW telah mendirikan khemahnya di atas sebuah kubur tanpa dia mengetahui bahawa ia adalah sebuah kubur. Tiba-tiba dia mendengar seseorang di dalam kubur itu sedang membaca Surah Tabarak allazi biyadihi al-Mulk (Surah Al-Mulk) sehingga selesai. Lalu sahabat tersebut datang kepada Rasulullah SAW dan berkata: ‘Wahai Rasulullah, aku telah mendirikan khemahku di atas sebuah kubur dan aku tidak tahu bahawa ia adalah kubur. Tiba-tiba aku mendengar seseorang di dalamnya membaca Surah Al-Mulk sehingga selesai.’ Maka Rasulullah SAW bersabda: ‘Surah itu ialah penghang (daripada azab), surah itu ialah penyelamat, ia menyelamatkan pembacanya daripada azab kubur.’” (HR Tirmizi No: 2890) Status Hadis Hasan

Pengajaran:

1.    Membaca Surah al-Mulk secara konsisten setiap malam sebelum tidur adalah sunnah yang membawa manfaat besar semasa di alam barzakh kelak.
 
2.    Kelebihan Surah al-Mulk sebagai "penghalang" dan "penyelamat" menunjukkan besarnya rahmat Allah kepada orang yang sentiasa berinteraksi dengan al-Quran.
 
3.    Surah al-Mulk mengandungi tema yang membina keimanan, antaranya: kekuasaan mutlak Allah terhadap seluruh alam; penciptaan hidup dan mati sebagai ujian; kesempurnaan ciptaan Allah; ancaman terhadap orang yang kufur; galakan bertafakur serta keyakinan terhadap hari kebangkitan. Seseorang yang sentiasa membaca dan menghayati surah ini akan mempunyai hati yang sentiasa mengingati akhirat, sekali gus menjauhkan dirinya daripada maksiat.
 
4.    Surah al-Mulk yang menjadi rutin di baca setiap malam akan menjadi pemberi syafaat kepada pembaca, menghalangnya daripada azab kubur dan menjadi penyelamat daripada api neraka bergantung kepada keikhlasan, keimanan dan rahmat Allah SWT.
 
5.    Membiasakan diri membaca Surah al-Mulk setiap malam bukan sekadar mengharapkan ganjaran, tetapi juga sebagai latihan rohani yang mengukuhkan tauhid, menyuburkan rasa takut dan harap kepada Allah, serta mempersiapkan diri menghadapi alam kubur dan kehidupan akhirat.
 
6.    Hormati kawasan perkuburan dan elakkan daripada melakukan sesuatu yang tidak sewajarnya seperti berjalan sesuka hati di atas kubur, menjadikan atas kubur sebagai tempat tinggal dan sebagainya.
 
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah

Tuesday, July 14, 2026

Surah Al-Kahfi Cahaya Antara Dua Jumaat

Selasa, 28 Muharam 1448H  | Surah Al-Kahfi Cahaya Antara Dua Jumaat
 
عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: مَنْ قَرَأَ سُورَةَ الْكَهْفِ فِي يَوْمِ الْجُمُعَةِ، أَضَاءَ لَهُ مِنَ النُّورِ مَا بَيْنَ الْجُمُعَتَيْنِ
 
Daripada Abu Sa'id al-Khudri RA, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: "Sesiapa yang membaca Surah al-Kahfi pada hari Jumaat, akan dipancarkan baginya cahaya yang menerangi antara dua Jumaat." (HR Al-Hakim No: 3392) Status Hadis Sahih
 
Pengajaran
 
1.    Membaca Surah al-Kahfi pada hari Jumaat merupakan amalan sunnah yang sangat dianjurkan.
 
2.    Allah menjanjikan cahaya petunjuk dan keberkatan kepada orang yang mengamalkannya secara istiqamah.
 
3.    Cahaya yang dimaksudkan merangkumi hidayah, ketenangan jiwa, keberkatan hidup, kekuatan menghadapi fitnah, petunjuk dalam kehidupan dan cahaya yang akan memimpin pada Hari Kiamat.
 
4.    Menurut Ibn Hajar, “Cahaya antara dua Jumaat” bermaksud Allah mengurniakan cahaya dan keberkatan kepada pembaca Surah al-Kahfi sepanjang tempoh dari hari Jumaat tersebut sehingga hari Jumaat berikutnya.
 
5.    Surah al-Kahfi mendidik umat Islam supaya teguh menghadapi pelbagai bentuk fitnah kehidupan antaranya fitnah agama (kisah Ashabul Kahfi), fitnah harta (kisah pemilik dua kebun), fitnah ilmu (kisah Nabi Musa dan Khidir) dan fitnah kuasa (kisah Zulkarnain).  
 
6.    Bacaan al-Quran seperti bacaan Surah al-Kahfi hendaklah disertai dengan tadabbur dan penghayatan agar benar-benar membentuk akhlak dan keimanan.
 
7.    Hari Jumaat ialah peluang terbaik untuk memperbaharui hubungan dengan Allah melalui al-Quran, doa, zikir dan ibadah.
 
8.    Amalan membaca, mentadabbur dan menghayati Surah al-Kahfi setiap hari Jumaat merupakan salah satu bentuk tarbiah mingguan yang memperkukuh hubungan seorang Muslim dengan al-Quran dan mempersiapkannya menghadapi cabaran dunia serta akhirat.