Khamis, 15 Safar 1448H | Bergurau Yang Dibenarkan
عَنِ الْحَسَنِ قَالَ: أَتَتْ عَجُوزٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَتْ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، ادْعُ اللَّهَ أَنْ يُدْخِلَنِي الْجَنَّةَ فَقَالَ: يَا أُمَّ فُلاَنٍ، إِنَّ الْجَنَّةَ لاَ تَدْخُلُهَا عَجُوزٌ. قَالَ: فَوَلَّتْ تَبْكِي فَقَالَ: أَخْبِرُوهَا أَنَّهَا لاَ تَدْخُلُهَا وَهِيَ عَجُوزٌ إِنَّ اللَّهَ تَعَالَى يَقُولُ : إِنَّا أَنْشَأْنَاهُنَّ إِنْشَاءً فَجَعَلْنَاهُنَّ أَبْكَارًا عُرُبًا أَتْرَابًا (الواقعة آية رقم : 35 – 37)
Daripada Al-Hasan RA, dia berkata, “Seorang wanita tua datang menemui Nabi SAW lalu berkata, ‘Wahai Rasulullah! Berdoalah kepada Allah agar Dia memasukkan aku ke dalam syurga!’ Baginda bersabda: ‘Wahai Ibu si Polan! Sesungguhnya Wanita tua tidak akan memasuki syurga. Wanita itu pun berpaling sambil menangis. Baginda pun bersabda: ‘Beritahulah kepadanya bahawa dia tidak akan masuk syurga dalam keadaan tua. Sesungguhnya Allah berfirman: Sesungguhnya kami menciptakan mereka (Bidadari-bidadari) dengan langsung (35). Dan kami jadikan mereka gadis-gadis perawan (36). Penuh cinta lagi sebaya umurnya (37).” (Al-Waqi’ah) (HR Tirmizi No: 238 dalam Syamail Muhammadiyyah) Status: Hadis Hasan.
Pengajaran:
1. Rasulullah SAW bergurau dengan sahabat untuk mengembirakan, namun dalam batas yang tidak berlebihan hingga membawa sifat berbohong.
2. Rasulullah SAW bergurau dengan perempuan tua, walaupun pada awalnya menyedihkan namun diakhirnya mengembirakan dan menyebabkan perempuan itu tersenyum dan tertawa gembira.
3. Orang yang terlalu serius dalam urusan kehidupannya akan cepat penat dan kecewa.
4. Gurauan boleh merehatkan jiwa dan mengeratkan hubungan, tetapi mesti dijaga batasnya jangan mengandungi dusta, menghina seseorang, menyakiti perasaan, melalaikan serta menjatuhkan maruah dan kewibawaan.
5. Kita boleh bergurau dengan kadar yang tidak berlebihan serta berusaha mengawal lidahnya ketika bergurau agar bertutur dalam perkara yang bermanfaat dan menjauhi dusta.
6. Gurauan yang baik hendaklah memenuhi beberapa prinsip seperti tidak berdusta, tidak menghina, tidak membuka aib, tidak menakutkan, tidak mempermainkan agama, tidak keterlaluan dan menjaga emosi pendengar agar tidak menyakiti.
7. Elakkan bergurau yang tidak benar atau berbohong sekadar untuk bersuka-suka. Bergurau dibolehkan untuk menimbulkan kemesraan dan membina ikatan ukhuwah.
8. Islam tidak menolak kegembiraan dan gurauan. Namun, gurauan mestilah berasaskan kebenaran, tidak mengaibkan, tidak menyakitkan dan tidak dibiarkan menimbulkan salah faham. Apabila seseorang tersentuh atau bersedih, penjelasan dan pemulihan perasaannya perlu disegerakan.
No comments:
Post a Comment