Jumaat, 16 Safar 1448H | Berdusta Untuk Menjadikan Orang Tertawa
عَنْ معاوية بن حيدة القشيري قَالَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ وَيْلٌ لِلَّذِي يُحَدِّثُ فَيَكْذِبُ لِيُضْحِكَ بِهِ الْقَوْمَ وَيْلٌ لَهُ وَيْلٌ لَهُ
Daripada Mu‘awiyah bin Haydah al-Qusyairi RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: Celakalah orang yang berbicara kemudian dia berdusta agar suatu kaum tertawa kerananya. Kecelakaan untuknya. Kecelakaan untuknya.” ( No: 4990) Maktabah Asriyyah. Status: Hadis Hasan
Pengajaran:
1. Elakkan guruan yang di dalamnya ada unsur berdusta, mengumpat, menghina juga meremehkan orang lain hanya kerana ingin menghiburkan orang atau menyebabkan orang tertawa.
2. Gurauan bukan kawasan yang bebas daripada hukum halal dan haram. Lidah seorang Muslim tetap terikat dengan amanah kebenaran dalam keadaan serius ataupun santai.
3. Celakalah orang yang menyampaikan sesuatu kepada orang lain yang didalamnya mengandungi pembohongan, penghinaan juga meremehkan orang lain sehingga menyebabkan orang tertawa, sama ada melalui pertuturan, lakonan, lukisan, gambar juga tulisan.
4. Dalam syarah Tuhfat al-Ahwadhi, ungkapan “وَيْلٌ - Celaka @ Binasa” diulang bertujuan menegaskan beratnya kesalahan tersebut. Dusta ialah antara punca pelbagai keburukan dan boleh menjadi pintu kepada dosa-dosa yang lain.
5. Dusta dalam bentuk hiburan hingga membuat orang ketawa diberi ancaman keras kerana ia merosakkan sifat jujur. Dalam era digital, satu cerita palsu boleh dikongsi ribuan kali dan terus beredar walaupun penciptanya sudah menarik balik kenyataannya.
6. Antara bentuk dusta untuk hiburan pada masa kini yang perlu dijauhi seperti menyebarkan berita palsu untuk mendapat perhatian, “prank” berasaskan penipuan, mereka cerita palsu, petikan palsu, suntingan mengelirukan kepada video atau audio, akaun palsu dan penyamaran.
7. Orang yang beriman tidak akan berbicara serta melakukan sesuatu melainkan yang benar dan baik. Jadilah kita Mukmin yang benar lagi baik dalam perbuatan dan pertuturan.
No comments:
Post a Comment