Rabu, 14 Ramadhan 1444H: Rasulullah SAW Amat Pemurah Melakukan Kebajikan
عَنْ ابْنِ
عَبَّاسٍ قَالَ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
أَجْوَدَ النَّاسِ بِالْخَيْرِ وَكَانَ أَجْوَدَ مَا يَكُونُ فِي شَهْرِ
رَمَضَانَ إِنَّ جِبْرِيلَ عَلَيْهِ السَّلَام كَانَ يَلْقَاهُ فِي كُلِّ
سَنَةٍ فِي رَمَضَانَ حَتَّى يَنْسَلِخَ فَيَعْرِضُ عَلَيْهِ رَسُولُ
اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْقُرْآنَ فَإِذَا لَقِيَهُ
جِبْرِيلُ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
أَجْوَدَ بِالْخَيْرِ مِنْ الرِّيحِ الْمُرْسَلَةِ
Daripada Ibnu
Abbas RA dia berkata; "Rasulullah SAW adalah orang yang paling pemurah
melakukan pelbagai kebaikan. Kemurahan Baginda SAW akan bertambah
menjelangnya bulan Ramadhan. Kerana setiap tahun Jibril selalu menemui
baginda tiap-tiap malam, hingga habis bulan Ramadhan. Rasulullah SAW
memperdengarkan bacaan Quran kepadanya (dan Jibril menyemak). Apabila
Jibril mendatanginya, baginda lebih banyak lagi berbuat kebajikan
melebihi angin yang berhembus." (Sahih Muslim No: 2308) Dar Ihya Kutub
Arabiyyah. Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Ramadhan
adalah kesempatan yang amat berharga untuk menggandakan amalan kebaikan
kerana salah satu hakikat ibadah puasa ialah sifatnya yang peribadi dan
merupakan rahsia antara seorang hamba dengan Pencipta-Nya. Segala
kelebihan yang ada pada bulan Ramadhan bukanlah bermakna bahawa
seseorang itu hanya perlu menumpukan ibadahnya pada bulan Ramadhan
sahaja dengan tidak beramal pada bulan yang lain, tetapi hendaklah
dijadikan sebagai satu perangsang dan momentum memulakan satu titik
perubahan ke arah yang lebih baik.
2. Antara amalan kebaikan
yang selalu dilakukan oleh Nabi SAW pada bulan Ramadhan adalah
bersedekah dan bertadarus al-Qur’an. Setiap Muslim dituntut membaca
al-Qur’an pada setiap hari, terutamanya pada bulan Ramadhan yang mulia
ini kerana dengan bertadabbur makna dan kandungan al-Qur’an akan
meningkatkan keimanan dan kekayaan hati ke arah kebaikan.
3.
Marilah kita bersama-sama mengisi kedatangan Ramadhan ini dengan penuh
keinsafan dan memperbanyakkan bersedekah, membaca, dan mentadabur
al-Quran kerana pada bulan ini adalah bulan yang dipenuhi keberkatan
serta dihidangkan di dalamnya dengan pelbagai amal ibadah yang pahalanya
digandakan.
4. Konsep "memberi" (bersedekah) harus diterapkan
secara maksimum bukan sahaja sepanjang Ramadan bahkan di bulan lain
kerana bersedekah memberikan pengaruh yang baik pada peribadi -
menghakis sifat kedekut dan mempereratkan ikatan kemesraan anggota
masyarakat tanpa mengira taraf dan kedudukan seseorang itu.
5.
Sedekah yang diterima dan bernilai di sisi Allah adalah sedekah yang
ikhlas, bukanlah untuk menunjuk-nunjuk. Harta yang kita infak tetap akan
kekal pahalanya, namun harta yang tinggal pada kita belum tentu
mendatangkan manfaat dan pahala.
مَا عِنْدَكُمْ يَنْفَدُ وَمَا عِنْدَ اللَّهِ بَاقٍ
“Apa saja yang ada di sisimu (wahai manusia) akan habis, dan apa yang ada di sisi Allah adalah kekal” (an-Nahl: 96)
6. Tadarus al-Quraan juga antara amalan yang digalakkan agar dapat menyemak bacaan yang betul.
"Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian; Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran".(Surah Al-Asr,Ayat 1-3)
Wednesday, April 5, 2023
Rasulullah SAW Amat Pemurah Melakukan Kebajikan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment