Jumaat, 19 Rabiulakhir 1445H: Tinggalkan Perkara Yang Tidak Bermanfaat
عَنْ أَبِي هُرَیْرَةَ رَضِىَ الله عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ الله صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّم : مِنْ حُسْنِ إِسْلاَمِ الْمَرْءِ تَرْكُهُ مَا لاَ يَعْنِيهِ
Daripada Abu Hurairah RA beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda: Diantara kesempurnaan Islam seseorang ialah dia meninggalkan sesuatu yang tidak berkaitan dengannya (tidak berfaedah baginya). (HR Tirmizi No: 2318) Status: Hadis Hasan
Pengajaran:
1. Seorang mukmin dianggap elok, indah dan berakhlak tinggi apabila dia hanya melakukan perkara yang berfaedah dan meninggalkan perkara yang tidak berfaedah.
2. Antara sifat seorang muslim yang berakhlak adalah sentiasa menyibukkan dirinya dengan perkara yang mulia dan bermanfaat serta menjauhkan perkara yang hina dan rendah moral.
3. Menyibukkan diri dengan sesuatu yang tidak bermanfaat dan berfaedah adalah sia-sia apatah lagi jika perkara tersebut haram serta membawa kepada dosa dan maksiat. Ia merupakan pertanda kelemahan iman.
4. Termasuk perkara yang tidak berfaedah ialah bercakap kosong, menulis serta memfowardkan sesuatu yang tidak mendatangkan pahala apatah lagi sesuatu yang tidak benar serta berbentuk fitnah. Termasuk juga menghabiskan masa bermain game, saja duduk di kedai kopi, suka mengambil tahu perkara yang tiada kaitan dengan dirinya, atau suka menjaga tepi kain orang kemudian memberi komen yang negatif.
5. Anjuran ini menyerlahkan suatu ajaran lslam yang amat baik, yang boleh menyumbang ke arah pembangunan umat.
6. Sekiranya semua umat lslam meninggalkan perkara yang tidak berfaedah dan yang tidak ada kena mengena dengan dirinya, nescaya mereka mampu mencipta kejayaan dan kemajuan serta menghasilkan produktiviti yang berkualiti.
No comments:
Post a Comment