Saturday, November 4, 2023

Ukhuwah Tanda Kesempurnaan Iman

Sabtu, 20 Rabiulakhir 1445H:  Ukhuwah Tanda Kesempurnaan Iman

عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: لاَيُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيْهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ

Daripada Anas RA, dari Nabi SAW, sabdanya: “Tidak sempurna Iman seseorang dari kamu sehingga ia suka saudaranya mendapat kebaikan seperti apa yang ia sendiri suka mendapatkannya”. (Sahih Bukhari No: 12) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Ukhuwah sesama Muslim adalah pra syarat kesempurnaan iman seseorang.

2.  Kesempurnaan iman seseorang ditunjukkan dengan sifat mengasihi saudara Muslim yang lain seperti ia mengasihi dirinya sendiri.

3.  Ibn Qayyim menyatakan:

a.  Kasih sayang itu adalah sifat memberikan manfaat kepada orang lain

b.  Sifat bersusah payah demi memberikan kemudahan kepada sahabat atau menjauhkannya daripada bencana.

4.  Hijrah Rasulullah SAW ke Madinah telah mempersaudarakan dua kaum iaitu Auz dan Khazraj yang sebelum ini sering berperang dan bermusuhan tanpa henti. Tiada lagi permusuhan antara mereka, bahkan mereka saling berkasih sayang, bantu membantu antara satu sama lain termasuk menghulurkan pertolongan kepada golongan Muhajirin yang baru berhijrah dari Mekah ke Madinah.

5.  Langkah strategik Baginda mempersaudarakan ini demi memastikan ikatan ukhuwah dan persaudaraan dalam kalangan penduduk Madinah kukuh terpatri. Ia menjadi faktor utama kepada kejayaan pembinaan Negara Madinah yang maju dan makmur.

6.  Jadilah kita orang yang suka agar saudara Muslim kita yang lain mendapat kebaikkan bukan mengharap dia mendapat keburukan.

7.  Jangan jadikan perbezaan pemikiran, pandangan dan kumpulan sebagai pemisah antara kita. Banyak titik persamaan yang boleh dicari untuk berada di bawah payung keimanan, toleransi dan perpaduan bersama.

Marilah kita pertautkan kasih sayang dan ukhuwah. Buang jauh-jauh perselisihan dan perbezaan yang ada. Buktikan kesempurnaan iman kita dengan saling berkasih sayang.


No comments: