Friday, November 17, 2023

Berbuat Baik Terhadap Orang Lain

Jumaat, 3 Jamadilawal 1445H:  Berbuat Baik Terhadap Orang Lain

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كُلُّ سُلَامَى مِنْ النَّاسِ عَلَيْهِ صَدَقَةٌ كُلَّ يَوْمٍ تَطْلُعُ فِيهِ الشَّمْسُ يَعْدِلُ بَيْنَ الِاثْنَيْنِ صَدَقَةٌ وَيُعِينُ الرَّجُلَ عَلَى دَابَّتِهِ فَيَحْمِلُ عَلَيْهَا أَوْ يَرْفَعُ عَلَيْهَا مَتَاعَهُ صَدَقَةٌ وَالْكَلِمَةُ الطَّيِّبَةُ صَدَقَةٌ وَكُلُّ خُطْوَةٍ يَخْطُوهَا إِلَى الصَّلَاةِ صَدَقَةٌ وَيُمِيطُ الْأَذَى عَنْ الطَّرِيقِ صَدَقَةٌ

Daripada Abu Hurairah RA berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Setiap ruas tulang pada manusia wajib atasnya bersedekah setiap hari mulai terbitnya matahari. Seseorang yang mendamaikan antara dua orang yang berselisih adalah sedekah dan menolong seseorang untuk menaiki kenderaan tunggangannya lalu mengangkat barang-barangnya ke atas kenderaan tunggangannya adalah sedekah dan ucapan yang baik adalah sedekah dan setiap langkah berjalan untuk menunaikan solat adalah sedekah dan membuang sesuatu yang boleh menyakiti atau menghalangi orang dari jalan adalah sedekah". (HR Bukhari No: 2767) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Setiap Muslim dituntut untuk melakukan amal kebajikan kepada orang lain setiap hari dan waktu  dengan menggunakan seluruh ruas tulang yang ada.

2.  Antara sumbangan amal yang boleh dilakukan oleh setiap Muslim bagi menggerakkan sendi dan tulangnya untuk mendapat ganjaran pahala sedekah melalui amalan khidmat yang dilakukan antaranya:

a.  Mendamaikan antara dua orang yang berselisih atau bergaduh

b.  Menolong seseorang untuk menaiki kenderaan seperti membukakan pintu kereta, membantu mengangkat barang ke atas kenderaan dan sebagainya

c.  Mengucapkan atau menuturkan perkataan yang baik ke atas orang lain seperti memberi salam, bertegur sapa, menasihati. Malah menahan tangan dan lisan agar tidak menyakiti orang lain juga sedekah.

d.  Langkah berjalan menuju tempat untuk menunaikan solat seperti masjid.

e.  Mengutip atau mengalihkan sesuatu yang boleh menyakiti atau menjadi halangan di jalan raya termasuk sampah.

Semoga segala kegiataan dan aktiviti yang kita lakukan setiap masa akan mendapat ganjaran pahala sedekah ke atas ruas tulang yang digerakkan. Jadilah kita orang yang bermanfaat kepada orang lain.


No comments: