Khamis, 9 Jamadilawal 1445H: Islam Menolak Kemudaratan
عَنْ أَبِـيْ سَعِيْدٍ سَعْدِ بْنِ مَالِكِ بْنِ سِنَانٍ الْـخُدْرِيِّ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّـى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ
Daripada Abû Sa’îd Sa’d bin Mâlik bin Sinân al-Khudri RA, Rasûlullâh SAW bersabda, “Jangan bahayakan diri dan jangan bahayakan orang lain. (HR Mâlik dalam al-Muwaththa’ (II/571, No: 31). Status: Hadis Hasan
Pengajaran:
1. Islam menolak sebarang bentuk kemudaratan sama ada kepada diri sendiri mahupun kepada orang lain.
2. Melakukan kemudaratan kepada diri sendiri seperti mendedahkan diri kepada penyakit dengan pergi ketempat yang berpotensi tersebarnya virus adalah dilarang. Termasuk mendedahkan diri kepada sesuatu yang memudaratkan dan haram seperti manghisap rokok, mengambil dadah, pil kuda dan lain-lain
3. Dilarang melakukan sesuatu yang boleh memudaratkan orang lain seperti di waktu tersebarnya penyakit berjangkit seperti Covid 19 dan telah diperintahkan kurantin di rumah tetapi kita dengan sengaja keluar dari rumah. Ia boleh menyebabkan virus terus merebak serta boleh mengundang kemudaratan pada diri dan orang lain.
4. Dalam riwayat al-Hâkim dan al-Baihaqi ada tambahan,
مَنْ ضَارَّ ضَرَّهُ اللهُ وَمَنْ شَاقَّ شَقَّ اللهُ عَلَيْه
Barangsiapa membahayakan orang lain, maka Allâh akan membalas bahaya kepadanya dan barangsiapa menyusahkan atau menyulitkan orang lain, maka Allâh akan menyulitkannya.” Al-Hâkim (II/57-58).
5. Suatu prinsip utama dalam kehidupan ini adalah jangan mencari mudarat dan menyebabkan kemudaratan kepada orang lain. la bertujuan menjaga kesejahteraan umat manusia keseluruhannya sama ada muslim atau bukan muslim.
6. Kaedah Usul Fiqh menyebutkan:
الضَّرَرُ يُدْفَعُ بِقَدْرِ الْإِمْكَانِ
Kemadharatan itu harus dicegah semampunya (bersungguh-sungguh)
7. Hal ini juga bertepatan dengan peringatan yang disebutkan oleh Al-Quran menerusi firman Allah SWT:
وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ
Dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke lembah kebinasaan. (Surah Al-Baqarah ayat: 195)
lslam menggalakkan umatnya mencari keharmonian hidup. Sebarang angkara yang membawa mudarat sama ada secara langsung mahupun secara tidak langsung, segera atau lambat, sedikit atau banyak semuanya dilarang.
No comments:
Post a Comment