Monday, November 13, 2023

Amal Masuk Syurga

Isnin, 29 Rabiulakhir 1445H: Amal Masuk Syurga

عَنْ أَبِي عَبْدِ اللَّهِ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ الْأَنْصَارِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا: أَنَّ رَجُلًا سَأَلَ رَسُولَ اللَّهِ صل الله عليه و سلم فَقَالَ:  أَرَأَيْتَ إِذَا صَلَّيْتُ الْمَكْتُوبَاتَ، وَصُمْتُ رَمَضَانَ، وَأَحْلَلْتُ الْحَلاَلَ، وَحَرَّمْتُ الْحَرَامَ، وَلَمْ أَزِدْ عَلَى ذَلِكَ شَيْئاً ؛ أَدْخُلُ الْجَنَّةَ؟ قَالَ: نَعَمْ

Daripada Abu Abdullah Jabir bin Abdullah al-Ansoori RA, bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah SAW: Apa pandanganmu jika aku mendirikan sembahyang yang difardhukan, aku berpuasa bulan Ramadhan, aku menghalalkan perkara yang halal dan aku mengharamkan perkara yang haram. Aku tidak akan menambah apa-apa lagi lebih daripada itu. Apakah aku akan masuk syurga? Baginda bersabda: Ya!.  (HR Muslim No: 15) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Setiap muslim dituntut untuk bertanya kepada orang yang arif tentang syariat Islam, tentang kewajibannya dan apa yang dihalalkan dan diharamkan baginya jika hal tersebut tidak diketahuinya.

2.  Penghalalan dan pengharaman merupakan aturan syariat, tidak ada yang berhak menentukannya kecuali Allah SWT.

3.  Keinginan dan perhatian yang besar dari para sahabat terhadap syurga diperlihatkan pada kesungguhan mereka dalam mencari jalan untuk sampai ke sana dengan bertanya kepada Rasulullah SAW melalui amal soleh yang boleh dilakukan.

4.  Seorang mukmin perlu beriltizam dengan segala yang difardhukan dan meninggalkan yang haram sebagai asas kejayaan untuk mendapat ganjaran syurga.

5.  Apabila seorang mukmin menunaikan segala tanggungjawab agama yang fardhu dengan sempurna (tanpa cacat) seperti solat fardhu dan puasa di bulan Ramadan, menghalalkan perkara yang halal (mengambilnya) dan mengharamkan perkara yang haram (meninggalkan), dia akan masuk syurga dengan kemurahan dan rahmat Allah SWT terhadap hamba-hambaNya, walaupun dia tidak melakukan amalan-amalan sunat yang lain.

6.  Dalam menyampaikan dakwah, seorang daie perlu berhikmah dengan mengambil kira kepelbagaian manusia disekelilingnya. Ada yang kuat dan ada yang lemah. Ada yang mudah melaksanakan dan ada yang sukar.


No comments: