Thursday, February 26, 2026

Sahur Itu Barakah

Khamis, 8 Ramadhan 1447H  |  Sahur Itu Barakah

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ السَّحُورُ أَكْلُهُ بَرَكَةٌ فَلَا تَدَعُوهُ وَلَوْ أَنْ يَجْرَعَ أَحَدُكُمْ جُرْعَةً مِنْ مَاءٍ فَإِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى الْمُتَسَحِّرِينَ

Daripada Abi Said al-Khudri, Rasulullah SAW bersabda: "Bersahur itu barakah, maka janganlah kalian tinggalkan meskipun salah seorang dari kalian hanya minum seteguk air, kerana sesungguhnya Allah 'azza wajalla dan para malaikat-Nya berselawat (memberi Rahmat dan doa) kepada orang-orang yang bersahur." (HR Ahmad No: 10664) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Bersahur itu memiliki keberkatan. Antara bentuk barakah dari makan dan minum sahur adalah mampu memberikan tenaga, menguatkan semangat, dan meringankan beban bagi mereka yang berpuasa.

2.  Bersahur adalah sunnah yang sangat dituntut walaupun hanya dengan seteguk air kerana ia membawa keberkatan yang besar.

3.  Ibn Hajar al-‘Asqalani mensyarahkan hadis ini: "Berkat pada sahur terhasil daripada sudut yang pelbagai, iaitu mengikut sunnah, serta berlawanan dengan ahli kitab, dan ianya menguatkan tenaga untuk melakukan ibadah puasa, serta menambahkan semangat untuk berpuasa, menahan daripada perbuatan yang tidak baik disebabkan oleh lapar, penyebab memberi sedekah kepada yang meminta, dan sebab kepada berzikir dan berdoa, waktu mustajab untuk berdoa, dan waktu niat untuk berpuasa bagi yang lupa berniat sebelum tidur. (Lihat Fath al-Bari, 4/140)

4.  Allah dan para malaikat berselawat ke atas orang yang makan dan minum untuk bersahur. Selawat Allah ke atas orang yang bersahur adalah pujian-Nya kepada hamba-hamba-Nya yang bersahur, manakala selawat para malaikat ke atas mereka yang bersahur pula merupakan doa pengampunan dari malaikat buat mereka yang bersahur.

5.  Waktu sahur itu sendiri pula termasuk antara waktu mustajab berdoa, waktu terbaik beribadah, dan waktu diampunkan bagi mereka yang memohon keampunan.

6.  Mengikut ulama: keberkatan bersahur terbahagi kepada dua jenis:

a.  Keberkatan Syar'iyyah: iaitu keberkatan dalam mengikut sunnah baginda Rasulullah SAW, mendapat ganjaran dan pahala, penyebab kepada berzikir, berdoa, beristighfar pada waktu sahur yang merupakan waktu mustajab doanya serta beroleh keampunan.

b.  Keberkatan Badaniyah: iaitu keberkatan pada sahur tersebut memberikan bekalan nutrien dan tenaga kepada badan serta menguatkan semangat untuk berpuasa, dan menahan diri daripada melakukan perbuatan yang tidak baik disebabkan oleh lapar.

7.  Bersahur bukan sekadar amalan fizikal, tetapi satu sunnah yang mendidik jiwa, menguatkan ibadah puasa, serta mendekatkan diri kepada rahmat Allah dan doa para malaikat, khususnya dalam bulan Ramadan.


No comments: