Sunday, February 22, 2026

Menghidupkan Malam Ramadan Menjadi Penghapus Dosa

Ahad, 4 Ramadhan 1447H  |  Menghidupkan Malam Ramadan Menjadi Penghapus Dosa

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Daripada Abu Hurairah RA katanya, Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa mendirikan Ramadhan (Ibadat di malam hari - menghidupkan dengan solat sunat, tilawah, iktikaf, zikir dan lain-lain) dengan penuh keimanan dan keikhlasan mengharap rahmat Allah, maka diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lalu" (HR Bukhari No: 36) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Mengikut Imam Nawawi, Qiam Ramadan bermaksud menghidupkan malam Ramadan dengan solat sunat tarawih, qiamullail, tilawah al-Quran, iktikaf, berdoa, berwirid dan lain-lain amal soleh kerana taat kepada Allah dan dilakukan dengan penuh kesungguhan serta keikhlasan.

2.  Ihtisab membawa maksud Ikhlas dan mengharap pahala semata-mata dari Allah SWT. Tidak merasa berat melaksanakan ibadah. Tidak dilakukan atas dasar riya’, mencari pujian atau hanya sekadar mengikuti kebiasaan orang sekitar.

3.  Ibadat qiam bulan Ramadan di malam hari sama ada untuk qiamullail solat sunat, tilawah, zikir, doa, iktikaf mahupun bangun sahur, akan menjadi sebahagian daripada elemen menghapuskan dosa-dosa yang lalu.

4.  Menurut ulama, qiam Ramadan mempunyai hikmah tarbiah rohani yang tinggi kerana malam adalah waktu sunyi yang lebih dekat dengan keikhlasan, mampu menguatkan hubungan dengan Allah serta melatih kesabaran dan mujahadah melawan nafsu dan rasa malas.

5.  Antara ibadat di malam hari di bulan Ramadan ialah solat sunat Tarawikh. Orang yang solat sunat bersama imam hingga selesai solat, dituliskan baginya seolah-olah ia bersolat sepanjang malam. Rasulullah SAW bersabda:

عَنْ أَبِي ذَرٍّ قَالَ ..... فَقَالَ إِنَّهُ مَنْ قَامَ مَعَ الْإِمَامِ حَتَّى يَنْصَرِفَ كُتِبَ لَهُ قِيَامُ لَيْلَةٍ ...

Daripada Abu Zar RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: 'Barangsiapa yang berdiri bersama imam (solat sunat malam), hingga selesai (hingga imam beredar) dituliskan baginya ganjaran pahala orang yang qiam sepanjang malam.'  (HR Tirmizi No: 734) Status: Hasan Sahih

6.  Solat Tarawih dan qiamullail merupakan sunnah yang sangat dituntut malam hari di bulan Ramadan.

Ayuh, pastikan kita menghidupkan malam Ramadan dengan dapat bersama solat tarawikh di masjid atau surau bersama imam hingga selesai kerana ganjarannya ditulis pahala seperti ia qiam sepanjang malam. Rugilah kita yang balik awal dari masjid atau tidak menunggu sehingga selesai sedangkan imam masih bersolat.


No comments: