Tuesday, October 13, 2026

Ganjaran Ziarah Orang Sakit

Selasa, 2 Jamadilawal 1448H   |   Ganjaran Ziarah Orang Sakit

عن أبو هريرة رضي الله عنه، قال‏:‏ قال رسول الله صلى الله عليه وسلم‏:‏   مَنْ عَادَ مَرِيضًا ، نَادَى مُنَادٍ مِنَ السَّمَاءِ : طِبْتَ ، وَطَابَ مَمْشَاكَ ، وَتَبَوَّأْتَ مِنَ الْجَنَّةِ مَنْزِلاً

 
Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang menziarahi orang sakit, maka ada penyeru (malaikat) dari langit menyerunya: ‘Semoga engkau memperoleh kebaikan, baiklah perjalananmu, dan semoga engkau mendapat suatu tempat tinggal di dalam syurga.’” (HR Tirmizi No: 2008) Status Hadis Hasan
 
Pengajaran:
 
1.    Menziarahi orang sakit merupakan sunnah yang sangat dituntut dan termasuk hak persaudaraan sesama Muslim.
 
2.    Ziarah orang sakit mempunyai ganjaran dunia dan akhirat. Penziarah didoakan Malaikat dengan kebaikan dan diberikan khabar gembira tentang syurga.
 
3.    Perjalanan untuk menziarahi orang sakit juga bernilai ibadah dan mendapat keberkatan dengan didoakan kebaikan oleh Malaikat.
 
4.    Islam membina masyarakat yang saling mengambil berat. Seorang Mukmin tidak membiarkan saudaranya menghadapi sakit dan kesusahan bersendirian. Ziarah menguatkan ukhuwah. Beberapa minit bersama pesakit mungkin kelihatan kecil bagi kita, tetapi besar nilainya di sisi Allah SWT.
 
5.    Ukhuwah tidak hanya dibuktikan ketika semuanya berada dalam keadaan senang. Nilainya lebih terasa apabila seorang sahabat sedang lemah, sakit dan memerlukan sokongan. Ada kalanya pesakit tidak memerlukan hadiah yang mahal; kehadiran sahabat sudah cukup untuk membuatkannya merasakan bahawa dia masih diingati.
 
6.    Doa merupakan hadiah terbaik kepada orang sakit. Selain membawa buah tangan, bawalah juga doa dan kata-kata yang memberikan harapan.
 
7.    Jagalah adab ketika menziarahi pesakit antaranya, tidak ziarah terlalu lama, tidak terlalu banyak bertanya, berikan harapan serta doakan pesakit.
 

No comments: