Selasa, 30 Jamadil Awal 1448H | Setiap Pemimpin Akan Dipertanggungjawabkan
عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ كُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ وَالْأَمِيرُ رَاعٍ وَالرَّجُلُ رَاعٍ عَلَى أَهْلِ بَيْتِهِ وَالْمَرْأَةُ رَاعِيَةٌ عَلَى بَيْتِ زَوْجِهَا وَوَلَدِهِ فَكُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ
Daripada Ibnu Umar RA, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda: "Setiap kamu adalah pemimpin. Setiap kamu akan diminta bertanggungjawab terhadap orang yang berada dibawah jagaan kamu. Seorang ketua adalah pemimpin. Seorang suami adalah pemimpin terhadap ahli keluarganya. Seorang wanita adalah pemimpin yang bertanggungjawab terhadap rumah suaminya dan anak-anaknya. Maka setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan dipertanggungjawabkan terhadap orang yang berada di bawah jagaan kamu." (HR Bukhari No: 4801) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Setiap kita adalah pemimpin dan akan dipertanggungjawabkan setiap yang berada di bawah kepimpinan kita.
2. Kepimpinan adalah amanah, bukan keistimewaan. Kepimpinan menuntut seseorang menjaga kebajikan, melaksanakan keadilan, memberikan bimbingan dan memelihara hak mereka yang berada di bawah tanggungjawabnya.
3. Seorang ketua sama ada sebagai pemimpin Negara, negeri, daerah, organisasi, jabatan, unit termasuk keluarga, besar atau kecil tetap akan dipertanggungjawabkan kepimpinan dibawahnya..
4. Sebagai suami akan ditanya kepimpinannya terhadap isteri, anak-anak serta yang berada di bawah tanggungjawabnya. Tidak cukup sekadar menyediakan makanan, pakaian dan tempat tinggal. Beliau juga bertanggungjawab memberikan pendidikan agama, membentuk akhlak dan memastikan anak-anak membesar dalam persekitaran yang baik.
5. Sebagai isteri ada tanggungjawab dalam rumahtangga, sama ada terhadap suami mahupun anak-anak.
6. Suami dan isteri mempunyai tanggungjawab kepimpinan bersama dalam rumah tangga. Dalam membina keluarga bahagia, suami dan isteri sewajarnya saling bekerjasama berperanan memimpin dan mencorakkan rumahtangga.
7. Setiap Muslim mesti menunaikan amanah kepimpinan dengan penuh ihsan sama ada sebagai pemerintah, ketua keluarga, guru, atau ibu bapa. Setiap kepimpinan akan dinilai bukan pada pangkat, tetapi pada amanah dan keikhlasan dalam melaksanakan tanggungjawab.
8. Kepimpinan yang baik memerlukan kejujuran, keadilan, kasih sayang, kebijaksanaan dan kesungguhan menunaikan tanggungjawab. Laksanakanlah amanah tanggungjawab yang ada dengan sebaik mungkin kerana ianya akan dipertanggungjawabkan.
Bersama membina keluarga bahagia. KASIH Keluarga, Jiwa Negara. Bulan Keluarga Kebangsaan 2026.
No comments:
Post a Comment