Sunday, November 12, 2023

Iman dan Istiqamah

 Isnin, 28 Rabiulakhir 1445H: Iman dan Istiqamah

عَنْ أَبِي عَمْرو وَقِيْلَ : أَبِي عَمْرَةَ سُفْيَانُ بْنِ عَبْدِ اللهِ الثَّقَفِي رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : قُلْتُ : يَا رَسُوْلَ اللهِ قُلْ لِي فِي اْلإِسْلاَمِ قَوْلاً لاَ أَسْأَلُ عَنْهُ أَحَداً غَيْرَكَ . قَالَ : قُلْ آمَنْتُ بِاللهِ ثُمَّ اسْتَقِمْ 

Daripada Abu Amru, menurut satu pendapat Abu Amrah Sufian bin Abdullah al-Thaqafi RA beliau berkata: Aku berkata: Wahai Rasulullah! Ajarkan untukku dalam lslam suatu ucapan yang aku tidak perlu lagi bertanya kepada orang lain selainmu. Baginda bersabda: Ucapkanlah: Aku beriman kepada Allah. Kemudian hendaklah engkau beristiqamah. (HR Muslim No: 38) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Seorang Mukmin dituntut agar sentiasa mengambil berat soal iman, dan aqidahnya, selalu memperbaharui imannya kepada Allah, seterusnya beristiqamah menunaikan tuntutan iman yang didakwa itu.

2.  Istiqamah adalah berpendirian teguh atas kebenaran atau beriltizam dalam melaksanakan ketaatan kepada Allah sama ada dalam i’tiqad, kata-kata mahupun perbuatan.

3.  Istiqamah merupakan daya kekuatan yang diperlukan sepanjang hayat manusia dalam melaksanakan tuntutan Islam, mulai daripada amalan hati, amalan lisan dan anggota tubuh badan.

4.  Istiqamah perbuatan dan amalan meliputi tekun bekerja melakukan apa sahaja yang baik yang diredai Allah SWT meliputi sikap dedikasi, rajin, tidak mudah putus asa, sentiasa menegakkan kebenaran dalam perbuatan seharian.

5.  Orang yang istiqamah menunaikan tuntutan iman akan bersama dengan malaikat. Firman Allah:

إِنَّ ٱلَّذِينَ قَالُواْ رَبُّنَا ٱللَّهُ ثُمَّ ٱسۡتَقَٰمُواْ تَتَنَزَّلُ عَلَيۡهِمُ ٱلۡمَلَٰئِكَةُ أَلَّا تَخَافُواْ وَلَا تَحۡزَنُواْ وَأَبۡشِرُواْ بِٱلۡجَنَّةِ ٱلَّتِي كُنتُمۡ تُوعَدُونَ ٣٠

Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: Tuhan kami ialah Allah, kemudian mereka tetap teguh (istiqamah) di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh Syurga yang telah dijanjikan kepada kamu. (Surah Fushshilat ayat: 30).

6.  Rasulullah SAW memerintahkan agar kita istiqamah di atas tauhid dan mengikhlaskan ibadah hanya kepada Allah SWT.


Saturday, November 11, 2023

Malu Sebahagian Daripada Iman

 Sabtu, 27 Rabiulakhir 1445H: Malu Sebahagian Daripada Iman

حَدَّثَنَا أَبُو مَسْعُودٍ عُقْبَةُ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ مِمَّا أَدْرَكَ النَّاسُ مِنْ كَلَامِ النُّبُوَّةِ إِذَا لَمْ تَسْتَحْيِ فَافْعَلْ مَا شِئْتَ

Telah bercerita kepada kami Abu Mas'ud 'Uqbah berkata; Nabi SAW bersabda: "Sesungguhnya diantara ajaran yang didapati oleh manusia daripada kalam (perkataan) (yang disepakati) para Nabi adalah; "Jika kamu tidak malu maka  buatlah apa yang kamu suka". (HR Bukhari No: 3224) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Malu adalah akhlak yang mendorong seseorang untuk meninggalkan perbuatan yang buruk dan tercela, sehingga mampu menghalangi seseorang dari melakukan dosa dan maksiat serta mencegah sikap melalaikan hak orang lain.

2.  Rasa malu merupakan satu perkara yang diwariskan oleh para Nabi kepada manusia generasi demi generasi hingga kepada generasi umat Nabi Muhammad SAW. Di antara perkara yang didakwahkan oleh para Nabi terdahulu kepada umatnya adalah berakhlak malu.

3.  Ungkapan ini bermaksud “ancaman”, (Apabila engkau tidak lagi memiliki rasa malu, maka perbuatlah sesukamu), kerana Allah pasti akan membalas perbuatan tersebut dengan yang setimpal. Firman Allah ta’ala:

اعْمَلُوا مَا شِئْتُمْ  إِنَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ

“Perbuatlah apa yang kamu kehendaki; Sesungguhnya Dia Maha melihat apa yang kamu kerjakan”. (Surah Fushshilat  ayat: 40)

4.  Ibnu Qutaibah menyatakan: “Barangsiapa yang tidak lagi memiliki rasa malu, ia akan berbuat sesukanya, sebab yang menghalanginya untuk berbuat keburukan adalah rasa malu, barangsiapa yang tidak lagi memiliki rasa malu, pasti akan terjerumus dalam setiap amalan keji dan mungkar”.

5.  Orang yang memiliki sifat malu, tidak akan melakukan sesuatu sesuka hati tanpa mengira dosa dan pahala. 

6.  Malu adalah sifat yang mendorong pemiliknya untuk meninggalkan perbuatan-perbuatan yang buruk.

Miliki sifat malu yang menjadi pencegah daripada melakukan sesuatu yang dilarang.


Friday, November 10, 2023

Pertolongan dan Penjagaan Allah SWT

Jumaat, 26 Rabiulakhir 1445H:  Pertolongan dan Penjagaan Allah SWT

عَنْ أَبِي الْعَبَّاسِ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ: "كُنْت خَلْفَ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه و سلم يَوْمًا، فَقَالَ: يَا غُلَامِ! إنِّي أُعَلِّمُك كَلِمَاتٍ: احْفَظْ اللَّهَ يَحْفَظْك، احْفَظْ اللَّهَ تَجِدْهُ تُجَاهَك، إذَا سَأَلْت فَاسْأَلْ اللَّهَ، وَإِذَا اسْتَعَنْت فَاسْتَعِنْ بِاَللَّهِ، وَاعْلَمْ أَنَّ الْأُمَّةَ لَوْ اجْتَمَعَتْ عَلَى أَنْ يَنْفَعُوك بِشَيْءٍ لَمْ يَنْفَعُوك إلَّا بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللَّهُ لَك، وَإِنْ اجْتَمَعُوا عَلَى أَنْ يَضُرُّوك بِشَيْءٍ لَمْ يَضُرُّوك إلَّا بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللَّهُ عَلَيْك. رُفِعَتْ الْأَقْلَامُ، وَجَفَّتْ الصُّحُفُ"

Daripada Abu al-'Abbas, Abdullah ibn Abbas, r.a. beliau berkata: Aku pernah duduk di belakang Nabi SAW pada suatu hari, lalu Baginda bersabda kepadaku: Wahai anak! Sesungguhnya aku mahu ajarkan engkau beberapa kalimah:  Peliharalah Allah nescaya Allah akan memeliharamu. Peliharalah Allah nescaya engkau akan dapati Dia di hadapanmu. Apabila engkau meminta, maka pintalah dari Allah. Apabila engkau meminta pertolongan, maka mintalah pertolongan dengan Allah. Ketahuilah bahawa kalau umat ini berkumpul untuk memberikan sesuatu manfaat kepadamu, mereka tidak akan mampu memberikanmu manfaat kecuali dengan suatu perkara yang memang Allah telah tentukan untukmu. Sekiranya mereka berkumpul untuk memudharatkan kamu dengan suatu mudharat, nescaya mereka tidak mampu memudharatkan kamu kecuali dengan suatu perkara yang memang Allah telah tentukannya untukmu. Pena-pena telah diangkatkan dan lembaran-lembaran telah kering (dakwatnya).  (HR Tirmizi No: 2516) Status Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Seorang mukmin mesti menjaga dan memelihara hak kewajipan terhadap Allah setiap masa dan tempat, lebih-lebih lagi ketika dia dalam kesenangan. Dengan ini dia akan dijaga dan dipelihara Allah sepanjang masa, terutamanya ketika ditimpa kesusahan hidup.

2.  Segala permintaan, mohon pertolongan dan perlindungan hendaklah hanya ditujukan kepada Allah SWT semata-mata. Tidak ada makhluk atau Tuhan lain yang mampu menolong dan melindungi manusia kecuali Allah SWT.

3.  Segala apa yang berlaku dan menimpa manusia adalah ketetapan Allah SWT, bukannya kerana sebab dan usaha manusia. Manusia tidak berkuasa untuk memberi manfaat atau memberi mudharat kepada mana-mana hamba, walaupun seluruh manusia dan jin berhimpun untuk bergotong royong melakukannya.

4.  Umat lslam mestilah yakin bahawa kemenangan akan tercapai dengan adanya kesabaran, setiap keperitan hidup pasti ada penyelesaiannya dan setiap kesusahan ada bersamanya kesenangan.

5.  Wajib ke atas Muslim melaksanakan tanggungjawabnya dengan melakukan ketaatan, meninggalkan kemungkaran, menyuruh kepada makruf dan mencegah dari kemungkaran tanpa tunduk kepada sesiapa yang menakut-nakutkan. Hal ini kerana sesungguhnya sesuatu yang telah ditetapkan Allah, pasti akan mengenainya.


Thursday, November 9, 2023

Bertakwa Walau Dimana Berada

Khamis, 25 Rabiulakhir 1445H: Bertakwa Walau Dimana Berada

عَنْ أَبِي ذَرٍّ قَالَ قَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اتَّقِ اللَّهِ حَيْثُمَا كُنْتَ وَأَتْبِعْ السَّيِّئَةَ الْحَسَنَةَ تَمْحُهَا وَخَالِقِ النَّاسَ بِخُلُقٍ حَسَنٍ

Daripada Abu Zar RA beliau berkata; Rasulullah SAW pernah bersabda kepadaku: "Bertaqwalah kamu kepada Allah di mana saja kamu berada dan ikutilah setiap (amalan) kejahatan dengan (amalan) kebaikan yang dapat menghapuskannya serta berakhlaklah kepada manusia dengan akhlak yang baik." (HR Tirmizi No: 1987) Status: Hadis Hasan Sahih

Pengajaran:

1.  Taqwa kepada Allah SWT merupakan kewajipan setiap Muslim dan menjadi benteng daripada melakukan kejahatan dan maksiat.

2.  Taqwa menurut Imam At-Tabari adalah beriman dan melakukan ketaatan kepada Allah, meninggalkan perkara yang dilarang Allah dan melaksanakan perintah serta sangat waspada terhadap siksaan Allah jika meninggalkan petunjuk yang telah diketahui

3.  Bersegeralah melakukan kebaikan setelah menyedari melakukan kejahatan atau maksiat. Antaranya dengan beristighfar, bersedekah dan sebagainya agar menjadi penyebab kepada penghapusan dosa.

4.  Para ulama’ bersepakat bahawa kebaikan hanya dapat menghapuskan dosa-dosa kecil sahaja. Adapun dosa besar seperti derhaka kepada ibu bapa, membunuh, memakan riba, meminum arak dan selainnya tidak akan terhapus kecuali dengan taubat nasuhah.

5.  Setiap Muslim hendaklah bersungguh-sungguh menjauhi amalan kejahatan dan memperbanyakkan amalan kebaikan serta menghias diri dengan akhlak terpuji.

6.  Dalam kehidupan bermasyarakat, setiap Muslim perlu menampilkan akhlak yang baik dan terpuji dengan mencontohi akhlak Rasulullah serta bersahabat dengan orang yang berakhlak mulia dan bertaqwa.


Wednesday, November 8, 2023

Berbuat Ihsan Kepada Makhluk

 Rabu, 24 Rabiulakhir 1445H: Berbuat Ihsan Kepada Makhluk

عَنْ شَدَّادِ بْنِ أَوْسٍ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ الْإِحْسَانَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ فَإِذَا قَتَلْتُمْ فَأَحْسِنُوا الْقِتْلَةَ وَإِذَا ذَبَحْتُمْ فَأَحْسِنُوا الذِّبْحَةَ وَلْيُحِدَّ أَحَدُكُمْ شَفْرَتَهُ وَلْيُرِحْ ذَبِيحَتَهُ

Daripada Syadad bin Aus, sesungguhnya Nabi SAW telah bersabda: "Sesungguhnya Allah telah mewajibkan berbuat baik kepada segala sesuatu, jika kalian membunuh maka bunuhlah secara baik, dan jika kalian menyembelih maka sembelihlah dengan cara yang paling baik, dan hendaklah salah seorang dari kalian menajamkan pisaunya serta tidak menyiksa semasa menyembelihnya." (HR Muslim No: 1955) Status Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Syariat Islam menuntut perbuatan ihsan (menyempurnakan sesuatu dengan baik) kepada setiap makhluk di muka bumi ini termasuk haiwan.

2.  Tidak boleh menyiksa atau merusakkan tubuh badan sebagai sasaran dan tujuan, tidak juga boleh merobek-robek orang yang dihukum qishash.

3.  Jangan kerana kita berbeza pandangan atau kumpulan, hilang sifat ihsan kita terhadap orang lain.

4.  Termasuk ihsan juga berbuat baik terhadap haiwan ternak dan belas kasih terhadapnya. Tidak boleh membebaninya diluar kemampuan Binatang tersebut serta tidak menyiksa ketika menyembelihnya (antaranya dengan memastikan menyembelih menggunakan senjata tajam serta dengan sekali sembelihan).

5.  Kewajiban berbuat baik dalam membunuh dengan cara mengambil jalan yang paing ringan dalam menghilangkan nyawa.

6.  Marilah kita berbuat ihsan dengan melakukan sesuatu urusan dengan menyempurnakan sebaik mungkin, bukan sekadar melepaskan batok ditangga atau menzaliminya.

7.  Memiliki sifat ihsan adalah dituntut kepada setiap Muslim.


Tuesday, November 7, 2023

Jangan Marah

Selasa, 23 Rabiulakhir 1445H: Jangan Marah

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَجُلًا قَالَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَوْصِنِي قَالَ لَا تَغْضَبْ فَرَدَّدَ مِرَارًا قَالَ لَا تَغْضَب

Daripada Abu Hurairah radliallahu 'anhu bahawa seorang laki-laki berkata kepada Nabi SAW: "Berilah aku wasiat?" baginda bersabda: "Janganlah kamu marah." Laki-laki itu mengulangi pertanyaannya, baginda tetap menjawab: "Janganlah kamu marah." (HR Bukhari No: 5651) Status: Hadis  Sahih

Pengajaran:

1.  Rasulullah meninggalkan pesanan penting agar "Jangan Marah" yang diulang jawapan yang sama apabila ditanya berulang oleh sahabat. Menunjukkan pesanan ini amat penting.

2.  Marah adalah pokok berbagai kejahatan, dan menahan diri darinya adalah pokok segala kebaikan.

3.  Marah akan menimbulkan perbuatan yang diharamkan seperti memukul, menyakiti orang, mengeluarkan perkataan-perkataan yang diharamkan termasuk dalam bentuk tulisan seperti memfitnah, mencaci maki, berkata kotor, dan berbagai bentuk kezaliman termasuk mencederakan dan membunuh.

4.  Imam Ahmad menafsirkan bahawa akhlak yang baik adalah dengan meninggalkan sifat marah.

5.  Ibnu Mubarak apabila ditanya apakah himpunan akhlak yang baik yang terhimpun dalam satu kalimah!” Beliau menjawab, “Meninggalkan Marah.”

Berusahalah kita mengawal sifat marah yang diwasiatkan oleh Rasulullah SAW.


Monday, November 6, 2023

Tuntutan Kepada Orang Beriman

Isnin, 22 Rabiulakhir 1445H: Tuntutan Kepada Orang Beriman

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيُكْرِمْ ضَيْفَهُ وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ

Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda: "Barang siapa beriman kepada Allah dan hari Akhirat, hendaknya ia memuliakan tetamunya, dan barang siapa beriman kepada Allah dan hari Akhirat, hendaklah ia menyambung tali silaturahim, dan barang siapa beriman kepada Allah dan hari Akhirat, hendaknya ia berkata yang baik atau diam." (HR Bukhari No: 5673) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Memuliakan tetamu adalah antara syarat orang yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat.

2.  Menyambung hubungan silaturahim dengan kerabat adalah tanda orang yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat.

3.  Tanda orang beriman kepada Allah dan hari akhirat juga apabila bertutur atau bercakap, ia akan bertutur sesuatu yang baik dan mendatangkan pahala (termasuk sesuatu yang ditulis dan di tularkan di media sosial).

4.  Jika sesuatu yang akan dituturkan atau yang ditulis dan di tular, mendatangkan mudarat dan keburukan, lebih baik kita berdiam diri. 

5.  Muliakan tetamu dan sentiasa menyuburkan tali persaudaraan dan menyambungkan silaturahim sesama keluarga dan kerabat.

Ambillah peluang untuk mengeratkan silaturahim dengan ahli keluarga  melalui kunjung-mengunjung sesama kita. Jadikanlah tuturkata, penulisan serta komen kita sesuatu yang berfaedah dan mendatangkan pahala.


Sunday, November 5, 2023

Kehormatan Darah Seorang Muslim

Ahad; 21 Rabiulakhir 1445H: Kehormatan Darah Seorang Muslim

عَنِ ابْنِ مَسْعُودٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُوْلُ اللهِ: لاَ يَحِلُّ دَمُ امْرِئٍ مُسْلِمٍ إِلاَّ بإِحْدَى ثَلاثٍ: الثَّيِّبُ الزَّانِيْ، وَالنَّفْسُ بِالنَّفْسِ، وَالتَّاركُ لِدِيْنِهِ المُفَارِقُ للجمَاعَةِ

Daripada lbnu Mas’ud RA beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda: Tidak halal darah seorang muslim kecuali disebabkan salah satu daripada tiga perkara; janda yang berzina, nyawa dengan nyawa (membunuh orang) dan orang yang meninggalkan agamanya serta memisahkan diri daripada jamaah (murtad) (HR Bukhari No: 6484). Status Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Tidak boleh menumpahkan darah kaum muslimin kecuali dengan tiga sebab, iaitu : zina muhsan (orang yang sudah berkahwin), membunuh manusia dengan sengaja dan meninggalkan agamanya (murtad) berpisah dari jamaah kaum muslimin.

2.  Islam sangat menjaga kehormatan, nyawa dan agama dengan menjatuhkan hukuman mati kepada mereka yang mengganggunya seperti pelaku zina, pembunuh dan murtad.

3.  Setiap Muslim perlu menjauhkan diri daripada ketiga-tiga kejahatan dan berwaspada agar tidak terjerumus ke dalamnya.

4.  Hukum jenayah seperti hudud dalam Islam sangat keras, hal itu bertujuan untuk mencegah (preventive) dan melindungi.

5.  Kita perlu mendidik diri dan masyarakat agar takut kepada Allah dan sentiasa muraqabah (merasai segala gerak geri kita diperhati Allah) sama ada dalam keadaan tersembunyi atau terang-terangan.

6.  Hadis ini menunjukkan pentingnya menjaga kehormatan dan kesucian diri, keluarga dan masyarakat.


Saturday, November 4, 2023

Ukhuwah Tanda Kesempurnaan Iman

Sabtu, 20 Rabiulakhir 1445H:  Ukhuwah Tanda Kesempurnaan Iman

عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: لاَيُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيْهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ

Daripada Anas RA, dari Nabi SAW, sabdanya: “Tidak sempurna Iman seseorang dari kamu sehingga ia suka saudaranya mendapat kebaikan seperti apa yang ia sendiri suka mendapatkannya”. (Sahih Bukhari No: 12) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Ukhuwah sesama Muslim adalah pra syarat kesempurnaan iman seseorang.

2.  Kesempurnaan iman seseorang ditunjukkan dengan sifat mengasihi saudara Muslim yang lain seperti ia mengasihi dirinya sendiri.

3.  Ibn Qayyim menyatakan:

a.  Kasih sayang itu adalah sifat memberikan manfaat kepada orang lain

b.  Sifat bersusah payah demi memberikan kemudahan kepada sahabat atau menjauhkannya daripada bencana.

4.  Hijrah Rasulullah SAW ke Madinah telah mempersaudarakan dua kaum iaitu Auz dan Khazraj yang sebelum ini sering berperang dan bermusuhan tanpa henti. Tiada lagi permusuhan antara mereka, bahkan mereka saling berkasih sayang, bantu membantu antara satu sama lain termasuk menghulurkan pertolongan kepada golongan Muhajirin yang baru berhijrah dari Mekah ke Madinah.

5.  Langkah strategik Baginda mempersaudarakan ini demi memastikan ikatan ukhuwah dan persaudaraan dalam kalangan penduduk Madinah kukuh terpatri. Ia menjadi faktor utama kepada kejayaan pembinaan Negara Madinah yang maju dan makmur.

6.  Jadilah kita orang yang suka agar saudara Muslim kita yang lain mendapat kebaikkan bukan mengharap dia mendapat keburukan.

7.  Jangan jadikan perbezaan pemikiran, pandangan dan kumpulan sebagai pemisah antara kita. Banyak titik persamaan yang boleh dicari untuk berada di bawah payung keimanan, toleransi dan perpaduan bersama.

Marilah kita pertautkan kasih sayang dan ukhuwah. Buang jauh-jauh perselisihan dan perbezaan yang ada. Buktikan kesempurnaan iman kita dengan saling berkasih sayang.


Friday, November 3, 2023

Tinggalkan Perkara Yang Tidak Bermanfaat

Jumaat, 19 Rabiulakhir 1445H: Tinggalkan Perkara Yang Tidak Bermanfaat

عَنْ أَبِي هُرَیْرَةَ رَضِىَ الله عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ الله صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّم : مِنْ حُسْنِ إِسْلاَمِ الْمَرْءِ تَرْكُهُ مَا لاَ يَعْنِيهِ

Daripada Abu Hurairah RA beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda: Diantara kesempurnaan Islam seseorang ialah dia meninggalkan sesuatu  yang tidak berkaitan dengannya (tidak berfaedah baginya). (HR Tirmizi No: 2318) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Seorang mukmin dianggap elok, indah dan berakhlak tinggi apabila dia hanya melakukan perkara yang berfaedah dan meninggalkan perkara yang tidak berfaedah.

2.  Antara sifat seorang muslim yang berakhlak adalah sentiasa menyibukkan dirinya dengan perkara yang mulia dan bermanfaat serta menjauhkan perkara yang hina dan rendah moral.

3.  Menyibukkan diri dengan sesuatu yang tidak bermanfaat dan berfaedah adalah sia-sia apatah lagi jika perkara tersebut haram serta membawa kepada dosa dan maksiat.  Ia merupakan pertanda kelemahan iman.

4.  Termasuk perkara yang tidak berfaedah ialah bercakap kosong, menulis serta memfowardkan sesuatu yang tidak mendatangkan pahala apatah lagi sesuatu yang tidak benar serta berbentuk fitnah. Termasuk juga menghabiskan masa bermain game, saja duduk di kedai kopi, suka mengambil tahu perkara yang tiada kaitan dengan dirinya, atau suka menjaga tepi kain orang kemudian memberi komen yang negatif.

5.  Anjuran ini menyerlahkan suatu ajaran lslam yang amat baik, yang boleh menyumbang ke arah pembangunan umat.

6.  Sekiranya semua umat lslam meninggalkan perkara yang tidak berfaedah dan yang tidak ada kena mengena dengan dirinya, nescaya mereka mampu mencipta kejayaan dan kemajuan serta menghasilkan produktiviti yang berkualiti.


Thursday, November 2, 2023

Jauhi Syubahat Agar Jiwa Tenang

Khamis, 18 Rabiulakhir 1445H:  Jauhi Syubahat Agar Jiwa Tenang

عَنْ أَبِي محمد الْحَسَنِ بْنِ عَلِيٍّبن أبي طالب رضي الله عنهما قَالَ :حَفِظْتُ مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ :دَعْ مَا يَرِيبُكَ إِلَى مَا لَا يَرِيبُكَ فَإِنَّ الصِّدْقَ طُمَأْنِينَةٌ وَإِنَّ الْكَذِبَ رِيبَةٌ

Daripada Abi Muhammad Al Hasan bin Ali bin Abi Talib RA katanya: Aku telah menghafal daripada Rasulullah SAW: "Tinggalkanlah apa yang meragukanmu kepada sesuatu yang tidak meragukanmu kerana kebenaran atau kejujuran itu ketenangan dan sifat dusta itu mendatangkan keraguan. (HR Tirmizi No: 2518) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Maksud perkataan الريبة adalah meninggalkan apa yang mendatangkan syak (keraguan) dalam hati pada sesuatu perkara dan berpegang kepada sesuatu yang tidak mendatangkan syak (keraguan) pada perkara tersebut.

2.  Tinggalkan sesuatu yang syubahat atau meragukan agar jiwa kita sentiasa tenang.

3.  Galakan untuk bersifat benar kerana itu adalah sumber kepada kebaikan dan peringatan untuk menjauhi sifat dusta kerana itu adalah punca bagi setiap keburukan.

4.  Hendaklah seseorang itu menjauhi perkara yang mendatangkan syubahat (keraguan) kepadanya dan berpegang kepada perkara yang jelas lagi nyata kerana sesiapa yang menjauhi perkara syubahat maka sesungguhnya dia telah membersihkan agamanya dan maruah dirinya. Sebaliknya sesiapa yang terjatuh dalam perkara syubahat, maka dia telah jatuh dalam perkara yang haram.

5.  Dalam setiap perkara sama ada dalam urusan keduniaan atau akhirat, seseorang itu hendaklah setiap individu berpegang dengan hukum asal yang diyakini dan menghilangkan syak serta ragu-ragu yang mengganggu fikiran.

6.  Berusahalah memastikan sesuatu itu yang benar dan soheh bukan yang meragukan apatah lagi yang palsu atau penipuan scammer.


Wednesday, November 1, 2023

Makbulnya Doa Berkait Dengan Makan dan Minum

Rabu,   17hb Rabiul Akhir 1445H:  Makbulnya Doa Berkait Dengan Makan dan Minum

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّ اللَّهَ طَيِّبٌ لَا يَقْبَلُ إِلَّا طَيِّبًا وَإِنَّ اللَّهَ أَمَرَ الْمُؤْمِنِينَ بِمَا أَمَرَ بِهِ الْمُرْسَلِينَ فَقَالَ يَا أَيُّهَا الرُّسُلُ كُلُوا مِنْ الطَّيِّبَاتِ وَاعْمَلُوا صَالِحًا إِنِّي بِمَا تَعْمَلُونَ عَلِيمٌ  وَقَالَ   يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ  ثُمَّ ذَكَرَ الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ يَمُدُّ يَدَيْهِ إِلَى السَّمَاءِ يَا رَبِّ يَا رَبِّ وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ وَغُذِيَ بِالْحَرَامِ فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ

Daripada Abu Hurairah RA ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Wahai sekalian manusia, sesungguhnya Allah itu baik. Dia tidak akan menerima sesuatu melainkan yang baik pula. Dan sesungguhnya Allah telah memerintahkan kepada orang-orang mukmin seperti yang diperintahkan-Nya kepada para Rasul. Firman-Nya: 'Wahai para Rasul! Makanlah makanan yang baik-baik (halal) dan kerjakanlah amal soleh. Sesungguhnya Aku Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.' Dan Allah juga berfirman: 'Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari rezeki yang baik-baik yang telah kami rezekikan kepadamu.'" Kemudian Nabi SAW menceritakan tentang seorang laki-laki yang telah lama berjalan kerana jauhnya jarak yang ditempuhnya. Sehingga rambutnya kusut masai dan berdebu. Orang itu mengangkat tangannya ke langit seraya berdoa: "Wahai Tuhanku, wahai Tuhanku." Padahal, makanannya dari barang yang haram, minumannya dari yang haram, pakaiannya dari yang haram dan diberi makan dengan makanan yang haram, maka bagaimanakah Allah akan memperkenankan doanya?." (HR Muslim No: 1686) Status Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Allah tidak menerima sebarang amalan hambanya melainkan yang baik dan mengikut syarak (halal dan baik).

2.  Allah SWT memerintahkan kepada orang mukmin agar makan dan minum dari sumber yang baik dan halal. Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 172:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِن طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ وَاشْكُرُوا لِلَّـهِ إِن كُنتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadanya.”

Menurut Imam al-Hafiz Ibn Kathir (dalam Tafsir Ibn Kathir), ayat ini jelas menunjukkan perintah Allah SWT kepada hamba-Nya yang beriman agar memakan makanan yang baik (halal) daripada apa yang telah Allah SWT rezekikan kepada mereka. Selain itu, mereka juga perlu bersyukur kepada Allah SWT di atas kurniaan tersebut. Tambahan pula, memakan daripada apa yang halal merupakan sebab diterimanya doa dan ibadat sepertimana memakan daripada apa yang haram akan menghalang diterimanya doa dan ibadah.

3.  Allah SWT hanya menerima dari yang halal bermaksud bahawa memakan makanan yang halal boleh menolong dalam melakukan ketaatan kepada Allah kerana beramal soleh diperintahkan setelah perintah memakan makanan yang halal. Jadi, semakin baik makanan yang kita makan, semakin mudah pula kita dalam melakukan amal soleh. (Lihat bahasan Syaikh Solih Fauzan dalam Syarh Al Arba’in An Nawawiyah, hal. 163.)

4.  Antara waktu yang makbul berdoa adalah ketika bermusafir. Walaupun begitu, Allah SWT tidak memperkenankan doa orang yang makannya, minuman  serta berpakaian dari sumber yang haram seperti mengambil rasuah.

5.  Berkata Imam Wahab bin Munabbih rahimahullah: "Siapa yang ingin doanya dimakbulkan oleh Allah SWT, maka perbaikilah makanannya".

Pastikan rezeki yang kita perolehi dari sumber yang halal dan baik. Jangan sesekali memperolehi rezeki dari yang haram walau sekecil manapun.


Tuesday, October 31, 2023

Perintah dan Larangan

Selasa, 16 Rabiulakhir 1445H: Perintah dan Larangan

عَنْ أَبِي هُرَیْرَةَ عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنِ صَخْرٍ رَضِىَ الله عَنْهُ قَالَ: سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ یَقُوْلُ : مَا نَهَيْتُكُمْ عَنْهُ فَاجْتَنِبُوهُ، وَمَا أَمَرْتُكُمْ بِهِ فَأْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ، فَإِنَّمَا أَهْلَكَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ كَثْرَةُ مَسَائِلِهِمْ وَاخْتِلاَفُهُمْ عَلَى أَنْبِيَائِهِمْ

Daripada Abu Hurairah Abdul Rahman ibn Sokhrin RA beliau berkata: Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Sesuatu yang aku larang kamu melakukannya, maka hendaklah kamu menjauhinya, dan apa-apa yang aku perintahkan kepada kamu, maka hendaklah kamu lakukannya seberapa daya kamu. Sesungguhnya umat yang terdahulu daripada kamu telah binasa lantaran banyak bertanya dan banyak perselisihan mereka terhadap Nabi-nabi mereka."   (HR Bukhari No: 6777) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Setiap muslim mestilah menjauhi semua larangan Rasulullah SAW kerana apa yang dilarang oleh Baginda pada hakikatnya adalah larangan Allah SWT yang wajib dipatuhi.

2.  Setiap Muslim mestilah melaksanakan segala perintah dan menjauhi larangan dengan semampu yang boleh. Perintah wajib atau fardhu mestilah dilakukan tanpa kelonggaran kecuali kelonggaran yang diizinkan syara’ iaitu kerana uzur atau sakit

3.  Perintah yang disuruh melakukan sekadar terdaya ialah perintah yang sunat. Dilaksanakan sekadar yang termampu, tanpa memaksa diri dan keterlaluan di luar kemampuan.

4.  Sifat terlalu suka bertanya perkara yang bukan-bukan, berbahas, banyak soal jawab dan membantah suruhan dan larangan para Nabi dan Rasul adalah perangai umat yang terdahulu. Lantaran itu, mereka telah ditimpa kesusahan dan kebinasaan. Umat Muhammad SAW diberi peringatan agar jangan mengulangi kesilapan ini.

5.  Larangan banyak bertanya adalah dalam perkara yang tidak mendatangkan faedah, atau pertanyaan berbentuk mempersendakan atau menghina seseorang serta bertanya tentang masaalah yang tidak berlaku.


Monday, October 30, 2023

Kehormatan Muslim

Isnin, 15 Rabiulakhir 1445H; Kehormatan Muslim

عَنِ ابْنِ عُمَر رَضِيَ الله عَنْهُمَا، أَنَّ رَسُوْلَ الله صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: أُمِرْتُ أَنْ أُقَاتِلَ النَّاسَ حَتَّى یَشْهَدُوا أَنْ لا إِلَهَ إِلاَّ الله، وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُوْلُ اللهِ، وَیُقِيْمُوا الصَّلاةَ، وَیُؤْ تُوا الزَّكاةَ. فَإِذَا فَعَلُوا ذَلِكَ عَصَمُوا مِنِّي دِمَاءَهُمْ وَأَمْوَالَهُمْ إِلاَّ بِحَقِّ الإِسْلاَمِ، وَحِسَابُهُمْ عَلَى الله تعالى

Daripada lbnu 'Umar r.a. bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: "Aku telah diperintahkan supaya memerangi manusia sehingga mereka naik saksi bahawa sesungguhnya tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa sesungguhnya Muhammad utusan Allah, sehingga mereka mendirikan sembahyang dan membayar zakat. Apabila mereka telah berbuat demikian, maka mereka telah memelihara darah mereka dan harta mereka daripada aku, melainkan dengan hak lslam, dan hisab perhitungan amal mereka terserah kepada Allah Ta'ala."  (HR Bukhari No: 25) Status Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Sesiapa yang mengucap dua kalimah syahadah, dia menjadi seorang Islam dan nyawa, darah serta hartanya dijamin terpelihara.

2.  Seorang Islam yang mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat selepas memeluk Islam, dia memperolehi hak seorang Islam dan mempunyai kewajipan terhadap orang Islam lain.

3.  Pemerintah dibolehkan memerangi orang yang enggan membayar zakat dan mengingkari solat. Tentang meninggalkan solat, ulama berpandangan:

a.  Imam Syafi’e dan Imam Malik berpendapat bahawa orang yang meninggalkan solat dengan sengaja wajib dihukum bunuh, namun tidak dikatakan kufur.

b.  Imam Ahmad bin Hambal berpendapat bahawa orang yang meninggalkan solat dengan sengaja, wajib dibunuh kerana kekufurannya.

c.  Imam Abu Hanifah pendapat orang yang meninggalkan solat dengan sengaja kerana malas atau memandang ringan tidak dikufurkan dan tidak wajib dijatuhkan hukuman bunuh, hanya wajib dipenjarakan sehingga ia kembali mengerjakannya.

4.  Diperbolehkan pemerintah menghukum  mati bagi setiap muslim jika dia melakukan perbuatan yang menuntut dijatuhkan hukuman tersebut seperti: Berzina bagi orang yang sudah menikah (muhshan), membunuh orang lain dengan sengaja dan meninggalkan agama (murtad).

5.  Allah lebih mengetahui rahsia hati setiap kita dan Allah akan memperhitungkannya. Jika kita seorang mukmin yang sebenar, maka kita akan ditempatkan ke dalam syurga. Sebaliknya, jika kita penipu dan munafik, kita akan dihumban ke dalam neraka


Sunday, October 29, 2023

Agama Itu Nasihat

Sabtu, 14 Rabiulakhir 1445H: Agama Itu Nasihat

عَنْ أَبِي رُقَيَّةَ تَمِيْم الدَّارِي رَضِيَ اللهُ عَنْهُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ   وَسَلَّمَ قَالَ : الدِّيْنُ النَّصِيْحَةُ . قُلْنَا لِمَنْ  قَالَ : لِلَّهِ وَلِكِتَابِهِ وَلِرَسُوْلِهِ وَلأَئِمَّةِ الْمُسْلِمِيْنَ وَعَامَّتِهِمْ

Daripada Abu Ruqayyah Tamim Ad-Daary RA, bahawasanya Nabi SAW  bersabda, “Agama itu nasihat”. Kami pun bertanya, “Untuk siapa (nasihat itu)?”. Baginda menjawab, “Nasihat itu adalah untuk Allah, kitab-Nya, Rasul-Nya, Imam-imam kaum muslimin dan seluruh muslimin (rakyatnya)”. (HR Muslim No: 50) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Agama ini terletak pada  nasihat menasihati kerana dengan nasihat akan menjadikan seseorang menunaikan hak-hak Allah, hak al-Quran, hak Rasul, hak pemimpin dan rakyat.

2.  Ibnu Mubarak pernah ditanya: Amal apakah yang paling utama? Beliau menjawab: Memberi nasihat kerana Allah. 

3.  Nasihat untuk Allah bermaksud beriman kepada Allah dengan mentauhidkan Allah, menunaikan hak-hak Allah sama ada hak yang wajib mahupun yang sunat. Ikhlas dalam beramal, menjauhi maksiat dan berjihad dijalan-Nya.

4.  Nasihat untuk kitab-Nya bermaksud menunaikan hak Al-Quran: hak untuk dipelajari, dibaca, dijadikan sebagai petunjuk dan hidayah dengan membenarkan beritanya dan melaksanakan perintahnya.

5.  Nasihat untuk Rasul bermaksud dengan cara membenarkan ajarannya, mengimani semua yang dibawa, mencintai dan mencontohi akhlaknya, berselawat serta menghidupkan sunnahnya, mentaati perintah dan larangannya, melawan para musuhnya, membela para pengikutnya, menghormati hak-haknya, memuliakannya, mengikuti seruannya juga menyebarluaskan sunahnya.

6.  Nasihat untuk imam kaum muslimin dengan cara menolong dan mentaati pemimpin dan pemerintah  dalam perkara kebenaran dan keadilan, patuh kepada mereka dalam urusan kebaikan. Menegur dan mengingati pemimpin dikala mereka lalai dari kewajipan dengan penuh hikmah. Nasihatilah mereka dengan hikmah agar menjadi pemimpin yang berintegriti, baik dan diredhai Allah.

7.  Nasihat untuk kaum Muslimin dengan memberikan bimbingan kepada mereka apa yang dapat memberikan kebaikan dalam urusan dunia dan akhirat, memimpin mereka, memberikan bantuan kepada mereka, menutup aib dan cacat mereka, menghindarkan diri dari hal-hal yang membahayakan dan mengusahakan kebaikan bagi mereka, menyuruh mereka berbuat makruf dan mencegah mereka berbuat kemungkaran. Mengasihi mereka, memuliakan yang tua dan menyayangi yang muda, memberikan nasihat kepada mereka, menjauhi kebencian dan kedengkian, melindungi harta dan kehormatan mereka baik dengan ucapan mahupun perbuatan.

Semoga agama menjadi penasihat dan peringatan kepada kita untuk saling nasihat menasihati, ingat mengingati agar menjadi Muslim yang menunaikan hak Allah, hak al-Quran, hak Rasul, hak pemimpin dan rakyat.


Saturday, October 28, 2023

Halal Haram dan Syubahat

Sabtu, 13 Rabiulakhir 1445H: Halal  Haram dan Syubahat

عَنْ أَبِي عَبْدِ اللَّهِ النُّعْمَانِ بْنِ بَشِيرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: إِنَّ الْحَلاَلَ بَيِّنٌ وَ إِنَّ الْحَرَامَ بَيِّنٌ وَ بَيْنَهُمَا أُمُورٌ مُشْتَبِهَاتٌ لا يَعْلَمُهُنَّ كَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ فَمَنِ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ فَقَدِ اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ وَ عِرْضِهِ وَ مَنْ وَقَعَ فِي الشُّبُهَاتِ وَقَعَ فِي الْحَرَامِ كَالرَّاعِي يَرْعَى حَوْلَ الْحِمَى يُوشِكُ أَنْ يَرْتَعَ فِيهِ أَلاَ وَإِنَّ لِكُلِّ مَلِكٍ حِمًى أَلاَ وَ إِنَّ حِمَى اللَّهِ مَحَارِمُهُ أَلاَ وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ مُضْغَةً إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ وَإِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ أَلاَ وَ هِيَ الْقَلْبُ

Daripada Abu Abdullah al-Nu’man ibn Basyer RA. beliau berkata: Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya perkara yang halal itu terang jelas, dan sesungguhnya perkara yang haram itu terang jelas, dan di antara kedua perkara tersebut ada perkara-perkara syubahat yang kesamaran yang kebanyakan orang tidak mengetahuinya. Barangsiapa yang menjaga perkara syubahat maka sesungguhnya dia telah membersihkan agamanya dan maruah dirinya. Dan barangsiapa yang terjatuh dalam perkara syubahat, maka dia telah jatuh dalam perkara haram, umpama seorang pengembala yang mengembala di sekitar kawasan larangan, dibimbangi binatang yang digembalai akan menceroboh masuk ke dalamnya (untuk makan). Ketahuilah bahawa setiap raja itu ada sempadan (kawasan larangan) dan sesungguhnya sempadan (kawasan larangan) Allah itu ialah perkara yang diharamkanNya. Ketahuilah bahawa di dalam jasad manusia ada seketul daging yang apabila ia baik maka baiklah seluruh jasad dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah bahawa seketul daging itu adalah hati.” (HR Bukhari  No: 52) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Setiap mukmin mestilah berusaha mengenali dan mempelajari perkara halal dan haram seterusnya melaksanakan yang halal dan meninggalkan yang haram demi menjaga kemuliaan agamanya.

2.  Perkara yang kesamaran, yang belum jelas halal haramnya adalah perkara syubahat yang mesti dijauhi, demi menjaga maruah diri dan kemurnian agama.

3.  Banyak melakukan syubahat akan menjerumuskan seseorang kepada perbuatan haram.

4.  Antara sikap wara’ adalah meninggalkan perkara syubahat. Petanda ketakwaan seseorang jika dia meninggalkan perkara-perkara yang syubahat kerana khuatir akan terjerumus kepada hal-hal yang diharamkan.

5.  Sempadan murka dan redha Allah SWT ialah perkara haram. Sesiapa yang melewati garisan dan terjebak melakukan perkara haram, maka dia telah melewati sempadan kemurkaan Allah.

6.  Hati adalah raja, ia adalah anggota yang mesti dipastikan keelokannya dan kebersihannya justeru kerosakan dan kemusnahannya akan merosakkan dan memusnahkan seluruh anggota badan yang lain.

7.  Setiap Muslim perlu memberikan perhatian terhadap masalah hati, kerana daripada hati punca tingkah laku seseorang. Baiknya amal perbuatan anggota badan merupakan pertanda baiknya hati.


Friday, October 27, 2023

Menghapuskan Kemungkaran dan Bidaah

Jumaat, 12 Rabiulakhir 1445H: Menghapuskan Kemungkaran dan Bidaah

عَنْ أُمِّ المُؤْمِنِيْنَ أُمِّ عَبْدِ اللهِ عَائِشَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهَا قَالَتْ: قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم : مَنْ أَحْدَثَ فِي أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ مِنْهُ فَهُوَ رَدٌّ  .

Daripada ummul Mukminin Ummu Abdullah Aisyah RA, katanya Rasulullah SAW bersabda: “sesiapa yang mengada-ngadakan sesuatu perkara mengenai urusan agama kami, yang bukan daripadanya maka Ia adalah ditolak“.  (HR Bukhari no: 2550) Status Hadis Sahih.

Pengajaran:

1.  lslam adalah agama yang sudah sempurna dasar dan prinsipnya. la tidak perlu ditokok tambah lagi.

2.  Perkara baru (bidaah) yang diada-adakan atau ditokok tambah, ubah suai atau pengurangan dalam urusan ibadat dan tiada sandaran di dalam syariat mestilah ditolak.

3.  Setiap amal ibadat yang di lakukan tidak diterima melainkan dengan niat yang ikhlas dan bertepatan dengan sunnah.

4.  Setiap muslim mestilah menjauhkan diri daripada terjebak dalam perbuatan bidaah dalam ibadat, kerana ia boleh membawa kepada kehancuran diri, agama dan setengahnya pula membawa kepada kufur.

5.  Imam Syafi’i berkata: “Apa yang diada-adakan dan menyanggahi al-Quran, sunnah, ijmak, maka ia adalah bidaah yang sesat. Manakala perkara baru yang baik yang diwujudkan dan tidak menyanggahi semua itu, maka ia adalah bidaah yang terpuji.”


Thursday, October 26, 2023

Manusia dan Kehidupan

Khamis, 11 Rabiulakhir 1445H: Manusia dan Kehidupan

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ  بن مَسْعُود قَالَ حَدَّثَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ الصَّادِقُ الْمَصْدُوقُ إِنَّ أَحَدَكُمْ يُجْمَعُ خَلْقُهُ فِي بَطْنِ أُمِّهِ أَرْبَعِينَ يَوْمًا ثُمَّ يَكُونُ فِي ذَلِكَ عَلَقَةً مِثْلَ ذَلِكَ ثُمَّ يَكُونُ فِي ذَلِكَ مُضْغَةً مِثْلَ ذَلِكَ ثُمَّ يُرْسَلُ الْمَلَكُ فَيَنْفُخُ فِيهِ الرُّوحَ وَيُؤْمَرُ بِأَرْبَعِ كَلِمَاتٍ بِكَتْبِ رِزْقِهِ وَأَجَلِهِ وَعَمَلِهِ وَشَقِيٌّ أَوْ سَعِيدٌ فَوَالَّذِي لَا إِلَهَ غَيْرُهُ إِنَّ أَحَدَكُمْ لَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ الْجَنَّةِ حَتَّى مَا يَكُونُ بَيْنَهُ وَبَيْنَهَا إِلَّا ذِرَاعٌ فَيَسْبِقُ عَلَيْهِ الْكِتَابُ فَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ النَّارِ فَيَدْخُلُهَا وَإِنَّ أَحَدَكُمْ لَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ النَّارِ حَتَّى مَا يَكُونُ بَيْنَهُ وَبَيْنَهَا إِلَّا ذِرَاعٌ فَيَسْبِقُ عَلَيْهِ الْكِتَابُ فَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ الْجَنَّةِ فَيَدْخُلُهَا

Daripada Abdullah bin Masud mengatakan, telah menceritakan kepada kami Rasulullah SAW seorang yang jujur lagi di benarkan, baginda bersabda: “Sungguh salah seorang diantara kalian diciptakan kejadiannya dalam perut ibunya selama empat puluh hari daripada air mani, kemudian menjadi segumpal darah juga seperti itu (40 hari), kemudian menjadi segumpal daging juga seperti itu (40 hari), kemudian Allah mengutus malaikat bagi meniupkan ruh padanya, dan diperintahkannya menulis empat perkara iaitu; rezekinya, umurnya, amalnya, dan celaka atau bahagianya.’ Demi Allah yang tiada Tuhan selain Dia, sungguh salah seorang dari kamu mengerjakan amal perbuatan ahli syurga, sehingga jarak antara dirinya dan syurga hanyalah satu hasta, namun suratan takdir telah ditetapkan baginya lalu ia mengerjakan amal perbuatan ahli neraka dan akhirnya ia pun masuk neraka. Ada pula seorang yang mengerjakan amal perbuatan ahli neraka, hingga jarak antaranya dan neraka hanya satu hasta, namun suratan takdir telah ditetapkan baginya hingga kemudian ia mengerjakan amal perbuatan ahli syurga dan akhirnya ia pun masuk syurga.’ (HR Muslim No: 4781) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Allah telah menetapkan proses kejadian manusia di dalam rahim ibu melalui 4 peringkat:

a.  Air mani yang dihimpunkan dengan seperma wanita selama empat puluh hari

b.  Segumpal darah dimana air mani menjadi segumpal darah  selama empat puluh hari

c.  Segumpal daging selepas menjadi segumpal darah selama empat puluh hari

d.  Ditiupkan ruh oleh malaikat menjelang janin berumur 120 hari dan malaikat menulis empat perkara iaitu; rezekinya, umurnya, amalnya, dan celaka atau bahagianya

2.  Manusia dijadikan daripada air mani menunjukkan ianya adalah makhluk yang lemah dan memerlukan pertolongan Allah.

3.  Manusia diciptakan daripada dua unsur yang penting iaitu unsur jasmani dan rohani. Kedua-dua unsur tersebut memerlukan tuntutan dan keperluan yang berbeza. Jasad memerlukan kepada makanan dan minuman serta keperluan fizikal. Begitu juga rohani memerlukan makanan dalam bentuk zikrullah dan ibadat.

4.  Manusia diperintahkan supaya sentiasa berusaha dan berikhtiar serta berdoa dan mengharap rahmat Allah agar sentiasa berada dijalan yang diredhai Allah untuk mendapat balasan syurga.

5.  Balasan syurga itu bergantung kepada rahmat Allah dengan menjadikan kita  istiqamah dengan amal solleh hingga ke akhir hayat. Antara doa yang diajar oleh Rasulullah SAW agar kita tetap di atas agama ini:

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوْبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِيْنِكَ

“Wahai Dzat yang membolak-balikkan hati, teguhkan hati kami di atas agama-Mu.” (HR Ahmad dan Tirmidzi)

6.  Semoga kita sentiasa istiqamah melakukan amal yang solleh dan berdoa mengharap rahmat Allah agar sentiasa diredhai dan mendapat ganjaran syurga.


Wednesday, October 25, 2023

Rukun Islam

Rabu  10 Rabiulakhir 1445H: Rukun Islam

عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بُنِيَ الْإِسْلَامُ عَلَى خَمْسٍ شَهَادَةِ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ وَإِقَامِ الصَّلَاةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ وَالْحَجِّ وَصَوْمِ رَمَضَانَ

Daripada Ibnu Umar RA berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Islam dibangunkan di atas lima (tiang); bersaksi tidak ada Ilah selain Allah dan sesungguhnya Muhammad adalah utusan Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, melaksanakan haji dan berpuasa di bulan Ramadan”. (HR Bukhari No: 7) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Islam dibangunkan atas lima  perkara iaitu rukun Islam yang terdiri daripada kalimah syahadah, Solat 5 waktu, zakat, puasa dan ibadat haji.

2.  Syahadah adalah satu pengakuan yang dilahirkan oleh perkataan yang terbit dari keyakinan hati yang terhasil dari ilmu pengetahuan tentang pengakuan keimanan kepada Allah dan RasulNya.

3.  Solat ialah melaksanakan ibadat sembahyang dengan sebaik-baiknya mengikut rukun dan peraturan dengan khusyuk berserta ikhlas dan kehadiran hati ketika melaksanakannya.

4.  Zakat adalah mengeluarkan sebahagian daripada harta yang diwajibkan kepada orang yang berhak menerimanya.

5.  Berpuasa adalah menahan diri daripada makan dan minum serta perkara yang membatalkan puasa bermula dari terbit fajar sehingga tenggelam matahari.

6.  Ibadat Haji adalah menunaikan segala pekerjaan ibadat di Mekah menurut peraturan yang ditetapkan kepada setiap mukalaf yang berkemampuan dan berkuasa.

7.  Kewajipan menunaikan ibadah haji adalah kepada mereka yang berkuasa mengeluarkan belanja tambang dan segala perbelanjaan lain termasuk mempunyai bekalan dan perbelanjaan yang cukup bagi saraan nafkah orang yang ditinggalkan.

8.  Bagi pandangan Imam Ahmad Ibn Hanbal, jika seseorang memiliki lebihan harta seperti harta tak alih (i.e. rumah lebih dari satu, kenderaan lebih dari satu) atau sesuatu yang lebih daripada keperluan, maka wajib ia menjual sebahagian daripadanya untuk keperluan menunaikan haji.

9.  Barangsiapa menunda-nunda sampai lebih lima tahun, padahal sudah memiliki kemampuan, maka dia benar-benar jauh dari kebaikan.

Nabi SAW bersabda :

يَقُولُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ : إِنَّ عَبْدًا أَصْحَحْتُ جِسْمَهُ وَأَوْسَعْتُ عَلَيْهِ فِى الْمَعِيشَةِ تَأْتِى عَلَيْهِ خَمْسَةُ أَعْوَامٍ لَمْ يَفِدْ إِلَىَّ لَمَحْرُومٌ

Allâh Azza wa Jalla berfirman, “Sesungguhnya seorang hamba yang telah Aku anugerahi kesihatan badan, Aku telah luaskan penghidupannya, telah lewat padanya lima tahun, (namun) dia tidak mendatangiKu (iaini: melakukan ibadah haji), dia benar-benar dicegah (dari kebaikan). (HR al-Baihaqi No : 10695) Status: Hadis Sahih

Marilah kita berusaha membangun dan memperkukuhkan lima rukun Islam dengan sebaiknya.

Tuesday, October 24, 2023

Tiga Tunggak Agama: Islam, Iman dan Ihsan

Selasa, 9 Rabiulakhir 1445H: Tiga Tunggak Agama: Islam, Iman dan Ihsan

عَنْ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ قَالَ بَيْنَمَا نَحْنُ عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَاتَ يَوْمٍ إِذْ طَلَعَ عَلَيْنَا رَجُلٌ شَدِيدُ بَيَاضِ الثِّيَابِ شَدِيدُ سَوَادِ الشَّعَرِ لَا يُرَى عَلَيْهِ أَثَرُ السَّفَرِ وَلَا يَعْرِفُهُ مِنَّا أَحَدٌ حَتَّى جَلَسَ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَسْنَدَ رُكْبَتَيْهِ إِلَى رُكْبَتَيْهِ وَوَضَعَ كَفَّيْهِ عَلَى فَخِذَيْهِ وَقَالَ يَا مُحَمَّدُ أَخْبِرْنِي عَنْ الْإِسْلَامِ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْإِسْلَامُ أَنْ تَشْهَدَ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَتُقِيمَ الصَّلَاةَ وَتُؤْتِيَ الزَّكَاةَ وَتَصُومَ رَمَضَانَ وَتَحُجَّ الْبَيْتَ إِنْ اسْتَطَعْتَ إِلَيْهِ سَبِيلًا قَالَ صَدَقْتَ قَالَ فَعَجِبْنَا لَهُ يَسْأَلُهُ وَيُصَدِّقُهُ قَالَ فَأَخْبِرْنِي عَنْ الْإِيمَانِ قَالَ أَنْ تُؤْمِنَ بِاللَّهِ وَمَلَائِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَتُؤْمِنَ بِالْقَدَرِ خَيْرِهِ وَشَرِّهِ قَالَ صَدَقْتَ قَالَ فَأَخْبِرْنِي عَنْ الْإِحْسَانِ قَالَ أَنْ تَعْبُدَ اللَّهَ كَأَنَّكَ تَرَاهُ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَإِنَّهُ يَرَاكَ قَالَ فَأَخْبِرْنِي عَنْ السَّاعَةِ قَالَ مَا الْمَسْئُولُ عَنْهَا بِأَعْلَمَ مِنْ السَّائِلِ قَالَ فَأَخْبِرْنِي عَنْ أَمَارَتِهَا قَالَ أَنْ تَلِدَ الْأَمَةُ رَبَّتَهَا وَأَنْ تَرَى الْحُفَاةَ الْعُرَاةَ الْعَالَةَ رِعَاءَ الشَّاءِ يَتَطَاوَلُونَ فِي الْبُنْيَانِ قَالَ ثُمَّ انْطَلَقَ فَلَبِثْتُ مَلِيًّا ثُمَّ قَالَ لِي يَا عُمَرُ أَتَدْرِي مَنْ السَّائِلُ قُلْتُ اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ قَالَ فَإِنَّهُ جِبْرِيلُ أَتَاكُمْ يُعَلِّمُكُمْ دِينَكُمْ.

Daripada Saiyidina 'Umar juga, r.a. beliau berkata: Ketika kami sedang duduk di sisi Rasulullah SAW pada suatu hari, tiba-tiba muncul di hadapan kami seorang lelaki yang memakai pakaian yang sangat putih, berambut sangat hitam, yang tidak ternampak pada dirinya kesan-kesan tanda musafir dan tidak seorangpun di kalangan kami yang mengenalinya.  Lalu dia duduk menghampiri Nabi SAW lalu disandarkan kedua-dua lututnya ke lutut Baginda dan meletakkan dua tapak tangannya atas dua paha Baginda seraya berkata: Wahai Muhammad! Terangkan kepadaku tentang lslam. Lalu Rasulullah SAW bersabda: lslam itu bahawa engkau naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa Muhammad itu utusan Allah, (dan bahawa) engkau mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan, menunaikan haji ke BaitulLah (Mekah) sekiranya engkau berkuasa mengerjakannya. Lelaki tersebut berkata: Benarlah engkau. Maka kamipun merasa hairan kepadanya, dia yang bertanya dia pula yang membenarkannya.  Dia bertanya: Terangkan kepadaku tentang lman. Baginda bersabda: (lman itu ialah) bahawa engkau percaya kepada Allah, para MalaikatNya, kitab-kitabNya, para RasulNya, hari Qiamat dan bahawa engkau percaya kepada Qadar baik dan buruk. Lelaki itu berkata: Benarlah engkau. Dia berkata lagi:Terangkanlah kepadaku tentang Ehsan. Baginda bersabda: Ehsan itu ialah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihatNya. Sekiranya engkau tidak dapat melihatnya, maka sesungguhnya Dia melihatmu. Lelaki itu bertanya lagi: Terangkan kepadaku tentang Qiamat. Baginda bersabda: Orang yang ditanya tentang Qiamat tidaklah lebih mengetahui daripada orang yang bertanya. Lelaki itu berkata: Maka terangkanlah kepadaku tentang tanda-tandanya. Baginda bersabda: (Antara tandatandanya ialah) apabila seorang hamba perempuan melahirkan tuannya dan apabila engkau melihat orang-orang miskin yang berkaki ayam, tidak berpakaian dan papa kedana yang hanya menjadi pengembala kambing berlumba-lumba membina bangunan (iaitu bertukar menjadi kaya raya).  Kemudian lelaki itu berlalu, lalu aku terdiam sebentar. Kemudian Baginda bertanya: Wahai 'Umar! Adakah engkau tahu siapa lelaki yang bertanya itu? Aku berkata: Allah dan RasulNya lebih mengetahui. Baginda bersabda: Sesungguhnya dia adalah Malaikat Jibril yang datang kepada kamu untuk mengajar kamu tentang agama kamu. (HR Muslim No: 9) Status Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Bertanya adalah salah satu cara untuk memperolehi ilmu.

2.  Apabila menghadiri majlis ilmu, digalakkan dengan penampilan kemas dan bersih.

3.  Tiga tunggak agama, iaitu rukun lslam, rukun iman dan ehsan

4.  Islam dari segi bahasa ialah tunduk dan menyerah kepada Allah SWT. Dari segi syarak bermaksud ad-Din yang dibina di atas 5 tunggak Rukun Islam iaitu: 

a.  Syahadah (penyaksian) bahawa tiada Ilah melainkan Allah dan bahawa Nabi Muhammad SAW itu Utusan Allah SWT.

b.  Mendirikan Solat dalam waktunya, dengan rukun dan syarat yang sempurna. Juga menjaga sunat dan adabnya.

c.  Mengeluarkan Zakat.

d.  Berpuasa pada bulan Ramadhan.

e.  Menunaikan Haji sekali seumur hidup bagi sesiapa yang berkemampuan.

5.  Iman dari segi bahasa ialah membenarkan. Dari segi syarak adalah keyakinan yang tidak berbelah bagi terhadap Rukun Iman:

a.  Beriman kepada Allah Yang Maha Esa

b.  Beriman kepada para Malaikat-Nya yang sentiasa taat dan patuh kepada setiap arahan-Nya.

c.  Beriman kepada kitab-kitab yang diturunkan oleh Allah SWT sebagai panduan syariat-Nya

d.  Beriman kepada para Rasul yang telah dipilih oleh Allah SWT untuk memberi petunjuk kepada makhluk-Nya.

e.  Beriman kepada Hari Kiamat dan peristiwa yang berlaku selepas itu

f.  Berimann  kepada  taqdir (ketentuan) Allah SWT dan kehendak-Nya.

6.  Ihsan adalah ikhlas dalam beribadah kepada Allah dan disertai dengan penuh ketekunan seolah-olah kita melihat Allah. Jika tidak mampu mencapai tahap tersebut, maka ingatlah bahawa Dia melihat segala perbuatan kita, kecil atau besar.  

7.  Antara tanda dekatnya berlaku Kiamat ialah:

a.  Berlakunya kerosakan akhlak di mana ramai anak derhaka dan menyanggahi orang tua mereka. Mereka memperlakukan keduanya seperti hamba, dan mereka sebagai tuannya.

b.  Terbalik dan bercampur baurnya urusan, sehingga sehina-hina manusia menjadi Raja dan Pemimpin. Urusan diserahkan kepada bukan ahlinya sehingga berlakunya penyalahgunaan kuasa dan harta. Mereka bermegah-megah dengan bangunan pencakar langit dan merasa bongkak terhadap makhluk.