Jumaat, 5 Jamadil Awal 1448H | Mukmin Yang Dikagumi
عَنْ صُهَيْبٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَجَبًا لِأَمْرِ الْمُؤْمِنِ إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ وَلَيْسَ ذَاكَ لِأَحَدٍ إِلَّا لِلْمُؤْمِنِ إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ
Daripada Shuhaib RA, beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Sungguh mengkagumkan urusan seorang mukmin, sesungguhnya semua urusannya adalah baik baginya. Keadaan seperti itu tidak terdapat pada sesiapapun kecuali hanya orang yang beriman. Jika dia mendapat kebaikan, dia bersyukur, maka itu merupakan kebaikan baginya. Jika dia ditimpa keburukan kemudian dia bersabar, maka itu juga merupakan kebaikan baginya.” (HR Muslim No: 5318) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Mukmin yang dikagumi ialah yang sentiasa redha setiap yang berlaku keatas dirinya.
2. Imam al-Nawawi ketika menghuraikan hadis ini menjelaskan bahawa seorang Mukmin memperoleh kebaikan dalam kedua-dua keadaan: apabila menerima nikmat dia bersyukur, dan apabila ditimpa kesusahan dia bersabar.
3. Mukmin yang dikagumi ialah yang sentiasa bersyukur diatas setiap kebaikan atau nikmat yang diperolehi. Syukur itu diperlihatkan pada lima perkara:
a. Tunduk dan merendah kepada Allah, zat yang disyukuri
b. Cinta kepada Allah
c. Mengakui bahawa nikmat itu adalah pemberian Allah
d. Memuji Allah dengan lisan dan perbuatan atas limpahan nikmat tersebut
e. Tidak memanfaatkannya dalam perkara yang dibenci Allah.
4. Mukmin yang dikagumi itu ialah apabila mendapat keburukan atau musibah, dia bersabar dan redha.
5. Ibnu Qayyim menyatakan: sabar merupakan setengah dari keimanan dan setengahnya lagi adalah syukur.
6. Mengkagumkan sifat mukmin kerana dalam kesenangan dia menemui jalan kepada Allah melalui syukur, dan dalam kesusahan dia tetap menemui jalan kepada Allah melalui sabar.
No comments:
Post a Comment