Sabtu, 4 Jamadil Akhir 1448H | Gembirakan Ibu bapa
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو قَالَ جَاءَ رَجُلٌ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ جِئْتُ أُبَايِعُكَ عَلَى الْهِجْرَةِ وَتَرَكْتُ أَبَوَيَّ يَبْكِيَانِ فَقَالَ ارْجِعْ عَلَيْهِمَا فَأَضْحِكْهُمَا كَمَا أَبْكَيْتَهُمَا
Daripada Abdullah bin 'Amr RA, beliau berkata; Seorang lelaki telah datang kepada Rasulullah SAW lalu berkata; Aku datang untuk memberikan baiah kepadamu bagi tujuan berhijrah, sedangkan aku telah meninggalkan kedua orang tua ku dalam keadaan menangis. Lalu baginda SAW bersabda: "Pulanglah kepada mereka berdua dan buatlah mereka tertawa (gembira) sebagaimana engkau telah membuat mereka menangis!" (HR Abu Daud: 2166) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Kewajipan anak ialah sentiasa mengembirakan kedua ibu bapanya. Menjaga perasaan dan menggembirakan ibu bapa merupakan sebahagian daripada tuntutan berbakti kepada mereka.
2. Berbakti kepada ibu bapa adalah kewajipan besar selepas ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya. Tiada amal yang dapat menggantikan berbuat baik terhadap ibu bapa selagi mereka masih hidup.
3. Berbakti kepada ibu bapa bukan sekadar memenuhi keperluan fizikal dan kewangan, tetapi juga menjaga perasaan, menggembirakan hati serta mengelakkan kesedihan yang tidak wajar terhadap mereka.
4. Rasulullah SAW menyuruh lelaki tersebut menggembirakan semula hati ibu bapanya, supaya ia menebus kesedihan yang telah ditimbulkan. Hal ini menunjukkan bahawa Islam amat menitikberatkan hubungan emosi dan kasih sayang dalam keluarga, terutama terhadap kedua ibu bapa.
5. Kasih sayang dan keizinan ibu bapa sewajarnya menjadi pertimbangan dalam setiap keputusan besar kehidupan kita apatah lagi jika ia melibatkan perasaan serta kebajikan ibu bapanya.
6. Kebahagiaan ibu bapa adalah sebahagian daripada tanda keimanan dan akhlak yang mulia.
7. Rasulullah SAW mendidik umatnya bahawa berbakti terhadap ibu bapa adalah jalan paling hampir menuju keredaan Allah dan pintu ke syurga. Keredaan Allah kepada seseorang bergantung kepada keredaan kedua orang tua. Hadis Nabi SAW:
رِضَا الرَّبِّ فِى رِضَا الْوَالِدَيْنِ وَسُخْطُهُ فِى سُخْطِهِمَا
“Reda Allah terletak pada reda kedua orang tua dan murka Allah terletak pada murka kedua orang tua” (HR Tabrani dari Ibnu Umar).
8. Lakukan sesuatu yang sentiasa membuatkan kedua orang tua kita gembira. Tidak ada hadiah yang berharga melainkan sesuatu yang membuatkan kedua ibu bapa gembira di dunia dan gembira di syurga.
9. Bagi setiap anak yang masih memiliki kedua ibu bapa atau salah seorang daripadanya, buatlah sesuatu yang mengembirakan kedua mereka. Khidmat kepada ibu bapa merupakan medan amal soleh yang sangat besar nilainya di sisi Allah SWT.
Utk dapatkan 1 Hari 1 Hadis Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor, sila klik link di bawah :
telegram.me/hadisharian_ikram
No comments:
Post a Comment