Tuesday, June 14, 2022

Dunia Adalah Jambatan Akhirat

 Selasa, 14 Zulkaedah 1443H: Dunia Adalah Jambatan Akhirat

عَنِ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ أَخَذَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِمَنْكِبِي فَقَالَ كُنْ فِي الدُّنْيَا كَأَنَّكَ غَرِيبٌ أَوْ عَابِرُ سَبِيلٍ
وَكَانَ ابْنُ عُمَرَ يَقُولُ إِذَا أَمْسَيْتَ فَلَا تَنْتَظِرْ الصَّبَاحَ وَإِذَا أَصْبَحْتَ فَلَا تَنْتَظِرْ الْمَسَاءَ وَخُذْ مِنْ صِحَّتِكَ لِمَرَضِكَ وَمِنْ حَيَاتِكَ لِمَوْتِكَ

Daripada Ibnu Umar radliallahu 'anhuma dia berkata; Rasulullah SAW pernah memegang bahuku dan bersabda: "Jadilah kamu di dunia ini seolah-olah orang asing atau seorang pengembara. Ibnu Umar telah berkata; Apabila kamu berada di waktu petang, janganlah kamu menunggu datangnya waktu pagi, dan apabila kamu berada di pagi hari, maka janganlah menunggu waktu petang. Manfaatkanlah waktu sihatmu sebelum sakitmu, dan hidupmu sebelum matimu."

(HR Bukhari No: 5937) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.Jangan jadikan dunia sebagai matlamat dan tempat tinggal hakiki. Dunia adalah jambatan menuju akhirat.

2.Jadikanlah diri kita sebagai seorang musafir. Orang yang bermusafir perlu membawa bekalan yang sepatutnya sebagai bekalan.

3.Sebagai musafir, kita tidak membawa kesemua yang dimilik. Malah kita hanya membawa bekalan perjalanan sekadarnya.

4.Seorang Muslim perlu bersegera melakukan amal kebajikan, memperbanyak ketaatan dan amal soleh sebagai bekalan perjalanan menuju akhirat.

5.Elakkan dari bertangguh untuk melakukan amal soleh kerana kita tidak pasti apakah berkesempatan untuk melakukannya pada masa akan datang.

6.Setiap Muslim perlu merebut peluang dan kesempatan yang ada sebaik mungkin. Lakukan amal kebaikan ketika kita sihat dan masih hidup. Sakit dan ajal boleh berlaku bila-bila masa.

Rebutlah peluang beramal ketika kita masih muda, sihat, berharta, lapang dan semasa hidup ini.

Monday, June 13, 2022

Mukmin Yang Terpelihara

 Isnin, 13 Zilkaedah 1443H: Mukmin Yang Terpelihara

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ نَفَّسَ عَنْ مُؤْمِنٍ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ الدُّنْيَا نَفَّسَ اللَّهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ وَمَنْ يَسَّرَ عَلَى مُعْسِرٍ يَسَّرَ اللَّهُ عَلَيْهِ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللَّهُ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ وَاللَّهُ فِي عَوْنِ الْعَبْدِ مَا كَانَ الْعَبْدُ فِي عَوْنِ أَخِيهِ وَمَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا سَهَّلَ اللَّهُ لَهُ بِهِ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ وَمَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللَّهِ يَتْلُونَ كِتَابَ اللَّهِ وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ إِلَّا نَزَلَتْ عَلَيْهِمْ السَّكِينَةُ وَغَشِيَتْهُمْ الرَّحْمَةُ وَحَفَّتْهُمْ الْمَلَائِكَةُ وَذَكَرَهُمْ اللَّهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ وَمَنْ بَطَّأَ بِهِ عَمَلُهُ لَمْ يُسْرِعْ بِهِ نَسَبُهُ

Daripada Abu Hurairah RA dia berkata; Rasulullah SAW telah bersabda: 'Barang siapa membebaskan seorang mukmin dari suatu kesulitan dunia, maka Allah akan membebaskannya dari suatu kesulitan pada hari kiamat. Barang siapa memberi kemudahan kepada orang yang berada dalam kesulitan, maka Allah akan memberikan kemudahan di dunia dan akhirat. Barang siapa menutupi aib seorang muslim, maka Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat. Allah akan selalu menolong hamba-Nya selama hamba tersebut menolong saudaranya sesama muslim. Barang siapa menempuh jalan untuk mencari ilmu, maka Allah akan memudahkan jalan ke syurga baginya. Tidaklah sekelompok orang berkumpul di suatu masjid (rumah Allah) untuk membaca Al-Quran dan mempelajarinya, melainkan mereka akan diliputi ketenangan, rahmat, dan dikelilingi para malaikat, serta Allah akan menyebut-nyebut mereka pada malaikat-malaikat yang berada di sisi-Nya. Barang siapa yang ketinggalan amalnya (kurang), maka keturunannya tidak akan dapat meninggikannya (menambah amalnya).' 

(HR Muslim No: 2699) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.Mukmin yang membebaskan mukmin lain dari suatu kesulitan di dunia, nescaya Allah akan membebaskannya dari suatu kesulitan pada hari kiamat.

2.Mukmin yang memberi kemudahan kepada orang yang berada dalam kesulitan semasa di dunia, nescaya Allah akan memberikan kemudahan kepadanya di dunia dan akhirat.

3.Mukmin yang menutupi aib seorang muslim semasa di dunia, maka Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat.

4.Allah akan menolong sesiapa yang menolong saudara muslim yang lain.

5.Sesiapa yang menempuh jalan untuk mencari ilmu, maka Allah akan memudahkan jalan ke syurga baginya.

6.Orang yang berkumpul di masjid untuk membaca Al-Quran dan mempelajarinya, Allah akan mengurniakan ketenangan, rahmat, dan dikelilingi para malaikat, serta Allah akan menyebut-nyebut mereka pada malaikat-malaikat yang berada di sisi-Nya.

7.Barang siapa yang kurang amalnya semasa di dunia, maka keturunannya tidak akan dapat menambah amalnya. (Amal kita seperti solat, puasa adalah tanggungjawab kita).

Friday, June 10, 2022

Jadilah Orang Yang Diredai Allah Bukan Dibenci

Jumaat, 10 Zulkaedah 1443H:  Jadilah Orang Yang Diredai Allah Bukan Dibenci

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ اللَّهَ يَرْضَى لَكُمْ ثَلَاثًا وَيَسْخَطُ لَكُمْ ثَلَاثًا يَرْضَى لَكُمْ أَنْ تَعْبُدُوهُ وَلَا تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا وَأَنْ تَعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا وَأَنْ تُنَاصِحُوا مَنْ وَلَّاهُ اللَّهُ أَمْرَكُمْ وَيَسْخَطُ لَكُمْ قِيلَ وَقَالَ وَإِضَاعَةَ الْمَالِ وَكَثْرَةَ السُّؤَالِ

Daripada Abu Hurairah RA berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah meredai kalian dalam tiga perkara dan benci kepada kalian dalam tiga perkara. Allah meredai kalian jika kalian beribadah kepada-Nya dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu, jika kalian berpegang teguh kepada agamanya dan tidak berpecah belah dan, jika kalian saling nasihat menasihati kepada orang yang diserahkan kepadanya urusanmu. Dan Allah membenci kalian dari sikap percaya kepada khabar yang tidak tentu sumbernya, banyak bertanya (tentang perkara yang tidak perlu) dan memboroskan harta". 

(HR Ahmad No: 8444) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.Allah meredai seseorang apabila ia melakukan tiga perkara:

a.Beribadah kepada Allah dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu

b.Berpegang teguh kepada agama-Nya dan tidak berpecah belah

c.Saling nasihat menasihati dalam melaksanakan kewajipan dan tanggungjawab sebagai hamba dan khalifah.

2.Allah membenci seseorang apabila ia memiliki tiga perkara:

a.Percaya kepada khabar, maklumat atau info yang tidak tentu sumbernya sama ada dalam bentuk pertuturan mahupun tulisan.

b.Banyak bertanya (tentang perkara yang tidak perlu) sehingga menyusahkan orang lain untuk beramal

c.Membazir atau boros dalam membelanjakan harta

Berusahalah menjadi hamba yang diredai bukan dibenci.

Thursday, June 9, 2022

Satu Rumah Satu Ibadah Korban

 Khamis, 9 Zulkaedah 1443H: Satu Rumah Satu Ibadah Korban

عَنْ مِخْنَفِ بْنِ سُلَيْمٍ كُنَّا وَقُوفًا عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِعَرَفَةَ فَقَالَ يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّ عَلَى كُلِّ أَهْلِ بَيْتٍ فِي كُلِّ عَامٍ أُضْحِيَّة

Daripada Mikhnaf bin Sulaim, kami berwukuf di Arafah bersama Rasulullah SAW dan aku mendengar baginda bersabda: "Wahai sekalian manusia, sesungguhnya keatas setiap ahli sebuah rumah, satu ibadah korban pada setiap setahun".

(HR Ibnu Majah No: 3116) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.Kita telah memasukki bulan Zulkaedah. Kita ada lebih kurang sebulan lagi untuk menyambut kedatangan Hari Raya Eidul Adha di mana antara amalan yang dituntut kepada Muslim adalah ibadah Kurban.

2.Berdasarkan hadis di atas, sebahagian ulamak beranggapan, Ibadah korban adalah sunat kifayah bagi setiap rumah (suatu sunat yang amat dituntut). Dalam mazhab Syafie ibadat korban ini sunat Muakkad.

3.Bagi Imam Abu Hanifah dan ulamak bermazhab Hanafi telah menetapkan bahawa menyembelih korban adalah wajib sekali setahun bagi orang bermukim dan berkemampuan daripada penduduk tempatan

4.Ibadat korban ini adalah sebahagian dari syiar agama sebagai memperingati pengorbanan Nabi Allah Ibrahim dan Ismail. Melaksanakan ibadat ini akan membangkitkan kesedaran untuk sentiasa membelanjakan harta dan berkorban semata-mata meninggikan syiar agama Allah


Wednesday, June 8, 2022

Jangan Tangguh Melaksanakan Ibadah Haji

Rabu, 8 Zulkaedah 1443H: Jangan Tangguh Melaksanakan Ibadah Haji

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَعَجَّلُوا إِلَى الْحَجِّ يَعْنِي الْفَرِيضَةَ فَإِنَّ أَحَدَكُمْ لَا يَدْرِي مَا يَعْرِضُ لَهُ

Daripada Ibnu Abbas RA, ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: “Segeralah kamu menunaikan haji (yang wajib) kerana kamu tidak mengetahui apa-apa yang mungkin menimpa” 

(Musnad Ahmad No: 2721) Status: Isnad Hasan

Pengajaran:

1. Menunaikan ibadat haji suatu kewajipan kepada mereka yang berkuasa dan berkemampuan. Jangan ditangguh dengan sengaja.

2. Mengikut Imam Shafi’i kewajipan menunaikan haji tidaklah mesti disegerakan tetapi tidak pula bererti boleh dilambatkan.

3. Segera menunaikan haji dalam keadaan kita sihat dan mampu adalah penting sebagai langkah berjaga-jaga. Apatah lagi jika telah mendapat surat tawaran. Jika dilewatkan berkemungkinan ia tidak dapat dilaksanakan langsung kerana luput masa atau berlaku sesuatu bencana.

4.Jika ada kemudahan untuk tidak menunggu giliran yang mungkin lama lagi; contohnya menggunakan package yang lebih bayarannya dan kita berkemampuan, maka elok diusahakan pemergian itu.

Bagi mereka yang berkemampuan dan berkuasa, jangan tunggu tahun depan atau tahun berikutnya. Kita tak pasti, ketika itu adakah kita masih berkuasa atau berkemampuan?.

Friday, June 3, 2022

Pesanan Untuk Orang Yang Akan Bermusafir

 Jumaat, 3 Zulkaedah 1443H: Pesanan Untuk Orang Yang Akan Bermusafir

عَنْ سَالِمٍ أَنَّ ابْنَ عُمَرَ كَانَ يَقُولُ لِلرَّجُلِ إِذَا أَرَادَ سَفَرًا ادْنُ مِنِّي أُوَدِّعْكَ كَمَا كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُوَدِّعُنَا فَيَقُولُ أَسْتَوْدِعُ اللَّهَ دِينَكَ وَأَمَانَتَكَ وَخَوَاتِيمَ عَمَلِكَ

Daripada Salim RA bahawa Ibn Umar RA berkata kepada seseorang apabila hendak melakukan musafir: “Datanglah kepadaku, aku ingin menyampaikan ucapan perpisahan sebagaimana Rasulullah SAW mengucapkan kepada kami, kemudian beliau mengucapkan:

أَسْتَوْدِعُ اللَّهَ دِينَكَ وَأَمَانَتَكَ وَخَوَاتِيمَ عَمَلِكَ

“Aku menyerahkan kepada Allah urusan agama kamu, amanah kamu dan pengakhiran amalan kamu.” 

(HR Tirmizi, No. 3443) Status: Hadis Sahih
.
Pengajaran:

1.Musafir adalah perjalanan seseorang daripada satu tempat ke satu tempat yang lain. Contohnya mengerjakan ibadat fardhu haji ke Mekah. Ianya boleh menyebabkan kesulitan dan kemudharatan kerana menimbulkan kesukaran, keletihan dan menghalang keselesaan, kerehatan serta kesempurnaan dalam beribadah sepanjang perjalanan.

2.Justeru, Rasulullah SAW telah mengajar para sahabat mengenai sunnah yang sangat baik untuk diamalkan apabila seseorang hendak melakukan musafir ialah mengucapkan doa kepadanya.

أَسْتَوْدِعُ اللَّهَ دِينَكَ وَأَمَانَتَكَ وَخَوَاتِيمَ عَمَلِكَ

“Aku menyerahkan kepada Allah urusan agama kamu, amanah kamu dan pengakhiran amalan kamu.”

3. Terdapat juga dalam hadis Riwayat Anas RA, bahawa seorang lelaki telah datang kepada Nabi SAW memberitahu dia akan bermusafir, lalu Nabi SAW mendoakannya:

زَوَّدَكَ اللَّهُ التَّقْوَى وَغَفَرَ ذَنْبَكَ وَيَسَّرَ لَكَ الْخَيْرَ حَيْثُمَا كُنْتَ

“Semoga Allah SWT membekalkanmu dengan ketaqwaan, mengampunkan dosamu dan Allah memudahkan kebaikan untukmu di mana sahaja kamu berada.” (Sunan Tirmizi No: 3444) Status: Hadis Sahih

4. Kebiasaannya, bermusafir akan menyebabkan hilangnya kesenangan dan keselesaan dalam melakukan amalan harian mahupun beribadah. Oleh sebab itu, Islam telah memberikan rukhsah (keringanan) kepada seseorang yang bermusafir.

5. Sebagai Muslim hendaklah kita mendoakan orang yang akan bermusafir dan berpesan kepada mereka untuk sentiasa bertaqwa dan menjaga amalan ibadah sepanjang perjalanan tersebut.

6. Sempena musim orang bertolak untuk bermusafir mengerjakan ibadat haji yang dijangkakan penerbangan awal bermula 4hb Jun 2022, doakanlah mereka dengan doa di atas semoga mereka memperoleh kekuatan dan kemudahan sepanjang berada di sana dan mendapat haji yang mabrur.

Mari kita doakan Duyufurrahman (tetamu Allah) dengan lafaz:

اللَّهُمَّ اجْعَلْ حَجًّا مَبْرُوْرًا وَسَعْيًا مَشْكُوْرًا وَذَنْبًا مَغْفُوْرًا

“Semoga Allah menganugerahkan haji yang mabrur, usaha yang disyukuri dan dosa yang diampuni.”

Thursday, June 2, 2022

Jaga Hak Allah, Diri dan Masyarakat

Khamis, 2 Zulkaedah 1443H: Jaga Hak Allah, Diri dan Masyarakat

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ يَأْخُذُ عَنِّي هَؤُلَاءِ الْكَلِمَاتِ فَيَعْمَلُ بِهِنَّ أَوْ يُعَلِّمُ مَنْ يَعْمَلُ بِهِنَّ فَقَالَ أَبُو هُرَيْرَةَ فَقُلْتُ أَنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ فَأَخَذَ بِيَدِي فَعَدَّ خَمْسًا وَقَالَ اتَّقِ الْمَحَارِمَ تَكُنْ أَعْبَدَ النَّاسِ وَارْضَ بِمَا قَسَمَ اللَّهُ لَكَ تَكُنْ أَغْنَى النَّاسِ وَأَحْسِنْ إِلَى جَارِكَ تَكُنْ مُؤْمِنًا وَأَحِبَّ لِلنَّاسِ مَا تُحِبُّ لِنَفْسِكَ تَكُنْ مُسْلِمًا وَلَا تُكْثِرْ الضَّحِكَ فَإِنَّ كَثْرَةَ الضَّحِكِ تُمِيتُ الْقَلْبَ

Daripada Abu Hurairah RA berkata: Rasulullah SAW bersabda: "Siapakah yang mahu mengambil beberapa kalimat daripadaku lalu mengamalkannya atau mengajarkan pada orang yang akan mengamalkannya?" 

Abu Hurairah menjawab: "Saya, wahai Rasulullah." 

Lalu Rasulullah memegang tanganku lalu menyebut lima perkara; "Jauhkanlah larangan-larangan nescaya kamu akan menjadi orang yang paling beribadah, terimalah pemberian Allah dengan rela nescaya engkau akan menjadi orang paling kaya, berbuat baiklah kepada jiran tetangga nescaya kamu akan menjadi orang yang benar-benar beriman, kasihilah orang lain sepertimana engkau mengasihi dirimu sendiri nescaya engkau akan menjadi orang muslim yang sebenar-benarnya dan, janganlah banyak ketawa kerana banyak ketawa akan mematikan hati." 

HR Tirmidzi No: 2227) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1. Rasulullah SAW mengajar kepada kita untuk mengambil pesanan baginda bagi di amalkan dan disampaikan kepada orang lain. Antara pesanan untuk dilaksanakan dan disampaikan:

a.Jauhi larangan dan tegahan seperti minum arak, mencuri, meninggalkan perintah wajib umpama solat dan sebagainya agar kita menjadi orang yang paling beribadat.

b. Merasa reda dan puas hati dengan apa yang dikurniakan Allah. Tidak merasa keluh kesah, kecewa serta tamak dengan apa yang dimiliki. Yakin setiap sesuatu itu adalah ketentuan taqdir Allah nescaya kita akan menjadi orang yang paling kaya.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَيْسَ الْغِنَى عَنْ كَثْرَةِ الْعَرَضِ وَلَكِنَّ الْغِنَى غِنَى النَّفْسِ

Daripada Abu Hurairah RA daripada Nabi SAW baginda bersabda: "Bukanlah kekayaan itu kerana banyaknya harta, akan tetapi kekayaan itu adalah kaya hati." (HR Bukhari No: 5965)

c. Berbuat baik kepada jiran tetangga dengan sentiasa menyayangi, memberi pertolongan, menziarahi, tidak menyakitinya sama ada dengan perbuatan, perkataan dan sebagainya. Menjaga hak jiran sama ada Muslim mahupun bukan Muslim adalah bukti kesempurnaan iman.

d. Mengasihi orang lain sepertimana kita mengasihi diri sendiri adalah bukti keislaman dan keimanan seseorang. Tidak boleh menzalimi dan menganiaya serta menyakiti saudara kita. Firman Allah:

إِنَّمَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ إِخۡوَةٞ

Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara (al-Hujurat: 10)

e. Jangan banyak ketawa kerana banyak gelak ketawa akan melalaikan seseorang daripada mengingati Allah serta akan menjadi penyebab menghalang cahaya petunjuk dan boleh mematikan hati.

2. Marilah kita menjaga hak Allah, hak diri dan hak manusia lain. Peliharalah hubungan yang baik sama ada hubungan dengan Allah juga dengan masyarakat seluruhny

Wednesday, June 1, 2022

Penyelamat Dari Neraka dan Masuk Syurga

Rabu, 1 Zulkaedah 1443H: Penyelamat Dari Neraka dan Masuk Syurga

قُلْتُ ثِنْتَانِ أَسْأَلُكَ عَنْهُمَا مَا يُنَجِّينِي مِنْ النَّارِ وَمَا يُدْخِلُنِي الْجَنَّةَ قَالَ فَنَظَرَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَى السَّمَاءِ ثُمَّ نَكَسَ رَأْسَهُ ثُمَّ أَقْبَلَ عَلَيَّ بِوَجْهِهِ قَالَ لَئِنْ كُنْتَ أَوْجَزْتَ فِي الْمَسْأَلَةِ لَقَدْ أَعْظَمْتَ وَأَطْوَلْتَ فَاعْقِلْ عَنِّي إِذًا اعْبُدْ اللَّهَ لَا تُشْرِكْ بِهِ شَيْئًا وَأَقِمْ الصَّلَاةَ الْمَكْتُوبَةَ وَأَدِّ الزَّكَاةَ الْمَفْرُوضَةَ وَصُمْ رَمَضَانَ وَمَا تُحِبُّ أَنْ يَفْعَلَهُ بِكَ النَّاسُ فَافْعَلْهُ بِهِمْ وَمَا تَكْرَهُ أَنْ يَأْتِيَ إِلَيْكَ النَّاسُ فَذَرْ النَّاسَ مِنْهُ

Imam Ahmad meriwayatkan dengan sanadnya daripada Ibnu Al-Muntafiq: Aku telah bertemu Rasulullah SAW di Arafah. Aku lalu berkata, "Aku ingin bertanya kepadamu dua perkara: Apakah yang dapat menyelamatkan aku daripada neraka, dan apa yang menyebabkan aku masuk syurga? ' 

Lalu Rasulullah SAW menengadahkan kepalanya ke langit dan menurunkannya lagi, kemudian menatapku dengan wajahnya, baginda bersabda: "Telah meringkaskan soalan kamu tetapi kamu telah bertanya sesuatu yang amat besar dan perjalanannya adalah jauh. Oleh itu berilah perhatian kepada jawapanku: Sembahlah Allah dan jangan kamu sekutukan dengan sesuatupun, dirikan solat yang difardhukan, keluarkan zakat yang diwajibkan, dan berpuasalah pada bulan Ramadan. Jika kamu ingin supaya manusia melakukan sesuatu (kebaikan) kepadamu, maka lakukanlah kebaikan itu terlebih dahulu kepada mereka. Sebaliknya jika kamu benci orang lain melakukan keburukan itu kepadamu, maka kamu hendaklah terlebih dahulu tidak melakukan keburukan itu kepada mereka." 

 (HR Ahmad No: 25901) Status: Hadis Sahih


Pengajaran:

Rasulullah SAW memberikan peringatan perkara yang boleh menyelamatkan seseorang daripada neraka dan memasukkan seseorang ke syurga:

1. Menyembah Allah dan jangan melakukan perbuatan syirik

2. Menunaikan solat yang difardhukan

3. Mengeluarkan zakat yang diwajibkan

4. Berpuasalah pada bulan Ramadan.

5. Jika ingin orang lain melakukan kebaikan kepada diri kita, maka lakukanlah kebaikan itu terlebih dahulu kepada orang lain.

6. Jika tidak mahu orang lain melakukan keburukan kepada diri kita, maka hendaklah terlebih dahulu tidak melakukan keburukan itu kepada orang lain.

Tuesday, May 31, 2022

Menghadiri Majlis Ilmu

Selasa, 1 Zulkaedah 1443H: Dari Abu Waqid AI Laitsi r.a. katanya: "Pada suatu waktu ketika Rasulullah saw. sedang duduk di masjid beserta orang banyak (memberikan pengajian). tiba-tiba datang tiga orang serombongan. Yang dua orang mendatangi Rasulullah saw sedang yang seorang lagi terus pergi begitu saja. Seorang di antara yang berdua mencari-cari tempat kosong dalam halaqah, lalu dia duduk di situ. Dan yang seorang lagi mencari-cari tempat dan duduk di bahagian belakang. Dan orang yang ketiga pergi saja kembali. 

Setelah Rasulullah saw. selesai memberikan pengajian beliau bersabda, "Perhatikanlah, ku beritahukan kepada Anda sekalian tentang orang yang bertiga itu. Satu di antaranya mencari tempat di sisi Allah, maka Allah melapangkan tempat baginya. Orang yang kedua malu-malu, maka Allah malu pula kepadanya. Dan orang yang ketiga jelas berpaling, maka Allah berpaling pula daripadanya." 

 
Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2038.

Monday, May 30, 2022

Tunaikan Permintaan

 Isnin, 29 Syawal 1443H: Tunaikan Permintaan

عَنْ ابْنِ الْمُنْكَدِرِ قَالَ سَمِعْتُ جَابِرًا رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ يَقُولُ مَا سُئِلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ شَيْءٍ قَطُّ فَقَالَ لَا

Daripada Ibn al-Munkadir, aku mendengar Jabir RA berkata; Nabi SAW tidak pernah apabila diminta sesuatu lalu baginda berkata; "Tidak.

 (Sahih Bukhari No: 5687) Dar Ibn Kathir. Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Rasulullah SAW adalah seorang pemurah

2. Rasulullah SAW juga tidak pernah menghampakan harapan dan permintaan orang lain

3. Rasulullah SAW menunaikan permintaan orang lain tanpa merasa bimbang kehabisan harta.

Ayuh kita mencontohi sifat pemurah Rasulullah SAW.

Jangan kata TIDAK. Bersedialah membantu dengan ringankan tulang, bersikap RAHMAH terhadap orang lain, pemurah dan tidak bakhil.

Friday, May 27, 2022

Jauhi Prasangka Dan Mencari Aib Orang

Jumaat, 26 Syawal 1443H: Jauhi Prasangka Dan Mencari Aib Orang

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِيَّاكُمْ وَالظَّنَّ فَإِنَّ الظَّنَّ أَكْذَبُ الْحَدِيثِ وَلَا تَحَسَّسُوا وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا تَحَاسَدُوا وَلَا تَدَابَرُوا وَلَا تَبَاغَضُوا وَكُونُوا عِبَادَ اللَّهِ إِخْوَانًا

Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda: "Jauhilah prasangka buruk, kerana prasangka buruk adalah ucapan yang paling dusta, janganlah kalian saling mendiamkan, janganlah suka mencari-cari isu, saling mendengki, saling membelakangi, serta saling membenci, tetapi, jadilah kalian hamba-hamba Allah yang bersaudara." 

 (HR Bukhari No: 5604) Status: Hadis Sahih


Pengajaran:

1.Orang beriman dilarang menaruh prasangka buruk kepada orang lain kerana ia akan mendorong kepada perbuatan menuduh tanpa bukti yang menjadi dosa besar. Ibnu Sirin berkata: “Jika sampai kepadamu berita yang tidak kamu sukai tentang saudaramu, maka carilah uzur untuknya. Jika kamu tidak mendapati uzur maka katakan, barangkali dia memiliki uzur yang aku tidak mengetahuinya.

2.Islam menyuruh agar tidak mendiamkan diri jika kemungkaran berlaku di hadapan kita dengan mencegah atau menasihat dengan hikmah mengikut kemampuan.

3.Muslim dilarang mencari-cari isu atau kelemahan orang lain. Lebih-lebih lagi isu atau kelemahan itu ditulis dan ditularkan di media elektronik seperti FB, Whatsapp, telegram dan sebagainya hingga mengaibkan peribadi seseorang.

4.Setiap kita juga dilarang saling mendengki, saling membelakangi, serta saling membenci. Raikanlah perbezaan yang ada pada kita dengan saling bermaafan.

5.Setiap Muslim dituntut agar berusaha menjaga tali persaudaraan sesama Muslim.

Menjaga persaudaraan itu wajib seperti wajibnya solat dan puasa dengan menjauhi sangka buruk, tidak mencari kelemahan dan aib orang lain, jangan berdengki, elakkan membenci, tidak membelakangkan orang lain dan bantu sahabat dengan mencegah dia dari melakukan maksiat.

Wednesday, May 25, 2022

Tiga Perkara Diharam & Tiga Perkara Dibenci Allah

Rabu, 23 Syawal 1443H:  3 Perkara Diharam 3 Perkara Dibenci Allah.


عَنْ الْمُغِيرَةِ بْنِ شُعْبَةَ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ حَرَّمَ عَلَيْكُمْ عُقُوقَ الْأُمَّهَاتِ وَوَأْدَ الْبَنَاتِ وَمَنْعًا وَهَاتِ وَكَرِهَ لَكُمْ ثَلَاثًا قِيلَ وَقَالَ وَكَثْرَةَ السُّؤَالِ وَإِضَاعَةَ الْمَالِ
 

Dari Mughirah bin Syu’bah dari Rasulullah SAW, baginda bersabda: “Sesungguhnya Allah ‘azza wajalla mengharamkan kalian menderhakai seorang ibu, mengubur anak perempuan hidup-hidup, dan tidak suka memberi dan suka meminta-minta. Dan membenci atasmu tiga perkara; mengatakan sesuatu yang tidak jelas sumbernya, banyak bertanya dan menyia-nyiakan harta.”

(HR Muslim No 3237) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

Seorang Muslim diharamkan melakukan tiga perkara:
1.  Derhaka kepada ibu
2.  Menanam anak perempuan hidup-hidup
3.  Tidak suka memberi (bakhil, sombong & tidak menunaikan hak harta seperti zakat, sedekah) dan suka meminta-minta.


Allah benci tiga sifat jika dilakukan oleh seorang Muslim:*
1. Mengatakan sesuatu yang tidak jelas sumbernya (sekadar copy & paste) @ suka forward tanpa disahkan kebenarannya.
2. Banyak bertanya (bertanya pada perkara yang tidak perlu dan mendatangkan kesukaran kepadanya).
 3.  Menyia-nyiakan harta (boros dan membazir).



Tuesday, May 24, 2022

Segera Mohon Maaf

Selasa, 23 Syawal 1443H:  Segera Mohon Maaf

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : مَنْ كَانَتْ لَهُ مَظْلَمَةٌ لِأَخِيهِ مِنْ عِرْضِهِ أَوْ شَيْءٍ فَلْيَتَحَلَّلْهُ مِنْهُ اليَوْمَ قَبْلَ أَنْ لاَ يَكُونَ دِينَارٌ وَلاَ دِرْهَمٌ إِنْ كَانَ لَهُ عَمَلٌ صَالِحٌ أُخِذَ مِنْهُ بِقَدْرِ مَظْلَمَتِهِ وَإِنْ لَمْ تَكُنْ لَهُ حَسَنَاتٌ أُخِذَ مِنْ سَيِّئَاتِ صَاحِبِهِ فَحُمِلَ عَلَيْهِ

Daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa pernah melakukan kesalahan terhadap saudaranya, sama ada yang berkait dengan kehormatannya atau hartanya, hendaklah dia segera meminta dihalalkan kepadanya hari ini (di dunia) sebelum datang suatu hari yang sudah tidak ada lagi dinar dan dirham (hari Kiamat). Ketika itu, jika dia memiliki amalan soleh, amalan solehnya diambil darinya dan diserahkan kepada saudaranya sesuai dengan kadar pelanggaran yang pernah diperbuatnya. Namun, jika dia tidak memiliki amal-amal kebaikan, kesalahan-kesalahan saudaranya itu diambil, lalu dipikulkan kepadanya."

 (HR Bukhari No: 2282) Status Hadis Sahih.


Pengajaran:

1.Setiap Muslim perlu sentiasa berusaha menghindarkan diri dari melakukan dosa dan maksiat sama ada kepada Allah mahupun sesama manusia lain.

2.Barangsiapa yang pernah melakukan kesalahan terhadap orang lain, sama ada yang berkait dengan kehormatannya atau hartanya, hendaklah dia segera meminta maaf semasa hidup.

3.Jika dosa seseorang terhadap orang lain tidak dimaafkan, dibimbangi ia menjadi hutang yang perlu dibayar dengan pahala amalan solehnya di akhirat nanti.

4.Jika amal kebaikan yang dimiliki telah habis kerana membayar hutang kepada orang lain, maka dosa saudaranya itu akan dipikulkan kepadanya.

5.Ingatlah firman Allah SWT:

ثُمَّ إِنَّكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ عِندَ رَبِّكُمْ تَخْتَصِمُونَ

"Kemudian, sesungguhnya kamu semua, pada hari kiamat, akan bertengkar berhujah di hadapan Tuhan kamu."(Surah al-Zumar : 31)

Monday, May 23, 2022

Uban Itu Kebaikan

 

Isnin, 22 Syawal 1443H:

عَنْ عَمْرِو بْنِ شُعَيْبٍ عَنْ أَبِيهِ عَنْ جَدِّهِ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا تَنْتِفُوا الشَّيْبَ فَإِنَّهُ نُورُ الْمُسْلِمِ مَنْ شَابَ شَيْبَةً فِي الْإِسْلَامِ كَتَبَ اللَّهُ لَهُ بِهَا حَسَنَةً وَكَفَّرَ عَنْهُ بِهَا خَطِيئَةً وَرَفَعَهُ بِهَا دَرَجَةً

Dari 'Amru bin Syu'aib dari bapanya dari datuknya, dia berkata; bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Jangalah kalian mencabut uban, kerana sesungguhnya ia adalah cahaya bagi seorang muslim, barangsiapa tumbuh padanya sehelai uban di dalam Islam maka dengannya Allah akan menuliskan untuknya satu kebaikan, menghapus darinya satu kesalahan dan mengangkatnya dengan satu derajat." 

(HR Ahmad No: 6668) Status: Isnad Tsiqah.

Pengajaran:

1. Hargailah setiap anugerah Allah kepada kita.

2. Rambut beruban (metalik) semula jadi adalah anugerah kebaikan kepada setiap Muslim yang memilikinya.

3. Uban yang tumbuh tidak perlu dicabut kerana ia adalah cahaya seorang Muslim di hari kiamat.

4. Uban yang tumbuh di kepala, pada setiap helai Allah akan menulis untuknya satu kebaikan, menghapus darinya satu kesalahan dan mengangkatnya dengan satu darajat.

Orang yang beruban rambutnya kerana menjalankan ketaatan kepada Allah SWT, dia memiliki keutamaan.

Friday, May 20, 2022

Malu Kepada Allah

Jumaat, 19 Syawal 1443H: Dari Abdullah bin Masud RA berkata, bersabda Rasulullah SAW: "Hendaklah kalian malu kepada Allah dengan sebenar-benar malu."

Berkata Ibnu Masud: "Wahai Rasulullah, kami malu, Ahamdulillah."

"Baginda bersabda: "Bukan itu, tapi malu kepada Allah yang sebenarnya adalah engkau menjaga kepala dan apa yang ada padanya, hendaklah ia menjaga perut dan apa yang dikandungnya, dan hendaklah ia selalu mengingati kematian dan busuknya jasad. Barangsiapa yang menginginkan kehidupan akhirat hendaklah ia meninggalkan perhiasan dunia. Dan barangsiapa yang mengerjakan yang demikian, maka sungguh ia telah malu kepada Allah dengan sebenar-benar malu.” 

(HR Tirmidzi No: 2382). Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

Mukmin yang benar-benar memiliki sifat malu kepada Allah ialah yang;

a. Menjaga dan memelihara kepala serta seluruh pancaindera di kepala seperti mata, telinga, mulut daripada melakukan perbuatan dosa dan maksiat. Di samping menjauhi syirik iaitu kepalanya tidak tunduk kepada selain Allah.

b. Menjaga dan memelihara perut daripada makan dan minum sesuatu yang haram dan berdosa.

c. Sentiasa mengingati mati dan bau busuknya tubuh badan apabila mati nanti

d. Meninggalkan perhiasan dunia (tidak bertungkus lumus mencari dunia sehingga melalaikan kehidupan akhirat).

Thursday, May 19, 2022

Jadilah Orang Yang Diredai Allah Bukan Dibenci

Khamis, 18 Syawal 1443H: Jadilah Orang Yang Diredai Allah Bukan Dibenci

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ اللَّهَ يَرْضَى لَكُمْ ثَلَاثًا وَيَسْخَطُ لَكُمْ ثَلَاثًا يَرْضَى لَكُمْ أَنْ تَعْبُدُوهُ وَلَا تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا وَأَنْ تَعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا وَأَنْ تُنَاصِحُوا مَنْ وَلَّاهُ اللَّهُ أَمْرَكُمْ وَيَسْخَطُ لَكُمْ قِيلَ وَقَالَ وَإِضَاعَةَ الْمَالِ وَكَثْرَةَ السُّؤَالِ

Dari Abu Hurairah RA berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah meredai kalian dalam tiga perkara dan benci kepada kalian dalam tiga perkara. Allah meredai kalian jika kalian beribadah kepada-Nya dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu, jika kalian berpegang teguh kepada agamanya dan tidak berpecah belah dan, jika kalian saling nasihat menasihati kepada orang yang diserahkan kepadanya urusanmu. 

Dan Allah membenci kalian dari sikap percaya kepada khabar yang tidak tentu sumbernya, banyak bertanya (tentang perkara yang tidak perlu) dan memboroskan harta". 

(HR Ahmad No: 8444) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Allah meredai seseorang apabila ia melakukan tiga perkara:

a. Beribadah kepada Allah dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu

b. Berpegang teguh kepada agama-Nya dan tidak berpecah belah

c. Saling nasihat menasihati dalam melaksanakan kewajipan dan tanggungjawab sebagai hamba dan khalifah.

2. Allah membenci seseorang apabila ia memiliki tiga perkara:

a. Percaya kepada khabar, maklumat atau info yang tidak tentu sumbernya sama ada dalam bentuk pertuturan mahupun tulisan.

b. Banyak bertanya (tentang perkara yang tidak perlu) sehingga menyusahkan orang lain untuk beramal

c. Membazir atau boros dalam membelanjakan harta

Wednesday, May 18, 2022

Saling Mencela Itu Adalah Syaitan

 Rabu, 17 Syawal 1443H:

عَنْ عِيَاضِ بْنِ حِمَارٍ قَالَ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ رَجُلٌ مِنْ قَوْمِي يَشْتُمُنِي وَهُوَ دُونِي عَلَيَّ بَأْسٌ أَنْ أَنْتَصِرَ مِنْهُ قَالَ الْمُسْتَبَّانِ شَيْطَانَانِ يَتَهَاتَرَانِ وَيَتَكَاذَبَانِ

Dari Iyadl bin Himar ia bertanya, "Saya berkata, "Wahai Rasulullah, seorang laki-laki dari kaumku mencaciku sementara ia sendiri tidak lebih mulia dariku, maka apakah saya berdosa jika membalas cacian darinya?" 

Baginda bersabda: "Dua orang yang saling mencaci adalah dua syaitan yang saling merendahkan dan saling berkata-kata dusta." 

(HR Ahmad No: 16836) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Orang yang dicela perlu sentiasa bersabar di atas perbuatan cacian orang lain ke atasnya.

2. Rasulullah SAW menyebutkan dua orang yang berbalah sambil mencela dan mencaci itu adalah syaitan.

3. Orang yang saling mencaci akan berlumba membuat dosa dengan memperlekeh, menghina, merendahkan lawannya serta berbohong.

Semoga kita tidak tergolong dari golongan syaitan. Berusahalah menjauhi perbuatan suka mencela dan menghina orang lain.

Thursday, May 12, 2022

Bahaya Makmum Mendahului Imam

Khamis, 10 Syawal 1443H: Daripada Abi Hurairah r.a. :

عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أَمَا يَخْشَى أَحَدُكُمْ أَوْ لَا يَخْشَى أَحَدُكُمْ إِذَا رَفَعَ رَأْسَهُ قَبْلَ الْإِمَامِ أَنْ يَجْعَلَ اللَّهُ رَأْسَهُ رَأْسَ حِمَارٍ أَوْ يَجْعَلَ اللَّهُ صُورَتَهُ صُورَةَ حِمَارٍ

Ertinya : Dari Nabi saw baginda bersabda :

“Takutlah kamu atau kenapa kamu tidak takut apabila mengankat kepalanya dulu dari imam bahawa Allah akan menjadikan kepalanya nanti kepala keldai atau Allah menukar rupanya dengan rupa keldai." 

(Hadith Bukhari)

Wednesday, May 11, 2022

Amalan Sunat Menampung Kekurangan Amalan Fardhu

Rabu, 9 Syawal 1443H; Rasululullah SAW berbunyi:

إِنَّ أَوَّلَ مَا يُحَاسَبُ بِهِ الْعَبْدُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ عَمَلِهِ صَلَاتُهُ، فَإِنْ صَلُحَتْ فَقَدْ أَفْلَحَ وَأَنْجَحَ، وَإِنْ فَسَدَتْ فَقَدْ خَابَ وَخَسِرَ، فَإِنْ انْتَقَصَ مِنْ فَرِيضَتِهِ شَيْءٌ قَالَ الرَّبُّ عَزَّ وَجَلَّ: انْظُرُوا هَلْ لِعَبْدِي مِنْ تَطَوُّعٍ، فَيُكَمَّلَ بِهَا مَا انْتَقَصَ مِنْ الْفَرِيضَةِ ثُمَّ يَكُونُ سَائِرُ عَمَلِهِ عَلَى ذَلِكَ

Maksudnya: “Sesungguhnya perkara yang pertama sekali akan dihisab terhadap seorang hamba daripada amalannya pada hari Kiamat ialah sembahyang (fardhu)nya. Jika baik (cara mengerjakan sembahyangnya), maka dia telah berjaya dan mendapat pahala, dan jika rosak (sembahyangnya), maka dia mendapat kerugian dan kebinasaan.

Jika ada sesuatu kekurangan daripada sembahyang fardhunya, maka Ar-Rabb ‘Azza wa Jalla berfirman: “Kamu lihat (periksa) adakah bagi hambaku ini sesuatu daripada sembahyang sunat, (jika ada) maka cukupkanlah dengannya (sembahyang sunat itu) apa yang kurang daripada sembahyang fardhu. Kemudian lakukanlah ke atas sekalian amal (fardhu)nya dengan cara sedemikian itu.” 

 

(Riwayat Tirmizi)

Tuesday, May 10, 2022

Puasa Sunat 6 Syawal

 Selasa, 8 Syawal 1443H; Daripada Abu Ayub al-Ansari RA yang mana Rasulullah SAW telah bersabda:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ

Maksudnya: Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan kemudian diikuti dengan enam hari di bulan Syawal, ianya bersamaan dengan berpuasa sepanjang tahun.

Riwayat Muslim (1164)