Jumaat, 3 Zulkaedah 1443H: Pesanan Untuk Orang Yang Akan Bermusafir
عَنْ سَالِمٍ أَنَّ ابْنَ
عُمَرَ كَانَ يَقُولُ لِلرَّجُلِ إِذَا أَرَادَ سَفَرًا ادْنُ مِنِّي
أُوَدِّعْكَ كَمَا كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ
وَسَلَّمَ يُوَدِّعُنَا فَيَقُولُ أَسْتَوْدِعُ اللَّهَ دِينَكَ
وَأَمَانَتَكَ وَخَوَاتِيمَ عَمَلِكَ
Daripada Salim RA bahawa Ibn
Umar RA berkata kepada seseorang apabila hendak melakukan musafir:
“Datanglah kepadaku, aku ingin menyampaikan ucapan perpisahan
sebagaimana Rasulullah SAW mengucapkan kepada kami, kemudian beliau
mengucapkan:
أَسْتَوْدِعُ اللَّهَ دِينَكَ وَأَمَانَتَكَ وَخَوَاتِيمَ عَمَلِكَ
“Aku
menyerahkan kepada Allah urusan agama kamu, amanah kamu dan pengakhiran
amalan kamu.”
(HR Tirmizi, No. 3443) Status: Hadis Sahih
.
Pengajaran:
1.Musafir
adalah perjalanan seseorang daripada satu tempat ke satu tempat yang
lain. Contohnya mengerjakan ibadat fardhu haji ke Mekah. Ianya boleh
menyebabkan kesulitan dan kemudharatan kerana menimbulkan kesukaran,
keletihan dan menghalang keselesaan, kerehatan serta kesempurnaan dalam
beribadah sepanjang perjalanan.
2.Justeru, Rasulullah SAW
telah mengajar para sahabat mengenai sunnah yang sangat baik untuk
diamalkan apabila seseorang hendak melakukan musafir ialah mengucapkan
doa kepadanya.
أَسْتَوْدِعُ اللَّهَ دِينَكَ وَأَمَانَتَكَ وَخَوَاتِيمَ عَمَلِكَ
“Aku menyerahkan kepada Allah urusan agama kamu, amanah kamu dan pengakhiran amalan kamu.”
3.
Terdapat juga dalam hadis Riwayat Anas RA, bahawa seorang lelaki telah
datang kepada Nabi SAW memberitahu dia akan bermusafir, lalu Nabi SAW
mendoakannya:
زَوَّدَكَ اللَّهُ التَّقْوَى وَغَفَرَ ذَنْبَكَ وَيَسَّرَ لَكَ الْخَيْرَ حَيْثُمَا كُنْتَ
“Semoga
Allah SWT membekalkanmu dengan ketaqwaan, mengampunkan dosamu dan Allah
memudahkan kebaikan untukmu di mana sahaja kamu berada.” (Sunan Tirmizi
No: 3444) Status: Hadis Sahih
4. Kebiasaannya, bermusafir akan
menyebabkan hilangnya kesenangan dan keselesaan dalam melakukan amalan
harian mahupun beribadah. Oleh sebab itu, Islam telah memberikan rukhsah
(keringanan) kepada seseorang yang bermusafir.
5. Sebagai
Muslim hendaklah kita mendoakan orang yang akan bermusafir dan berpesan
kepada mereka untuk sentiasa bertaqwa dan menjaga amalan ibadah
sepanjang perjalanan tersebut.
6. Sempena musim orang bertolak
untuk bermusafir mengerjakan ibadat haji yang dijangkakan penerbangan
awal bermula 4hb Jun 2022, doakanlah mereka dengan doa di atas semoga
mereka memperoleh kekuatan dan kemudahan sepanjang berada di sana dan
mendapat haji yang mabrur.
Mari kita doakan Duyufurrahman (tetamu Allah) dengan lafaz:
اللَّهُمَّ اجْعَلْ حَجًّا مَبْرُوْرًا وَسَعْيًا مَشْكُوْرًا وَذَنْبًا مَغْفُوْرًا
“Semoga Allah menganugerahkan haji yang mabrur, usaha yang disyukuri dan dosa yang diampuni.”
No comments:
Post a Comment