Khamis, 23hb Rabiul Awal 1444H: Bersedekah Semampu Mungkin
عَنْ سَعِيدُ بْنُ أَبِي بُرْدَةَ عَنْ
جَدِّهِ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى
كُلِّ مُسْلِمٍ صَدَقَةٌ قَالُوا فَإِنْ لَمْ يَجِدْ قَالَ فَيَعْمَلُ
بِيَدَيْهِ فَيَنْفَعُ نَفْسَهُ وَيَتَصَدَّقُ قَالُوا فَإِنْ لَمْ
يَسْتَطِعْ أَوْ لَمْ يَفْعَلْ قَالَ فَيُعِينُ ذَا الْحَاجَةِ
الْمَلْهُوفَ قَالُوا فَإِنْ لَمْ يَفْعَلْ قَالَ فَيَأْمُرُ بِالْخَيْرِ
أَوْ قَالَ بِالْمَعْرُوفِ قَالَ فَإِنْ لَمْ يَفْعَلْ قَالَ فَيُمْسِكُ
عَنْ الشَّرِّ فَإِنَّهُ لَهُ صَدَقَة
Daripada Said bin Abi
Burdah, dari datuknya berkata, Nabi SAW bersabda: "Wajib bagi setiap
muslim untuk bersedekah."
Para sahabat bertanya; "Bagaimana jika ia tidak mempunyai apa-apa? '
Baginda bersabda: "Hendaklah dia bekerja dengan kedua-dua tangannya, sehingga ia boleh memberi manfaat untuk dirinya dan bersedekah.'
Mereka bertanya lagi; 'Bagaimana jika ia tidak boleh melakukannya? '
Baginda bersabda: "Hendaklah dia menolong orang yang kesusahan atau sangat memerlukan bantuan.'
Mereka bertanya lagi; 'Bagaimana jika ia tidak mampu melakukannya? '
Baginda bersabda: "Suruhlah orang melakukan kebaikan atau; menyuruh melakukan yang makruf"'.
Mereka bertanya lagi; 'Bagaimana jika ia tidak dapat melakukannya? '
Baginda bersabda: "Tahanlah dirimu diri dari kejahatan, kerana itu juga adalah sedekah baginya.'
(HR Bukhari No: 5563) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Rasulullah SAW mengajar umatnya agar menjadi insan yang berguna, sentiasa memberi bukan mengharap pemberian.
2.
Pemberian tidak semestinya dalam bentuk kebendaan. Sumbangan boleh
dalam bentuk tenaga, harta, ilmu, kemahiran, nasihat yang berguna, buah
fikiran yang baik, kepakaran yang dimiliki dan sebagainya.
3.
Setiap Muslim perlu bekerja, agar ia memperoleh hasil yang dengannya ia
mampu mengurus dirinya dan menyumbang untuk orang lain, serta
menjauhkannya dari kehinaan meminta-minta.
4. Bersedekah dan
menyumbang menjadi bukti kebenaran iman seseorang. Sebagai muslim wajar
bersedekah atau menyumbang sesuai dengan potensi dan kemampuan
masing-masing, perlu bersegera jangan menunda, bimbang kematian
menjemput kita.
5. Jika ia tidak mampu membantu keperluan orang
lain dalam bentuk harta, menjadi sedekah juga bagi kita apabila dapat
menyuruh kepada kebaikan. Berdakwah melalui pelbagai relong –
berceramah, edar pamplet, forward 1 hari 1 hadis. Ini juga sedekah!
6.
Jika tidak ada apa-apa yang boleh diberikan untuk kebaikan orang lain,
maka tahan diri dari melakukan sebarang kejahatan. Kejahatan amat luas
pengetiannya. Ia merangkumi kezaliman dengan mencerobohi nyawa, maruah,
harta orang lain sama ada dengan perbuatan, perkataan, memek muka,
tulisan, gambar, atau menyimpan dendam serta buruk sangka terhadap
sesama manusia. Jadi apabila Nabi SAW bersabda “tahan dirimu dari
kejahatan” bererti mendidik diri agar menjauhi kejahatan lahir dan
batin.
7. Rasulullah SAW mengajar kepada kita adab dan akhlak
mulia. Diajukan kepadanya soalan bertubi-tubi, namun setiap satunya
dilayani dan dijawab dengan tenang tanpa mengherdik atau
merendah-rendahkan si penanya.
No comments:
Post a Comment