Selasa,27hb Rabiul Akhir 1444H: Berpada Ketika Mencintai dan Membenci Orang Lain
عَنْ أَبِي
هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
أَحْبِبْ حَبِيبَكَ هَوْنًا مَا عَسَى أَنْ يَكُونَ بَغِيضَكَ يَوْمًا مَا
وَأَبْغِضْ بَغِيضَكَ هَوْنًا مَا عَسَى أَنْ يَكُونَ حَبِيبَكَ يَوْمًا
مَا
Daripada Abu Hurairah RA ia berkata, Rasulullah SAW bersabda,
“Cintailah orang yang kamu cintai sekadarnya. Boleh jadi orang yang
sekarang kamu cintai suatu hari nanti menjadi orang yang kamu benci. Dan
bencilah orang yang kamu benci sekadarnya, boleh jadi suatu hari nanti
dia menjadi orang yang kamu cintai.”
(Sunan Tirmidzi No: 1997) Status:
Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Sifat cinta dan kasih adalah
fitrah manusia namun biarlah berpada. Contohnya mencintai pasangan juga
ahli keluarga yang berlebihan sehingga jika berlaku kematian, atau
orang yang disayangi meninggalkannya, impak kesedihan amat mendalam yang
boleh membawa kecelakaan padanya.
2. Maka cintailah saudaramu sewajarnya dengan memberikan hak-haknya tanpa berlebihan dan tanpa meremehkan haknya.
3.
Hasan Bashri RA berkata, “Hendaknya kalian mencintai jangan berlebihan
dan membenci tidak berlebihan. Telah ada orang-orang yang berlebihan
dalam mencintai satu kaum akhirnya binasa. Ada pula yang berlebihan
dalam membenci satu kaum dan mereka pun binasa.”
4. Jika
seseorang berlebihan dalam membenci lawannya, mungkin suatu masa nanti
hubungan mereka menjadi baik maka mereka akan malu untuk menjadi sahabat
dan kawan kerana merasa malu disebabkan berlebihan dalam membencinya
sebelum ini. Kebencian berlebihan juga boleh membinasakan.
Ingatlah firman Allah SWT:
وَعَسَىٰ
أَن تَكْرَهُوا شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ ۖ وَعَسَىٰ أَن تُحِبُّوا
شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَّكُمْ ۗ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا
تَعْلَمُونَ
Maksudnya: “Dan boleh jadi kamu membenci sesuatu
sedangkan ia baik bagi kamu. Dan boleh jadi kamu sukakan sesuatu
sedangkan itu adalah keburukan bagi kamu. Allah itu lebih mengetahui dan
kamu tidak mengetahui.” (Al-Baqarah: 216)
5. Awasilah sifat
benci yang boleh mendorong kita berlaku zalim kepada orang lain juga
menjadi penyebab kita tidak berlaku adil terhadap mereka.
Firman Allah surah al-Maidah ayat 8:
يَٰأَيُّهَا
ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُونُواْ قَوَّمِينَ لِلَّهِ شُهَدَآءَ
بِٱلۡقِسۡطِۖ وَلَا يَجۡرِمَنَّكُمۡ شَنََٔانُ قَوۡمٍ عَلَىٰٓ أَلَّا
تَعۡدِلُواْۚ ٱعۡدِلُواْ هُوَ أَقۡرَبُ لِلتَّقۡوَىٰۖ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ
إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرُۢ بِمَا تَعۡمَلُونَ ٨
Wahai orang-orang
yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang
menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan
sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu
kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada
sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa dan
bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan
mendalam akan apa yang kamu lakukan.
No comments:
Post a Comment