Rabu, 21hb Rabiul Akhir 1444H; Pemimpin Perlu Pembantu Jujur
عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ قَالَ
رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا أَرَادَ اللَّهُ
بِالْأَمِيرِ خَيْرًا جَعَلَ لَهُ وَزِيرَ صِدْقٍ إِنْ نَسِيَ ذَكَّرَهُ
وَإِنْ ذَكَرَ أَعَانَهُ وَإِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِهِ غَيْرَ ذَلِكَ
جَعَلَ لَهُ وَزِيرَ سُوءٍ إِنْ نَسِيَ لَمْ يُذَكِّرْهُ وَإِنْ ذَكَرَ
لَمْ يُعِنْهُ
Daripada Aisyah RA, ia berkata; Rasulullah SAW
bersabda: "Apabila Allah menghendaki kebaikan pada diri pemimpin maka
Allah akan menjadikan baginya menteri (pembantu) yang jujur, apabila ia
lupa maka ia akan mengingatkannya dan apabila ia ingat maka ia akan
membantunya. Dan apabila Allah menghendaki selain itu (keburukan) pada
diri seorang pemimpin maka Allah jadikan baginya menteri (pembantu) yang
buruk, apabila ia lupa maka ia tidak mengingatakannya, dan apabila ia
ingat maka ia tidak membantunya."
(HR Abu Daud No: 2543) Status: Hadis
Sahih
Pengajaran:
1. Pemimpin memikul tugas dan tanggungjawab yang berat. Pemimpin memerlukan pembantu yang boleh meringankan tugas kepimpinan.
2.
Jika Allah mahukan kebaikan kepada pemimpin, nescaya akan diberikan
kepadanya pembantu yang baik dan jujur. Pembantu yang baik, akan
berusaha dengan kemahiran yang ada membantu melaksanakan tugas-tugas
ketua dengan cemerlang dan sentiasa diredhai Allah.
3. Pembantu dan pekerja yang baik memiliki sifat kuat (berkemampuan) dan amanah seperti firman Allah:
إِنَّ خَيْرَ مَنِ اسْتَئْجَرْتَ الْقَوِىُّ الاَمِينُ
Sesungguhnya sebaik-baik orang yang engkau ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah. [al-Qasas:26]
Sebaik-baik
pekerja ialah yang memiliki dua sifat iaitu kuat yang merujuk kepada
skill serta kemampuan melaksanakan tugas dan amanah yang merujuk kepada
orang yang dipercayai dan takut kepada Allah serta tidak menyeleweng.
4.
Pembantu yang baik akan memberikan maklumat yang tepat dan benar
kepada ketua agar tindakan dapat diambil dengan tepat dan hikmah.
5.
Pembantu yang jujur, akan mengingatkan kepada ketua jika lupa atau
silap dan akan segera membantu, bukan turut sama mengiakan kesilapan.
6.
Pemimpin atau ketua sewajarnya melantik pembantu yang benar-benar
layak, amanah dan bertaqwa untuk membantunya memimpin organisasi atau
Negara dengan baik.
7. Jika kita sebagai ketua, pastikan
pembantu yang dipilih benar-benar layak dan sentiasa bersedia
mengingatkan pemimpin bukan hanya pembodek dan pengambil kesempatan.
8.
Sebagai rakyat yang berhak mengundi dalam PRU 15 ini, menjadi
tanggungjawab anda untuk mengundi pemimpin yang berintegriti, memiliki
kemampuan dan amanah yang akan memacu kemakmuran dan kestabilan Negara.
No comments:
Post a Comment