Selasa, 9 Jamadil Awal 1448H | Berwasiat Suatu Keperluan
عَنْ سَعْدٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ دَخَلَ عَلَيْهِ يَعُودُهُ وَهُوَ مَرِيضٌ وَهُوَ بِمَكَّةَ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَدْ خَشِيتُ أَنْ أَمُوتَ بِالْأَرْضِ الَّتِي هَاجَرْتُ مِنْهَا كَمَا مَاتَ سَعْدُ ابْنُ خَوْلَةَ فَادْعُ اللَّهَ أَنْ يَشْفِيَنِي قَالَ اللَّهُمَّ اشْفِ سَعْدًا اللَّهُمَّ اشْفِ سَعْدًا اللَّهُمَّ اشْفِ سَعْدًا فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ لِي مَالًا كَثِيرًا وَلَيْسَ لِي وَارِثٌ إِلَّا ابْنَةً أَفَأُوصِي بِمَالِي كُلِّهِ قَالَ لَا قَالَ أَفَأُوصِي بِثُلُثَيْهِ قَالَ لَا قَالَ أَفَأُوصِي بِنِصْفِهِ قَالَ لَا قَالَ أَفَأُوصِي بِالثُّلُثِ قَالَ الثُّلُثُ وَالثُّلُثُ كَثِيرٌ إِنَّ نَفَقَتَكَ مِنْ مَالِكَ لَكَ صَدَقَةٌ وَإِنَّ نَفَقَتَكَ عَلَى عِيَالِكَ لَكَ صَدَقَةٌ وَإِنَّ نَفَقَتَكَ عَلَى أَهْلِكَ لَكَ صَدَقَةٌ وَإِنَّكَ أَنْ تَدَعَ أَهْلَكَ بِعَيْشٍ أَوْ قَالَ بِخَيْرٍ خَيْرٌ مِنْ أَنْ تَدَعَهُمْ يَتَكَفَّفُونَ النَّاسَ
Daripada Saad RA, bahawa Rasulullah SAW datang menziarahinya ketika dia sedang sakit di Makkah. Kemudian Saad berkata; "Wahai Rasulullah, aku bimbang akan meninggal dunia di bumi yang telah aku berhijrah daripadanya, sebagaimana Saad bin Khaulah meninggal dunia. Maka berdoalah kepada Allah supaya menyembuhkan aku." Baginda berdoa: "ALLAHUMMA ASYFI SA'DAN, ALLAHUMMA ASYFI SA'DAN, ALLAHUMMA ASYFI SA'DAN (Ya Allah sembuhkanlah Saad, ya Allah sembuhkanlah Saad, ya Allah sembuhkanlah Saad) " kemudian Saad berkata; "Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku memiliki harta yang banyak dan aku tidak mempunyai waris kecuali seorang anak Perempuan. Bolehkah aku mewaisatkan seluruh hartaku untuknya?" Baginda menjawab; "Tidak" Saad bertanya lagi; "Atau aku wasiatkan dua pertiganya?" Baginda menjawab; "Tidak" Saad bertanya lagi; "Atau aku wasiatkan separuh?" Baginda menjawab; "Tidak" Saad bertanya lagi; "Atau aku wasiatkan sepertiganya?" Rasulullah SAW menjawab; "Ya, sepertiga, dan sepertiga itu sudah banyak. Sesungguhnya nafkah yang engkau keluarkan daripada hartamu adalah sedekah bagimu. Nafkahmu kepada anak-anakmu adalah sedekah bagimu. Nafkahmu kepada keluargamu adalah sedekah bagimu. Dan sesungguhnya engkau meninggalkan keluargamu dalam keadaan berkecukupan adalah lebih baik daripada engkau meninggalkan mereka meminta-minta kepada manusia.” (HR Ahmad No: 1363) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Menziarahi orang sakit ialah sunnah Rasulullah SAW. Ziarah menunjukkan kasih sayang dan kepedulian terhadap saudara yang sedang diuji.
2. Kita dianjurkan ketika menziarahi orang yang sakit, mendoakan kesembuhan. Antara doa mudah (dengan disebut namanya dihujung doa itu);
اللَّهُمَّ اشْفِ
3. Antara adab dan tuntutan kepada orang yang sakit ialah membuat wasiat.
4. Wasiat harta hendaklah dibuat mengikut ketetapan syarak iaitu tidak melebihi sepertiga.
5. Dua pertiga daripada harta yang dimiliki boleh ditinggalkan sebagai harta faraid kepada ahli keluarga.
6. Nafkah kepada keluarga boleh menjadi sedekah dan ibadah. Sesuatu yang kelihatan seperti urusan rutin keluarga boleh mendapat pahala apabila dilakukan dengan niat kerana Allah.
7. Menjaga kebajikan waris merupakan suatu kebaikan. Meninggalkan harta yang mencukupi kepada ahli keluarga yang ditinggalkan adalah lebih baik agar mereka tidak bergantung kepada pemberian orang lain atau menjadi peminta sedekah.
8. Islam mahu kita meninggalkan keluarga dalam keadaan bermaruah. Perancangan kewangan, nafkah, harta pusaka dan wasiat bukan sekadar urusan dunia, tetapi sebahagian daripada amanah agama.
No comments:
Post a Comment