Tuesday, November 24, 2026

Istighfar dan Zikir Selepas Solat Waktu

Selasa, 14 Jamadil Akhir 1448H  | Istighfar dan Zikir Selepas Solat Waktu
 
عَنْ ثَوْبَانُ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا انْصَرَفَ مِنْ صَلَاتِهِ اسْتَغْفَرَ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ ثُمَّ يَقُولُ اللَّهُمَّ أَنْتَ السَّلَامُ وَمِنْكَ السَّلَامُ تَبَارَكْتَ يَا ذَا الْجَلَالِ وَالْإِكْرَامِ
 
Daripada Tsauban RA, bahawa Rasulullah SAW apabila selesai menunaikan solat, baginda akan beristighfar sebanyak tiga kali, kemudian membaca: "ALLAHUMMA ANTAS SALAAM WA MINKAS SALAAM TABAARAKTA YAA DZAL JALAALI WAL IKRAM (Ya Allah, Engkaulah Yang Maha Sejahtera, dan daripada-Mu datangnya segala kesejahteraan. Maha Berkat Engkau, wahai Tuhan yang memiliki segala keagungan dan kemuliaan)." (HR Ibnu Majah No: 918) Status: Hadis  Sahih
 
Pengajaran:
 
1.    Selepas solat waktu, digalakkan beristighfar, berzikir dan berdoa.
 
2.    Rasulullah SAW mengajar umatnya supaya beristighfar memohon keampunan Allah sebanyak tiga kali selepas selesai menunaikan solat.
 
3.    Istighfar selepas solat mendidik manusia supaya tidak berbangga dengan ibadah atau menganggap dirinya telah mencapai kesempurnaan.
 
4.    Semakin banyak seseorang beribadah, semakin besar keperluannya untuk memiliki sifat tawaduk dengan beristighfar, bukan semakin berasa dirinya lebih baik daripada orang lain.
 
5.    Seorang Muslim hendaklah sentiasa bergantung kepada Allah SWT dalam mencari ketenangan jiwa, keselamatan hidup dan kesejahteraan dunia serta akhirat.
 
6.    Rasulullah mengajar zikir yang meyakini bahawa Allah ialah sumber keselamatan, kesejahteraan dan ketenangan yang turut dibaca selepas solat:

اللَّهُمَّ أَنْتَ السَّلَامُ وَمِنْكَ السَّلَامُ تَبَارَكْتَ يَا ذَا الْجَلَالِ وَالْإِكْرَامِ
 
7.    Zikir selepas solat bukan sekadar bacaan yang diulang, tetapi merupakan pendidikan akidah yang mengukuhkan pengenalan manusia terhadap sifat-sifat kesempurnaan Allah SWT.
 
8.    Seorang Muslim hendaklah berusaha mengamalkan istighfar dan zikir yang diajarkan oleh Baginda secara berterusan.
 

No comments: