Friday, August 19, 2022

Kemanisan Iman

Jumaat, 21 Muharram 1444H: Kemanisan Iman Kerana Cinta Dan Benci

عن أنسٍ رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال: ثَلَاثٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ وَجَدَ حَلَاوَةَ الْإِيمَانِ أَنْ يَكُونَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا وَأَنْ يُحِبَّ الْمَرْءَ لَا يُحِبُّهُ إِلَّا لِلَّهِ وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُودَ فِي الْكُفْرِ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُقْذَفَ فِي النَّارِ

Daripada Anas RA dari Nabi SAW baginda bersabda: "Ada tiga perkara, barangsiapa ada pada dirinya tiga perkara ini, maka dia akan merasakan manisnya iman (iaitu, yang pertama): Allâh Azza wa Jalla dan Rasul-Nya lebih dia cintai berbanding dengan yang lain, (kedua) dia mencintai seseorang dan dia tidak mencintai kecuali kerana Allâh dan (ketiga) dia benci kembali kepada kekufuran sebagaimana dia benci dicampakkan kedalam api neraka"

(Sahih Muslim No: 43) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.Tiga perkara jika dimiliki oleh seorang Muslim akan menjadikannya memperoleh kemanisan iman:

a.Allah dan Rasul-Nya lebih dicintai dari selain keduanya.

b.Apabila ia mencintai seseorang, ia hanya mencintainya kerana Allah.

c.Ia tidak suka untuk kembali kepada kekufuran setelah Allah menyelamatkannya, sebagaimana ia tidak mahu untuk dicampakkan ke dalam api neraka.

2.Mencintai Rasulullah SAW mewajibkan adanya penghormatan, ketundukan dan mengikuti serta mencontohi apa yang dilakukan oleh baginda (mengagungkan sunnahnya).

3.Di antara tanda cinta kepada Rasulullah SAW adalah dengan mengamalkan Sunnahnya, menghidupkan, dan mengajak kaum Muslimin untuk mengamalkannya, serta berjuang membela As-Sunnah dari orang-orang yang mengingkari As-Sunnah dan melecehkannya. Termasuk cinta kepada Nabi SAW adalah menolak dan mengingkari semua bentuk bidah dan kesesatan.

4.Mencintai seseorang adalah semata-mata kerana Allah sebagai tanda mencapai kemanisan iman. Ibnul Qayyim berkata: “Setiap kecintaan dan pengagungan kepada manusia hanya dibolehkan dalam rangka mengikuti kecintaan dan pengagungan kepada Allah. Mencintai dan mengagungkan Rasulullah SAW adalah penyempurnaan kecintaan dan pengagungan kepada Allah”.

5.Buktikan kemanisan iman kita dengan mencintai saudara kita yang lain seperti mana kita mencintai diri kita sendiri.

6.Kemanisan iman juga tercapai apabila kita tidak suka untuk kembali kepada kekufuran setelah Allah menyelamatkan kita, sebagaimana kita tidak mahu (benci) untuk dicampakkan ke dalam api neraka.

No comments: