Friday, July 22, 2022

Ucapan Salam Dan Berjabat Tangan Mengampunkan Dosa

 Jumaat, 22 Zulhijjah 1443H: Ucapan Salam Dan Berjabat Tangan Mengampunkan Dosa

عَنْ أَبِي دَاوُدَ قَالَ لَقِيتُ الْبَرَاءَ بْنَ عَازِبٍ فَسَلَّمَ عَلَيَّ وَأَخَذَ بِيَدِي وَضَحِكَ فِي وَجْهِي قَالَ تَدْرِي لِمَ فَعَلْتُ هَذَا بِكَ قَالَ قُلْتُ لَا أَدْرِي وَلَكِنْ لَا أَرَاكَ فَعَلْتَهُ إِلَّا لِخَيْرٍ قَالَ إِنَّهُ لَقِيَنِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَفَعَلَ بِي مِثْلَ الَّذِي فَعَلْتُ بِكَ فَسَأَلَنِي فَقُلْتُ مِثْلَ الَّذِي قُلْتَ لِي فَقَالَ مَا مِنْ مُسْلِمَيْنِ يَلْتَقِيَانِ فَيُسَلِّمُ أَحَدُهُمَا عَلَى صَاحِبِهِ وَيَأْخُذُ بِيَدِهِ لَا يَأْخُذُهُ إِلَّا لِلَّهِ عَزَّ وَجَلَّ لَا يَتَفَرَّقَانِ حَتَّى يُغْفَرَ لَهُمَا

Daripada Abu Daud ia berkata, saya menjumpai Al Baraa` bin Azib kemudian ia pun mengucapkan salam atasku dan memegang tanganku lalu tertawa di hadapanku. Kemudian ia bertanya, "Apakah kamu tahu, kenapa aku melakukan hal ini padamu?

Saya menjawab, "Tidak. Namun menurutku, kamu tidak melakukannya kecuali kerana kebaikan." 

Al Baraa berkata, "Bahawa Rasulullah SAW pernah berjumpa denganku, lalu baginda melakukan sebagaimana apa yang telah aku lakukan padamu. Kemudian ia bertanya kepadaku, maka saya pun menjawab sebagaimana yang kamu katakan padaku."

Maka baginda bersabda: "Siapapun dua orang muslim yang bertemu, kemudian salah seorang darinya mengucapkan salam kepada temannya serta menjabat tangannya dan ia tidak melakukan itu kecuali kerana Allah, maka tidaklah keduanya berpisah hingga dosa keduanya diampuni." 

(Musnad Ahmad No: 17814) Status: Hadis Hasan


Pengajaran:

1.Antara adab yang sewajarnya dilakukan oleh dua orang Muslim ketika bertemu ialah memberi salam dan berjabat tangan.

2.Mereka yang memberi salam dan berjabat tangan semata-mata kerana Allah, akan diampuni dosanya oleh Allah ketika dia berpisah.

Thursday, July 21, 2022

Berilah Salam Walaupun Pada Kanak-kanak

Khamis, 21 Zulhijjah 1443H: Berilah Salam Walaupun Pada Kanak-kanak

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَرَّ عَلَى غِلْمَانٍ فَسَلَّمَ عَلَيْهِم

Daripada Anas bin Malik RA bahawa Rasulullah SAW pernah bertemu dengan beberapa orang anak kecil, lalu baginda memberi salam kepada mereka. 

(Sahih Muslim No: 4031) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.Rasulullah SAW mengajar kita berakhlak mulia walau dengan sesiapapun

2.Antara akhlak mulia ialah mengucapkan salam apabila bertemu dengan orang Islam.

3.Rasulullah SAW memberi salam walaupun kepada kanak-kanak kecil

Tuesday, July 19, 2022

Jadikan Kejujuran Sebagai Tabiat

Selasa, 19 Zulhijjah 1443H:  Jadikan Kejujuran Sebagai Tabiat

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ الصِّدْقَ يَهْدِي إِلَى الْبِرِّ وَإِنَّ الْبِرَّ يَهْدِي إِلَى الْجَنَّةِ وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَصْدُقُ حَتَّى يَكُونَ صِدِّيقًا وَإِنَّ الْكَذِبَ يَهْدِي إِلَى الْفُجُورِ وَإِنَّ الْفُجُورَ يَهْدِي إِلَى النَّارِ وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَكْذِبُ حَتَّى يُكْتَبَ عِنْدَ اللَّهِ كَذَّابًا

Daripada Abdullah (Abdullah bin Mas'ud) RA daripada Nabi SAW bersabda: "Sesungguhnya kejujuran akan membimbing pada kebaikan, dan kebaikan itu akan membimbing ke syurga, sesungguhnya jika seseorang yang sentiasa berlaku jujur hingga dia akan dicatat sebagai orang yang jujur. Dan sesungguhnya kedustaan itu akan menghantarkan pada kejahatan, dan sesungguhnya kejahatan itu akan menggiringi ke neraka. Dan sesungguhnya jika seseorang yang selalu berdusta sehingga akan dicatat baginya sebagai seorang pendusta." 

(HR Bukhari No: 6094) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Islam adalah agama yang menuntut kepada setiap Muslim supaya sentiasa jujur dan menjauhi kedustaan dalam setiap perkara sama ada perkataan, perbuatan mahupun pekerjaan.

2. Seorang Muslim yang sentiasa jujur dari segi percakapan, perbuatan, akhlak, dan pekerjaan, ia akhirnya akan menjadi kebiasaan dalam amalannya. Kebiasaan yang jujur dan baik dalam amalannya menyebabkan ia dikenali oleh orang ramai sebagai orang yang jujur dan benar. Kebiasaan yang baik ini akan mendekatkannya kepada syurga.

3. Seorang yang sentiasa berdusta, berbohong mahupun menyampaikan berita palsu, perbuatan tersebut akan mendorongnya kepada kejahatan. Jika berterusan, perbuatan itu akan menjadi tabiat kebiasaan kepadanya. Perbuatan itu merupakan dosa yang akan menjadi penyebab dia dimasukkan ke neraka.

4. Setiap Muslim hendaklah sentiasa jujur dan benar dalam setiap pertuturan, penulisan dan perbuatan. Ucapkanlah perkataan yang betul, penulisan yang benar dan boleh mendatangkan kebaikan kerana ia akan menarik rahmat dan keampunan Allah SWT serta akan menyebabkan dirinya dikenali sebagai seorang yang benar. Ingatlah bahawa seseorang yang benar, sama sekali tidak pernah berdusta. Hindari berdusta kerana ia akan menghapuskan kebenaran.

Monday, July 18, 2022

Solat Malam (Qiamullail)

Isnin, 18 Zulhijjah 1443H: Jangan Tinggalkan Qiamullail

عَنْ يَزِيدَ بْنِ خُمَيْرٍ قَالَ سَمِعْتُ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ أَبِي قَيْسٍ يَقُولُ قَالَتْ عَائِشَةُ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا لَا تَدَعْ قِيَامَ اللَّيْلِ فَإِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ لَا يَدَعُهُ وَكَانَ إِذَا مَرِضَ أَوْ كَسِلَ صَلَّى قَاعِدًا

Daripada Yazid bin Khumair dia berkata; saya mendengar Abdullah bin Abu Qais berkata; Aisyah RA berkata; "Janganlah kamu meninggalkan solat malam (Qiamullail), kerana Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkannya, bahkan apabila baginda sedang sakit atau kepayahan, baginda solat dengan duduk." 

(HR Abu Daud No: 1307) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Antara sunnah Rasulullah SAW ialah melaksanakan qiamullail.

2. Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkan qiamullail walaupun dalam keadaan sakit atau kepayahan (lemah juga malas).

3. Lakukanlah solat sunat di malam hari walaupun dalam keadaan duduk.

Friday, July 15, 2022

Jangan Berbuat Zalim Dan Bakhil

 Jumaat, 15 Zulhijjah 1443H: Jangan Berbuat Zalim Dan Bakhil

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِيَّاكُمْ وَالظُّلْمَ فَإِنَّ الظُّلْمَ ظُلُمَاتٌ عِنْدَ اللَّهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَإِيَّاكُمْ وَالْفُحْشَ فَإِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْفُحْشَ وَالتَّفَحُّشَ وَإِيَّاكُمْ وَالشُّحَّ فَإِنَّهُ دَعَا مَنْ قَبْلَكُمْ فَاسْتَحَلُّوا مَحَارِمَهُمْ وَسَفَكُوا دِمَاءَهُمْ وَقَطَّعُوا أَرْحَامَهُمْ

Daripada Abu Hurairah RA berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Janganlah kalian berbuat zalim, kerana kezaliman akan menjadi kegelapan pada hari kiamat di sisi Allah, janganlah berbuat keji kerana Allah tidak suka kekejian dan perbutan keji, janganlah berbuat kikir, kerana itu yang menyebabkan kerosakan orang-orang sebelum kalian, sehingga mereka menghalalkan kehormatan, menumpahkan darah dan memutus hubungan silaturahim mereka." 

(HR Ahmad No: 9202) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.Muslim dilarang melakukan kezaliman kepada dirinya dan orang lain.

2.Perbuatan zalim ialah tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya. Contohnya mencuri, meninggalkan solat, mencela orang lain. Perbuatan ini adalah maksiat dan dosa. Kezaliman yang paling besar adalah perbuatan syirik yang tidak diampunkan oleh Allah.

3.Allah tidak suka kepada orang yang melakukan perbuatan keji atau buruk

4.Muslim juga dilarang bersifat kikir atau bakhil. Bakhil adalah buah dan akibat dari kecintaan kepada dunia.

5.Orang yang bakhil akan berusaha memiliki harta dengan apa juga cara asalkan mereka dapat dan memiliki tanpa mengira dengan cara yang halal atau haram, sanggup menumpahkan darah dan memutus hubungan silaturahim.

Jauhilah sifat zalim, keji dan bakhil.

Thursday, July 14, 2022

Kejujuran

Khamis, 14 Zulhijjah 1443H:  Kejujuran

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ ، قَالَ : قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : " اشْتَرَى رَجُلٌ مِنْ رَجُلٍ عَقَارًا لَهُ فَوَجَدَ الرَّجُلُ الَّذِي اشْتَرَى الْعَقَارَ فِي عَقَارِهِ جَرَّةً فِيهَا ذَهَبٌ ، فَقَالَ لَهُ : الَّذِي اشْتَرَى الْعَقَارَ خُذْ ذَهَبَكَ مِنِّي إِنَّمَا اشْتَرَيْتُ مِنْكَ الْأَرْضَ وَلَمْ أَبْتَعْ مِنْكَ الذَّهَبَ ، وَقَالَ : الَّذِي لَهُ الْأَرْضُ إِنَّمَا بِعْتُكَ الْأَرْضَ وَمَا فِيهَا فَتَحَاكَمَا إِلَى رَجُلٍ ، فَقَالَ : الَّذِي تَحَاكَمَا إِلَيْهِ أَلَكُمَا وَلَدٌ ، قَالَ : أَحَدُهُمَا لِي غُلَامٌ ، وَقَالَ : الْآخَرُ لِي جَارِيَةٌ ، قَالَ : أَنْكِحُوا الْغُلَامَ الْجَارِيَةَ وَأَنْفِقُوا عَلَى أَنْفُسِهِمَا مِنْهُ وَتَصَدَّقَا "

Daripada Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Ada seorang lelaki membeli daripada seorang lelaki yang lain sebidang tanah yang ada rumah. Lelaki si pembeli itu kemudiannya terjumpa di dalam rumah tersebut sebuah bejana yang mengandungi emas. Dia lalu berkata kepada lelaki yang menjual tanah tersebut, "Engkau ambillah emasmu ini. Aku hanya membeli daripadamu sebidang tanah ini, bukan aku membeli emas daripadamu.

Si lelaki penjual pula berkata, "Aku sudah menjual kepadamu tanah ini berserta segala apa yang ada di dalamnya sekali." 

Mereka berdua lantas bertemu seorang lelaki yang lain untuk dihakimi. Lelaki yang diminta menjadi hakim ini lalu bertanya, "Adakah kamu berdua mempunyai anak?" 

Salah seorang lelaki itu berkata, "Aku ada anak lelaki"

Lelaki kedua pula berkata, "Aku ada anak perempuan." 

Lelaki yang menjadi hakim itu berkata, "Kahwinkahlah anak-anak kamu itu, dan infaqkanlah emas ini kepada mereka, di samping bersedekahlah juga." 

(HR Muslim No: 3246) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Pentingnya kejujuran di dalam menuntut hak. Orang yang jujur tidak akan rugi kerana sifat jujur membawa keberkatan.

2. Seorang hakim yang baik perlu bijak membuat keputusan penghakiman. Di dalam kisah ini, si hakim bukan hanya melihat bagaimana memutuskan emas tersebut menjadi hak siapa, tetapi beliau memikirkan bagaimana kes tersebut dapat diselesaikan dengan menghasilkan kebaikan serta kesejahteraan kepada kedua-dua pihak.

3. Dalam memberi pandangan atau nasihat, berusahalah seberapa boleh untuk membantu mengukuhkan persaudaraan, lebih daripada menentukan hak seseorang ke atas yang lain.

4.Orang yang beriman perlu sentiasa bersifat: lebih takut terambil hak orang lain daripada menuntut hak sendiri.

Thursday, July 7, 2022

Puasa Sunat Arafah

 Khamis, 7 Zulhijjah 1443H: Puasa Sunat Arafah

عَنْ أَبِي قَتَادَةَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ صِيَامُ يَوْمِ عَرَفَةَ إِنِّي أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ وَالسَّنَةَ الَّتِي بَعْدَهُ أَهْلُ الْعِلْمِ صِيَامَ يَوْمِ عَرَفَةَ إِلَّا بِعَرَفَة

Daripada Abu Qatadah bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: "Puasa hari 'Arafah -saya berharap dari Allah- dapat menghapuskan dosa-dosa setahun sebelumnya dan juga tahun sesudahnya." Para ulama mensunnahkan puasa 'Arafah kecuali jika berada di 'Arafah."

 (Sunan Tirmizi No: 680) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.Disunahkan berpuasa pada hari Arafah (9hb Zulhijjah) bagi mereka yang tidak menunaikan ibadah haji

2.Orang yang berpuasa pada hari Arafah akan mendapat ganjaran keampunan setahun sebelum dan setahun selepas

3.Ganjaran puasa sunat Arafah seolah-olah berpuasa selama dua tahun.

عَنْ أَبِي قَتَادَةَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ كَلِمَةً تُشْبِهُ عَدْلَ ذَلِكَ قَالَ صَوْمُ عَرَفَةَ بِصَوْمِ سَنَتَيْنِ وَصَوْمُ عَاشُورَاءَ بِصَوْمِ سَنَة

Daripada Abu Qatadah bahawa Nabi SAW mengucapkan kata-kata yang mirip dengan kesamaannya, ia berkata; Puasa 'Arafah seperti puasa dua tahun dan puasa 'Asyura` sama seperti puasa setahun. 

(Musnad Ahmad No: 21568)

4.Rasulullah SAW dan para sahabat tidak menunaikan puasa Arafah ketika melaksanakan ibadah Haji, namun boleh sahaja untuk berpuasa.

سُئِلَ ابْنُ عُمَرَ عَنْ صَوْمِ يَوْمِ عَرَفَةَ بِعَرَفَةَ فَقَالَ حَجَجْتُ مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَلَمْ يَصُمْهُ وَمَعَ أَبِي بَكْرٍ فَلَمْ يَصُمْهُ وَمَعَ عُمَرَ فَلَمْ يَصُمْهُ وَمَعَ عُثْمَانَ فَلَمْ يَصُمْهُ وَأَنَا لَا أَصُومُهُ وَلَا آمُرُ بِهِ وَلَا أَنْهَى عَنْهُ قَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ وَقَدْ رُوِيَ هَذَا الْحَدِيثُ أَيْضًا عَنْ ابْنِ أَبِي نَجِيحٍ عَنْ أَبِيهِ عَنْ رَجُلٍ عَنْ ابْنِ عُمَرَ وَأَبُو نَجِيحٍ اسْمُهُ يَسَارٌ وَقَدْ سَمِعَ مِنْ ابْنِ عُمَر

Ibnu Umar RA ditanya tentang puasa Arafah di 'Arafah, dia menjawab, saya pernah melaksanakan haji bersama Nabi SAW dan dia tidak puasa di Arafah, saya juga pernah haji bersama Abu Bakar beliau juga tidak puasa 'Arafah, pernah juga bersama Umar dan dia tidak berpuasa, demikian halnya bersama 'Utsman, beliau juga tidak berpuasa dan saya tidak berpuasa juga tidak menyuruh orang lain untuk berpuasa dan tidak juga melarangnya. 

(HR Tirmizi No: 682) Status: Isnad Sahih

Tuesday, July 5, 2022

Upah Penyembelih dan Petugas Korban

Selasa, 5 Zulhijjah 1443H: Upah Penyembelih dan Petugas Korban

عَنْ عَلِيٍّ قَالَ أَمَرَنِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ أَقُومَ عَلَى بُدْنِهِ وَأَنْ أَتَصَدَّقَ بِلَحْمِهَا وَجُلُودِهَا وَأَجِلَّتِهَا وَأَنْ لَا أُعْطِيَ الْجَزَّارَ مِنْهَا قَالَ نَحْنُ نُعْطِيهِ مِنْ عِنْدِنَا

Daripada Ali RA ia berkata; "Aku disuruh Rasulullah SAW mengurus penyembelihan haiwan korban, menyedekahkan daging dan kulitnya, serta mengurus segala sesuatu yang berhubungan dengan kesempurnaan korban. Tetapi aku dilarang oleh baginda mengambil upah untuk tukang potong dari haiwan korban itu. Maka untuk upahnya kami ambilkan dari wang kami sendiri." 

(Sahih Muslim No: 2320) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.Antara ibadat yang dituntut pada hari Raya Eidul Adha 10 Zulhijjah dan Hari Tasyrik 11, 12 dan 13 Zulhijjah ialah melaksanakan Ibadat korban.

2.Daging serta apa-apa sahaja daripada binatang korban hendaklah disedekahkan kepada yang berhak seperti fakir miskin juga jiran tetangga.

3.Memberi daging korban kepada penyembelih atau pelapah atau petugas sebagai upah hasil kerja yang mereka lakukan adalah dilarang kerana ia termasuk dalam hukum jual beli, iaitu menjual daging untuk membeli tenaga kerja mereka.

4.Imam an-Nawawi dalam Syarah Sahih Muslim menyebut: “Hadis ini meminta agar kita tidak memberikan kepada penyembelih dan pelapah bahagian dari sembelihan korban kerana jika diberi kepadanya sebagai ganjaran kepada pekerjaannya sama ertinya dengan menjual satu bahagian dari bahagian korban kepada mereka. Ia tidak dibolehkan” (9/435 Cetakan Dar al-Khair, Beirut).

5.Telah sepakat al-Imam al-Syafii dan tokoh-tokoh mazhab al-Syafii bahawa tidak boleh sedikit pun dari sembelihan semasa haji dan umrah serta sembelihan korban dijual. Sama ada ia korban nazar atau sunat. Hal ini termasuk daging, lemak, kulit, tanduk, bulu dan sebagainya. Tidak boleh pula kulit atau selainnya dijadikan upah untuk penyembelih. (8/419-420. Beirut: Dar al-Fikr)

6.Hadis ini bukan melarang memberikan upah kepada para penyembelih atau pelapah. Larangan hanya jika upah itu diambil dari bahagian korban. Upah itu boleh diberikan dalam bentuk lain seperti wang atau selainnya yang tidak dari bahagian korban. Kerja dan tenaga seseorang itu patut dibayar upah.

7.Saidina Ali menyebut: Untuk upahnya (penyembelih dan pelapah), kami ambil dari wang kami sendiri.

8.Walaupun begitu, jika diberi kepada penyembelih atau petugas dari apa yang dikorban disebabkan kemiskinannya atau sebagai hadiah kerana dia jiran dan sebagainya, maka ini tidak mengapa. (juz. 3/ m .s.633. ctk. Dar al-Fikr, Damsyik.)

9.Antara kesalahan yang sering berlaku semasa pengurusan korban ialah mencuri daging korban ataupun bahagian korban tanpa izin dari empunya korban. Biasanya hal ini dilakukan oleh pelapah dan petugas yang terlibat dengan proses pengurusan penyembelihan. Kadang-kala mereka merasa berhak kerana menolong atau kerana AJK. Sedangkan daging korban tidak boleh dijadikan upah.

10.Ada yang meletakkan bahagian yang mereka sukai itu berasingan dan mengambil apabila selesai urusan korban. Walaupun mungkin tuan empunya tidak membuat bantahan, namun itu bukan bererti dia bersetuju memberikan. Ingatlah Firman Allah:

ياأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ

“Wahai mereka yang beriman, jangan kamu makan harta antara kamu dengan cara yang batil (salah)” (Surah al-Nisa: 29).

Monday, July 4, 2022

Bersegera Dengan Amal Soleh

 Isnin, 7 Zulhijjah 1443H: Bersegera Dengan Amal Soleh

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: بَادِرُوا بِالْأَعْمَالِ سَبْعًا هَلْ تَنْتَظِرُونَ إِلَّا فَقْرًا مُنْسِيًا أَوْ غِنًى مُطْغِيًا أَوْ مَرَضًا مُفْسِدًا أَوْ هَرَمًا مُفَنِّدًا أَوْ مَوْتًا مُجْهِزًا أَوْ الدَّجَّالَ فَشَرُّ غَائِبٍ يُنْتَظَرُ أَوْ السَّاعَةَ فَالسَّاعَةُ أَدْهَى وَأَمَرُّ

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Segeralah melakukan amal soleh (sebelum datang) tujuh perkara. Apakah yang kamu perlu tunggu melainkan kefakiran yang akan melupakan kamu (daripada beramal), atau kekayaan yang akan menimbulkan rasa angkuh yang melampui batas, atau penyakit yang merosak (sehingga sukar untuk beramal soleh), atau masa tua yang menimbulkan kenyanyukan dan keuzuran, atau kematian yang cepat (secara tiba-tiba), atau adanya Dajjal sebagai makhluk jahat yang paling ditunggu-tunggu, atau datang hari kiamat dan hari kiamat itu lebih berat dan lebih sukar." 

(HR Tirmizi, No: 2306) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Sesungguhnya Allah SWT yang menciptakan manusia daripada tiada kepada ada. Setiap yang hidup pasti akan menemui kematian. Lalu akan dihidupkan kembali di alam akhirat yang kekal selama-lamanya.

2. Jangan mensia-siakan waktu yang masih ada sebelum datang penyesalan yang tiada berguna. Perbanyakan istighfar (memohon keampunan) dan tinggalkan maksiat serta seringlah mengingati kematian kerana kita tidak tahu bila saat kematian akan tiba. Sesungguhnya dengan mengingati kematian seseorang Muslim itu akan sentiasa teruja melakukan ketaatan.

3. Setiap Muslim hendaklah segera beramal dan memperbaiki agar amal lebih baik sebelum datangnya tujuh perkara berikut :

a) Kemiskinan yang melupakan kewajipan seperti tidak kisah soal halal dan haram.
b) Kekayaan yang menimbulkan rasa angkuh dan sombong.
c) Penyakit berat sehingga sukar untuk beramal soleh.
d) Tua yang menyebabkan nyanyuk dan keuzuran.
e) Kematian mengejut.
f) Kemunculan Dajjal sebagai makhluk jahat.
g) Hari Kiamat yang sangat mengerikan.

Friday, July 1, 2022

Amalan 10 Hari Pertama Zulhijjah

 Jumaat, 1 Zulhijjah 1443H: Amalan 10 Hari Pertama Zulhijjah

عَنْ ابْنِ عُمَرَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَا مِنْ أَيَّامٍ أَعْظَمُ عِنْدَ اللَّهِ وَلَا أَحَبُّ إِلَيْهِ الْعَمَلُ فِيهِنَّ مِنْ هَذِهِ الْأَيَّامِ الْعَشْرِ فَأَكْثِرُوا فِيهِنَّ مِنْ التَّهْلِيلِ وَالتَّكْبِيرِ وَالتَّحْمِيدِ

Daripada Ibnu Umar RA, dari Nabi SAW baginda bersabda: "Tidak ada hari yang lebih besar di sisi Allah SWT dan beramal padanya lebih dikasihi oleh Allah dari hari-hari yang sepuluh ini. Maka perbanyakkanlah padanya bertahlil, bertakbir dan bertahmid."

 (Musnad Ahmad No: 5879) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.Perbanyakkan amal soleh setiap waktu di samping hari tertentu antaranya "Hari-hari yang sepuluh" iaitu 10 hari pertama bulan Zulhijjah (1 hb Zulhijjah hingga 10hb Zulhijjah). Firman Allah dalam surah al-Fajr 1-3 juga menyatakan;

وَالْفَجْرِ وَلَيَالٍ عَشْرٍ وَالشَّفْعِ وَالْوَتْر

“Demi fajar, dan malam yang sepuluh, dan yang genap dan yang ganjil”.

Imam At-Tobari menafsirkan “Wa layaalin ‘asr” (malam yang sepuluh) sebagai malam-malam sepuluh hari awal Zulhijjah berdasarkan kesepakatan hujah dari ahli tafsir. (rujuk Jami’ Al Bayan fi Ta’wil Al Quran:7/514)

Allah telah bersumpah dengannya (malam yang sepuluh). Bersumpahnya Allah dengan sesuatu menjadi dalil tentang besarnya manfaat (sepuluh hari tersebut).

2.Ibnu Abbas, Ibnu Al Zubair, Mujahid, dan beberapa ulama salaf dan khalaf berkata bahawa ia adalah sepuluh hari pertama Zulhijjah. Ibnu Kathir membenarkan pendapat ini. (rujuk tafsir Ibnu Kathir: 8/413)

3.Allah suka kepada hambaNya yang memperbanyak amalan soleh pada sepuluh hari awal bulan Zulhijjah (1hb hingga 10hb Zulhijjah).

4.Rebutlah peluang melakukan pelbagai amalan sunat menjelang Awal Zulhijjah. Kita mulakan dengan amalan puasa sunat paling tidak Isnin atau Khamis di samping perbanyakkan zikir dengan kalimah tahlil, tahmid dan takbir

5.Bulan Zulhijjah ini di dalamnya ada kelebihan tertentu untuk diraih bermula dari 1hb Zulhijjah hingga 10 Zulhijjah dengan pelbagai amal soleh termasuk puasa sunat setiap hari, puasa sunat Isnin dan Khamis, puasa sunat hari Arafah, perbanyakkan zikir, tilawah, doa, menunaikan ibadah haji juga melakukan ibadah korban.

Thursday, June 30, 2022

Larangan Memotong Kuku dan Rambut Peserta Korban

 Khamis, 30 Zulkaedah 1443H: Larangan Memotong Kuku dan Rambut Peserta Korban

عَنْ أُمِّ سَلَمَةَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا رَأَيْتُمْ هِلاَلَ ذِي الْحِجَّةِ وَأَرَادَ أَحَدُكُمْ أَنْ يُضَحِّيَ فَلْيُمْسِكْ عَنْ شَعْرِهِ وَأَظْفَارِهِ

Daripada Ummu Salamah RA, sesungguhnya Nabi SAW bersabda: "Jika telah masuk sepuluh hari pertama bulan Zulhijjah dan salah seorang antara kamu semua ingin menyembelih korban, janganlah memotong rambut dan kukunya (sehingga selesai korban)." 

 (Sahih Muslim No: 3655) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.Bagi mereka yang ingin melaksanakan ibadah korban, dilarang (makruh) menggunting rambut, mencukur, mencabut sebarang bulu di badan dan memotong kukunya bermula dari tarikh 1hb Zulhijjah sehingga dia melaksanakan ibadah korban tersebut.

2.Menurut Imam al-Nawawi larangan di dalam hadis ini bermaksud makruh memotongnya. Larangan menghilangkan kuku dengan memotong, mencabut atau dengan cara lain (secara sengaja). Termasuk juga larangan menghilangkan rambut sama ada mencukur, memendek, mencabut, membakar, menggunakan sesuatu untuk menghilangkan rambut dan apa jua cara sama ada pada bulu ketiak, misai, bulu ari-ari, rambut atau bulu-bulu lain di bahagian anggota badan yang lain." (Syarah Muslim Imam al-Nawawi, jil. 13, ms. 138-139)

3.Bagi mereka yang sengaja mahupun tidak sengaja memotong kuku ataupun rambut sebelum melaksanakan ibadah korban, memadai dia memohon keampunan kepada Allah. Dia tidak dikenakan fidyah (tebusan atau denda).

Ibn Qudamah r.h berkata: "Jika perkara itu berlaku, dia hendaklah segera beristighfar (memohon ampun) kepada Allah. Menurut ijmak tidak ada fidyah sama sekali, baik dilakukan dengan sengaja atau tidak sengaja." (Kitab al-Mughni karya Ibn Qudamah, jil. ms. 96)

4.Majoriti ulama dari mazhab Maliki, Syafie dan sebahagian mazhab Hanbali menyatakan makruh hukumnya memotong kuku atau rambut yang ada pada badan bermula 1hb Zulhijjah hingga ibadah korban dilaksanakan.

Tuesday, June 28, 2022

Mukmin Yang Utama dan Bijak

 Selasa, 28 Zulkaedah 1443H: Mukmin Yang Utama dan Bijak

عَنْ ابْنِ عُمَرَ أَنَّهُ قَالَ كُنْتُ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَجَاءَهُ رَجُلٌ مِنْ الْأَنْصَارِ فَسَلَّمَ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثُمَّ قَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيُّ الْمُؤْمِنِينَ أَفْضَلُ قَالَ أَحْسَنُهُمْ خُلُقًا قَالَ فَأَيُّ الْمُؤْمِنِينَ أَكْيَسُ قَالَ أَكْثَرُهُمْ لِلْمَوْتِ ذِكْرًا وَأَحْسَنُهُمْ لِمَا بَعْدَهُ اسْتِعْدَادًا أُولَئِكَ الْأَكْيَاسُ

Dari Ibnu Umar RA bahawa dia berkata; Saya bersama dengan Rasulullah SAW, tiba-tiba datang seorang laki-laki Ansar kepada baginda, lalu dia mengucapkan salam kepada Nabi SAW dan bertanya; "Ya Rasulullah, bagaimanakah orang mukmin yang utama?" 

Baginda menjawab: "Orang yang paling baik akhlaknya.

Dia bertanya lagi; "Orang mukmin yang bagaimanakah yang paling bijak?" 

Baginda menjawab: "Orang yang paling banyak mengingat kematian, dan yang paling baik persiapannya setelah kematian, merekalah orang-orang yang bijak." 

(HR Ibnu Majah No: 4249) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.Akhlak menjadi ukuran kemuliaan seseorang Mukmin. Mukmin yang paling utama adalah mereka yang paling baik akhlaknya

2.Kecerdikan Mukmin bukan hanya diukur keupayaannya di dunia. Mukmin yang paling bijak adalah yang paling banyak mengingati kematian dan sentiasa membuat persiapan untuk kehidupan yang kekal abadi di akhirat.

Monday, June 27, 2022

Menarik Kembali Pemberian

 Isnin, 27 Zulkaedah 1443H: Menarik Kembali Pemberian

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْعَائِدُ فِي هِبَتِهِ كَالْكَلْبِ يَقِيءُ ثُمَّ يَعُودُ فِي قَيْئِهِ

Dari Ibnu 'Abbas RA berkata; Nabi SAW bersabda: "Orang yang meminta kembali apa yang telah dihibahkannya (dihadiah) bagaikan anjing yang muntah lalu menjilat (memakan) kembali apa yang dimuntahkannya ke dalam mulutnya".

(HR Bukhari No: 2400) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.Antara cara mengeratkan hubungan ukhuwah dan kasih sayang dengan orang lain ialah dengan cara saling memberi atau berhadiah.

عَنْ عَطَاءِ بْنِ أَبِي مُسْلِمٍ عَبْدِ اللَّهِ الْخُرَاسَانِيِّ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَصَافَحُوا يَذْهَبْ الْغِلُّ وَتَهَادَوْا تَحَابُّوا وَتَذْهَبْ الشَّحْنَاءُ

Dari 'Atha bin Abu Muslim Abdullah Al-Khurasani berkata, "Rasulullah SAW bersabda: "Hendaklah kalian saling berjabat tangan, nescaya akan hilanglah kedengkian. Hendaklah kalian saling memberi hadiah, nescaya akan saling mencintai dan hilanglah permusuhan." (HR Malik No: 1413)

2.Sesuatu yang telah dihadiahkan, dilarang untuk diambil kembali.

3.Orang yang mengambil kembali sesuatu yang telah dihadiahkan kepada orang lain seumpama anjing yang memakan muntahnya sendiri.

Friday, June 24, 2022

Ikhlas Beramal

Jumaat, 24 Zulkaedah 1443H : Ikhlas Beramal

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ اللَّهَ لَا يَنْظُرُ إِلَى صُوَرِكُمْ وَأَمْوَالِكُمْ وَلَكِنْ يَنْظُرُ إِلَى قُلُوبِكُمْ وَأَعْمَالِكُمْ.

Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa dan harta kamu, tetapi Allah melihat kepada hati dan amalan kamu." 

(HR Muslim No: 2564) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.Ganjaran pahala di atas setiap amalan adalah bergantung kepada hati yang benar-benar ikhlas dan niat yang benar.

2.Kepentingan menjaga niat agar hati sentiasa benar dan bersih daripada sifat-sifat mazmumah serta membuahkan sifat taqwa kepada Allah SWT.

3.Kepentingan menjaga amalan hati terlebih mendahului daripada amalan yang dilakukan oleh anggota badan kerana hanya amalan yang dilakukan dengan ikhlas akan diterima dalam setiap amalan yang disyariatkan.

Wednesday, June 22, 2022

Ujian Penghapus Dosa

Rabu, 22 Zulkaedah 1443H: Ujian Penghapus Dosa

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا يَزَالُ الْبَلَاءُ بِالْمُؤْمِنِ وَالْمُؤْمِنَةِ فِي نَفْسِهِ وَوَلَدِهِ وَمَالِهِ حَتَّى يَلْقَى اللَّهَ وَمَا عَلَيْهِ خَطِيئَةٌ

Daripada Abu Hurairah RA berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Ujian (bala) akan sentiasa menimpa orang mukmin sama ada lelaki mahupun perempuan, pada dirinya, anak dan hartanya hingga ia bertemu Allah dengan tidak membawa satu kesalahan (dosa) pun atasnya.” 

(HR Tirmizi No: 2323) Hadis Hasan Sahih.


Pengajaran:

1.Setiap ujian (bala) atau musibah yang dihadapi oleh orang mukmin sama ada pada dirinya, harta serta ahli keluarganya adalah sebagai pengampun dosa-dosanya.

2.Al-Baghawi menyatakan: Tidak ada satupun musibah yang menimpa seorang hamba, demikian pula musibah yang lebih besar (dan luas) darinya, kecuali kerana sebab dosa yang Allah mengampuninya hanya dengan (cara menimpakan) musibah tersebut (kepadanya) atau Allah hendak mengangkat darjatnya (kepada suatu darjat kemuliaan) hanya dengan (cara menimpakan) musibah tersebut (kepadanya)” (Tafsir Al-Baghawi: 4/85)

3.Ada Muslim di hari akhirat nanti diampunkan semua dosanya ketika bertemu Allah kerana kesabaran dan ketabahan menghadapi ujian berbentuk musibah semasa di dunia.

4.Antara tujuan utama Allah SWT menimpakan ujian kepada hamba-Nya adalah untuk mengetahui siapakah di antara mereka yang baik amalannya. Firman Allah SWT:

الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلً

“Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya.” Al-Mulk: 2

Moga kita bersabar dengan setiap ujian yang dilalui agar ia menjadi penghapus dosa-dosa kita.

Tuesday, June 21, 2022

Penghapus Dosa

 Selasa, 21 Zulkaedah 1443H: Kesusahan, Kesakitan & Keperitan Menjadi Penghapus Dosa

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ وَأَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّهُمَا سَمِعَا رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَا يُصِيبُ الْمُؤْمِنَ مِنْ وَصَبٍ وَلَا نَصَبٍ وَلَا سَقَمٍ وَلَا حَزَنٍ حَتَّى الْهَمِّ يُهَمُّهُ إِلَّا كُفِّرَ بِهِ مِنْ سَيِّئَاتِهِ

Daripada Abu Sa'id dan Abu Hurairah RA bahawasanya kedua orang sahabat itu pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Tidak ada penderitaan, kesengsaraan, sakit, kesedihan dan bahkan juga kekalutan yang menimpa seorang mukmin, melainkan semua itu menghapuskan sebahagian dosanya." 

(HR Muslim No: 4670) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.Sebagai makhluk yang lemah, kita tidak boleh lari dari melalui ujian yang menyebabkan kesakitan, kesusahan, kesedihan mahupun kekalutan.

2.Setiap keperitan, kesusahan, kesakitan dan kesedihan yang dilalui oleh seseorang adalah ujian daripada Allah untuk hambanya.

3.Setiap mukmin yang bersabar dan redha diatas segala ujian keperitan, kesusahan, kesakitan juga kesedihan yang menimpanya, ia akan menjadi penghapus dosa-dosanya yang lalu.

4.Justru kita dituntut bersabar dan redha di atas segala ujian yang dilalui sama ada berbentuk kesusahan, kesakitan, kesedihan mahupun kepedihan.

Monday, June 20, 2022

Sakit Penghapus Dosa

 Isnin, 20 Zulkeadah 1443H: Sakit Penghapus Dosa

عَنْ الْحَارِثِ بْنِ سُوَيْدٍ قَالَ : قَالَ عَبْدُ اللَّهِ بْنُ مَسْعُودٍ قَالَ : رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : " مَا مِنْ مُسْلِمٍ يُصِيبُهُ أَذًى مَرَضٌ فَمَا سِوَاهُ إِلَّا حَطَّ اللَّهُ لَهُ سَيِّئَاتِهِ كَمَا تَحُطُّ الشَّجَرَةُ وَرَقَهَا " .

Daripada al-Harith bin Suiyed beliau berkata, telah berkata Abdullah bin Masud bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: “Tidaklah seorang muslim tertimpa suatu penyakit dan sejenisnya, melainkan Allah akan mengugurkan bersamanya dosa-dosanya seperti pohon yang menggugurkan daun-daunnya.” 

(Sahih Bukhari No: 5255) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.Sihat dan sakit adalah anugerah Allah kepada makhluk.

2.Rasa sakit adalah suatu anugerah yang harus disyukuri kerana Allah memberikan rasa sakit sebagai tanda kasih sayang Allah terhadap mahluknya. Apabila sakit, kita akan segera menyedari kelemahan kita sebagai hamba. Kita akan segera mengingati Allah dan berdoa agar diberi kesembuhan.

3.Bagi manusia yang berpikir tentunya, rasa sakit adalah sebagai ujian dari Allah untuk menghilangkan dosa seseorang malah juga untuk meningkatkan darajatnya di sisi Allah.

4.Orang yang bersabar dan redha di atas penyakit yang menimpanya, nescaya Allah akan menggugurkan bersamanya dosa-dosanya seperti pokok yang mengugurkan daun-daunnya yang kering.

Friday, June 17, 2022

Al-Quran Syafaat dan Barakah

Jumaat, 17 Zulkaedah 1443H:  Al-Quran Syafaat dan Barakah

عَنْ زَيْدٍ أَنَّهُ سَمِعَ أَبَا سَلَّامٍ يَقُولُ حَدَّثَنِي أَبُو أُمَامَةَ الْبَاهِلِيُّ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ اقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لِأَصْحَابِهِ اقْرَءُوا الزَّهْرَاوَيْنِ الْبَقَرَةَ وَسُورَةَ آلِ عِمْرَانَ فَإِنَّهُمَا تَأْتِيَانِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ كَأَنَّهُمَا غَمَامَتَانِ أَوْ كَأَنَّهُمَا غَيَايَتَانِ أَوْ كَأَنَّهُمَا فِرْقَانِ مِنْ طَيْرٍ صَوَافَّ تُحَاجَّانِ عَنْ أَصْحَابِهِمَا اقْرَءُوا سُورَةَ الْبَقَرَةِ فَإِنَّ أَخْذَهَا بَرَكَةٌ وَتَرْكَهَا حَسْرَةٌ وَلَا تَسْتَطِيعُهَا الْبَطَلَةُ

Daripada Zaid bahawa ia mendengar Abu Sallam berkata, telah menceritakan kepadaku Abu Umamah Al Bahili ia berkata; Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Bacalah Al-Quran, kerana ia akan datang memberi syafaat kepada para pembacanya pada hari kiamat nanti. Bacalah Zahrawain, iaini surah Al-Baqarah dan Ali Imran, kerana keduanya akan datang pada hari kiamat nanti, seperti dua tumpuk awan menaungi pembacanya, atau seperti dua kelompok burung yang sedang terbang dalam formasi hendak membela pembacanya. Bacalah Al-Baqarah, kerana dengan membacanya akan memperoleh barakah, dan dengan tidak membacanya akan menyebabkan penyesalan, dan pembacanya tidak dapat dikalahkan oleh tukang-tukang sihir." 

(HR Muslim No: 1910) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Al-Quran akan menjadi penolong (pemberi syafaat) kepada pembacanya pada hari akhirat nanti.

2. Al-Munawi menjelaskan bahawa apa yang dimaksudkan oleh Nabi bukanlah Al-Quran itu datang dalam bentuk lelaki, burung, awan dan sebagainya, akan tetapi yang dimaksudkan adalah pahala yang layak diberikan kepada mereka yang membaca dan beramal dengannya. Pahala-pahala itu nantinya akan datang dalam bentuk lelaki yang menjadi hujah di hadapan Allah. Ia juga menjadi seperti awan yang menaungi para pembacanya dari kepanasan di hari akhirat.

3. Sesiapa yang mengamalkan membaca surah Al-Baqarah dan Ali Imran pada hari kiamat nanti akan mendapat naungan kedua surah ini dengan izin Allah.

4. Orang yang melazimi membaca surah al-Baqarah, ia akan memperoleh barakah

5. Orang yang tidak membaca al-Quran, ia akan menyesal

6. Orang yang melazimi membaca surah al-Baqarah, tidak akan dapat dikalahkan oleh tukang-tukang sihir

Thursday, June 16, 2022

Ahli Al-Quran

 Khamis, 16 Zulkaedah 1443H: Ahli Al-Quran

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ يُقَالُ لِصَاحِبِ الْقُرْآنِ اقْرَأْ وَارْتَقِ وَرَتِّلْ كَمَا كُنْتَ تُرَتِّلُ فِي الدُّنْيَا فَإِنَّ مَنْزِلَتَكَ عِنْدَ آخِرِ آيَةٍ تَقْرَأُ بِهَا

Daripada Abdullah bin 'Amru dari Nabi SAW baginda bersabda: "Pada hari pengadilan kelak akan diseru kepada (sohibul Quran) ahli Al-Quran; Teruskanlah bacaan al-Quran mu dan teruskanlah menaiki tingkat demi tingkat syurga dan bacalah dengan tartil sebagaimana kamu membacanya ketika di dunia, sesungguhnya tempat terakhirmu ada pada ayat terakhir yang kamu baca."

(HR Tirmidzi No: 2838) Status: Hadis Hasan Sahih.

Pengajaran:

1. Sohibul Quran ialah mereka yang ahli dalam al-Quran, sentiasa mendampingi al-Quran juga penghafal al-Quran.

2. Sohibul Quran akan sentiasa menjaga hak al-Quran dengan membacanya, menghafal, memahami dan melaksanakan tuntutan al-Quran.

3. Orang yang membaca dan menghafal al-Quran perlu memberi tumpuan dan perhatian serta bersungguh-sungguh secara berterusan membaca dan menjaganya. Semoga al-Quran menjadi pegangan dan panduan hidup.

عَنْ مَالِك أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ تَرَكْتُ فِيكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا كِتَابَ اللَّهِ وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ

Daripada Malik, sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda: "Aku tinggalkan kepada kalian dua perkara yang kalian tidak akan tersesat selamanya selama berpegang teguh dengan keduanya iaitu Kitabullah dan Sunnah Nabi " (HR. Malik No: 1395).

4. Pada hari akhirat nanti orang yang membaca al-Quran berterusan akan menaiki tingkat demi tingkat di dalam syurga dan terus membacanya dengan tartil sebagaimana ia membacanya ketika di dunia.

Sempena Majlis Tilawah Al-Quran dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan yang sedang berlangsung di Dewan Besar Pusat Islam Iskandar Johor sekarang, marilah kita berusaha membaca dan menjadikannya panduan dalam kehidupan.

Wednesday, June 15, 2022

Dua Perkara Yang Sentiasa Muda Bagi Orang Tua

 Rabu, 15 Zulkaedah 1443H:  Dua Perkara Yang Sentiasa Muda Bagi Orang Tua

أَخْبَرَنِي سَعِيدُ بْنُ الْمُسَيَّبِ أَنَّ أَبَا هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَا يَزَالُ قَلْبُ الْكَبِيرِ شَابًّا فِي اثْنَتَيْنِ فِي حُبِّ الدُّنْيَا وَطُولِ الْأَمَلِ

Telah mengkhabarkan kepadaku Sa'id bin Al Musayyab bahawa Abu Hurairah radliallahu 'anhu berkata; saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Hati orang tua masih tetap berjiwa muda dalam dua perkara, iaitu; mencintai dunia dan panjang angan-angan." 

(HR Bukhari No: 5941) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.Rasulullah SAW mengingatkan agar berwaspada dengan keinginan hati yang melalaikan dan melekakan.

2.Kenginan untuk sentiasa muda adalah suatu yang baik jika disalurkan ke tempat yang betul seperti sentiasa muda dan bersemangat melakukan amal soleh.

3.Namun orang tua yang dikurniakan hati dan keinginan yang sentiasa muda dalam dua perkara iaitu; Mencintai dunia dan panjang angan-angan adalah dua perkara yang melalaikan.

4.Tanda cintakan dunia dapat dikenal pasti secara umumnya berdasarkan perkara-perkara ini:

- Hanya nikmat dunia yang menjadi matlamat dan tumpuan.
- Lalai atau lupa kepada matlamat terakhir iaitu akhirat.
- Mengetepikan agama dalam urusan seharian – baik kerana merasakan bahawa ia suatu yang menyukarkan atau tidak relevan dengan kehidupan.