Tuesday, June 30, 2026

Bertakwa dan Berakhlak Dalam Pergaulan

Selasa, 14 Muharam 1448H  |  Bertakwa dan Berakhlak Dalam Pergaulan

عَنْ أَبِي ذَرٍّ قَالَ قَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اتَّقِ اللَّهِ حَيْثُمَا كُنْتَ وَأَتْبِعْ السَّيِّئَةَ الْحَسَنَةَ تَمْحُهَا وَخَالِقِ النَّاسَ بِخُلُقٍ حَسَنٍ

Daripada Abu Dzar RA ia berkata; Rasulullah SAW bersabda kepadaku: "Bertakwalah kamu kepada Allah dimana sahaja kamu berada dan ikutilah setiap keburukan (dosa) dengan kebaikan, nescaya kebaikan itu akan  menghapuskannya, serta pergaulilah manusia dengan akhlak yang baik." (Sunan Tirmizi No: 1910)  Status: Hadis Hasan Sahih.

Pengajaran:
 
1.    Setiap Muslim perlu memiliki sifat takwa dimana sahaja ia berada dan dalam setiap waktu.
 
2.    Takwa berasal daripada perkataan wiqayah yang membawa maksud menjaga dan memelihara diri daripada kemurkaan Allah dengan  sentiasa melaksanakan perintah Allah dan menjauhi perkara yang dilarang.
 
3.    Abu Darda berkata: Taqwa yang paling sempurna ialah seorang hamba yang takut kepada kemurkaan Allah hinggakan dalam urusan seberat zarahpun dia masih takut. Setengah perkara yang halal pun ditinggalkan kerana takut ia menjadi haram.
 
4.    Lakukanlah amal kebaikan kerana ia boleh menjadi penyebab kepada penghapusan dosa yang dilakukan seperti beristighfar, berwuduk, solat, sedekah dan sebagainya.
 
5.    Berakhlak baiklah dalam pergaulan sesama manusia sama ada ahli keluarga, jiran tetangga, rakan sepejabat mahupun anggota masyarakat yang Muslim dan Non Muslim. Berlemah lembut, menjaga tutur kata, sabar, memaafkan juga hormatilah orang lain.
 
6.    Jagalah akhlak dalam perhubungan sesama manusia. Elakkan umpatan, fitnah, hinaan, merendah-rendah orang lain dan sebagainya.

Jadilah kita orang bertaqwa, yang melakukan amal solleh dan menjauhi mungkar, serta berakhlak mulia dalam pergaulan sesama manusia. Bersamalah kita membina masyarakat dan negara yang harmoni dan sejahtera.
 

Monday, June 29, 2026

Tangungjawab Muslim

Isnin, 13 Muharam 1448H  |  Tangungjawab Muslim

أَنَّ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَخْبَرَهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الْمُسْلِمُ أَخُو الْمُسْلِمِ لَا يَظْلِمُهُ وَلَا يُسْلِمُهُ وَمَنْ كَانَ فِي حَاجَةِ أَخِيهِ كَانَ اللَّهُ فِي حَاجَتِهِ وَمَنْ فَرَّجَ عَنْ مُسْلِمٍ كُرْبَةً فَرَّجَ اللَّهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرُبَاتِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَة

Bahawa Abdullah bin Umar RA mengkhabarkan bahawa Rasulullah SAW  bersabda: Seorang muslim ialah saudara terhadap muslim yang lain. Dia tidak boleh menzalimi dan tidak akan membiarkan orang lain dianiaya (tanpa bantuan atau perlindungan). Siapa yang memenuhi keperluan saudaranya, maka Allah akan memenuhi keperluannya. Sesiapa yang melapangkan kesusahan seorang muslim, maka Allah akan melapangkan kesukarannya di hari kiamat, dan sesiapa yang menutupi aib seorang muslim maka Allah akan menutup aibnya pada hari kiamat. (HR Bukhari No: 2310) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.    Setiap Muslim adalah bersaudara. Persaudaraan dibina atas iman. Menurut Imam al-Nawawi, persaudaraan menuntut kasih sayang, saling tolong menolong dan mengelakkan segala bentuk kezaliman.
 
2.    Sebagai Muslim, kita perlu menjaga hak sesama Muslim antaranya:
 
a)    Tidak boleh berlaku zalim atau berbuat aniaya ke atas orang Islam yang lain
b)   Tidak boleh membiarkan orang Islam yang lain di zalimi
 
3.    Tidak menzalimi dan tidak membiarkan saudaranya dizalimi termasuk tidak membuli, tidak menyebarkan fitnah dan tidak membiarkan saudara Muslimnya dizalimi oleh orang lain.
 
4.    Menjadi tanggungjawab kita membantu saudara kita yang memerlukan bantuan atau hajat. Orang yang berbuat demikian, Allah akan memperkenan hajatnya, sama ada dalam bentuk harta, ketenangan, kemudahan, perlindungan juga keberkatan hidup.
 
5.    Orang Islam yang melapangkan kesempitan orang Islam yang lain semasa di dunia, sama ada dalam bentuk kewangan, emosi, ilmu, menyelesaikan konflik juga memudahkan urusan, Allah akan melapangkan dan mempermudah kehidupannya di hari kiamat
 
6.    Menjadi tanggungjawab seorang Muslim menutup aib atau keburukan saudara Muslim yang lain. Orang yang menutup kekurangan, aib atau keburukan sahabatnya semasa di dunia, nescaya Allah akan menutup aib dan kekurangannya semasa di akhirat kelak.
 
7.    Menurut Al-Qadhi Iyadh dalam Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim (16/360): “Ditutupnya aib si hamba pada hari kiamat berkemungkinan dua keadaan:
 
a)    Allah akan menutup maksiat dan aibnya dengan cara tidak mengumumkannya kepada manusia di padang mahsyar.
 
b)   Allah Taala tidak akan menghisab aibnya dan tidak akan menyebut aib tersebut.

8.    Hadis ini membentuk seorang Muslim yang bukan hanya menjaga hubungan dengan Allah, tetapi juga menjadi sumber manfaat, perlindungan dan ketenangan kepada manusia di sekelilingnya.


Sunday, June 28, 2026

Allah Benci Orang Yang Keras Kepala dan Kuat Bermusuh

Ahad, 12 Muharam 1448H  |  Allah Benci Orang Yang Keras Kepala dan Kuat Bermusuh

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِنَّ أَبْغَضَ الرِّجَالِ إِلَى اللهِ الْأَلَدُّ الْخَصِمُ

Daripada Aisyah RA beliau berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Sesungguhnya manusia yang paling dibenci oleh Allah ialah orang yang keras kepala dan kuat bermusuhan. (HR Muslim No: 2668) Status : Hadis Sahih

Pengajaran:

1.    Orang yang paling Allah benci ialah mereka yang keras kepala, sukar menerima kebenaran dan kuat bermusuhan.
 
2.    Menurut Muhammad Fuad Abdul Baqi, yang dimaksudkan الألد  ialah permusuhan yang keras (keras kepala dan enggan menerima kebenaran). Manakala perkataan  الخصم  pula bermaksud permusuhan atau penentangan yang salah dalam menegakkan kebenaran ataupun menthabitkan kebatilan (Syarh Sahih Muslim). الخصم  juga bermaksud orang yang gemar bertengkar dan bermusuhan.
 
3.    Perkara yang dibenci Allah itu tidak terhad pada golongan batil sahaja, akan tetapi Allah juga benci pada golongan yang ingin menegakkan kebenaran namun memusuhi orang lain (dia saja yang betul sedangkan orang lain salah).

Firman Allah SWT:

وَمِنَ ٱلنَّاسِ مَن يُعۡجِبُكَ قَوۡلُهُۥ فِي ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا وَيُشۡهِدُ ٱللَّهَ عَلَىٰ مَا فِي قَلۡبِهِۦ وَهُوَ أَلَدُّ ٱلۡخِصَامِ

Dan di antara manusia ada orang yang ucapannya tentang kehidupan dunia menarik hatimu, dan dipersaksikannya kepada Allah (atas kebenaran) isi hatinya, padahal ia adalah penentang yang paling keras. (Al-Baqarah ayat 204)

4.    Janganlah kerana kita tidak bersetuju dengan seseorang atau sekelompok, menjadikan kita benci dan memusuhi mereka hingga seolah-olah tiada kebaikan pada mereka malah kita berusaha memburuk-burukkan.
 
5.    Pertelingkahan biasanya berpunca daripada sikap ego, keinginan untuk menang dan enggan mengaku kesilapan. Pertelingkahan yang tidak berfaedah akan mengeraskan hati, memutuskan ukhuwah, menimbulkan kebencian dan menghalang seseorang daripada menerima nasihat.
 
6.    Seorang Muslim yang berakhlak mulia akan mengutamakan adab, menerima kebenaran dengan hati yang terbuka dan menjadikan dialog sebagai jalan untuk mencapai kefahaman, bukan sebagai medan untuk menunjukkan kehebatan diri. Jagalah akhlak dan wasilah kita dalam menegakkan kebenaran dan menentang kebatilan agar kita tidak termasuk dalam golongan yang dibenci Allah.


Saturday, June 27, 2026

Jauhi Sifat Dengki, Benci dan Memutuskan Silaturahim & Ukhuwah

Sabtu, 11 Muharam 1448H  |  Jauhi Sifat Dengki, Benci dan Memutuskan Silaturahim & Ukhuwah
 
عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ:  لَا تَحَاسَدُوا، وَلَا تَبَاغَضُوا، وَلَا تَقَاطَعُوا، وَكُونُوا عِبَادَ اللَّهِ إِخْوَانًا
 
Daripada Anas bin Malik RA bahawa Nabi SAW bersabda: "Janganlah kamu saling dengki mendengki, janganlah kamu saling membenci, janganlah kamu saling memutuskan hubungan satu sama lain dan jadilah kamu hamba-hamba Allah yang bersaudara." (HR Muslim No: 4642) Status: Hadis  Sahih

Pengajaran:

1.    Sebagai Muslim kita dilarang saling berdengki sesama Muslim. Dengki berpunca dari penyakit hasad iaitu mengharap nikmat yang dimiliki orang lain hilang daripadanya.
 
2.    Elakkan dari saling membenci. Menurut Ibn Hajar, kebencian yang dilarang ialah kebencian kerana kepentingan dunia, hawa nafsu atau permusuhan peribadi.
 
3.    Setiap Muslim dilarang memutuskan hubungan silaturahim dengan ahli keluarga serta kerabat.  Memelihara silaturahim merupakan kewajipan yang dituntut oleh Islam.
 
4.    Berusahalah menjaga ukhuwah sesama Muslim  kerana orang Mukmin itu bersaudara. Persaudaraan Islam hendaklah dibina atas dasar iman, kasih sayang dan saling menghormati.
 
5.    Sifat hasad dengki dan kebencian yang ada pada seseorang menjadi penyebab putusnya hubungan ukhuwah dan silaturrahim.
 
6.    Menurut Ibn al-Qayyim, hasad, kebencian dan permusuhan merupakan penyakit hati yang boleh menghapuskan kemanisan iman serta merosakkan hubungan sesama manusia.
 
7.      Persaudaraan Islam bukan sekadar ikatan lahiriah, tetapi lahir daripada hati yang bersih dan keimanan yang tulus kepada Allah SWT. Oleh itu, setiap Muslim hendaklah sentiasa bermuhasabah, menyucikan hati daripada sifat-sifat mazmumah dan berusaha memupuk ukhuwah agar lahir masyarakat yang aman, bersatu dan diredai Allah SWT.
 

Friday, June 26, 2026

Menghuni Neraka Kerana Dosa Lisan

Jumaat, 10 Muharam 1448H  |   Menghuni Neraka Kerana Dosa Lisan

عن أبي هريرة رضي الله عنه قَالَ: قِيْلَ لِلنَّبِيِّ صلى الله عليه و سلم يَا رَسُوْلَ اللهِ إِنَّ فُلاَنَةً تَقُوْمُ اللَّيْلَ وَ تَصُوْمُ النَّهَارَ وَ تَفْعَلُ وَ تَصَدَّقُ وَ تُؤْذِي جِيْرَانَهَا بِلِسَانِهَا  فَقَالَ رَسُوْلُ اللهِ صلى الله عليه و سلم: لاَ خَيْرَ فِيْهَا هِيَ مِنْ أَهْلِ النَّارِ قَالُوْا: وَ فُلاَنَةً تُصَلِّى اْلمَكْتُوْبَةَ وَ تَصَدَّقُ بِأَثْوَارٍ وَ لاَ تُؤْذِي أَحَدًا فَقَالَ رَسُوْلُ اللهِ صلى الله عليه و سلم: هِيَ مِنْ أَهْلِ اْلجَنَّةِ

Daripada Abu Hurairah RA berkata, pernah ditanyakan kepada Rasulullah SAW, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya seorang wanita sentiasa bangun malam untuk beribadah,  berpuasa di siang hari, mengerjakan banyak ibadah (berbagai kebaikan) dan bersedekah, tetapi dia sering menyakiti para tetangganya dengan lisannya?”. Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Tiada kebaikan padanya, dia termasuk dalam kalangan penghuni neraka”. Kemudian para sahabat bertanya lagi, “Sesungguhnya ada seorang wanita (yang lain) hanya mengerjakan solat wajib dan bersedekah dengan sepotong keju, namun tidak pernah menyakiti seorangpun”. Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Dia termasuk dalam kalangan penghuni syurga”. (HR Bukhari di dalam al-Adab al-Mufrod: 119). Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.    Seseorang akan ditempatkan kedalam syurga atau neraka bukan hanya bergantung banyaknya amal fardhu dan sunat atau tidak. 
 
2.    Ada orang yang rajin solat sunat malam, rajin puasa sunat, banyak melakukan kebaikan dan bersedekah, tetapi masuk neraka kerana menyakiti jiran tetangganya dengan lisannya (habis segala pahala kebaikannya).
 
3.    Menurut Ibn Hajar al-Asqalani, ancaman ini menunjukkan bahawa menyakiti jiran merupakan dosa besar apabila dilakukan secara berterusan tanpa penyesalan atau taubat.
 
4.    Ada orang yang hanya mengerjakan amalan fardhu seperti solat fardhu dan puasa Ramadan, sedekahnya sedikit namun masuk syurga kerana tidak menyakiti orang lain.
 
5.    Menurut Ibn Rajab al-Hanbali, hadis ini menunjukkan bahawa menunaikan kewajipan agama serta menjaga hak manusia lebih utama daripada memperbanyakkan ibadah sunat tetapi mengabaikan akhlak.
 
6.    Pada hari ini dosa lisan banyak digantikan dalam bentuk tulisan, gambar juga video yang kadang kala lebih kesat, buruk, penuh dengan adu domba, umpatan, kejian dan fitnah termasuk yang ditularkan di FB, Twitter, Whatsapp, Telegram, Tik Tok dan sebagainya.
 
7.    Ingatlah amaran Allah kepada pengumpat, pemfitnah dan pencela dalam surah al-Humazah

وَيْلٌ لِكُلِّ هُمَزَةٍ لُمَزَةٍ

"Kecelakaanlah bagi setiap pengumpat lagi pencela"

-  Humazah menurut Mujahid, pengumpat termasuk cemohan dengan lisan dan ucapan termasuk body shaming (ejekan menghina fizikal).

-  Lumazah menurut Abi Hayan dalam Tafsir al-Bahrul Muhith bererti hinaan dengan isyarat mata, tangan dan sebagainya

Inilah gambaran manusia jahiliah yang memiliki jiwa lemah dan hina akibat tidak memiliki iman yang benar serta kehormatan diri. Ingatlah bahawa pengumpat akan dihumban ke neraka hutamah.

Pelihara ibadat fardhu dan bersungguh-sungguh menjaga lisan dan tulisan, sama ada yang kita tulis atau yang kita forward.
 

Thursday, June 25, 2026

Puasa Menjauhkan Dari Api Neraka

Khamis, 9 Muharam 1448H  |   Puasa Menjauhkan Dari Api Neraka

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: مَنْ صَامَ يَوْمًا فِى سَبِيلِ اللَّهِ بَعَّدَ اللَّهُ وَجْهَهُ عَنِ النَّارِ سَبْعِينَ خَرِيفًا

Daripada Abu Said al-Khudri RA beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa yang berpuasa selama satu hari di jalan Allah (ikhlas mencari keredhaan Allah), nescaya Allah akan menjauhkan wajahnya daripada api neraka sejauh 70 tahun perjalanan. (HR Bukhari No: 2840) Status Hadis Sahih

Pengajaran:
 
1.    Puasa mempunyai ganjaran yang sangat besar. Puasa antara ibadat yang menjadikan seseorang hamba dekat dengan syurga dan jauh daripada api neraka. Walaupun hanya berpuasa sehari, Allah SWT menjanjikan perlindungan yang amat besar daripada api neraka kepada orang yang ikhlas.
 
2.    Keikhlasan adalah asas penerimaan amalan. Setiap ibadah hendaklah dilakukan semata-mata kerana Allah, bukan untuk dipuji atau mendapat penghormatan manusia.
 
3.    Setiap amalan kecil boleh membawa ganjaran besar. Hadis ini membuktikan bahawa amalan yang kelihatan sederhana boleh menjadi sebab seseorang memperoleh keselamatan di akhirat apabila dilakukan dengan penuh keimanan dan keikhlasan.
 
4.    Puasa adalah perisai kepada seorang mukmin. Rasulullah SAW bersabda:

الصِّيَامُ جُنَّةٌ يَسْتَجِنُّ بِهَا الْعَبْدْ مِنَ النَّارِ

Puasa adalah perisai, seorang hamba berperisai dengannya dari api neraka” (HR Ahmad 3/241) Status: Hadis Sahih

5.    Sehari ibadat puasa oleh seorang Mukmin yang dilakukan dengan ikhlas akan menjauhkan seseorang dari neraka sejauh 70 tahun perjalanan.
 
6.    Umat Islam digalakkan memperbanyakkan puasa sunat khususnya pada bulan Muharam. Antara hari yang digalakkan berpuasa selain daripada Isnin dan Khamis, puasa Tasu’a (9 Muharam) dan puasa Asyura (10 Muharam) juga puasa sunat pada pertengahan bulan hijrah atau dipanggil puasa hari puteh (13, 14 dan 15 haribulan Hijrah).
 
7.    Hadis ini mendorong umat Islam agar menjadikan puasa sebagai amalan berterusan, khususnya pada bulan Muharam, di samping menjadikannya sebahagian daripada usaha hijrah rohani untuk membina ketakwaan, keikhlasan dan keselamatan di dunia serta di akhirat. Moga ibadat puasa akan menghindarkan kita dari api neraka.
 

Wednesday, June 24, 2026

Berpuasa Hari Asyura Tanda Kecintaan Kepada Rasul

Rabu, 8 Muharam 1448H |   Berpuasa Hari Asyura Tanda Kecintaan Kepada Rasul

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ قَدِمَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمَدِينَةَ وَالْيَهُودُ تَصُومُ عَاشُورَاءَ فَقَالُوا هَذَا يَوْمٌ ظَهَرَ فِيهِ مُوسَى عَلَى فِرْعَوْنَ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِأَصْحَابِهِ أَنْتُمْ أَحَقُّ بِمُوسَى مِنْهُمْ فَصُومُوا

Daripada  Ibnu 'Abbas RA dia berkata; "Ketika Nabi SAW  tiba di Madinah, baginda mendapati orang-orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura` (10 muharam). Mereka berkata; "Ini adalah hari dimana Nabi Musa memperoleh kemenangan ke atas Firaun. Maka Nabi SAW bersabda kepada para sahabatnya: "Kalian lebih berhak terhadap Musa daripada mereka. Oleh itu berpuasalah kalian pada hari tersebut." (HR Bukhari No: 4312) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.    Ibadat Puasa adalah antara syariat yang diwajibkan keatas umat terdahulu. Puasa Hari Asyura (10hb Muharam) adalah antara syariat Nabi Musa sebagai tanda bersyukur diatas kemenangan Nabi Musa dan Bani Israel daripada kezaliman Firaun dan tenteranya.
 
2.    Rasulullah SAW berpuasa pada hari Asyura sejak sebelum kewajipan berpuasa Ramadan dan mengajak para sahabat juga berpuasa.
 
3.    Kita sebagai umat Islam lebih wajar menunjukkan tanda kecintaan kepada para Rasul termasuk kepada Nabi Allah Musa AS. Antara tanda kecintaan itu dengan berpuasa pada hari Nabi Allah Musa AS mengalahkan Firaun dan tenteranya yang ditenggelamkan di laut Merah sebagai tanda bersyukur.
 
4.    Rasulullah SAW menegaskan bahawa umat Islam lebih berhak meneladani Nabi Musa a.s. kerana Islam merupakan kesinambungan risalah tauhid yang dibawa oleh semua nabi. Hadis ini mengajar tentang kepentingan syukur, keyakinan terhadap pertolongan Allah, serta mengambil iktibar daripada sejarah perjuangan para rasul.
 
5.    Puasa ‘Asyura’ bukan sekadar ibadah, tetapi juga penghayatan kepada perjuangan nabi terdahulu dan tanda syukur di atas segala nikmat Allah kepada kita.
 
6.    Puasa Asyura merupakan sunnah yang mempunyai kelebihan besar dan menjadi antara amalan yang sangat digalakkan pada bulan Muharam.
 
7.    Umat Islam perlu mengambil iktibar daripada kisah para nabi dan menjadikannya sumber kekuatan dalam menghadapi cabaran kehidupan.


Tuesday, June 23, 2026

Puasa Tasu’a (puasa 9hb Muharam)

Selasa, 7 Muharam 1448H   | Puasa Tasu’a (puasa 9hb Muharam)

عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا يَقُولُا حِينَ صَامَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ عَاشُورَاءَ وَأَمَرَ بِصِيَامِهِ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّهُ يَوْمٌ تُعَظِّمُهُ الْيَهُودُ وَالنَّصَارَى فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَإِذَا كَانَ الْعَامُ الْمُقْبِلُ إِنْ شَاءَ اللَّهُ صُمْنَا الْيَوْمَ التَّاسِعَ قَالَ فَلَمْ يَأْتِ الْعَامُ الْمُقْبِلُ حَتَّى تُوُفِّيَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Abdullah bin Abbas RA, beliau berkata: Ketika Rasulullah SAW berpuasa pada hari Asyura dan memerintahkan para sahabat untuk puasa pada hari tersebut, ada sahabat yang berkata: Wahai Rasulullah, sesungguhnya hari Asyura adalah hari yang diagungkan orang Yahudi dan Nasrani. Kemudian Rasulullah SAW bersabda: “Jika sampai tahun hadapan, Insha Allah kita akan berpuasa pada hari ke sembilan.” Abdullah bin Abbas berkata: Namun, belum sampai tahun depan, Rasulullah SAW telah wafat. (HR Muslim No: 1916) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.    Hadis ini menunjukkan bahawa puasa hari Asyura merupakan ibadah yang sangat diberi perhatian oleh Rasulullah SAW.
 
2.    Antara hari yang digalakan berpuasa pada bulan Muharam ialah puasa sunat hari Tasu'a (9hb Muharam) iaitu sehari sebelum hari Asyura (10hb Muharam).
 
3.    Puasa dua hari iaitu puasa sunat Tasu'a (9hb Muharam)  dan puasa sunat Asyura (10hb Muharam) adalah untuk membezakan amalan berpuasa seorang Muslim dengan puasa orang Yahudi dan Keristian.
 
4.    Ibnul Qayim dalam Zadul Ma’ad, 2/72 menjelaskan puasa yang berkait hari Asyura ada tiga Kategori:
 
a)    Kategori paling sempurna, puasa tiga hari. Sehari sebelum Asyura, hari Asyura, dan sehari selepas Asyura  (9hb, 10hb dan 11hb Muharam).

b)   Kategori kedua, puasa pada 9hb dan 10hb Muharam berdasarkan banyak hadis.

c)    Kategori ketiga, puasa pada10hb Muharam saja.

5.    Marilah kita tunaikan puasa Sunat Tasu'a (9hb Muharam) yang jatuh pada 25hb Jun hari Khamis dan puasa Sunat Asyura (10hb Muharam) pada 26hb Jun hari Jumaat. Moga Allah akan mengampukan dosa-dosa kita setahun yang lalu.

Monday, June 22, 2026

Puasa Asyura (10hb Muharam)

Isnin, 6 Muharram 1448H  |   Puasa Asyura (10hb Muharam)

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ مَا رَأَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَتَحَرَّى صِيَامَ يَوْمٍ فَضَّلَهُ عَلَى غَيْرِهِ إِلَّا هَذَا الْيَوْمَ يَوْمَ عَاشُورَاءَ وَهَذَا الشَّهْرَ يَعْنِي شَهْرَ رَمَضَانَ

Daripada Ibnu Abbas RA, beliau mengatakan: “Aku tidak pernah melihat Nabi SAW begitu bersungguh-sungguh berusaha untuk berpuasa pada suatu hari yang lebih baginda utamakan daripada hari-hari yang lain melainkan hari ini iaitu hari Asyura, dan puasa bulan Ramadan.” (HR Bukhari No: 1867) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:
 
1.    Antara ibadat puasa yang menjadi keutamaan kepada Rasulullah SAW untuk kita contohi selain puasa dibulan Ramadan ialah puasa pada hari Asyura (10hb Muharam).
 
2.    Menurut Imam Nawawi, Rasulullah memberi perhatian utama kepada puasa Asyura kerana kelebihan dan ganjarannya dapat menghapuskan segala dosa setahun yang lalu (Imam Nawawi kata diampunkan segala dosa kecil). Dari Abu Qatadah Al-Anshari RA, beliau mengatakan:

سئل عن صوم يوم عاشوراء فقال كفارة سنة

Nabi SAW ditanya tentang puasa Asyura, Baginda menjawab: “Puasa Asyura menjadi penebus dosa setahun yang telah lalu.” (HR Muslim No: 1976). Status: Hadis Sahih

3.    Puasa hari Asyura mengingatkan kita kepada perjuangan Nabi Musa AS menegakkan kebenaran menghadapi kezaliman. Menurut Ibn Hajar al-Asqalani, puasa Asyura mengajar umat Islam supaya mensyukuri nikmat dan pertolongan Allah kepada para nabi dan orang beriman. Hari Asyura mengingatkan tentang kemenangan kebenaran ke atas kebatilan, serta pertolongan Allah kepada hamba-hamba-Nya yang sabar dan istiqamah.
 
4.    Hadis ini menunjukkan bahawa Rasulullah SAW sangat mengambil berat tentang puasa Hari Asyura sehingga menjadikannya antara puasa sunat yang paling diutamakan.
 
5.    Rebutlah peluang melakukan puasa sunat sempena Asyura pada 26hb Jun ini. Semoga amalan berpuasa sunat Asyura akan menjadi penebus dosa-dosa kita setahun yang lalu. Jadilah Muslim yang memiliki jati diri yang kukuh, bersih dari dosa dan maksiat. Kita perlu melahirkan warganegara yang merdeka daripada dosa, dan dalam masa yang sama memiliki peribadi yang utuh untuk membangunkan Negara yang Sejahtera.
 


Sunday, June 21, 2026

Ukhuwah Faktor Kejayaan Membina Negara

Ahad, 5 Muharram 1448H  |  Ukhuwah Faktor Kejayaan Membina Negara

عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: لاَيُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيْهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ

Daripada Anas RA, dari Nabi SAW, Baginda bersabda: “Tidak sempurna Iman seseorang daripada kamu sehingga dia mencintai saudaranya (mendapat kebaikkan) seperti dia cinta untuk dirinya sendiri (mendapatkannya)”. (HR Bukhari No: 12) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.    Kesempurnaan iman berkait rapat dengan akhlak seseorang terhadap orang lain.
 
2.    Mengasihi saudara Muslim yang lain seperti ia mengasihi dirinya sendiri adalah pra syarat kesempurnaan iman.
 
3.    Seorang Muslim menginginkan hidayah, rezeki, kesihatan, kejayaan, nikmat serta kebahagiaan untuk dirinya sendiri. Justeru Muslim yang sempurna imannya hendaklah mengharapkan kebaikan yang sama kepada saudara Muslimnya yang lain.
 
4.    Hadis ini secara tidak langsung menghapuskan penyakit hasad dengki, iri hati, kebencian juga permusuhan. Orang yang benar-benar beriman tidak akan berasa sempit hati apabila melihat saudaranya memperoleh nikmat daripada Allah.
 
5.    Menurut Ibn Rajab al-Hanbali, antara tanda kesempurnaan iman ialah seseorang bergembira melihat saudaranya memperoleh kebaikan sebagaimana dia bergembira apabila dirinya sendiri memperoleh kebaikan.
 
6.    Semasa peristiwa hijrah, Rasulullah SAW telah mempersaudarakan Muhajirin dan Ansar. Golongan Ansar menunjukkan semangat ukhuwah sehingga sanggup berkongsi rumah, harta, kebun, perniagaan juga sumber pendapatan demi membantu saudara Muhajirin mereka yang kehilangan segalanya di Mekah.
 
7.    Langkah strategik Rasulullah SAW mempersaudarakan ini demi memastikan ikatan ukhuwah dan persaudaraan dalam kalangan Ansar dan Muhajirin kukuh terpatri. Ia menjadi faktor utama kepada kejayaan pembinaan Negara Madinah yang digeruni dan dihormati oleh kuasa-kuasa besar seperti Rom dan Parsi.
 
8.    Hijrah mengajar bahawa asas pembinaan ummah yang berjaya ialah kasih sayang, ukhuwwah dan sikap mengutamakan kepentingan saudara seagama. Inilah antara pengajaran terbesar yang wajar dihayati sempena kedatangan Tahun Baru Hijrah.

9.    Maal hijrah sewajarnya menyemarakkan ikatan ukhuwah dan berkasih sayang sesama Muslim. Jangan jadikan perbezaan pemikiran, pandangan dan kumpulan sebagai pemisah. Banyak titik persamaan yang boleh dicari untuk berada di bawah payung keimanan, toleransi dan ukhuwah.


Saturday, June 20, 2026

Syurga Untuk Pengunjung Masjid

Sabtu, 4 Muharram 1448H   |  Syurga Untuk Pengunjung Masjid

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ غَدَا إِلَى الْمَسْجِدِ أَوْ رَاحَ أَعَدَّ اللَّهُ لَهُ فِي الْجَنَّةِ نُزُلًا كُلَّمَا غَدَا أَوْ رَاحَ

Daripada Abu Hurairah RA dari Nabi SAW, baginda bersabda: "Barangsiapa datang ke masjid pada waktu pagi atau petang, maka Allah akan menyediakan baginya suatu tempat persinggahan di syurga (kediaman yang mulia), setiap kali dia pergi ke masjid pada waktu pagi atau petang." (HR Muslim No:1073) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.    Orang yang sentiasa mengunjungi sama ada untuk solat, menuntut ilmu, beriktikaf dan sebagainya di masjid pagi dan petang akan disediakan baginya tempat tinggal yang baik di syurga.
 
2.    Rasulullah SAW menjanjikan perlindungan di hari kiamat kepada tujuh golongan, satu daripada golongan itu adalah …. mereka yang hatinya terikat dengan masjid walau di mana dia berada:

عَنْ أَبِيْ هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : سَبْعَةٌ يُظِلُّهُمُ اللهُ فِيْ ظِلِّهِ يَوْمَ لَا ظِلَّ إِلَّا ظِلُّهُ….. وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ فِي الْـمَسَاجِدِ

Daripada Abu Hurairah RA, dari Nabi SAW, baginda bersabda, “Tujuh golongan yang dinaungi Allâh dalam naungan-Nya pada hari dimana tidak ada naungan kecuali naungan-Nya (di hari Akhirat): …. seorang yang hatinya sentiasa terikat ke masjid. (Sahih Bukhari: 660)

3.    Bersungguhlah menjaga solat berjemaah khususnya di masjid bagi kaum lelaki. Ingatlah kisah Sulaiman Ibn Hamzah al-Maqdisi keturunan Ibn Qudamah seorang ketua hakim di Syam, beliau pernah berkata: Aku tidak pernah solat fardu secara sendirian kecuali 2 kali dan sehingga sekarang aku seakan-akan merasa masih belum mengerjakannya (padahal usianya ketika itu mencecah 90 tahun) (dalam ar-Raqaik oleh Muhammad Ahmad ar-Rasyid)
 
4.    Tempat pertama yang Rasulullah SAW bina ketika sampai ke Quba dalam peristiwa hijrah baginda adalah Masjid iaitu masjid Quba. Marilah sama-sama kita berusaha menjadikan masjid sebagai rumah kedua kita untuk menunaikan solat berjemaah, mendalami ilmu agama, dan mengeratkan hubungan ukhuwah sesama ahli kariah. Sahutlah seruan muazin ketika azan dikumandangkan … “Hayya a’lal Solah, Hayya a’lal Falah” (mari menunaikan solat, mari menuju kejayaan)… Kunjungilah masjid khususnya apabila masuk waktu solat fardhu.
 
5.    Hadis ini mengajarkan bahawa melazimi ke masjid pagi dan petang merupakan tanda keimanan, dan Allah menjanjikan tempat istimewa di syurga bagi mereka yang istiqamah dalam amalan ini. Ia menanam nilai cinta kepada rumah Allah, disiplin dalam ibadah, dan keikhlasan dalam mencari keredhaan-Nya.
 
6.    Masjid bukan sekadar tempat solat tetapi juga merupakan tempat menuntut ilmu, berdakwah, berzikir, tadarus al-Quran, membina ukhuwah juga membentuk akhlak Masyarakat. Masjid adalah pusat pembinaan ruh dan pembangunan Masyarakat. Berusahalah memakmurkan masjid kerana ia merupakan rumah Allah di dunia dan jalan menuju rumah yang kekal di syurga.


Friday, June 19, 2026

Membangun dan Mengimarahkan Masjid

Jumaat, 3 Muharram 1448H  | Membangun dan Mengimarahkan Masjid

عَنْ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَنْ بَنَى مَسْجِدًا يُذْكَرُ فِيهِ اسْمُ اللَّهِ بَنَى اللَّهُ لَهُ بَيْتًا فِي الْجَنَّةِ

Daripada Umar Ibnul Khatthab RA ia berkata; Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa membangunkan masjid yang di dalamnya digunakan untuk berzikir kepada Allah, maka Allah akan membangunkan baginya sebuah rumah di syurga." (Sunan Ibnu Majah No: 727) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.    Allah memberikan ganjaran yang besar kepada sesiapa yang menyumbang kepada pembinaan masjid dengan ikhlas semata-mata untuk digunakan di dalamnya bagi mengingati Allah.
 
2.    Membina masjid merangkumi sumbangan dana pembinaan masjid, pembesaran juga baik pulih termasuk menyediakan kemudahan yang diperlukan oleh masjid. Menurut Imam al-Nawawi, seseorang mendapat ganjaran mengikut kadar sumbangan dan penglibatannya dalam pembinaan masjid.

3.    Orang yang membangunkan masjid ini tergolong dalam kalangan pemakmur masjid Allah. Firman Allah:

إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلا اللَّهَ فَعَسَى أُولَئِكَ أَنْ يَكُونُوا مِنَ الْمُهْتَدِينَ

Maksudnya: Hanyalah yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang  beriman kepada Allah dan hari kemudian, serta tetap mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak takut (kepada siapapun) selain Allah, maka merekalah yang termasuk golongan orang-orang yang selalu mendapat petunjuk (dari Allah Ta’ala)” (Surah At-Taubah: 18).

4.    Ibnu al-Jauzi dalam Zaadul Masiir (3/408) berkata: yang dimaksudkan dengan “memakmurkan” dalam ayat di atas ialah mereka yang:

a.  Selalu mendatangi masjid dan beribadat di dalamnya
b.  Membangun masjid dan memperbaikinya.

5.    Masjid perlu dibangunkan fizikal serta rohnya (program dan aktiviti yang mendekatkan seseorang kepada Allah). Orang yang membangunkan masjid akan diberi ganjaran mahligai di syurga.

6.    Perkara pertama yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dalam peristiwa hijrah adalah membina Masjid. Dimulakan dengan masjid Quba dan diikuti dengan Masjid Madinah. Masjid dijadikan tempat solat berjamaah, menghimpunkan rakyat, merapatkan ukhuwah, menyampaikan dakwah, mengajarkan al-Quran serta mengurus pemerintahan.

7.    Jangan jadikan masjid seperti *gajah puteh*. Kata Saidina Ali: Akan datang suatu zaman ke atas manusia, tidak kekal di dalam Islam kecuali namanya sahaja dan tidak kekal dalam ajaran al-Quran melainkan tinggal tulisannya sahaja, masjid yang besar dan indah dibangunkan di sana sini tetapi manusia tidak mengambil petunjuk daripadanya.

Marilah sempena Sambutan Hijrah 1448 ini kita mencontohi kejayaan dan kegemilangan Rasulullah SAW membangunkan Negara Islam Madinah dengan dimulakan di masjid. Masjid adalah pusat pembinaan generasi dan tamadun. Jom ikat diri kita dengan masjid. Mengimarahkan Masjid Tanggungjawab Kita.


Thursday, June 18, 2026

Muharam Bulan Utama Berpuasa Selepas Ramadan

Rabu, 1 Muharram 1448H  |    Muharam Bulan Utama Berpuasa Selepas Ramadan

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أَفْضَلُ الصِّيَامِ بَعْدَ شَهْرِ رَمَضَانَ، شَهْرُ اللَّهِ الْمُحَرَّمُ، وَإِنَّ أَفْضَلَ الصَّلَاةِ بَعْدَ الْمَفْرُوضَةِ، صَلَاةُ اللَّيْلِ

Daripada Abu Hurairah RA beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: Puasa yang paling utama selepas puasa bulan Ramadhan ialah berpuasa pada bulan Allah  iaitu bulan Muharam dan sesungguhnya solat yang paling utama setelah solat fardu ialah solat malam (Tahajud). (HR Abu Daud No: 2429) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.    Di antara amalan soleh yang sangat digalakkan untuk umat Islam lakukan pada bulan Muharam adalah dengan memperbanyakkan berpuasa sunat.

2.    Sebaik-baik puasa setelah puasa wajib di bulan Ramadan adalah puasa sunat di bulan Muharam.

3.    Seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah SAW tentang bulan apakah yang Rasulullah perintahkan untuk dirinya berpuasa setelah bulan Ramadhan? Maka jawab baginda SAW:

إِنْ كُنْتَ صَائِمًا بَعْدَ شَهْرِ رَمَضَانَ فَصُمِ الْمُحَرَّمَ فَإِنَّهُ شَهْرُ اللَّهِ

Maksudnya: Sekiranya kamu hendak berpuasa setelah bulan Ramadan maka berpuasalah kamu pada bulan Muharam kerana sesungguhnya ia adalah bulan Allah. (HR Tirmizi No: 741)

4.     Bulan Muharam disebut sebagai bulan Allah menunjukkan kemuliaan dan kelebihan bulan Muharam. Umum mengetahui jika sesuatu perkara itu disandarkan kepada Allah maka ianya menjadi suatu yang mulia. Sama seperti Baitullah, Abdullah, Rasulullah, dan seumpamanya.

5.     Menurut Imam Nawawi bulan Muharam adalah antara bulan yang paling utama untuk memperbanyak puasa sunat. Antaranya berpuasa pada hari ke-9 Muharam (Tasuua’a) dan ke-10 Muharam (Asyura’).

6.     Solat yang paling utama setelah solat fardu adalah solat sunat di malam hari (qiamullail) seperti solat Tahajud, Taubat, Witir dan lain-lain. Solat malam memerlukan keikhlasan, kesabaran juga pengorbanan keselesaan.

7.     Hadis ini mengajarkan kita bahawa amalan sunat yang dilakukan dengan ikhlas dan berterusan selepas amalan fardu merupakan jalan mendekatkan diri kepada Allah. Ia menggalakkan kesungguhan ibadah puasa walaupun di luar bulan Ramadan, serta menjadikan waktu malam sebagai peluang besar untuk meningkatkan pahala.

8.     Marilah kita perbanyakkan berpuasa sunat pada bulan ini, antaranya puasa sunat Isnin, Khamis, puasa sunat hari puteh (13, 14 dan 15 hb) juga puasa Sunat Tasuua’a dan Asyura pada 9 dan 10 hb Muharam.

Selamat Menyambut Kedatangan Tahun Baru Hijrah 1448. Madani Dihayati, Ummah Diberkati.
 

Niat dan Hijrah Kerana Allah

Khamis, 2 Muharram 1448H  |  Niat dan Hijrah Kerana Allah

عَنْ أَمِيْرِ الْمُؤْمِنِيْنَ أَبِيْ حَفْصٍ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ صلى الله عليه وسلم يَقُوْلُ: إِنَّمَا اْلأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى. فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى اللهِ وَرَسُوْلِهِ فَهِجْرَتُهُ إِلَى اللهِ وَرَسُوْلِهِ وَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ لِدُنْيَا يُصِيْبُهَا أَوْ امْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ.

Daripada Amirul Mu’minin, Abi Hafs Umar bin Al Khattab RA, dia berkata, "Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya setiap amalan itu  bergantung kepada niat, dan sesungguhnya setiap orang (akan dibalas) berdasarkan apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya kerana (ingin mendapatkan keredhaan) Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan sesiapa yang hijrahnya kerana tujuan dunia yang ia menginginkannya atau kerana wanita yang ingin dikahwininya maka hijrahnya adalah kepada apa yang ia berhijrah kepadanya (yang dia niatkan). (HR Bukhari No: 1) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.     Setiap amal atau perbuatan seseorang itu tidak hanya bergantung kepada bentuk zahirnya, tetapi juga kepada tujuan dan niat yang Ikhlas kerana Allah.

2.     Niat merupakan syarat diterima atau tidaknya sesuatu amal perbuatan. Amal ibadah tidak akan menghasilkan pahala kecuali berdasarkan niat yang benar dan Ikhlas (kerana Allah).

3.     Ikhlas melakukan sesuatu amal semata-mata kerana Allah adalah dituntut pada semua amal dan ibadah.

4.     Semua aktiviti yang baik boleh menjadi ibadah dan berpahala jika diniatkan kerana Allah seperti mengajar, menulis, berniaga, bekerja selagi tidak bercanggah dengan syarak.  
 
5.     Orang yang berhijrah atau melakukan sesuatu perbuatan kerana dunia, maka dia hanya akan dapat dunia yang diinginkan.

6.     Orang yang berhijrah kerana wanita, dia hanya akan dapat seperti yang diniatkan.

7.     Orang yang berhijrah kerana Allah, dia akan memperoleh apa yang diniatkan dengan ganjaran pahala.

8.     Hijrah adalah meninggalkan sesuatu yang buruk dan dilarang oleh Allah kepada melakukan sesuatu yang lebih baik dan diredai Allah. Mari bersama berhijrah.

9.     Lakukanlah apa juga amal kebaikan dengan niat yang ikhlas kerana Allah. Berusahalah melakukan hijrah kepada sesuatu yang lebih baik dan diredai serta meninggalkan segala perkara yang buruk dan dosa.


Tuesday, June 16, 2026

Hijrah Menjadi Muslim Sejahtera

Selasa, 30 Zulhijjah 1447H | Hijrah Menjadi Muslim Sejahtera

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الْمُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ وَالْمُهَاجِرُ مَنْ هَجَرَ مَا نَهَى اللَّهُ عَنْهُ

Daripada Abdullah bin Amru bahawa Nabi SAW bersabda: "Seorang muslim yang sebenar ialah orang yang kaum Muslimin selamat daripada gangguan lidah dan tangannya. Dan seorang Muhajir (penghijrah) yang sebenar ialah orang yang meninggalkan perkara yang dilarang oleh Allah " (HR Bukhari No: 9) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.    Muslim yang sempurna adalah seorang yang sentiasa sejahtera kepada orang Islam lain melalui penjagaan lidahnya dengan bercakap benar, menjauhi umpatan, fitnah, menyebarkan berita palsu, adu domba juga mengelakkan kata-kata yang menyakitkan hati orang lain.
 
2.    Menurut Ibn Hajar, lidah disebut terlebih dahulu kerana kebanyakan dosa yang merosakkan hubungan sesama manusia bermula daripada percakapan. Pada zaman moden, termasuk dalam makna "lidah" ialah tulisan di media sosial, komen di internet, mesej dan hantaran digital.
 
3.    Muslim yang sempurna juga merupakan seorang yang sejahtera kepada orang lain melalui tangan atau perbuatannya seperti mengambil hak orang lain, menipu, menzalimi, merosakkan harta orang, menyalahguna kuasa, penindasan hak, mencuri dan sebagainya.

4.    Seseorang yang mempunyai iman yang sempurna akan mendorong pemiliknya untuk melaksanakan hak-hak iman. Di antara hak-hak iman adalah: Menjaga amanah, jujur dalam bermuamalah, dan menahan diri dari berbuat zalim terhadap sesama manusia dalam perkara darah dan harta mereka  sehingga orang lain merasa aman (kerana merasa tidak terganggu) darah dan harta mereka.

5.    Muhajir atau seorang yang berhijrah adalah mereka yang berpindah dari perkara yang kurang baik kepada yang lebih baik. Berpindah dari perbuatan dosa dan maksiat kepada yang baik dan mendatangkan pahala, daripada kelalaian kepada ketaatan.

6.    Hijrah dengan meninggalkan segala bentuk larangan Allah, meninggalkan sifat mazmumah seperti hasad, takabur, riak adalah dituntut ke atas setiap Muslim. Untuk berubah, setiap kita perlu melakukan hijrah.

7.    Dalam era media sosial, ramai orang tidak memukul dengan tangan, tetapi menyakiti manusia melalui hantaran di media sosial, komen yang menghina, penyebaran berita palsu juga fitnah dan tohmahan. Oleh itu, seorang Muslim perlu bertanya kepada dirinya: “Adakah orang lain merasa selamat daripada lidah, tulisan dan tindakanku?”

8.    Hadis ini mengajar kita bahawa seorang Muslim yang sebenar ialah yang menjaga akhlak terhadap sesama manusia dan berusaha menjauhi segala bentuk dosa. Ia menekankan pentingnya menjadi insan yang membawa keamanan dan kebaikan dalam masyarakat serta berhijrah sikap dan amal dengan meninggalkan larangan Allah.

9.    Marilah kita melakukan pengorbanan untuk perubahan yang lebih cemerlang. Ayuhlah berhijrah dari maksiat kepada ketaatan, dari keadaan yang kurang baik kepada keadaan yang lebih cemerlang dan gemilang serta diredhai Allah.


Monday, June 15, 2026

Rahmah Kepada Orang Yang Kasar

Isnin, 29 Zulhijjah 1447H  |   Rahmah Kepada Orang Yang Kasar

عَنْ اَنَسٍ رض قَالَ كُنْتُ اَمْشِى مَعَ رَسُوْلِ اللهِ صلى الله عليه وسلم وَ عَلَيْهِ بُرْدٌ نَجْرَانِيٌّ غَلِيْظُ اْلحَاشِيَةِ فَاَدْرَكَهُ اَعْرَابِيٌّ فَجَذْبَهُ بِرِدَائِهِ جَذْبَةً شَدِيْدَةً فَنَظُرْتُ اِلَى صَفْحَةِ عُنُقِ رَسُوْلِ اللهِ صلى الله عليه وسلم وَ قَدْ اَثَرَ بِهَا حَاشِيَةُ الرّدَاءِ مِنْ شِدَّةِ جَذْبَتِهِ ثُمَّ قَالَ يَا مُحَمَّدُ مُرْلِى مِنْ مَالِ اللهِ الَّذِى عِنْدَكَ فَالْتَفَتَ اِلَيْهِ فَضَحِكَ ثُمَّ اَمَرَ لَهُ بِعَطَاءٍ

Daripada Anas RA, beliau berkata: Dahulu aku pernah berjalan bersama Rasulullah SAW dan Baginda ketika itu memakai sehelai kain selindang buatan Najran (Yaman) yang tebal bahagian tepinya. Tiba-tiba seorang Arab Badwi datang lalu menarik selendang Baginda dengan tarikan yang sangat kuat daripada belakang. Aku melihat kesan tepi selendang itu berbekas pada leher Rasulullah SAW akibat kuatnya tarikan tersebut. Kemudian lelaki itu berkata, “Wahai Muhammad, berilah kepadaku sebahagian daripada harta Allah yang ada padamu!”. Maka Baginda menoleh kepadanya lalu tersenyum dan menyuruh sahabat memberikan sesuatu pemberian kepada lelaki itu. (HR Bukhari  No: 5738) Status: Hadis Sahih

Pengajaran

1.      Rasulullah SAW adalah contoh akhlak yang paling baik.

2.    Kelembutan lebih berkesan daripada kemarahan. Rasulullah SAW mampu menawan hati manusia melalui senyuman, kesabaran dan kemaafan bukan melalui kekasaran dan penghinaan
 
3.    Menahan marah adalah sifat orang bertakwa walaupun mempunyai alasan untuk marah, Baginda memilih untuk mengawal emosinya.
 
4.    Pendakwah perlu memahami karakter manusia. Tidak semua orang memiliki tahap ilmu dan adab yang sama. Pendakwah perlu bersabar dengan kelemahan manusia, memahami latarbelakang mereka dan membimbing dengan hikmah.
 
5.      Rasulullah SAW sentiasa bersikap lemah lembut terhadap orang lain. Rasulullah SAW bukan sekadar memaafkan lelaki yang bertindak kasar terhadap Baginda malah memberikan bantuan kepadanya.
 
6.    Kemuliaan seseorang terserlah ketika berhadapan dengan orang yang menyakitinya. Seseorang mungkin mudah berakhlak baik kepada orang yang menghormatinya. Namun akhlak sebenar terserlah ketika seseorang dicela, disakiti juga dilayan dengan kasar.

7.      Melakukan perbuatan baik kepada seseorang yang pernah berbuat baik kepada kita adalah perkara biasa, tetapi berbuat baik kepada seseorang yang pernah berlaku buruk kepada kita adalah sesuatu yang luar biasa.
 
8.      Marilah kita menjadi ibarat pepohon rendang yang berbuah lebat, walaupun dibaling dengan batu namun ia membalas dengan menggugurkan buah-buah yang masak.


Sunday, June 14, 2026

Rahmah Terhadap Orang Jahil

Ahad, 28 Zulhijjah 1447H  |   Rahmah Terhadap Orang Jahil

عن أنس بن مالك بَيْنَمَا نَحْنُ فِي الْمَسْجِدِ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذْ جَاءَ أَعْرَابِيٌّ فَقَامَ يَبُولُ فِي الْمَسْجِدِ فَقَالَ أَصْحَابُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَهْ مَهْ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا تُزْرِمُوهُ دَعُوهُ فَتَرَكُوهُ حَتَّى بَالَ ثُمَّ إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ دَعَاهُ فَقَالَ لَهُ إِنَّ هَذِهِ الْمَسَاجِدَ لَا تَصْلُحُ لِشَيْءٍ مِنْ هَذَا الْبَوْلِ وَلَا الْقَذَرِ إِنَّمَا هِيَ لِذِكْرِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ وَالصَّلَاةِ وَقِرَاءَةِ الْقُرْآنِ أَوْ كَمَا قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ فَأَمَرَ رَجُلًا مِنْ الْقَوْمِ فَجَاءَ بِدَلْوٍ مِنْ مَاءٍ فَشَنَّهُ عَلَيْهِ

Daripada Anas B. Malik RA. Beliau berkata: “Ketika kami berada di masjid bersama Rasulullah SAW, tiba-tiba datang seorang Arab Badwi lalu berdiri untuk kencing didalam masjid. Para sahabat Rasulullah SAW ingin mengertaknya, tetapi Rasulullah SAW bersabda, “Janganlah kamu memutuskannya, biarkan dia selesai kencing terlebih dahulu.” Maka mereka (para sahabat) membiarkan orang tersebut sehingga dia selesai kencing. Setelah itu, Rasulullah SAW memanggil dan menasihatinya, “Sesungguhnya masjid ini tidak boleh digunakan untuk kencing dan membuat kotor, masjid adalah tempat untuk zikir, solat, dan membaca al-Quran.” Atau sebagaimana sabda Nabi SAW yang sesuai. Setelah itu, Nabi SAW memerintahkan seorang sahabat untuk mengambil satu baldi air dan menyiram keatas kencingnya.” (HR Muslim, 2/133, no. 429). Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.      Masjid merupakan tempat suci yang perlu dijaga kebersihan dan kesuciannya.
 
2.      Masjid adalah tempat untuk berzikir (mengingati Allah), melaksanakan solat, membaca al-Quran, dan majlis ilmu.

3.      Rasulullah SAW menunjukkan akhlak dan kebijaksanaan dalam menangani orang yang jahil iaitu dengan cara lemah-lembut dan tidak berlaku kasar. Walaupun kencing di masjid adalah suatu kesalahan dan termasuk perbuatan mengotorkan masjid, tetapi Rasulullah SAW tidak segera memarahi pelakunya atas beberapa kemaslahatan.
 
4.      Sikap lemah-lembut dan kesantunan lebih memberi kesan dalam penyampaian dakwah kerana ianya boleh menarik dan mendekatkan sasaran kepada kebenaran. Sebaliknya kekasaran akan menyebabkan sasaran menjauhkan diri.

5.      Islam mengajar kaedah menolak kemudaratan yang lebih besar dengan memilih yang lebih ringan di antara keduanya. Jika orang yang sedang kencing tersebut dicegah dengan tiba-tiba, mungkin ia akan mengakibatkan mudarat yang lebih besar. Mungkin ia akan terkejut lalu lari ke tempat yang lain dalam keadaan kencingnya bersepah-sepah. Akhirnya najis tersebut akan tersebar ke serata masjid, mengenai pakaiannya, serta terpalit ke tubuh-badannya pula.

6.      Kebijaksanaan Rasulullah SAW, dengan  tidak diperlakukan orang jahil itu dengan kasar yang mungkin hanya akan menjadikannya malu atau marah. Rasulullah berjaya menasihati dengan lemah-lembut dan penuh hikmah kepada Badwi tersebut.

7.      Kita tidak boleh mencegah sesuatu kemungkaran dengan cara yang salah serta terburu-buru. Juga tidak boleh mencegah sesuatu keburukan dengan cara yang buruk juga.

8.      Kita hendaklah meneliti di antara maslahah (kebaikan) dan mafsadahnya (keburukan) dengan pertimbangan yang tepat. Kita tidak boleh mengingkari sesuatu kemungkaran dengan suatu kemungkaran yang lain. Kita juga tidak boleh mengingkari kemungkaran sehingga menyebabkan berlaku kemungkaran yang lebih besar lagi.

Dalam hidup bermasyarakat dan bernegara, kita menghadapi pelbagai jenis dan karenah manusia. Ada yang melakukan tindakan seperti orang jahil. Berlaku hikmahlah dalam menghadapi mereka.


Saturday, June 13, 2026

Mendamaikan Perselisihan

Sabtu, 27 Zulhijjah 1447H  |  Mendamaikan Perselisihan

عَنْ أَبِي الدَّرْدَاءِ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَلَا أُخْبِرُكُمْ بِأَفْضَلَ مِنْ دَرَجَةِ الصِّيَامِ وَالصَّلَاةِ وَالصَّدَقَةِ قَالُوا بَلَى يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ إِصْلَاحُ ذَاتِ الْبَيْنِ وَفَسَادُ ذَاتِ الْبَيْنِ الْحَالِقَةُ

Daripada Abu Darda RA ia berkata, "Rasulullah SAW bersabda: "Mahukah jika aku khabarkan kepada kalian suatu yang lebih utama dari darjat puasa, solat dan sedekah?" para sahabat berkata, "Tentu ya Rasulullah." Baginda bersabda: "Mendamaikan orang yang sedang berselisih. Dan rosaknya orang yang berselisih adalah pencukur (mencukur amal kebaikan yang telah dikerjakan)." (Sunan Abu Daud No: 4273)  Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.    Ibadah Puasa, Solat dan Sedekah adalah antara amal ibadah yang utama dalam kehidupan Muslim yang biasa dilaksanakan.

2.    Mendamaikan dua orang yang berselisih atau dua kelompok yang bergaduh adalah lebih utama berbanding ibadat peribadi seperti puasa, solat dan sedekah

3.    Perselisihan atau pergaduhan antara dua orang atau dua kelompok boleh menjadi pengikis pahala yang mungkin dicetuskan dari penyakit hasad dengki dengan saling mengumpat, menghina dan merendah-rendahkan pihak yang satu lagi

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِيَّاكُمْ وَالْحَسَدَ فَإِنَّ الْحَسَدَ يَأْكُلُ الْحَسَنَاتِ كَمَا تَأْكُلُ النَّارُ الْحَطَبَ أَوْ قَالَ الْعُشْبَ

Sesungguhnya Nabi SAW bersabda: "Jauhilah hasad (dengki), kerana hasad dapat memakan kebaikan seperti api memakan kayu bakar." (Sunan Abu Daud No:4257)

Hidup bermasyarakat dan bernegara memerlukan warganya saling bertolak ansur dan mengelakkan perselisihan yang membawa kepada pergaduhan. Bersikap ramah dan rahmah dengan berusaha mendamaikan dua saudara atau kelompok yang berselisih kerana ia adalah amal soleh yang utama.


Friday, June 12, 2026

Amalan Masuk Syurga

Jumaat, 26 Zulhijjah 1447H  | Amalan Masuk Syurga

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّهُ أَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ فَأَنْبِئْنِي بِعَمَلٍ إِنْ عَمِلْتُ بِهِ دَخَلْتُ الْجَنَّةَ قَالَ أَفْشِ السَّلَامَ وَأَطِبْ الْكَلَامَ وَصِلْ الْأَرْحَامَ وَقُمْ بِاللَّيْلِ وَالنَّاسُ نِيَامٌ تَدْخُلْ الْجَنَّةَ بِسَلَامٍ

Daripada Abu Hurairah RA bahawasanya ia mendatangi Nabi SAW seraya berkata; Ya Rasulullah, Beritakanlah kepadaku tentang amalan yang jika aku kerjakan maka aku akan masuk syurga?" maka baginda bersabda: "Sebarkanlah salam, ucapkanlah perkataan yang baik, sambunglah hubungan silaturahim dan solatlah di waktu malam ketika manusia sedang nyenyak tidur, maka engkau akan masuk syurga dengan selamat." (Musnad Ahmad No: 10027) Dar Ihya Turath Arabiy. Status: Isnad Tsiqah

Pengajaran:

1.    Satu daripada kaedah mempelajari Islam ialah bertanya kepada mereka yang arif dan mahir seperti mana sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW.
 
2.    Antara amalan yang jika di kerjakan boleh menjadi asbab seseorang masuk syurga ialah menyebarkan ucapan salam kepada orang Islam yang kita kenal mahupun yang tidak dikenali.
 
3.    Menuturkan sesuatu perkataan yang baik  merupakan amalan yang dijanjikan syurga.
 
4.    Memelihara hubungan silaturahim juga adalah amalan yang wajib kepada orang mukmin dan menjadi antara prasyarat jaminan syurga.

 5.    Solat sunat di waktu malam ketika orang lain sedang nyenyak tidur adalah antara amalan yang akan memasukkan seorang Muslim ke syurga dengan selamat.


Thursday, June 11, 2026

Jadilah Sahabat dan Jiran Yang Paling Baik

Khamis, 25 Zulhijjah 1447H  |  Jadilah Sahabat dan Jiran Yang Paling Baik

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَيْرُ الْأَصْحَابِ عِنْدَ اللَّهِ خَيْرُهُمْ لِصَاحِبِهِ وَخَيْرُ الْجِيرَانِ عِنْدَ اللَّهِ خَيْرُهُمْ لِجَارِهِ

Daripada Abdullah bin Amr RA ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Sebaik-baik sahabat di sisi Allah adalah orang yang paling baik terhadap sahabatnya. Dan sebaik-baik jiran di sisi Allah adalah yang paling baik terhadap jirannya." (Sunan Tirmizi No: 1867) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.    Setiap orang mengharapkan kehidupan yang baik dan bahagia.

2.    Antara tanda kebahagiaan seseorang ialah apabila memiliki sahabat dan jiran yang baik.

3.    Sebaik-baik sahabat di sisi Allah adalah yang paling baik terhadap sahabatnya. Sahabat yang baik, membantunya ketika susah, menasihat dengan hikmah dan menjaga maruahnya. Menurut Ibn Rajab al-Hanbali, sahabat yang baik ialah yang membawa seseorang semakin dekat kepada Allah SWT, bukan menjauhkannya daripada agama.

4.    Sebaik-baik jiran di sisi Allah adalah yang paling baik terhadap tetangganya, tidak menyakiti jirannya, menghormati haknya, membantu ketika diperlukan, menjaga keselamatannya serta berkongsi kegembiraan dan kesusahannya.

5.    Dalam kita hidup bermasyarakat dan bernegara, jadikanlah diri kita sebagai sahabat dan jiran yang paling baik. Negara yang makmur dan sejahtera adalah hasil dari kehidupan anggota masyarakat yang saling bertolong bantu dan bekerjasama.
 
6.    Hadis ini mengajar bahawa ukuran kemuliaan seseorang di sisi Allah SWT bukan terletak pada kedudukan atau kekayaannya, tetapi pada sejauh mana dia berbuat baik kepada sahabat dan jirannya. Persahabatan yang ikhlas dan hubungan kejiranan yang harmoni merupakan antara tanda kesempurnaan akhlak seorang Mukmin.

Kebaikan kita sentiasa dirasai oleh orang lain dan ketiadaan kita akan dirindui.
 
awah :
telegram.me/hadisharian_ikram